DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 4 September 2015

DEMI BAHAGIA INI - BAB 3

DEMI BAHAGIA INI - BAB 3



Qistina menunggu giliran untuk dipanggil masuk ke dalam bilik. Temuduga pertama sejak pulang ke tanah air. Pelik juga mengenangkan bagaimana Qistina boleh berada di sini. Ketika sibuk bermanja-manja dengan Mak Esah, berulang-alik ke pekan Tapah bersama Timah, Qistina terbaca iklan di surat khabar The Star mengenai peluang pekerjaan ini. Walaupun pekerjaan ini langsung tidak berkaitan dengan bidang yang diceburinya, namun iklan yang tertera di surat khabar menarik perhatiannya.

Female Muslim companion needed urgently for an elderly woman. Contract for 1 year only. Location in London. Contact 03-2010 ****

“Kau serius ke, Ina? Bukan kau nak jadi accountant ke? Ni bukan kerja untuk jadi accountant! Yang kau beriya sangat nak apply tu kenapa?” Timah menyoal Qistina sebaik sahaja Qistina menunjukkan iklan tersebut kepada Timah. Dia hairan betul dengan minat yang dipamerkan Qistina terhadap keratan akhbar itu.

“Tim, kau tak nampak ni? Location in London! Peluang keemasan ni! Kontrak kerja dia setahun je. Tak lama. Bila aku dah ada kat sana nanti, lagi senang aku nak cari kerja kat sana. Ni kira macam batu loncatan aku jelah,” jelas Qistina.

“Biar betul kau, Ina. Habis tu, nak buat apa ni?” Timah masih terpinga-pinga.

“Hish, blur lah kau ni! Aku calllah nombor tu dulu. Buat appointment untuk temu duga. Tak tentu dapat lagi ke tak.”

Sehari selepas Qistina membuat panggilan, dia dipanggil untuk ditemu duga. Qistina meninggalkan rumah Pak Atan dan Mak Esah kurang dua hari daripada tarikh yang dijanjikan. “Alaah, Tim. Janganlah monyok. Nanti lepas interview, aku call kau. Terima kasihlah bagi kunci rumah kat aku. Nanti kau balik lusa, aku tunggu kau kat rumah.”

Timah hanya mencebikkan wajah. Qistina ketawa melihat gelagat kawannya itu.

Sedih meninggalkan Timah, Pak Atan dan Mak Esah tetapi digagahkan juga pulang berseorangan ke Kuala Lumpur. Ya Allah. Bukakanlah peluang pekerjaan ini untuk hambaMu ya Allah, sekiranya ia terbaik untukku…

Qistina membetulkan baju kurung di badannya. Tidak lama kemudian, dia dipanggil masuk oleh seorang perempuan Cina yang duduk di meja tidak jauh dari pintu bilik. “Awak boleh masuk sekarang,” jemput perempuan tadi penuh sopan. Perempuan Cina itu bangun dan membukakan pintu bilik untuk Qistina. Senyumannya mesra.

Qistina bangun dan mengambil nafas dalam-dalam. Pelik juga dia dipanggil hadir ke sesi temuduga untuk menjadi seorang peneman atau companion di pejabat yang serba mewah ini. Sangkanya sesi temu duga akan diadakan di rumah atau pun di hospital.

Dengan lafaz Bismillah, langkah diatur masuk ke dalam bilik pejabat dengan perlahan. Dia hanya memaut beg galasnya. Tidak terfikir untuk membawa sebarang sijil bersamanya, memandangkan pekerjaan yang dimohon, tidak bersangkut-paut langsung dengan kelulusannya. Pintu ditutup rapat perempuan Cina tadi.

‘Ya Allah, besarnya bilik ni! Orang yang nak interview aku ni, bos besar ke?’ fikir Qistina sendirian.

Matanya kini tertumpu ke meja besar di dalam bilik itu. Seorang lelaki sedang duduk membelakangkan tingkap kaca sambil tunduk mengamati dokumen di atas mejanya. Qistina menghampiri meja besar itu sehingga tubuhnya bersentuhan dengan kerusi di hadapan meja itu. “Selamat pagi, Encik,” Qistina menyapa, sedikit gugup.

Lelaki itu mendongak. Mata bertentang mata. ‘Ya Allah! Dia ni mat saleh ke? Mata biru, rambut hitam pekat, kulit cerah tapi ada iras-iras campuran di wajahnya.’ Qistina menelan air liurnya. Semakin gugup dia ditenung begitu tajam oleh lelaki tadi. Lama mata mereka saling bertaut, mengundang debaran di dada Qistina.

