DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 3 April 2022

Best Friend Ke Boyfriend - Bab 1


“ESOK kau datanglah awal sikit. Boleh lepak lama sikit.”

Selalunya pukul 7.15 pagi baru dia keluar dari rumah, tapi gara-gara permintaan Juan semalam, hari ini sebelum pukul 7.00 pagi lagi dia sudah terpacak di platform LRT stesen Taipan itu. Keadaan di stesen itu agak lengang berbanding kebiasaannya. Mungkin waktu masih terlalu awal. Mana tidaknya, sejurus masuk waktu solat subuh, dia terus bersiap selepas mengerjakan solat subuh.

Jika diikutkan jarak, rumah sewanya di Subang Perdana Goodyear Court 3 itu hanya mengambil masa dalam 30 minit sahaja untuk sampai ke tempat kerjanya yang terletak di Bangsar South. Kalau dia keluar dari rumah pada pukul 7.30 pagi pun masih sempat tiba di tempat kerja sebelum jam 8.30 pagi.

Walaupun dia tidak berani berjanji tetapi tidak sampai hati pula rasanya dia mahu menghampakan permintaan Juan. Mujurlah dia tidak perlu menunggu lama di situ kerana kurang dari 5 minit LRT yang menuju ke arah Gombak pun tiba di platform.

Melihatkan itu, Annur bingkas berdiri daripada duduknya. Memandangkan tidak ramai penumpang yang menaiki LRT pada waktu itu, jadi dia tidak perlu berebut untuk mendapatkan tempat duduk. Sekarang baru dia faham kenapa Juan suka datang awal.

Dia melangkah ke arah tempat duduk kosong yang berhampiran dengan pintu supaya mudah dia hendak keluar nanti. Telefon pintar yang tadinya setia di tangan kembali dilihat. Dia memanfaatkan masa itu untuk membaca berita-berita terkini dalam Internet.

Kau dah sampai mana tu?

Ketika dia sedang leka melayari Internet, kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp itu muncul pada skrin telefon pintarnya. Nama stesen yang dilalui dilihat sebelum jari-jemarinya menyentuh huruf-huruf pada skrin telefon pintar untuk menaip jawapan balas. Ada empat stesen lagi sebelum dia tiba di stesen LRT Kerinchi.

Okey, aku kat tempat biasa ya.

Juan sudah sampai? Biar betul! Dia ingatkan dia sudah cukup awal tetapi ternyata Juan tetap sampai lebih awal daripadanya. Kalau dia bersiap lepas waktu subuh, adakah Juan terus bertolak dari rumah lepas waktu subuh juga?

 

KEDAI MAKAN Mesra... nama kedai makan yang menjadi titik permulaan antara dia dengan Juan bersarapan bersama sebelum ke tempat kerja. Walaupun mereka merupakan rakan sekerja sejak beberapa tahun yang lalu tetapi hubungan mereka tidaklah terlalu rapat. Hanya baru-baru ini dia kerap makan di kedai makan itu lantaran

dia baru berpindah rumah sewa dan menaiki LRT ke tempat kerja. Kebetulan Juan juga makan di situ setiap pagi.

Kedai makan yang terletak berhampiran dengan stesen LRT Kerinchi itu berkonsepkan layan diri. Para pelanggan boleh memilih dan mengambil sendiri makanan yang dihidangkan secara bufet. Walaupun ada banyak menu yang boleh dipilih tetapi nasi lemak bersama telur mata juga yang menjadi pilihannya. Dia tidak perlu risau akan berat badan kerana berat badannya tetap begitu walau berapa banyak sekalipun yang dia makan.

Selepas mengambil makanan, dia memesan minuman sebelum membayar harganya di kaunter. Kemudian, matanya liar memandang setiap pelanggan di situ mencari Juan. Tidak perlu mencari lama, dia nampak Juan sedang duduk di sebuah meja yang bersebelahan dengan sebuah longkang besar yang memisahkan tempat itu dengan stesen LRT Kerinchi.

Juan sedang leka membaca sesuatu pada telefon pintar di tangan ketika dia menghampiri.

“La, dah habis makan ke?” soal Annur apabila melihat pinggan Juan sudah separuh licin.

