PULAU Pangkor! Ya, gara-gara misi mamanya,
dia tercampak di sini. Otaknya sudah tidak mampu untuk
berfungsi lagi. Perjalanan memandu tanpa henti selama 3
jam membuatkan dia berasa penat sedikit. Dalam otaknya
hanya memikirkan hotel.
“Ya Allah, apa masalahnya ni? Semua hotel yang
aku pergi, semuanya full.” Dia merengus. Sudahlah penat,
panas pula tu! Di jeti tadi, terdapat banyak van pink yang
menunggu, namun dia malas mahu bersesak. Jadi dia
mengambil keputusan yang sangat disesalinya!
Dalam sibuk membebel, matanya menangkap sebuah
papan tanda mengarah ke sebuah resort. Hatinya bersorak
kegembiraan. ‘Yeah, syabas Haziq!’
“Ada bilik kosong tak?” Haziq bertanya kepada
pekerja yang bertugas di kaunter sebaik sahaja dia tiba.
Matanya memandang ke arah tag nama pekerja itu. ‘
“Ya, ada encik. Tinggal satu aje lagi. Rezeki encik.”
Pekerja yang bernama Lina itu tersenyum. Kemudian dia
menguruskan pendaftaran masuk sebelum menyerahkan
kunci bilik.
“Thank you.” Haziq mencapai kunci biliknya. Segera
bagasinya ditarik.
Sampai saja di bilik, dia terus mencapai alat kawalan
pendingin hawa. Huh, bestnya! Dia terus mencampakkan
dirinya ke atas katil. Tidak sampai beberapa minit, matanya
sudah terlelap.
Tersedar daripada lena, Haziq segera bingkas bangun
apabila menyedari dia sudah tertinggal solat zuhur, habis
terlanggar kerusi di tepi katil itu.
“Aduh! Kenapa kau duduk sini? Semak aje!”
Haziq memaki kerusi itu. Dia menolak kerusi itu. Tak
semena-mena kerusi itu dimarahinya. Dia segera menunaikan
tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim.
“Bosanlah pula. Apa nak buat ni?” Haziq mengeluh.
Tiba-tiba dia terfikirkan sesuatu. Dia mula tersengih-sengih
seorang diri.
Haziq membuka pintu biliknya sedikit. Hanya
kepalanya yang dijulurkan. Matanya mencari pekerja resort.
Dia terpandang seorang perempuan sedang menolak troli
yang penuh dengan cadar.
Gotcha!
“Cik! Sini kejap.” Haziq memanggil perempuan itu.
Dia terus menghilangkan diri ke dalam biliknya semula.
Tidak lama kemudian, perempuan yang tadi berdiri
di luar sudah masuk ke dalam bilik Haziq.
“Saya nak cik bersihkan bilik ni. Saya rasa bilik ni
terlampau berhabuk. Macam manalah korang buat kerja ni?
Tak bersih langsung!” Haziq mula mengeluarkan kata-kata
palsunya itu. Padahal, dia sudah tidur punyalah nyenyak atas
katil itu.
“Maafkan kami, encik.”
“Maaf, maaf! Ini soal keselesaan pelanggan, faham?
Oh ya, disebabkan ini ada sangkut paut dengan aduan
pelanggan, awak call manager resort ni. Sekarang juga!”
Haziq semakin giat ‘menggoreng’ pekerja itu.
“Baik, encik.” Pekerja yang bernama Hani itu
mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia segera mendail nombor
pejabat.
“Selamat petang, cik. Ada pelanggan di bilik 333 nak
jumpa cik. Baiklah, cik,” Hani memadamkan talian.
“Encik, Cik Ayla kata dia akan sampai sekejap lagi.
Harap encik boleh tunggu.” Hani berkata dengan berhati-hati
supaya dia tidak tersalah cakap. Takut tersalah cakap, lain
pula yang jadi nanti. Buat naya aje.
‘Muka aje handsome tapi bila buka mulut, ya Allah,
ayat tak boleh blah. Cakap langsung tak bertapis,’ hati
Hani mendongkol geram dengan pelanggan yang berjaya
menyakitkan hatinya hari ini. Mujur pelanggannya itu
memandang ke arah pantai.
Haziq sebenarnya sedar akan keadaan Hani yang
memendam rasa di belakangnya. Perutnya terasa mahu pecah
melihat muka Hani yang masam. Manis lagi cuka agaknya.
Dia terus menunggu sambil memandang ke arah pantai.
Tidak lama kemudian, Haziq terdengar pintu
biliknya dikuak. Dia hanya membiarkan Hani berbicara
terlebih dahulu dengan pengurus itu. Dia dengar pengurus
itu menyuruh Hani pergi menyambung kerja. ‘Ni lagi best,
tinggal aku dengan dia aje. Senang sikit nak buli.’
