DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 12 October 2016

Mimpi Yang Sempurna - Bab 13

LAGI 10 minit hendak ke pukul 7 petang, aku,
Fatin dan Shila selamat tiba di tempat hari famili dijalankan
iaitu Bayu Beach Resort, Port Dickson. Memandangkan
pengangkutan tidak dapat disediakan pada saat-saat akhir,
aku dan Shila menumpang kereta Fatin yang bermurah hati
menawarkan diri untuk jadi pemandu.
Di bahagian reception, kami terserempak dengan
dua orang lelaki yang sedang memegang gitar dan seruling.
“Hai!” Lelaki yang memegang seruling menegur.
“Geng-geng Kak Gee, ya? Kami ni koordinator untuk family
day. Me, Jad. Dia, Zaki.” Jad menyiku lelaki gitar yang sedari
tadi hanya senyap tanpa kata.
Penilaian pertama aku, Jad ini extrovert manakala
Zaki pula introvert kerana sepanjang kami berada di kaunter
tersebut, hanya Jad yang bersuara sedangkan Zaki terus
membisu dan hanya sesekali tersenyum.
Selesai urusan check-in, kami masuk ke bilik
masing-masing yang menempatkan dua orang di dalam
setiap bilik. Aku sebilik dengan Kak Gee, Fatin dengan Puan
Dian manakala Shila mendapat Puan Mahani sebagai teman
sebilik.
Sambil berbaring meluruskan pinggang, aku
pandang Kak Gee yang baru keluar dari bilik air.
“Malam ni aktiviti apa, kak?”
“Coordinator cakap, Lite n Easy, buat aktiviti
sendiri.”
Aku bangkit daripada perbaringan. “Baiknya
coordinator?”
“Sebab diaorang kata, esok punya aktiviti penat.”
“Aktiviti apa?”
“Entah.”
“Mana akak jumpa koordinator ni?”
“Company husband akak pernah guna khidmat
diaorang. Katanya best. Tu yang akak nak try tu.”
Kak Gee bentang sejadah untuk menunaikan solat
maghrib dan aku kembali senyap. Aku keluarkan telekung
dari dalam beg kemudian melangkah ke bilik air untuk
membersihkan diri.
Tepat pukul 8 malam, aku dan Kak Gee keluar dari
bilik untuk dinner. Sempat kami mengetuk bilik jiran-jiran
kami, untuk sama-sama beriringan ke kafe tempat makan
malam disediakan.
Tiba di kafe, aku terkedu untuk beberapa saat. Encik
Haiman sedang duduk makan di sebuah meja bersama Encik
Marzuki, Mr. Kevin, Encik Ilham, Encik Fattah dan Encik
Saad. Sungguh tak sangka sebab tengah hari tadi bila aku
tanya dia jadi join ke tidak, dia jawab, “In your dreams...”
“Kak Gee, Encik Haiman datang?” Aku toleh cari
muka Kak Gee.
“Datanglah. Tu kan dia?”
“Tapi siang tadi dia cakap tak.”
“Saja dia mengusik awak tu. Dia datang sekali
dengan Encik Marzuki. Encik Marzuki tumpang kereta dia.”
“Oh...” Pinggan yang tersusun elok aku capai sebiji
lalu nasi aku letak ke dalam pinggan.
“Thanks, Wardah. Memang pecah rekod sebab awak
dapat pujuk dia join family day. Sebelum ni mana pernah...”
Sambil mengambil lauk di atas deretan bufet, Kak Gee terus
berbual.
Aku garu pipi yang terasa gatal. Macam over-rated
pula usahaku memujuk si sewel.
“Senyap aje tetiba kenapa?” tegur Kak Gee.
“Saya ni bukan bagus sangat, Kak Gee. Kebetulan aje
tu hati dia terbuka untuk join. Bukan sebab saya. Kalau Kak
Gee ingat, kan dia mengamuk baling barang masa saya ajak
dia join tu?”
Kak Gee ketawa. “Awak tahu tak Haiman cakap
apa kat big boss? Dia join family day kali ni sebab awak
nangis-nangis dalam bilik dia, merayu dia suruh pergi.”
