DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 8 March 2018

Polaroid - Bab 7

ZAFRIL menyingsing lengan baju kemeja
miliknya. Dia menjengah ke ruang dapur. Yakin yang
emaknya ada di situ.
“Assalamualaikum mak.”
“Waalaikumussalam. Zaf ni... kan bagus kalau bagi
salam masa nak masuk rumah. Buat mak terperanjat je. Awal
pulak balik hari ni.”
Zafril sengih manja. Dia melabuhkan duduk ke atas
kerusi di dapur. Menongkat dagu dengan tangan. Memandang
emaknya dengan penuh kasih sayang. Dia tahu yang emaknya
terperanjat. Sebab tu senyumannya tak nak hilang.
Puan Syarifah menggeleng. Tahu perangai
mengada-ada anak lelakinya.
“Mak tanya, awal pulak balik hari ni.”
“Eh mak tanya ya? Tadi tu bukan ayat pernyataan ke?
Bukannya soalan.”
“Yalah. Mentang-mentanglah dia pensyarah. Semua
salah kita dia detect.”
Zafril gelak. “Saja Zaf balik awal. Tadi tak ada kerja
sangat. Boleh lama sikit. Tak adalah rushing sangat.”
“Yalah.”
Puan Syarifah sangat suka dengan sikap anak
lelakinya. Sesibuk mana pun, dia tetap akan balik makan
tengah hari di rumah. Itu sudah menjadi rutin sejak mereka
berpindah ke Sabah. Lagipun jarak rumah dengan universiti
tak adalah jauh sangat. Hanya dalam lima kilometer. Sangat
sempat untuk Zafril ulang-alik ke rumah dan universiti.
“Mak masak apa hari ni?”
“Ikan kembung air asam dengan ayam goreng je.”
“Apa yang jenya? Dah cukup menyelerakan tu.
Dengar pun rasa nak makan sekarang.”
“Jomlah. Dah boleh makan pun. Dah siap dah.”
“Laaa, kenapa tak beritahu Zaf awal-awal?” Sengaja
Zafril memprovoke. Setelah itu dengan senang hati dia
menerima jelingan daripada emaknya.
“Mak, duduk sini. Biar Zaf yang ambilkan nasi.”
Puan Syarifah menurut. Malas nak bertekak dengan
Zafril. Memang anak lelakinya itu sangat ringan tulang
membantu dirinya. Apa pun situasi, anaknya itu tidak pernah
membiarkan dirinya susah. Itu yang membuatkan dia terlalu
sayang kepada Zafril. Sanggup meninggalkan rumah mereka
di Johor semata-mata mahu mengikut Zafril ke Sabah. Dia
mahu anaknya itu sentiasa ada di depan matanya.
Sementara anaknya masih bujang, dia mahu makan
pakai lelaki itu terjaga. Lainlah kalau sudah beristeri. Pasti
kelengkapan itu beralih pula kepada wanita yang menjadi
isterinya. Setiap malam dia sentiasa mendoakan supaya Zafril
dipertemukan dengan wanita yang terbaik untuk dirinya.
Dijodohkan dengan wanita yang baik akhlak dan budinya. Itu
doa dan harapan dirinya.
“Mak, nanti Zaf nak bawa bekal. Malam ni Zaf ada
kelas. Lepas kelas baru Zaf balik. Dalam jam sepuluh lebih
macam tu.”
“Eloklah tu. Mak memang masak lebih pun tadi.
Macam dah dapat agak hari ni Zaf ada kelas malam. Tu pun
mak dah ingat-ingat lupa jadual Zaf.”
“Itu tanda penuaan sedang berlaku tu mak.” Usik
Zafril. Sekali lagi dia menerima jelingan. Setelah itu mereka
gelak.