“Maafkan saya, encik. Tapi saya tak nampak apa-apa
kekurangan dalam bilik ni selain katil yang bersepah dengan
barang-barang encik.” Ayla cuba berlembut. Dia kurang
senang dengan lelaki itu. Boleh pula lelaki itu buat endah tak
endah saja dengan kehadirannya.
Haziq memalingkan tubuhnya menghadap pengurus
yang bernama Ayla itu. ‘Eh, eh, sempat pula nak sindir-sindir
aku. Tak boleh jadi ni.’
“Saya rasa awak kena belajar macam mana nak lebih
hormat pelanggan! Awak tak pergi kursus ke sebelum jadi
manager? A customer is always right!”
Ayla tergamam melihat jasad di hadapannya. Tak
mungkin di hadapannya ini seseorang yang dia kenal 8
tahun dahulu. Biar betul? Ayla terasa dunia di sekelilingnya
berputar-putar. Kepalanya berat. Dia menahan diri pada
dinding.
“Kau ni kenapa?” tanya Haziq cuak. Dia memandang
muka Ayla yang pucat. Sedang dia tertanya-tanya, Ayla sudah
rebah menyembah bumi.
‘Alamak, apasal pula ni? Pengsan ke?’ Haziq berlari
keluar dari biliknya dengan harapan ada sesiapa yang boleh
membantu, namun tiada siapa di situ. Dia masuk kembali ke
dalam bilik.
Haziq tunduk untuk mengangkat perempuan di
hadapannya itu. Matanya merenung wajah Ayla.
“Cantiknya perempuan ni. Lagi cantik daripada
Farah. Comel pula tu.” Tiba-tiba mulutnya berkata-kata.
Astaghfirullah... apa ni? Sempat pula dia buat
maksiat. Dia mencempung tubuh Ayla ke katil, kemudian
mendapatkan segayung air. Belum sempat dia merenjis air ke
wajah itu, telefon gadis di hadapannya itu berbunyi.
‘Apa nak buat ni? Telefon dia dalam poket. Kalau
poket baju kurung boleh lagi, ini poket seluar. Karang kata
aku meraba pula. Ah, angkat ajelah, mana tahu pekerja dia,
boleh juga tolong,’ hati Haziq membuat keputusan. Dia segera
mengeluarkan telefon gadis itu lalu butang hijau ditekan.
“Ayla, aku dah sampai. Dalam pejabat kau. Kau kat
mana? Dah lama aku tunggu.” Belum sempat Haziq membuka
mulut, orang di hujung talian sudah menyerang dulu.
“Cik ni kawan dia ke? Boleh tak cik datang bilik
nombor 333 sekarang. Dia pengsan di bilik saya ni.”
Talian terputus begitu sahaja. Haziq mencapai
kembali gayung tadi. Dia membasahkan tangannya sebelum
merenjis ke muka Ayla. Tidak lama kemudian, Ayla tersedar.
Ayla memandang lelaki di hadapannya itu. Air
matanya yang pada mulanya mengalir perlahan bertukar
deras. Dia tidak sangka, lelaki itu muncul di hadapannya
semula.
“Kenapa kau nangis? Aku tak buat apa-apa pun dekat
kau. Oh ya, tadi kawan kau telefon, dia datang sini kejap
lagi.” Haziq memandang pelik gadis di hadapannya itu. Tadi
pengsan, sekarang menangis pula.
Haziq segera membuka pintu apabila pintu diketuk
bagai nak runtuh. Tak sempat dia ke tepi, seorang perempuan
menolaknya ke tepi. Dia hanya memandang perempuan
yang baru masuk itu meluru ke arah Ayla. Mereka saling
berpelukan. Mesti kawan rapat.
Setelah cuba menenangkan sahabatnya, Aznira Qila
menoleh ke arah lelaki yang ditolaknya tadi. Dia kenal lelaki
itu. Lelaki yang selalu membeli buku di kedainya.
“Eh, Haziq kan? Baru aku perasan. Maaf, aku tertolak
tadi.” Aznira malu sendiri.
“Kau, Aznira? Oh, tak apa. Kau mesti rapat dengan
dia, kan? Padanlah kalut semacam. Kuat juga kau tolak aku
ya?”
Aznira tersipu-sipu malu sendiri.
“Janganlah cakap macam tu. Oh ya, boleh tak kita
cakap sekejap?” Aznira memandang Haziq yang mengangguk
kecil. Dia memandang sekilas Ayla yang masih tidak surut
tangisnya.
“KENAPA KAWAN kau tu pengsan? Tiba-tiba aje. Dia tengok
aje muka aku, muka dia macam terkejut sangat. Muka aku ni
tak handsome atau terlebih handsome?” Haziq memulakan
bicara.
