DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 20 January 2022

Sayangku Hanan - Bab 3


MENYAMPAH betul Hafiz memandang Hanan. Nasib baik atuk dan pak sunya berada di sini. Bukan dia tidak tahu, Hanan sengaja hendak menyakitkan hatinya.

“Pergilah minta maaf,” gesa Pak Salim.

Teragak-agak Hanan mendekati orang tua itu. Tangan Haji Hasan diraih dan dicium lama.

“Maafkan Hanan. Hanan janji tak ponteng lagi.”

Ehmmm... lagi?”

Hanan menggaru kepala yang tidak gatal. Ada lagi ke kesalahannya?

“Masih ada niat nak berhenti sekolah?” tekan Haji Hasan.

Tersengih-sengih Hanan. Hanya gelengan yang diberi sebagai jawapan. Biarlah dia menghabiskan pelajarannya tahun ini. Tahun hadapan, pandai-pandailah dia menggoreng alasan lain.

Haji Hasan menarik nafas lega. Tubuh cucunya dipeluk kemas. Hanan turut membalas. Baru sehari berpisah, sudah rasa rindu. Bagaimanalah dia hendak pergi jauh?

“Atuk minta maaf. Atuk tak sengaja nak pukul Hanan. Mari atuk tengok. Sakit lagi?” Lengan dan kaki Hanan dibelek sedikit. Saat terpandangkan kesan rotan pada kulit cucunya, tubir matanya terasa hangat. Bibirnya dikemam kuat.

“Sikit aje. Hanan kan kuat.” Hanan cuba menyedapkan hati orang tua itu. Memanglah sakit. Tapi takkanlah dia hendak menyusahkan hati atuknya itu.

Hafiz yang menyaksikan adegan itu turut tersentuh. Hanya dengan Haji Hasan saja Hanan akan bercakap lembut. Beza betul kalau bercakap dengannya. Mengalahkan mak singa!

“Hanan dengan Hafiz keluarlah dulu. Pak su nak cakap dengan atuk sikit.”

Hanan mengangguk. Pasti pak su ingin berbincang tentang rancangannya selepas STPM. Dia dengan pak su sudah membuat perjanjian; tamat STPM, dia akan bekerja dengan pak su. Kononnya sementara menunggu tawaran belajar.

Sebaik sahaja mereka keluar dari rumah, tiba-tiba tangan Hanan ditarik kuat oleh Hafiz. Terkejut Hanan.

“Eh, apa ni?”

“Ikut aku.” Tangan Hanan masih berada dalam genggaman Hafiz. Sampai di belakang rumah, tangan gadis itu dilepaskan kasar.

“Kenapa kau pakai baju aku?” Kedua-dua tangannya sudah berada di pinggang. Turun naik nafasnya menahan marah.

“Ooo... ini baju kau eh? Tak ada nama pun.”

“Hanan!” deram Hafiz.

Tergelak Hanan. Bingo! Padan muka. Dia sudah agak, Hafiz pasti mengamuk. Kata Mak Siti, baju yang dipakainya sekarang ini merupakan baju kesayangan Hafiz.

“Mak Siti yang bagi. Aku pinjamlah.”

“Habis tu, yang dalam, kau pinjam siapa punya? Mak aku?”

Merah padma wajah Hanan. Dah lebih ni! Tangannya dikepal kuat. Tumbukannya diarahkan ke bahu lelaki itu, namun sempat dielak Hafiz.

“Dah ambil harta orang, ada hati nak pukul aku pula,” sindir Hafiz.

“Nanti aku pulanglah. Itu pun nak berkira.”

“Dengan kau, memang aku berkira. Tak cukup mak aku, sekarang barang aku pun kau nak ambil.”

Hanan menggigit kuat bibirnya. Tak habis-habis nak mengungkit.

“Kenapa diam? Dah tak ada ayat nak kenakan aku?” sindir Hafiz sekali lagi.

“Aku memang tak ada mak dengan ayah. Sebab tu aku tumpang kasih sayang dekat mereka. Tapi kalau kau benci sangat dengan aku, aku takkan pergi sana lagilah.” Berkaca tubir mata Hanan.

Kelu lidah Hafiz. Bukan dia bermaksud begitu.

“Kau nak baju ni sangat, kan? Kejap.”

Bulat mata Hafiz melihat Hanan cuba menanggalkan baju-T itu di hadapannya. Cepat-cepat dia memegang kedua-dua tangan gadis itu daripada menyingkap baju itu ke atas.

“Hanan!”

“Lepaslah! Aku tak hadaplah baju ni. Aku pulangkan sekarang juga!”

Semakin cuak Hafiz. Baju yang dipakai oleh gadis itu sudah tersingkap sehingga ke perut. Hampir tertonjol biji matanya melihat perut gadis itu yang putih melepak. Anak matanya meliar ke sekeliling. Masak dia kalau ada yang melihat adegan mereka.

Disebabkan takut Hanan membuat perkara gila, terpaksalah Hafiz menarik tubuh gadis itu rapat ke arahnya. Tercengang mereka berdua. Dada mereka saling bertemu. Masing-masing terpaku seketika.

“Astaghfirullahalazim!!!” Bergema suara atuk di halaman rumah.

Cepat kedua-duanya meleraikan pelukan. Hanan membetulkan baju di tubuhnya. Hafiz pula, sudah pucat wajahnya. Lebih-lebih lagi apabila perasan pandangan tajam Pak Salim.

 

TERUK HAFIZ dibebeli emak dan pak sunya. Dah berbuih dia beritahu kejadian tadi hanyalah salah faham. Kesudahannya, dia juga yang kena. Selepas dia dan Hanan ditangkap kering, pak su terus membawa dia pulang ke rumah.