PERSIDANGAN KONVOKESYEN diadakan dengan penuh
gilang-gemilang. Segalanya nampak meriah. Sambutan
daripada semua warga universiti yang menghimpunkan
pelajar dari seluruh dalam negeri dan luar negara sangat
memberikan kelainan dan kegemilangan setiap kali pesta
konvokesyen diadakan.
Selesai sahaja semuanya, Tiara terus masuk ke
dalam kereta untuk pulang. Di hatinya ada yang tidak enak.
Memang dia gembira diangkat sebagai salah seorang pelajar
yang menerima anugerah dekan. Muka papa dan mamanya
terpancar rasa bangga yang jelas. Cuma, dia teringatkan
seseorang, Tania. Hatinya serta-merta jadi sayu.
Kalaulah arwah Tania masih ada, sudah pasti dia
akan berdiri di baris yang sama dengannya. Pasti mereka
akan sama-sama berkongsi kegembiraan. Sama seperti dia
kongsikan dengan rakan-rakan sekelas, terutamanya Mek
Yah. Dia yakin yang Tania juga akan mendapat dekan.
“Ara tak happy ke?” Puan Maida menegur lembut.
Tiara senyum kelat. Dia menggeleng tanda
menidakkan telahan mamanya.
“Tak adalah ma. Happy je. Mana boleh tak happy.
Hari ni dalam sejarah kut.”
“Dah tu muka kelat semacam je. Macam something
wrong somewhere.” Encik Amir pula yang berkata-kata.
Tiara memandang wajah papanya dalam cermin
pandang belakang.
“Ara okey. Tak ada apa pun.”
“Hmm... suka hati Aralah. By the way mama dan
papa nak ucap tahniah sebab dah berjaya banggakan kami.
Dah berjaya capai sesuatu yang cemerlang dalam hidup Ara.”
“Thanks mama, papa. Ara pun tak sangka dapat grad
dengan dekan hari ni.”
“Tu namanya rezeki. So, Ara nak hadiah apa?”
Tiara teruja. Dia segera bergerak sedikit ke hadapan.
Lebih dekat dengan mama dan papanya. Mereka berdua
senyum dengan gelagat anak tunggal itu.
“Boleh minta hadiah ke?”
“Ya, boleh!” Puan Maida ikut sama teruja. Dia
tahu yang anaknya itu takkan meminta sesuatu yang luar
biasa. Sebab dia yakin yang anak mereka itu tahu apa yang
kedua-dua orang tuanya itu mampu atau tidak.
“Ara nak satu je hadiah. Tapi mama dengan papa
janji yang mama dengan papa kena tunaikan.”
Puan Maida dan Encik Amir saling mengangkat
kening. Kemudian mengangguk.
“Tapi terpulang kepada apa yang Ara nak. Kalau
mama dengan papa boleh bagi, kita orang bagi. Kalau tak,
kena cancel. Minta hadiah lain.”
“Tak boleh. Kena jadi juga. Mama dan papa kena
setuju juga.”
“Tu minta hadiah ke ugut?”
Tiara gelak. Alang-alang dirinya sudah diberi
kebebasan untuk meminta, dia tidak mahu sia-siakannya.
“Ara nak apa?”
Tiara senyum. Dikenyitkan mata kepada papanya dan
dia merenung mamanya lama.
“Ara nak sambung study kat UMS.”
Encik Amir gelak. Manakala Puan Maida kejung.
Dia menggeleng beberapa kali tanda dia tidak setuju dengan
permintaan itu.
“No! Mama tak benarkan. Yang abang gelak ni
kenapa? Permintaan tu tak lucu pun. Buat saya stres je!”
Puan Maida membetulkan duduk. Malas nak memandang
Tiara dan suaminya. Pandang jalan lagi bagus. Manakala tawa
Encik Amir gelak semakin kuat.
“Apa yang awak nak stres sangatnya? Biarkanlah dia
nak pergi study. Bukannya buat apa yang salah pun.”
“Memanglah tak buat salah. Nak belajar boleh tapi
sambung kat sini. Tak payah nak pergi ke seberang laut tu.
Tak boleh! Cancel! Minta hadiah lain.”
“Papa...” Tiara sedikit merengek.
Encik Amir angkat bahu. Kemudian dia ketawa kecil.
Entah dia nak sebelahkan yang mana satu. Nak menangkan
isteri, kasihan pada anak. Nak menangkan anak, karang isteri
pula yang merajuk.
“Tak naklah macam ni. Tak payahlah hadiah semua
tu. Ara tak nak apa-apa pun.” Ara menyandar kasar badannya
di tempat duduk kereta dan dipeluk tubuh dengan mulut
yang memuncung.
Puan Maida pula seperti tadi. Matanya hanya pandang
ke luar tingkap kereta. Dia tak nak kisahkan permintaan anak
tunggalnya yang memang awal-awal lagi dia tak izinkan.