Akhirnya, “Sit!” Tegas lelaki itu bersuara, sambil menunjukkan ke arah kerusi yang paling hampir dengan Qistina. Qistina menarik kerusi dan duduk seperti yang dipinta. Setiap pergerakannya diamati lelaki tadi.

Qistina memandang lelaki itu. Kerana lelaki itu juga tidak putus-putus merenungnya, Qistina melabuhkan pandangannya ke atas meja. ‘Mak datok! Spesies mana datangnya lelaki ni? Handsome ya amat! Atau kalau nak ikut ayat yang selalu diungkapkan Timah, handsome tahap gaban! Ada iras-iras pelakon Hollywood Hugh Jackman yang gila macho tu!’ Qistina membanding lelaki di hadapannya dengan pelakon popular yang membintangi cerita X-Men itu.

I’m Qistina, sir. I have come regarding the ad placed in The Star recently for a female Muslim companion?” Qistina memberanikan diri memulakan sesi temu duga sambil memandang ke arah lelaki tadi.  

Lelaki tadi mengangkat keningnya. Mungkin tidak menyangkakan yang Qistina bisa bercakap Bahasa Inggeris dengan begitu fasih sekali. ‘Apa? Kampung sangat ke baju kurung aku ni? Ingat aku tak reti speaking London ke?’ Qistina menggumam di dalam hati.

“Hmmm…jadi awak boleh cakap Inggeris?” lelaki itu bertanya.

‘Hish! Bila aku cakap Melayu dia cakap orang putih. Bila aku cakap orang putih, dia cakap Melayu! Pening kepala aku ni.’

Fasih lelaki itu berbahasa Melayu. Langsung tiada pelat.

Qistina mengangguk. “Ya, Encik. Boleh…”

Good!” Lelaki itu merenung gadis di hadapannya. Kagum sebentar dengan kelancaran pertuturan bahasa Inggeris gadis itu. Kalau tengok gaya, memang dia tidak menyangkakan bahawa gadis itu bisa bertutur bahasa Inggeris dengan begitu fasih sekali. Seorang yang lancar berbahasa Inggeris seperti gadis itu tadi mesti seorang yang berpelajaran, bukan? Terpegun juga dengan wajah gadis itu yang sungguh jelita. Dia turut berasa hairan dengan reaksi tubuhnya ketika bertentang mata dengan gadis itu tadi. Bagai nak terkeluar isi jantungnya, seolah-olah tidak terkawal. Kenapa agaknya ya?

“Kenapa awak apply untuk kerja ni?” Sepasang matanya yang biru masih tajam merenung gadis di hadapannya.

“Sebab saya perlukan pekerjaan sekarang ni, Encik.” Qistina menjawab berterus-terang.

“Awak pernah jadi companion untuk orang tua?” Qistina suka mendengar suara lelaki itu. Sungguh dalam dan sexy. “Pernah atau tidak?” tanya lelaki itu sekali lagi apabila melihatkan Qistina tidak membalas pertanyaannya yang pertama kali. ‘Mak ai! Garangnya!’

“Errr…tak pernah, Encik.” Membulat sedikit mata Qistina.   

“Saya sedang mencari companion untuk ibu saya. Umur dia lima puluh lima tahun. Dia tak berapa sihat tapi dia sudah ada jururawat peribadinya sendiri. Saya tak perlukan jururawat. Ibu saya perlukan teman bercakap because she is very lonely, especially kalau saya datang KL, on business.”

Qistina mendengar penjelasan lelaki di hadapannya. Dia masih tidak tahu nama lelaki itu.

“Ibu Encik tinggal di London ke?”

Ye. Dia ada kat London. Rumah kami di sana,” ujar lelaki itu. Qistina menganggukkan kepalanya tanda dia mengerti.

“Selalu ke Encik tinggalkan ibu Encik untuk datang ke KL?”

“Tak selalu. Mungkin dua atau tiga bulan sekali. Awak orang yang ketiga yang saya interview. Saya kena buat pilihan cepat sebab minggu depan saya akan balik ke London. Kalau boleh saya akan bawak balik sekali calon yang berjaya.”

Lelaki itu menyandarkan tubuhnya ke kerusi empuknya. Matanya masih melekap di wajah Qistina sehingga membuatkan Qistina tidak senang duduk.

You look very young! Umur awak berapa tahun?”

“Dua puluh tiga, nak masuk dua puluh empat, Encik.”

Married?”