“Hah?!”
Mataku mencari Encik Haiman tapi meja yang
didudukinya tadi telah kosong. Tidak nampak kelibatnya di
mana-mana.
Perasaan geram meluap-luap. Aku nangis-nangis
dalam bilik kau, ya? Siap kau lepas ni!
“OKEY, seorang ambil satu kain berwarna dalam kotak ni.
Ambil tanpa tengok.”
Jad, koordinator yang kami jumpa sewaktu check-in
malam tadi menghulurkan kotak. Seorang demi seorang
memanjangkan tangan ke dalam kotak dan mengeluarkan
kain yang tercapai dek tangan. Sampai giliranku, dalam debar
aku menarik sehelai kain. Warna kuning, tertulis nombor 2.
“Okey, semua dah dapat kain masing-masing, kan?
Kita akan bermain dalam pecahan 10 kumpulan dengan
lima orang setiap kumpulan. Siapa ahli kumpulan kamu?
Tengok orang yang sama warna kainnya dengan kamu. Sila
berkumpul ikut kumpulan masing-masing sekarang,” arah
Encik Wahed, ketua koordinator yang menyusun segala
aktiviti hari famili kami di PD ini.
Di dalam lautan orang seramai 50 orang,
masing-masing sibuk bergerak. Ternyata aku satu kumpulan
dengan Fatin, Ben, Encik Ilham dan orang terakhir... Darahku
terasa berhenti mengalir saat melihat Encik Haiman menuju
ke arah kami dengan kain berwarna kuning di tangannya.
Huwaaa, tak ada orang lain ke?
“Dengar semua!” Suara Encik Wahed lantang
kedengaran.
“Kita akan bermain game yang dinamakan Run for
Your Life. Kain yang kamu dapat tu, lekatkan pada belakang
baju masing-masing, pastikan ia boleh dilihat oleh orang
lain, jangan sorokkan! Cara bermain, setiap orang perlu
pertahankan tag kain yang telah dilekat pada belakang baju
dan dalam masa yang sama, perlu menanggalkan seberapa
banyak yang boleh tag kain pada pasukan lain. Kamu diberi
masa selama dua jam untuk misi ini. Pemenang dikira
berdasarkan jumlah markah yang dikutip. Hadiah? Juara
RM2000, naib juara RM1500 dan tempat ketiga RM1000.
Cara pengiraan markah adalah berdasarkan nombor pada tag
kain tersebut didarabkan dengan 10. Contohnya, kita ambil
kumpulan merah. Ada nombor 1, 2 ,3, 4 dan 5. Kumpulan lain
yang dapat tanggalkan tag kumpulan merah yang nombor
1 akan dapat 10 markah, nombor 2 dapat 20 markah dan
seterusnya. Tetapi! Sekiranya sehingga masa tamat kamu
dapat pertahankan tag kain di baju kamu, markah yang kamu
dapat adalah sekali ganda untuk tag kain tersebut. Contoh,
tag kain kamu nombor 4. Kalau sampai masa tamat tag
kamu masih melekat pada baju kamu, kamu dapat 4x10x2,
bermaksud 80 markah. Jelas?”
“Jelas!”
“Bagus! Jadi pandai-pandailah kamu menyusun
strategi. Mungkin tag nombor 5 lekatkan pada orang yang
paling kuat dan lincah supaya kumpulan lain susah nak
tangkap. Mungkin jugak yang paling lincah letak tag
nombor satu sebab dia jadi orang utama untuk menyerang
dan menanggalkan tag kumpulan lain, risiko tinggi di situ.
Ataupun kamu nak buat joint venture dengan kumpulan lain
untuk tumbangkan kumpulan tertentu, boleh juga. Suka
hati! Kamu ada 10 minit untuk berbincang dan menyusun
strategi masing-masing. Yang penting, kata kunci untuk
menang, run for your life!”
