NURHANA melangkah keluar dari keretanya
dengan penuh kebingungan. Dia masih keliru dengan
apa yang baru terjadi. Fikirannya yang kusut jadi tambah
berserabut. Mula-mula kerana masalah abangnya. Kini,
kerana Haznik pula.
‘Jangan risau. Awak tak salah. Memang
saya nak mengurat awak pun.’
Kata-kata Haznik kembali terngiang-ngiang dalam
ingatan. Apa yang tidak kena dengan lelaki itu? Suka-suka
hati sahaja nak luahkan perasaan. Tidak bolehkah dia diberi
sebarang petanda dahulu sebelum menerima serangan
mengejut begitu?
Nurhana tergeleng-geleng. Dia tidak ingin percaya
dengan kata-kata Haznik. Lelaki itu mungkin mahu
mempermainkan dirinya. Baru jumpa beberapa kali, terus
nak mengurat? Hebat! Dia cuba melupakan Haznik daripada
terus memenuhi ruang kepala. Lebih baik dia memikirkan
hal lain yang lebih penting.
Diatur langkah ke rumah. Matanya singgah pada
ruang parkir. Terdampar kereta bapanya sahaja. Kereta ibunya
tiada di situ. ‘Mama pergi ke rumah siapa pulak agaknya?’
“Na.” Suara Hussin singgah di telinga. Pandangan
Nurhana menyorot ke arah bapanya yang sedang berdiri di
muka pintu.
“Ya papa,” sahut Nurhana.
“Makan dengan papa. Jom,” ajak Hussin.
Nurhana tersenyum lebar sebelum terus
mengangguk, setuju. Dia paling suka jika dapat makan
bersama-sama bapanya. Di sebalik seraut wajah serius itu,
ada sahaja gurau sendanya yang mencuit hati. Nurhana tidak
akan kering gusi melayan jenaka bapanya.
“Mahu tambah lagi ke, embak?” tanya Tanti,
pembantu rumah mereka.
Nurhana menggeleng.
“Papa nak nasi lagi tak?”
Hussin segera menggelengkan kepalanya. “Diet.”
Nurhana tertawa besar mendengar jawapan bapanya
yang tidak disangka-sangka itu. Tanti juga tersenyum nipis.
Dia segera meminta diri, tidak mahu mengganggu kedua
beranak itu makan.
“Diet apa pulak kalau papa dah makan dua pinggan
tadi?” tanya Nurhana.
Hussin tersenyum. Hatinya ceria melihat anaknya
gembira semula. Setelah Izlan mengecewakan anaknya, dia
tidak sanggup melihat Nurhana bersedih lagi. Tetapi Nasrul
pula membuat onar. Tidak pasal-pasal menyuarakan hasrat
ingin berkahwin dengan gadis yang pernah menjadi orang
ketiga antara Nurhana dan Izlan dahulu.
“Na balik sini sekejap saja atau nak tinggal kat sini
semula?” Hussin menyoal. Soalan itu sentiasa berlegar-legar
dalam kepala semenjak anaknya pulang ke tanah air.
Kebiasaannya Nurhana hanya pulang beberapa hari. Itu pun
jika ada perkara penting sahaja.
Masalah perkahwinan mengejut antara Nasrul
dengan Rania membuatkan anaknya itu terheret untuk
pulang. Jauh di sudut hati, dia berharap anak gadisnya itu
tidak akan kembali semula ke rumah adik bongsunya yang
berada nun di perantauan.
Nurhana diam sebaik mendengar soalan bapanya.
Dia tunduk, memandang sisa nasi di dalam pinggan.
“Papa tak suka Na duduk sini ke?” Ada sayu dalam
nada suaranya.
“Bukan itu maksud papa. Kalau boleh, papa harap Na
terus tinggal kat sini. Tak kesian ke dengan mama dan papa?
Rumah ni betul-betul sunyi bila Na takde. Kami dapat jumpa
Na pun hanya kalau ada perkara penting saja.”
“Na memang nak duduk kat sini. Tapi Na belum buat
apa-apa keputusan lagi,” tutur Nurhana. Sebenarnya dia tiada
sebarang alasan untuk terus tinggal.
Tidak semena-mena wajah Haznik terpapar di depan
mata. Terkejut, kepala Nurhana terus menggeleng laju. Lekas
dibuang wajah itu daripada terus terbayang dalam ingatan.
“Apa-apa pun keputusan yang Na buat, papa nak Na
beritahu pada papa. Boleh?” ujar Hussin, tidak memaksa.
Nurhana mengukir senyum. Seperti biasa, bapanya
menjadi orang paling memahami dalam keluarga.
“Baik pa,” balas Nurhana.
“Oh ya! Hampir papa terlupa. Bila Na nak ajak Nik
ke mari?”