“Baru first round ni,” balas Juan sambil tersengih. “Duduklah. Awal lagi ni.”

Mendengarkan jawapan Juan, Annur makan tanpa banyak soal. Macam biasa, sambil makan mereka akan berbual-bual. Kadang-kadang tentang hal kerja dan adakalanya tentang isu semasa ataupun hal peribadi.

“Kau pergi tak kenduri kahwin Yanti Ahad ni?” Tiba-tiba Juan bertanya.

“Tak pasti lagi. Adik aku kerja. Tak ada genglah nak pergi. Kawan-kawan kita pun semua dah ada keluarga, mesti diaorang pergi dengan keluarga masing-masing.”

Sejak kawan-kawan mereka berkahwin, mereka sudah jarang keluar bersama. Waktu bujang dulu boleh dikatakan hampir setiap minggu mereka akan keluar menonton wayang, pergi karaoke, main boling atau sekadar melepak di kedai mamak, tetapi sekarang masing-masing sudah berkeluarga. Jadi, kalau hendak melepak seperti dulu, memang tak dapatlah. Setakat melepak di sekitar tempat kerja mereka itu bolehlah.

“Kau pergi dengan aku, nak?” pelawa Juan.

“Boleh juga. Siapa lagi yang pergi dengan kau?”

Pelawaan Juan itu ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Kalau sorang-sorang, dia pun malas nak pergi. Nanti tak ada kawan nak sembang. Tak pasal-pasal tercongok dia di situ. Tambahan pula, dia tidak mempunyai kenderaan sendiri. Kalau Juan sudi tumpangkan, dia sanggup berkongsi bayar minyak dan tol daripada kena naik Grab sorang-sorang.

“Aku sorang aje.”

Jawapan Juan itu membuatkan Annur terdiam sejenak.

“Dah tu, takkan kita berdua aje?” Cuak pula dia kalau berdua-duaan dengan  Juan di dalam kereta. Kalau setakat makan di kedai makan begini, okey lagilah. Tempat terbuka kut. Tapi kalau berdua-duaan di dalam kereta...

“Kenapa? Kau takut?” usik Juan.

“Taklah!” nafi Annur. Dia bukan takut dengan Juan, cumanya dia tidak biasa naik kereta berdua dengan mana-mana lelaki. Tambahan pula, Yanti merupakan rakan sekerja mereka. Jadi, pastilah ramai rakan sekerja mereka yang akan menghadiri kenduri kahwin itu nanti. Kalau mereka nampak dia datang berdua saja dengan Juan, mesti mereka fikir yang dia dengan Juan punya hubungan istimewa.

So, kira jadilah ya?” putus Juan.

“Nantilah, aku beritahu semula.” Tiba-tiba Annur tidak berani hendak berjanji. Walaupun dia dengan Juan sudah selalu lepak berdua, tetapi hanya terbatas di sekitar kawasan tempat kerja sahaja. Tidak pernah lagi mereka keluar berdua di luar kawasan bahkan dia belum pernah lagi menumpang kereta Juan memandangkan Juan ke tempat kerja menaiki LRT sepertinya. Nanti-nantilah dia fikirkan. Mana tahu kalau ada rakan sekerja mereka yang lain hendak menumpang sekali ke, kan?

 

SELEPAS BERSARAPAN, mereka berjalan melalui jejantas yang menghubungkan stesen LRT Kerinchi itu dengan kawasan Bangsar South. Di hujung jejantas, mereka perlu menaiki beberapa buah eskalator untuk ke bangunan pejabat mereka yang dikelilingi taman hijau.

Di tengah-tengah kawasan hijau itu, tersergam beberapa bangunan pejabat setinggi 11 tingkat setiap satunya. Bangunan pejabat mereka terletak di Tower 7, iaitu sebuah syarikat yang mengendalikan kelas tuisyen secara dalam talian.

Tiba di tingkat empat, Annur keluar dari lif untuk memulakan tugas di Jabatan Kelas Tuisyen Online sebagai pembantu tutor sementara Juan pula terus ke tingkat lima iaitu Jabatan Bahan Rujukan Online.