Jantungku rentaknya rasa dah berterabur. Part
lari-lari yang aku lemah dan malas. Setakat lari-lari anak
selamatkan kain di ampaian daripada hujan selalulah aku
buat.
“Come, we have to plan,” ajak Encik Ilham.
“Saya rasa, tag nombor 5 lekat pada Encik Haiman,”
cadang Fatin laju.
“Kenapa saya?”
Fatin dah sengih sumbing. “Err... err... sebab
rasa-rasanya orang lain takkan berani nak serang Encik
Haiman kut.”
Aku kulum senyum, terlebih faham maksud ayat
Fatin. Bila mataku bersabung pandang dengan Encik Ilham,
aku tahu dia juga sedang berusaha sembunyi senyum.
“Betul kut bos, kalau ada yang berani serang bos
pun, Encik Marzuki aje.” Aku bagi pernyataan sokongan
dengan tayang muka serius. Ada yang kena tumbuk kalau aku
bermurah hati nak sedekah senyuman masa-masa macam ni.
Tag kain yang tertulis nombor 5 itu kemudiannya
diserahkan kepadaku. “Lekatkan.”
Menggigil sedikit badanku tatkala jari-jariku
tersentuh t-shirt berwarna putih yang dipakai Encik Haiman.
Fatin yang perasan dengan keadaan tersebut mula ingin
menghambur tawa tapi cepat-cepat aku sepak lembut kakinya
memberikan amaran, tanpa disedari ahli kumpulan yang lain.
“Our next strategy?” Ben pula bersuara.
“Siapa paling lemah berlari?”
“Me,” sahutku. Baik mengaku awal-awal.
“Fatin?” soal Encik Ilham lagi.
“Saya wakil negeri lari 200 meter, Encik Ilham.”
Aku pandang muka Fatin yang relaks. Tak sangka dia
ni pelari pecut. Wakil negeri lagi.
“Ben, I tahu you memang terror berlari, kan?”
“Untuk jarak jauh, Encik Ilham. Not pelari pecut.”
“Okey, macam ni. Cadangan I, Wardah, since you
cakap you paling lemah berlari, you berperanan sebagai
umpan kepada kumpulan lain. Bila kumpulan lain datang
kejar you, Fatin dan Ben akan serang curi dari belakang
mereka untuk tarik tag kain, faham?”
“Okey.” Aku mengangguk, pasrah diri dijadikan
umpan. “Then Encik Ilham dan Encik Haiman?”
“Haiman akan jalan sekali dengan you sebagai
umpan. I akan protect Haiman macam Ben dengan Fatin
protect you.”
Masing-masing senyap berfikir.
“Okey? Boleh? Ke ada cadangan lain? Haiman?”
Encik Haiman membuka mulutnya...
“HAI, Encik Marzuki!” Aku lontar senyuman manis. Tak
sangka, kumpulan big boss yang kami bertembung dulu
setelah setengah jam berjaya menyembunyikan diri daripada
kumpulan lain.
“Sorang aje, Wardah? Mana team kamu yang lain?
Kalau berani, keluarlah.” Encik Marzuki kelihatan relaks.
Di belakangnya ada Puan Nuraina, Adilla daripada bahagian
Treasury, Miss Yen dan Encik Daud Iskandar.
“Saya sorang aje ni, Encik Marzuki. Kena tinggal
dengan teammate saya yang lain sebab saya tak kuat lari.”
Aku buat-buat muka kesian.
“Tak payah nak kelentonglah, Wardah. I dapat rasa
kelibat Haiman kat sini. Aura garang dia tu terasa...”
Aku dah gelak. Tengok, big boss pun cakap bos aku
tu garang.
Jarakku sekarang dengan Encik Marzuki dan ahli
kumpulannya tinggal kurang dua meter sahaja.
“Haiman, keluar!” seru Encik Marzuki lagi.
Dalam beberapa saat, Encik Haiman, Encik Ilham
dan Ben muncul dari tempat persembunyian mereka.
Hanya Fatin yang tidak ada namun aku pasti Fatin sedang
memerhatikan kami.
“Satu lawan satu, bos!” Encik Ilham mencabar.