Soalan Hussin membuatkan Nurhana hampir
tercekik. Lekas-lekas dia meneguk air. Terasa lega tekaknya.
“Macam-macam cerita papa dengar tentang dia
daripada mama kamu. Sampai papa pun rasa teringin benar
nak jumpa dia,” tambah Hussin.
“Papa, sebenarnya Nik tak lebih daripada kawan
biasa aje. Takkanlah Na nak ajak dia datang sini lagi? Nanti
apa pulak yang dia fikir.”
“Na pasti dia cuma kawan biasa? Bukan kawan
luar biasa?” duga Hussin lagi. Diamati lama wajah anak
perempuannya itu.
“Nik cuma kawan biasa aje. Mama memang sengaja
tokok tambah cerita. Padahal Na dengan Nik tak ada apa-apa
pun.”
“Bukannya takde apa-apa. Tapi belum ada apa-apa.”
Hussin membetulkan.
“Hesy papa ni...” Nurhana tarik muka. Sejak bila
pula papa jadi sekepala dengan mamanya?
NURHANA MELANGKAH keluar dari butik dengan
beberapa beg kertas di tangan. Puas hati dapat membeli
pakaian baru. Daripada duduk terperuk di rumah, dia lebih
suka menghabiskan masanya di pusat membeli-belah.
Sekurang-kurangnya masa berlalu lebih pantas. Sedar-sedar
saja sudah petang.
Langkahnya terhenti apabila terdengar bunyi dari
dalam tas tangan. Dikeluarkan telefon bimbit untuk membaca
WhatsApp yang baru diterima daripada ibunya.
Keluar dengan siapa?
Sorang-sorang aje, ma.
Nurhana menekan butang hantar. Dia lebih selesa
keluar sendirian tanpa ditemani kawan-kawan. Setelah dua
tahun di luar negara, dia terputus hubungan dengan ramai
orang. Hendak menghubungi semula, dia rasa segan. Manalah
tahu kalau-kalau mereka sibuk dengan keluarga sendiri.
Kenapa tak ajak mama?
Hendak tergelak dia apabila melihat ikon sedih
yang disertakan di hujung mesej ibunya. Pandai pula ibunya
menggunakan ikon sebegitu.
Mama kan takde kat rumah tadi.
Nurhana menekan butang hantar. Jika ibunya ada
tadi, pasti dia akan mengajak wanita itu menemaninya.
“Hana! Tak sangka boleh terserempak dengan awak
kat sini. Bila awak balik?”
Nurhana tersentak lantas terdongak. Dia seolah-olah
mengenali jejaka yang sedang berdiri di depannya itu.
Suaranya juga seakan sering didengar sebelum ini. Diteliti
wajah jejaka yang berjambang rapi itu.
“Takkan awak dah tak kenal saya lagi? Ini sayalah,
Izlan.”
Nurhana terperanjat sekali lagi. Anehnya, dia tidak
terasa seperti mahu marah kepada Izlan. Sejak dia pulang, dia
begitu risau apa yang akan terjadi apabila dia bertemu dengan
lelaki itu. Tetapi kini, dia tidak rasa apa-apa. Kosong. Kenapa?
“Bila awak balik?”
“Baru aje,” Nurhana menjawab pendek. Dia terasa
kekok apabila mata jejaka itu asyik melekat di wajahnya. Ada
apa-apa yang tak kena ke?
“Awak nampak makin cantik, Hana.” Izlan memuji.
“Thanks. Awak pulak nampak... lain.”
Izlan tertawa sebaik mendengar kata-kata Nurhana.
Namun Nurhana hanya tersenyum kelat.
“Mungkin sebab ini,” Izlan mengusap jambang halus
di wajahnya.
Nurhana mengangguk, mengiakan. Orang lain
mungkin nampak selekeh apabila berjambang. Tetapi berbeza
pula dengan Izlan. Penampilannya terjaga rapi.
“Awak buat apa kat sini? Shopping?”
“Ya, shopping,” jawab Nurhana, pendek.
“Banyak baju dan kasut yang awak beli? Dulu
setiap kali kita keluar, awak mesti akan beli banyak baju dan
kasut. Sampai tak cukup tanganlah,” Izlan tergelak ketika
mengenang kisah lama.
Nurhana tidak memberi respons. Dia tidak berminat
untuk meneruskan perbualan. Apatah lagi mengingatkan
kembali apa yang terjadi antara dia dengan Izlan dahulu.
“Awak dah lunch? Kalau awak belum makan, apa kata
saya belanja awak? Kita boleh makan kat restoran kegemaran
awak. Awak suka makan ketam bercili, kan?”
Nurhana teragak-agak. Seboleh-bolehnya dia mahu
mengelak daripada bertemu dengan Izlan. Kini jejaka itu
mahu mengajaknya makan pula. Untuk apa?