“Hai! Dah breakfast?” Hayza yang sedang makan di mejanya menegur sejurus Annur menapak ke mejanya yang bersebelahan dengan meja gadis itu.

“Dah,” jawab Annur pendek sebelum melabuhkan punggung di kerusi. Komputer segera dihidupkan.

“Makan mana tadi?” tanya Hayza lagi.

“Kat Kerinchi.”

“Dengan Juan ya?” bisik Hayza.

“Haah,” jawab Annur tanpa berselindung. Dia tidak rasa perkara itu perlu dirahsiakan lantaran dia dengan Juan hanya berkawan.

“Aku nampak kau dengan Juan tadi,” Hayza kemudiannya berterus terang.

Kalau Hayza sudah tahu dia dengan Juan tadi, kenapa Hayza bertanya kepadanya lagi? Sengaja hendak tengok dia jawab jujur ataupun tidak ke?

“Kenapa tak tegur?” Annur pula sengaja bertanya begitu.

“Tak naklah kacau daun,” balas Hayza seraya sudah tersenyum-senyum.

“Kacau daun apanya?” soal Annur pura-pura tidak faham. Melihatkan senyuman Hayza yang semacam itu, Annur tahu perkara yang bermain dalam benak Hayza. Tapi, dia malas hendak ambil pusing.

“Annur, aku tanya kau sikit, boleh?” soal Hayza teragak-agak.

“Tanya ajelah,” balas Annur seraya mata sudah menghala pada skrin komputer. Bersedia untuk memulakan tugas pada hari itu. Banyak kerja yang perlu diselesaikan.

“Kau dengan Juan tu ada apa-apa ke? Nampak macam mesra aje,” ujar Hayza takut-takut.

“Ada...” Annur tersengih.

Muka Hayza jelas terkejut. Mungkin Hayza tidak menyangka yang dia akan mengaku sebegitu.

“Saudara seIslam,” sambung Annur lalu tertawa.

Hayza mengetap bibir geram.

“Hesy, aku tanya betul-betul ni!” marah Hayza.

“Kita orang nampak macam ada apa-apa ke?” Sengaja Annur bertanya semula. Rasanya dia dan Juan sering bercakap biasa-biasa saja, tak adalah mesra seperti pasangan bercinta pun.

Kenapa ya apabila lelaki dan perempuan sering dilihat bersama, orang akan terus buat kesimpulan yang mereka bercinta? Memang lelaki dengan perempuan tak boleh berkawan ke?

Apa pun, Annur memuji sikap Hayza yang bertanya terus kepadanya tentang hal itu. Sekurang-kurangnya, Hayza tak buat cerita di belakangnya.

“Tak adalah, macam selalu sangat aku nampak kau dengan dia dekat Kerinchi tu.  Manalah tahu kalau kau dengan dia memang ada apa-apa,” ujar Hayza. Bukan niatnya mahu mencampuri tetapi sekadar ingin mengetahui.

Annur tidak terkejut dengan kata-kata Hayza. Dia sendiri sedia maklum bahawa kedai makan yang sering dia dan Juan kunjungi itu turut dikunjungi oleh rakan sekerja mereka yang menaiki LRT ke tempat kerja seperti mereka. Jadi, tidak hairanlah jika ada rakan sekerja mereka yang nampak dia dengan Juan di situ.

Tapi, dia tidak kisah pun kalau orang nampak mereka. Ia tempat terbuka. Sesiapa pun bebas datang ke situ. Lagipun mereka bukannya buat salah pun. Hanya makan dan bersembang kosong.

“Kita orang kawan-kawan ajelah. Aku dah anggap dia macam abang kut,” ujar Annur berterus terang. Dia dengan Juan bercinta? Memang taklah!

“Boleh percaya ke ni?” Hayza masih ragu-ragu.

“Terpulanglah kau nak percaya atau tak,” balas Annur lalu mula fokus terhadap skrin komputernya. Dia sudah beritahu hal yang sebenar. Kalau orang tak nak percaya, dia tak boleh nak buat apa-apa. Yang pastinya, dia dengan Juan memang hanya berkawan.

Titik!

No comments:

Post a Comment