“Lawanlah! Tapi siapa ambil tag I, I tak bagi bonus
tahun ni,” balas Encik Marzuki selamba.
“Tu main kotor, bos!” Encik Ilham nampak bengang.
Bonus tu! Siapa tak nak...
“I don’t care.” Encik Haiman melangkah ke depan.
“Let’s fight. The best team wins...” ucapnya berani, seolah-olah
mencabar Encik Marzuki.
Encik Marzuki menoleh ke belakang, melihat ahli
kumpulannya. Ketika inilah aku perasan tag di baju Encik
Marzuki bernombor 1. Cepat-cepat aku dekati Encik Haiman.
“Bos, Encik Marzuki nombor 1 aje. Bos yang kena
jaga-jaga sebab bos nombor 5.” Aku bisik kepadanya sebelum
berundur semula ke belakang.
Tepat-tepat aku kembali berdiri di tempat asal, Encik
Marzuki berdiri semula menghadap kami. “Okey, kita fight.”
Usai sahaja dia berkata-kata, masing-masing mula
menyerang. Aku dan Ben berdiri di belakang Encik Haiman
mengepungnya sambil cuba menarik tag di belakang baju
orang-orang yang menyerang kami. Sempat aku kerling
Encik Ilham, dia tengah bergelut dengan Puan Nuraina.
Tiba-tiba...
“Yes, dapat!” Fatin muncul entah dari mana. “Mission
accomplished. Run! Lari!” jeritnya.
Apa lagi, kelam-kabut kami lari. Ben menarik Encik
Haiman manakala aku ditarik oleh Fatin. Macam hendak
putus nafasku dibuat dek Fatin tapi aku tetap tidak dibenarkan
berhenti berlari.
“Jangan stop! Diaorang still tengah kejar!” Hanya itu
yang diarah Fatin berulang-ulang.
Setelah yakin keadaan selamat, baru kami berhenti.
Masing-masing tayang wajah semput dengan nafas yang
termengah-mengah.
“What did you get, Fatin?” Ben menyoal.
Fatin menyeluk saku seluar trek yang dipakainya.
Dua helai tag kain dikeluarkan, berlabel nombor 3 dan 5.
“Wow! Cayalah, Fatin!” Sungguh aku teruja melihat
tag kumpulan Encik Marzuki yang berjaya dirampasnya.
“Leka sangat diaorang melawan kau orang, aku pun
ambil kesempatan la. Tapi pandai diaorang susun, nombor
5 lekat pada Miss Yen yang muka tak ada perasaan tu, siapa
expect? Nombor 3 ni pulak Adilla punya. Aku tarik serentak
tadi dua-dua tag ni masa masing-masing tengah sibuk.” Ada
tawa Fatin di hujung ayat.
“Kenapa tak ambil tag nombor 4 sekali?”
“Encik Daud tu, malas nak bergelut dengan si
kasanova..”
“Eh, kejap. Where is Encik Ilham?”
Pertanyaan Ben menyedarkan kami yang Encik
Ilham tidak ada. Aku pandang Encik Haiman, dia nampak
selamba.
“Bos, Encik Ilham mana?”
“Dah kena makan.”
“Hah?”
Serentak itu, kelihatan kelibat Encik Ilham sedang
berlari ke arah kami.
“Warghhh, penat!” Encik Ilham dah terbaring di atas
pasir.
“Macam mana Encik Ilham boleh tercicir ni?”
Encik Ilham mengenyitkan matanya kepada Fatin
yang menyoal. “I dating dengan Puan Nuraina. Suka sangat
dia dekat I sampai dia langsung tak nak lepaskan...”
Semua pakat-pakat gelak kecuali Encik Haiman.
“And one bad news...”
“Apa?”
“Tag nombor 1 saya dah dirampas dengan kejam
oleh Encik Daud Iskandar.”
“Run!” kata Ben.
“Nak lari macam mana, I kena kepung kiri kanan.”
“Run! Run! We have to run!”
“I kena kepung habis, Ben...”
“Bukan tu, Encik Ilham. Kita sekarang ni kena lari.