“Jomlah Hana. For old time sake,” tambah Izlan,
cuba memujuk apabila Nurhana kelihatan ragu-ragu.
‘For old time's sake?’ Telinga Nurhana panas. Selepas
apa yang berlaku, Izlan fikir mereka boleh duduk semeja dan
berborak seperti kawan lama? Boleh jalan! Tetapi atas alasan
apa yang perlu dia berikan untuk menolak pelawaan Izlan?
Matanya meliar ke kanan. Malas hendak melihat wajah Izlan.
Saat itulah pandangannya mendarat pada wajah seseorang.
Bagai tidak percaya dengan apa yang sedang dia lihat.
“Atau awak masih marah atas apa yang...”
“Nik!” Nurhana melaung nama lelaki yang berada
tidak jauh di depan mereka. Mujur jejaka itu terdengar dan
terus menoleh ke arahnya.
Kening Haznik berkerut, namun terus tersenyum
sebaik melihat lambaian tangan Nurhana. Dia bergerak,
mendekati gadis itu.
“Hana, awak...”
“Nik, awak pergi mana tadi? Awak tahu tak, dah
berapa lama saya tunggu awak?” Potong Nurhana, memaut
lengan Haznik. Dihantar isyarat dengan mata agar jejaka itu
membantunya. Dia harap kehadiran Haznik dapat menghalau
Izlan daripada terus mengganggu ketenteramannya.
Haznik tersenyum. Tertanya-tanya Nurhana
dibuatnya. Adakah jejaka itu faham dengan isyaratnya atau
langsung tidak mengerti apa-apa?
“Kenapa? Awak dah rindukan saya, ya? Saya pergi
ke kedai tu sekejap, beli hadiah ni untuk awak,” Haznik
menghulurkan kotak yang telah berbungkus cantik kepada
Nurhana.
Giliran Nurhana pula terkejut. Namun dia cuba
mengawal ekspresi wajah sebaik mungkin.
“Terima kasih,” ucap Nurhana. Teragak-agak dia
menyambutnya.
“Saya belikan awak jam tangan baru, sebab jam awak
dah lama. Memang patut digantikan dengan jam yang baru,”
ujar Haznik.
Wajah Izlan berubah kelat. Sejak tadi dia diam
memerhati. ‘Siapa lelaki ni? Kenapa Hana nampak terlebih
mesra pulak dengan lelaki ni?’
“Siapa dia ni, Hana?” Haznik terlebih dahulu
bertanya.
“Oh, terlupa pulak. Sayang, ni Izlan. Izlan, this is
Nik.” Nurhana memperkenalkan, ringkas.
Kedua-dua lelaki itu saling berjabat tangan. Namun
Nurhana dapat lihat senyuman Izlan seperti dipaksa-paksa.
“Kawan awak?” Izlan bertanya, didesak rasa ingin
tahu. Perkataan ‘sayang’ tadi sudah cukup buat dia makan
hati. Dia harap sangat Nurhana dengan lelaki itu hanya
berkawan.
“Taklah. Saya tunang Hana,” jawab Haznik,
mengundang dua pasang mata memanah tepat ke wajahnya.
Mata Nurhana dan Izlan.
“Tahniah,” ucap Izlan, kelat. Perasaannya begitu
payau. Gadis ini sudah bertunang? Begitu cepat dirinya
dilupakan. Patutlah Nurhana melayannya endah tidak endah
sahaja tadi.
“Bila majlisnya?” Izlan sekadar bertanya. Walhal dia
tidak ingin mendengar jawapan bagi soalannya itu.
“Tak lama lagi. Betul tak, sayang?” Haznik menjawab
penuh yakin.
Nurhana hanya tertawa mendengar soalan Haznik.
Ditampar lembut lengan jejaka itu. Dalam diam dia
menghantar ugutan. ‘Janganlah cakap yang bukan-bukan!’
“Nanti jemputlah datang,” tambah Haznik lagi,
membuat kepala Nurhana hampir meletup di situ.
“Mungkin saya sibuk waktu itu. Anyway, nice to meet
you.” Pandangan Izlan mendarat lama ke wajah Nurhana.
Namun dia akhirnya meminta diri sebelum berlalu pergi.
“SEJAK BILA saya jadi tunang awak?” tanya Nurhana apabila
dia pasti Izlan sudah pergi. Lelaki di depannya ini benar-benar
di luar jangkaan. Beri betis, hendak paha! “Dan ambil balik
barang awak ni!” Nurhana menyerahkan semula kotak yang
berbungkus cantik yang diberikan oleh Haznik tadi.
“Lepas awak dah pegang-pegang tangan saya dan
mempergunakan saya untuk lepaskan diri, awak nak marah
saya pulak? Begini cara awak balas budi saya? Langsung tak
nak ucapkan terima kasih. Macam mana kalau saya takde
tadi?” balas Haznik.