Qistina menggelengkan kepalanya. “Belum lagi, Encik.”

“Belum lagi, maknanya awak akan berkahwin dalam masa terdekat ni?”

“Eh, tak Encik. Tu bukan maksud saya. Saya hanya menjawab saya belum berkahwin.” Gabra sekejap. ‘Kenapa macam berubah je muka lelaki ni bila aku menjawab macam tu tadi?’

“Ada passport?”

“Ada, Encik.” Macam peluru lelaki itu bertanyakan soalan-soalannya.

Parents awak okey ke kalau awak kena kerja di London?”

“Dia orang tak kisah, Encik.” Qistina menjawab perlahan. Memang mama dan papanya tidak akan kisah tentangnya lagi.

Boyfriend awak ok?”

“Errr…saya tak de boyfriend, Encik.” Tidak berkelip lelaki itu memandang wajah Qistina. Lelaki itu tersenyum sumbing mendengar balasan Qistina. Pelik!

“Awak ada apa-apa soalan nak tanya saya pasal kerja ni?”

Qistina mengangguk. Banyak sebenarnya yang dia mahu tahu daripada bakal majikannya yang kacak lagi menawan ini. ‘Chewah…’

“Errr…boleh saya tau nama Encik?” teragak-agak Qistina bertanya.

“Oh, lupa pulak saya. Nama saya Ian Iskandar.” Qistina mengagakkan bahawa majikannya ini campuran Melayu dan Inggeris.

“Kontrak hanya untuk setahun, kan Encik?”

“Ya, itupun kalau ibu saya suka dengan pilihan saya. Kalau ibu saya tidak suka dengan perempuan tu atau tidak serasi, kontrak boleh ditamatkan dengan serta-merta. Awak faham?” tegas Ian Iskandar bersuara.

Qistina mengangguk. “Gaji, macam mana, Encik?”

“£1,500 sebulan.” ‘Fuh! Banyak tu,’ terlintas di fikiran Qistina.

Job scope dia macam mana, Encik?”

“Tak susah. Hanya perlu melayan ibu saya setiap hari. Berbual dengan dia, bacakan surat khabar kepada dia, apa saja yang dia perlukan dari seorang teman. Ibu saya tidak boleh berjalan, tapi hal-hal berkaitan kesihatannya awak tak perlu risau. Yang tu, jururawat peribadinya akan buat…Awak pandai melayan orang tua?”

Qistina memikirkan Mak Esah lalu berkata, “ye, Encik. Boleh.”

Ian Iskandar masih merenung Qistina. Entah mengapa gadis itu menarik perhatiannya.  Matanya tidak dapat dilarikan dari wajah gadis itu. Pasti ibunya akan menyukai gadis ini. Lembut, ayu serta berbudi bahasa. Walaupun ibunya berbangsa Inggeris, namun budaya dan adat Melayu sudah sebati dengan jiwa ibunya. Ian Iskandar sudah membuat keputusannya. Dia yakin.

“Err...Encik? Mengapa Encik cari orang Malaysia untuk jadi peneman ibu Encik? Ibu Encik berbangsa Inggeris, kan?”

Ian Iskandar tersenyum. Qistina terpanar melihat ketampanan wajah di hadapannya itu. Senyuman itu bagai menarik-narik hatinya. ‘Ish, kenapa pulak dengan aku ni?’ Sesungguhnya Qistina tidak mengerti apa yang sedang berlaku ke atas dirinya.

My mother misses Malaysia. Dia tak nak perempuan Inggeris teman dia, dia nak perempuan dari Malaysia.”

“Dalam iklan Encik tu, Encik kata perlukan perempuan Muslim, kan?”

Ye, betul. Itu permintaan ibu saya. Saya tak boleh nak jelaskan sebabnya pada awak sekarang ni, but you will know soon.”

“Encik, bila Encik akan buat keputusan pasal permohonan saya ni?” teragak-agak Qistina bertanya. Dia perlukan kepastian. Dia perlu tahu sama ada dia akan diberikan peluang ini atau sebaliknya. Pekerjaan baharu harus dicari, sekiranya peluangnya di sini tertutup rapat.

“Saya sudah pun buat keputusan saya.”

Qistina memandang wajah Ian Iskandar. Daripada riak wajah lelaki itu yang begitu serius, Qistina seolah dapat meneka bahawa permohonannya telah pun ditolak. Qistina tunduk. Dia menelan air liur yang terasa begitu pahit. Niatnya untuk bangun dan berlalu dari situ terbantut apabila Ian Iskandar kembali bersuara.