Tu... ada dua team tengah berkejar ke sini.”
Mata kami menghala ke arah yang ditunjuk Ben.
Benar. Dua kumpulan sedang berlari ke arah kami. Laju.
“Run for your life!” Fatin dah menjerit. Tanpa
menyarung kasut, tubuhku diheretnya sekali dengan kasut
sukannya dijinjing tangan kiri.
Encik Ilham pula, kelam-kabut bangkit dari
hamparan pasir dan buka langkah seribu bersama Encik
Haiman dan Ben.
Dalam berlari untuk menyelamatkan diri, entah
macam mana kaki Fatin terpijak ranting berduri.
“Ya Allah, Fatin!” Aku jadi panik bila kaki Fatin
berdarah.
“Ilham, you dan Ben protect us, try halang dan
lambat-lambatkan dua team tu. I nak bawa Fatin ke tempat
selamat dan Wardah akan papah Fatin.”
Dengan hati-hati, aku paut tubuh Fatin yang
langsing. “Kita nak ke mana ni, bos?”
“Cari koordinator, minta first aid kit.”
Aku pandang keliling. Tak nampak bayang Jad, Zaki,
Encik Wahed mahupun koordinator yang lain.
“I can’t see anyone,” kataku.
“Jalan dulu. I’m trying to reach Encik Wahed now.”
Dia melekapkan telefon bimbitnya ke telinga.
Aku dan Fatin melangkah setapak demi setapak.
Darah masih mengalir dari tapak kaki Fatin, menyebabkan
aku yang takut melihat darah, mula terasa mual.
“Kita berhenti sini,” arah Encik Haiman ketika kami
tiba di satu kawasan yang dipenuhi dengan batu-batu besar.
Berselindung di sebalik batu besar, aku dudukkan
Fatin di atas batu kecil. Fatin mula merasa sakit sebab
dahinya berkerut.
“Fatin, saya perlu cabut ranting yang menusuk kaki
kamu ni. Tahan, okey?”
Fatin mengangguk tanpa suara dan aku terus
memejamkan mata kerana tidak sanggup hendak melihat.
“Aarghhh!!”
Aku buka mata dan tengok ranting telah dicabut
dari kaki Fatin. Encik Haiman sekarang ini sedang membelek
tapak kaki Fatin, mungkin memeriksa kalau-kalau ada
saki-baki ranting yang masih tertusuk.
“Thanks, Encik Haiman,” ucap Fatin selepas kakinya
dilepaskan.
“Welcome. Sekejap lagi Encik Wahed datang bawak
first aid kit sebelum hantar kamu ke klinik. For the time
being, sit here. Saya nak tunggu Encik Wahed,” jelasnya
sebelum berlalu.
Aku mengambil peluang untuk melepaskan lelah
dengan menyandarkan badanku di tebing batu dan kaki
melunjur di atas tanah. Fatin juga turut bersandar, dengan
mata yang terpejam.
“Fatin, sakit sangat ke?” Aku menyoalnya perlahan.
“Ngilu, beb.”
Encik Haiman muncul semula. “Saya nak pergi
depan sana, sebab Encik Wahed tak tahu lokasi kita ni.”
“Habis, kami nak buat apa ni?” soalku.
“Rehatlah sementara ni.”
“Kami gerak sekali, tak boleh?” cadangku.
“Rehat! Tengok-tengokkan Fatin ni.”
“Okey-okey.”
“Good.” Encik Haiman melangkah menjauhi kami.
Sepuluh minit kemudian, Encik Wahed tiba. Selesai
memberi pertolongan cemas, Fatin dibawa ke klinik menaiki
sebuah van.
“Settled. Masa untuk sambung lari balik. Ben and
Ilham need us,” katanya seraya membuka langkah.
“Bos?” seruku.
“Apa masalahnya lagi?” soalnya tanpa menoleh.
“Don’t let people and situation change the loving
and caring person you are, could you?”
I saw it just now... and I liked it, sambungku dalam
hati.

No comments:

Post a Comment