“Okey, saya minta maaf. Puas hati?”
“Ada ke patut awak minta maaf macam tu. Bunyinya
macam tak ikhlas aje,” cebik Haznik.
“Ikhlas atau tak, itu belakang punya cerita. Tapi
awak tak patut kata yang awak tu tunang saya. Macam mana
kalau Izlan tahu semua tu hanya rekaan semata-mata? Apa
awak nak buat kalau dia betul-betul percaya dan nak datang
ke majlis yang takkan wujud tu?”
“Apa susah? Kita kahwinlah betul-betul.”
‘Amboi... bukan main sedap mulut dia bercakap!’
Nurhana rasa hendak cubit-cubit sahaja mulut lelaki itu.
Tetapi jika bukan kerana Haznik, dia tidak tahu bagaimana
hendak mengelakkan diri daripada Izlan tadi. Nurhana tarik
nafas dalam-dalam. ‘Sabar, Hana. Sabar!’
“Macam inilah. Lebih baik kita lupakan saja apa yang
dah jadi tadi. Kata orang, barang yang lepas jangan dikenang.
Awak belum makan, kan? Apa kata saya belanja awak makan?”
ajak Haznik.
“Kenapa semua orang nak belanja saya makan hari
ni? Tadi Izlan. Sekarang awak pulak. Hari ni hari belanja
makan sedunia ke?”
Berdekah-dekah tawa Haznik sebaik mendengar
kata-kata Nurhana.
Besar kecil besar kecil mata Nurhana merenung
jejaka itu. Seronok betul mentertawakan dirinya.
“Kelakar betullah awak ni. Kalau awak tak nak saya
belanja, takpe. Saya tak kisah. Tapi memandangkan saya
dah tolong awak tadi, awak kena belanja saya makan. Saya
teringin nak makan sirloin steak hari ni.” Haznik meminta
tanpa segan.
“Saya? Belanja awak makan?” Nurhana menuding
jari ke atas dirinya sendiri. Biar betul?
“Yalah! Kenapa? Awak tak nak? Fine! Biar saya pergi
cari Izlan dan beritahu dia perkara yang sebenar sekarang
jugak.” Haznik terus buka langkah.
“Okey, saya belanja! Saya belanja!” Nurhana pantas
mencapai lengan Haznik, menghalang lelaki itu pergi.
“Tengok tu, awak pegang tangan saya lagi.”
Sepantas kilat Nurhana melepaskan tangan Haznik.
“Awak nak makan kat mana?” Nurhana segera
mengalih bicara. Rambutnya yang menghalang pandangan
diselak ke belakang telinga.
“Makan kat mulutlah.”
“Awak ni kan...”
“Tunggu sekejap!” pintas Haznik.
“Kenapa?” Nurhana tertanya-tanya apabila wajah
Haznik tiba-tiba berubah gelisah dan teraba-raba poket
seluarnya sendiri.
“Telefon saya. Tadi telefon tu ada dalam poket seluar
saya.”
“Kenapa? Telefon awak hilang ke?” soal Nurhana,
seakan dapat meneka apa yang telah terjadi.
“Boleh awak tolong call nombor saya?” pinta Haznik,
nampak hilang punca.
Dek kasihan, Nurhana terus mengeluarkan
telefonnya dan mendail nombor jejaka itu. Terdengar bunyi
deringan dari arah Haznik. Apabila dia mendongak, Nurhana
melihat senyuman sudah terukir di bibir jejaka itu.
“Punyalah susah nak dapatkan nombor awak.
Macam minta intan berlian,” rungut Haznik. Senyumannya
meleret-leret. Dia segera menyimpan nombor telefon yang
berjaya dia peroleh.
Nurhana sudah kehilangan kata-kata. Tidak terlintas
dalam kepalanya bahawa dia akan terperangkap dengan taktik
jejaka itu. Namun kali ini dia tidak terasa hendak marah
seperti biasa. Biarlah jejaka itu menyimpan nombornya.
Alamat rumahnya pun sudah diketahui oleh Haznik. Apalah
sangat yang ada dengan nombor telefon?
“Nama awak Hana sahaja ke?” Haznik bertanya.
Diangkat pandangan, bertembung dengan sepasang mata
bundar milik gadis itu. Terpukau seketika melihat keindahan
ciptaan Tuhan.
“Nurhana.”
“Nurhana,” Haznik mengulang, seolah-olah ingin
memahat nama itu dengan kukuh dalam ingatan.
Nurhana cuba untuk berlagak tenang walaupun
debar hatinya berentak laju saat jejaka itu menyeru nama
penuhnya. Apa yang tidak kena dengan hatinya agaknya?
“Jom kita pergi makan,” ajak Haznik.
“Okey.” Nurhana bersetuju tanpa berfikir panjang.
No comments:
Post a Comment