“Kemas barang awak. Kita akan bertolak ke London hari Rabu depan. Awak tak perlu bawak baju untuk musim sejuk sebab sekarang tengah musim panas. Bila perlu, awak beli saja masa kat sana nanti…”

Mata Qistina membulat. Mulutnya sedikit ternganga. Betul ke apa yang didengarinya ini? Bertolak Rabu depan? Musim panas? Memanglah sekarang tengah musim panas. Dia tahu sebab dia baru sahaja meninggalkan kota London sejurus selepas tamatnya majlis konvokesyen baru-baru ini. Namun, tidaklah perlu dia menceritakan apa-apa yang tidak perlu diceritakan kepada majikannya ini. ‘Lagi sikit dia tau pasal aku, lagi bagus!’

“Kenapa awak tercengang ni?” Tanya Ian Iskandar sedikit sinis melihat reaksi beku Qistina. “Awak nak kerja ni ke tak nak?”

Qistina pantas menganggukkan kepalanya. “Nak, Encik, nak…saya terkejut je. Tak sangka akan dapat kerja ni on the spot.”

“Bagus.” Ian Iskandar mencapai ganggang telefon di sisi mejanya. “Lisa, come in now. Bring the contract with you.”

Perempuan Cina merangkap setiausaha Ian Iskandar masuk ke dalam bilik sambil memegang buku nota kecil dan sebuah sampul surat. Dia berdiri di sebelah meja dan menghulurkan sampul surat kepada bosnya. Kemudian dia tekun mengambil nota arahan bosnya.
                             
I want you to book a one way ticket to London for this young lady. Same flight and same time as me. Take her details.”

Perempuan bernama Lisa itu mengangguk. “Anything else, sir?”

Yes, call the British Embassy. Ask them whether she needs a working permit to work as my mother’s companion for a year. If she needs one, you take care of it a.s.a.p.”

Ian Iskandar memalingkan wajahnya dan memandang Qistina yang masih terpaku di atas kerusi. “Awak ikut Lisa. Bagi dia salinan passport awak. Apa-apa hal pasal tiket awak deal dengan Lisa. I will see you at the airport next Wednesday. Ni kontrak pekerjaan. Baca dan tandatangan. Saya nak balik kontrak ni esok pagi. Faham?”

Qistina mengangguk. Dia bangun. “Terima kasih, Encik. Thank you for this opportunity.” Ikhlas senyuman yang diukirkan untuk Ian Iskandar. Terpanar Ian Iskandar melihat lesung pipit di pipi kanan gadis itu. Hatinya tertawan.

Qistina mengatur langkah mengikut Lisa keluar dari bilik Ian Iskandar. Ian Iskandar hanya memerhatikan sehingga gadis itu hilang daripada pandangan. Dia menarik nafas lega. Tersenyum dia mengenangkan riak terkejut di wajah gadis itu tadi, dan pantas diikuti dengan raut wajah yang sungguh lega. Gadis itu penuh misteri! Matanya mencerminkan kesedihan ketika ditanya samada kedua orang tuanya akan mengizinkan pemergiannya ke London. Ian Iskandar mengakui dia merasakan sedikit terganggu melihat kesedihan yang terpancar dari mata gadis itu tadi. Kenapa agaknya dia merasakan begitu?

Dan mengapa pula gadis semuda itu seakan mahu lari dari negara asalnya dan berhijrah ke sebuah negara yang begitu asing baginya? Walaupun setahun bukanlah satu jangka masa yang panjang, namun dia tertanya-tanya mengapa gadis itu mahu mencari peluang pekerjaan sehingga ke London? Adakah dia sedang lari daripada sesuatu atau seseorang?

Dia bernekad untuk tahu lebih lanjut lagi mengenai gadis tadi. Tidak sabar untuk bertemu kembali hari Rabu depan di KLIA.

***********

“Tim, aku dapat kerja tu!” girang sahaja suara Qistina di telefon sebaik sahaja salam Timah dijawabnya.

Timah di hujung talian terus merasa sedih dan mengeluh kecil. Digenggamnya telefon bimbit kuat-kuat. Takut terlepas.

“Tim? Kenapa kau senyap je? Kau tak suka, ya?” Qistina seakan merajuk. Dia membetulkan duduknya di atas kerusi rotan di ruang tamu flat Timah.