Kata-kata Haziq disambut dengan ledakan tawa
Aznira.
“Itulah yang aku nak jelaskan. Sebenarnya, dulu
waktu Ayla sekolah menengah, dia ada kawan rapat. Muka dia
sebiji macam kau, tapi sekarang ni dia dah pergi. Sebab tu
dia terperanjat sangat tengok kau. Ingat tak, dulu pun aku
terperanjat sangat tengok kau?”
“Ingat. Kau pun longgar lutut tengok aku masa
tu. Hurm, kawan rapat ke boyfriend?” Cepat-capat Haziq
mengemam bibir. Terlepas kata pula. Terasa menyesal sangat.
Apa hallah pula dia boleh bertanya begitu.
Aznira pelik, namun dibiarkan sahaja soalan itu
tanpa berjawab.
“Aznira, kau kata yang serupa dengan aku tu dah
pergi? Dia pergi mana?” tanya Haziq. Sekadar berbasa-basi.
“Aku pun tak pasti, tapi kisah mereka tu memang
agak tragik sikit. Maklumlah, orang bila dah terlampau
mementingkan darjat, apa pun sanggup buat,” keluh Aznira.
Apabila dia memikirkan kembali nasib Ayla, sungguh dia
kasihan. Namun apakan daya, dia turut menjalani kisah yang
hampir sama dengan temannya itu.
“So, ni kisah traumalah ya?” Ada tawa di hujung
bicara Haziq. Kelakar juga apabila memikirkan ada yang
sanggup merana kerana percintaan. Mungkin kerana dia
belum pernah merasai perasaan sebegitu, dia masih mampu
ketawa apabila memikirkan soal itu.
“Lebih kuranglah,” jawab Aznira.
“Eh, kau buat apa dekat sini? Bercuti ke?”
“Taklah, saja. Aku memang setiap bulan akan datang
sini. Kampung dekat sini, tapi mak dengan ayah aku dah tak
ada. Datang sekadar jumpa Ayla ajelah.” Dia dan Ayla rapat
sejak kecil lagi. Mereka pernah tinggal berjiran dahulu. Jadi
tidak hairanlah dia sanggup berulang-alik dari Kuala Lumpur
ke Perak. Mahu melepaskan rindu dan bertukar cerita.
“Oh, bila balik KL?” Haziq menyoal mahu tahu.
Sebenarnya dia ingin meminta bantuan Aznira untuk
mencari anak kawan mamanya itu. Manalah tahu, Aznira
ingin membantu. Walaupun dia tahu Aznira jelik dengan
perangainya, tapi dia pasti gadis itu pasti mahu membantunya.
“Kejap lagi. Sebab malam nanti ada pembekal nak
hantar buku. Takkan aku nak harapkan Maria aje. Kesian
pula.” Aznira merujuk pada adiknya, merangkap pembantu di
kedai bukunya, A & A Book Store.
“Betul juga tu. Jomlah masuk bilik. Tengok
kawan kau tu.” Haziq hampa mendengar kata-kata Aznira.
Lambat-lambat dia mengatur langkah. Siapa pula yang nak
tolong dia? Aduh, kusut betullah!
Aznira mengayun langkahnya menghala ke bilik
Haziq. Masuk sahaja bilik Haziq, dia melihat Ayla baru keluar
dari bilik air dengan wajah yang basah.
“Aznira, dia tu siapa?” Ayla akhirnya mengeluarkan
suara.
“Dia tu Haziq Asyraf. Pelanggan tetap kedai aku.
Mesti kau ingat dia tu Alif, kan? Bukanlah. Dulu pun, aku
terkejut juga masa dia mula-mula datang dekat kedai aku.”
Aznira menerangkan kepada Ayla. Dia kasihan melihat
temannya itu yang masih mengharapkan kedatangan Alif ke
dalam hidupnya.
“Kau dah okey ke?” Haziq yang tiba-tiba muncul
membuka mulut.
“Oh, dah okey. Aku balik dulu, Aznira. Nanti nenek
risau pula.”
Ayla cuba mengelak daripada memandang wajah
Haziq. Dia takut dia tidak dapat menahan perasaan. Dia
berlalu keluar dengan kepala yang menunduk. Aznira turut
mengekori langkah sahabatnya setelah berbicara dengan
Haziq sebentar.
Setelah kedua-duanya berlalu, Haziq berbaring di
atas katil. Dia cuba mengingat kembali wajah gadis yang
pengsan tadi. Hatinya kuat mengatakan bahawa dia pernah
melihat gadis itu. Tetapi di mana? Dia benar-benar pasti,
namun dia segera memadamkan ingatannya. Malas mahu
berfikir!
No comments:
Post a Comment