Di rumah, Pak Salim menceritakan perkara yang telah berlaku kepada Mak Siti. Memang mengamuklah Mak Siti.

“Hafiz memang sengaja nak malukan mak ke?”

“Tak, mak. Tadi Hanan... err...” Serba salah dia hendak menjelaskan. Takkan dia hendak beritahu Hanan cuba menanggalkan pakaian? Naya!

“Pak su nampak Hafiz yang peluk dia. Jangan nak bohong dengan pak su.”

Hafiz meramas kasar rambutnya. Salah dia juga. Gatal nak menenangkan minah tu, tapi dia juga yang terkena.

“Macam nilah, mak dah buat keputusan. Lepas Hafiz dengan Hanan tamat STPM, kamu berdua bertunang.”

“Mak!” Hampir meraung Hafiz. Memang kerja gila!

“Kamu berdua sebenarnya serasi, cuma masing-masing ego tak bertempat,” celah pak su.

“Tak naklah, pak su. Mak... Hafiz mengaku salah. Tadi Hafiz nak kenakan dia. Tak sangka pula sampai jadi macam tu.” Biarlah dia mengalah. Paling penting, dia tidak terikat dengan gadis itu.

Pak su hanya berdiam diri. Dia memandang ke arah kakaknya.

“Kak long betul ke nak mereka bertunang?”

Ermmm... itu memang rancangan aku dari dulu.”

Berkerut dahi Hafiz. Jadi selama ini, emaknya memang dah merancang untuk memadankan dia dengan Hanan? Biar betul!

“Mak tahu Hafiz nak sambung belajar lepas STPM. Sebelum Hafiz pergi ke mana-mana, apa salahnya kamu berdua bertunang.”

“Mak!” Hampir ternaik suara Hafiz. Memang tak masuk akal betul.

“Hafiz... dengar dulu cakap mak.”

“Kenapa mak sayang sangat budak tu? Hafiz ni anak mak. Hafiz tak suka dia. Nak pandang muka dia pun rasa meluat.” Hafiz terus berdiri tegak. Sakit hatinya dipaksa buat perkara yang tak masuk akal. Dia boleh kerat jarilah, Hanan pasti tidak setuju.

“Mak sayang dua-dua. Tak ada bezanya. Hafiz dah lupa ke, dari kecil lagi mak jaga Hanan kalau atuk dengan arwah abah dia pergi menoreh.” Sejak kecil lagi kasih sayangnya sudah diberikan kepada Hanan. Lebih-lebih lagi selepas kawan baiknya meninggalkan arwah dan Hanan tanpa khabar berita.

“Kak long, biar aku berbual dengan Hafiz.”

Mak Siti mengangguk sedikit. Dia bangun dan berlalu masuk ke dalam bilik.

Pak Salim menepuk perlahan bahu anak saudaranya. “Hafiz memang benci sangat ke dengan Hanan?”

Terdiam Hafiz. Nak cakap benci, tak adalah sangat.

“Kenapa diam?”

“Hafiz tak suka dia, pak su. Nak bertunang, bunyi macam pelik. Takkan hanya disebabkan kesalahan tadi, Hafiz kena terikat dengan dia?”

“Betul tadi tu hanya salah faham?”

Hafiz mengangguk laju. Memang dia tidak sengaja memeluk Hanan. Tiba-tiba dia teringatkan kejadian tadi. Masih terasa lagi hangat sentuhan gadis itu. Tertelan air liurnya. Kenapa dadanya berdegup laju? Sama seperti kejadian 6 tahun yang lepas.

“Hanan tu baik budaknya. Pak su pun suka dia. Tapi pak su takkan paksa Hafiz terima dia kalau hati tu tak suka.”

Hafiz sekadar berdiam diri.

“Hafiz tahu kan, Hanan tu hanya ada atuk?”

“Tahu.” Hampir tidak terkeluar suara Hafiz.

“Mungkin sebab tu mak nak Hafiz dengan Hanan bersatu. Tadi atuk ada beritahu, dia dah tak berapa sihat. Dia minta mak dengan pak su jaga Hanan kalau terjadi apa-apa dekat dia.”

Tegak terus tubuh Hafiz. Saat ini dia teringatkan perbualannya bersama Haji Hasan. Patutlah lelaki tua itu ada menyebut tentang perkahwinan. Dia fikir, orang tua itu sekadar bergurau.

“Hafiz janganlah risau. Kalau betul Hafiz tak ada niat nak usik Hanan tadi, syukurlah. Jangan buat macam tu lagi. Walaupun Hanan tu nampak ganas, hati dia tu sensitif. Depan orang dia tak tunjuk, tapi di belakang, hanya Tuhan yang tahu.”

Terkesan juga Hafiz dengan kata-kata pak su. Selama ini dia jarang melihat Hanan lemah. Cuma tadi, dia tidak sengaja terlepas cakap. Nampak jelas mata gadis itu berkaca.

“Pak su, boleh Hafiz tanya sikit?”

“Nak tanya apa?”

“Mak Hanan masih hidup lagi ke?”

Pak Salim tersenyum pahit. Teringat kisah hampir 20 tahun yang lepas. Apa yang berlaku terhadap Hanan, semuanya berpunca daripadanya.

“Pak su nak beritahu satu rahsia dengan Hafiz. Janji dengan pak su, jangan beritahu sesiapa terutamanya Hanan.”

“Bunyi macam serius aje.”

Pak Salim sekadar mengangguk. Nafas ditarik dalam-dalam. Akhirnya dia menceritakan rahsia yang disimpan selama ini. Peristiwa yang menjadi punca Hanan hidup tanpa kasih sayang seorang ibu.

No comments:

Post a Comment