“Bukan aku tak suka,” balas Timah perlahan. “Aku sedih je…aku happy sangat bila kau baru je balik. Sekarang kau nak pergi London balik!” Timah sudah pun mengerti sepenuhnya mengapa kedua orang tuanya merelakan dan menyokong pemergian Qistina ke London. Dia memahami pemergian temannya itu jauh dari Malaysia merupakan suatu perkara yang terbaik buat Qistina buat masa ini. Tetapi itu tidak bermaksud dia perlu merasa gembira bukan? “Bila kau bertolak?”

“Rabu depan, Tim.”

“Ya Allah! Cepatnya…”

Qistina mendengar tangisan kecil Timah di hujung talian. Matanya mula berkaca. Turut merasakan kesedihan yang dirasakan temannya itu.

“Tim, kau sorang jelah kawan yang paling aku sayang dalam dunia ni. Aku sayang kau lebih daripada aku sayang abang dan kakak aku sendiri. Masa aku kat London selama ni pun, aku tak de kawan serapat kau. Aku sedih kena tinggalkan kau Tim, tapi aku terpaksa. Aku harap kau faham, Tim.”

Kata rayuan Qistina menghiris hatinya. Tangisan terlerai jua dari kelopak matanya.  

“Aku faham, Ina. Aku faham sangat-sangat. Aku tak pernah rasa benci pada papa kau sebenci yang aku rasakan sekarang…”

“Jangan, Tim. Jangan benci papa aku. Allah belum bukakan hati dia lagi untuk bertaubat. Kau janganlah benci dia, Tim. Kau doakanlah papa aku tu. Selama ni aku sorang je yang berdoa. Mungkin mana tau, bila kau doakan sekali dengan aku, lagi cepat papa aku sedar?”

“Aku tak pernah jumpa orang sebaik dan semulia kau, Ina!” kata-kata Timah membuatkan Qistina menangis teresak-esak. Terharu dengan pujian ikhlas kawannya itu.

Selepas tangisannya reda, Qistina bersuara, “Cepatlah balik, Tim. Aku tunggu kau esok ya. Kau sampai petang kan? Tengah hari esok aku kena pergi balik pejabat bos aku tu. Aku kena ambik tiket kapal terbang dan pulangkan salinan kontrak. InsyaAllah bila kau sampai rumah, aku dah balik. Kalau tak, kau telefonlah aku, ya?”

“Ok. Mak dan ayah kirim salam sayang kat kau.”

Qistina terkedu. “Tim, tolong sampaikan salam kemaafan aku pada mak dan ayah kau ya. Aku tak sempat nak balik sebelum bertolak ke London.”

“Iyalah. Nanti aku sampaikan. Aku jumpa kau esok, Ina. Assalamualaikum.”

Qistina menjawab salam Timah sebelum mematikan talian. Wajah Mak Esah dan Pak Atan bermain di depan matanya. Belum puas bermanja, kini mereka terpaksa berpisah lagi. ‘Ya Allah, Kau panjangkanlah umur Mak Esah dan Pak Atan agar aku masih berpeluang menziarahi mereka tahun depan.’

Selepas melayan perasaan rindu selama beberapa minit, Qistina mencapai salinan kontrak yang dicampakkan di atas meja sebentar tadi. Ringkas kontraknya. Tidak berjela-jela. Segala yang dijelaskan oleh Ian Iskandar tadi jelas tertera dalam kontrak. Tempoh perkhidmatan selama setahun, gaji bulanan, skop pekerjaan dan sebagainya. Namun ada juga terma-terma yang tidak dinyatakan secara langsung kepada Qistina tadi.

-                      Qistina disyaratkan untuk tinggal di rumah ibu Ian Iskandar bagi memudahkan dia melakukan kerja-kerjanya;
-                      Makan dan minum ketika di rumah akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan;
-                      Qistina hendaklah bertugas dari hari Isnin hingga Jumaat, Sabtu separuh hari, dan diberikan cuti pada hari Ahad. Waktu bekerja dan waktu rehat juga jelas diperincikan;
-                      Hanya dengan persetujuan bersama di antara Ian Iskandar dan Qistina, barulah tempoh kontrak boleh dipanjangkan ke setahun lagi.

Qistina tiada masalah dengan terma-terma perjanjian. Lantas dicapainya pen berdakwat hitam dan menandatangani semua salinan kontrak. Untuk setahun yang akan datang ini, Qistina benar-benar berharap hidupnya tidak akan diganggu papanya. Yang terbaik, adalah sekiranya si Remy pula dapat berkahwin dengan perempuan lain sebelum kepulangannya ke Malaysia nanti. Itulah yang paling diharap-harapkannya.


No comments:

Post a Comment