SEBAIK SAHAJA sampai di rumahnya, Tiara terus menapak
masuk ke dalam bilik. Rajuk dengan mamanya masih
berbaki. Puan Maida juga sama. Hatinya masih dikeraskan
seperti konkrit. Tak nak mengalah. Dia takkan benarkan
Tiara berjauhan daripada mereka berdua. Sedari tadi hatinya
geram dengan suaminya kerana menyebelahi dan menyokong
permintaan anak perempuan mereka. Akibatnya, dengan
lelaki itu juga dia tak nak bercakap.
Tiara menutup pintu bilik dengan perlahan. Tak
nak memikirkan reaksi mamanya seketika tadi. Dia yakin
yang kemenangan akan berpihak kepadanya. Dia akan tetap
memohon untuk sambung belajar. Sebaik sahaja lulus, tugas
papanya pula untuk bertindak. Tiara tahu yang papanya akan
beri kemenangan kepada dirinya.
Dibaringkan badan ke atas tilam empuk miliknya.
Kini dia sudah bergelar graduan. Dia senyum seketika.
Tidak lama kemudian, senyumannya mati. Sekali lagi dia
teringat kepada arwah Tania. Kalaulah Tania masih ada, pasti
mereka sudah menjadi kawan. Sebelum ini, Tania memang
senang hati kalau dia nak berkawan. Cuma dirinya sahaja
yang sombong, berlagak. Langsung tidak mengendahkan
kehadiran insan malang itu.
Tiara bangun. Mendekat pada meja soleknya.
Dibuka laci yang berada di bahagian bawah. Bungkusan yang
diberikan oleh bekas pensyarahnya beberapa bulan yang
lalu masih tidak dibuka, tersimpan kemas. Tiara mengusap
lembut bungkusan itu. Mungkin sudah tiba masanya untuk
dia merungkaikan dan melihat apa yang arwah Tania kirimkan
kepadanya.
Dengan lafaz bismillah, dia membuka satu per satu
ikatan yang ada pada bungkusan tersebut. Sebaik sahaja
terbuka, matanya terpandang pada selendang biru laut.
Cantik. Serta-merta air matanya jatuh. Tiara cukup faham
apa maksud yang mahu Tania sampaikan melalui selendang
itu. Dia ambil dan dibawa ke bibir. Dicium bersama air mata
yang sedang jatuh.
Setelah itu tangannya mengambil pula sampul surat
yang turut dikirimkan. Dibuka sampul coklat itu. Sepucuk
surat daripada Tania untuk dirinya.

Assalamualaikum Ara,
Maafkan aku sebab tak jumpa kau
untuk kali yang terakhir. Walaupun
aku dapat rasa yang kau tak nak pun
jumpa aku. Perasan tak yang nama
kita hampir sama. Tania-Tiara. Wajah
kita pula, semua orang yang kenal
kita tahu yang kita memang seiras
walaupun tak pernah ada pertalian
darah. Sejujurnya, aku cukup bersyukur
sebab aku jumpa kau. Setidak-tidaknya
abang dan mak aku ada someone untuk
diaorang tengok bila aku dah tak ada
nanti.
Masa aku dah tak lama. Aku sedar.
Mak dengan abang aku pun sedar
pasal hakikat tu. Cuma kami bertiga je
yang tahu pasal penyakit aku. Maaf
sebab aku rahsiakan tentang hal ni.
Lagipun kau pun takkan kisah sama
ada aku sihat atau tak. Sebab aku tahu
yang kau tak pernah pun nak pandang
aku sama macam aku pandang kau.
Aku tahu yang kau bencikan aku.
Kalau boleh, aku nak minta sesuatu
dengan kau. Tolong bahagiakan mak
dengan abang aku. Aku tahu yang
permintaan aku mungkin melampau
sebab kita tak pernah rapat dan kau
tak pernah ada kena-mengena dalam
hidup kami. Aku cuma minta tu je.
Mana tahu, ada jodoh kau dengan
abang aku. Tak pun, kau dekatkan diri
dengan diaorang sebagai diri kau.
Ara... aku sayangkan kau. Masa first
time aku jumpa kau, aku adalah
manusia yang paling bersyukur sebab
dapat jumpa manusia yang sebijik
macam aku. Sebab bila aku dapat
tahu sakit aku yang sebenar, aku rasa
harapan untuk tengok mak dengan
abang aku senyum semula melambung
tinggi hingga ke langit hanya ada satu
sebab. Sebab kau. Wajah kau mampu
untuk bahagiakan diaorang. Aku tahu
yang hati kau baik.
Aku juga tahu yang aku bukan sesiapa
untuk jodohkan kau dengan abang aku.
Allah yang pegang hati kau. Sebab tu
aku selalu berdoa pada Allah supaya
bukakan hati kau dan hati abang untuk
saling menerima. Abang aku tak kaya.
Tapi dia mampu untuk jadi imam kau.
Dia mampu untuk bahagiakan kau.
Sepanjang kita kenal, aku tak pernah
simpan dendam. Kau jangan risau.
Aku dah maafkan semua salah silap
kau. Kau pun, aku harap maafkan
semua salah aku ya. Aku tak sempurna.
Jauh untuk sempurna.
Demi Allah! Hati aku akan bahagia
kalau kau memang jodoh abang aku.
Cubalah kenal abang aku. Aku tahu
aku tak layak untuk meminta tapi
anggaplah ini permintaan terakhir
aku. Kau cubalah. Tapi kalau kau
gagal buka hati kau untuk abang aku,
jangan paksa! Kau carilah bahagia
kau. Dan kalau boleh, jenguklah mak
aku sekali-sekala. Jadilah sebahagian
daripada keluarga kami.
Aku akan sentiasa sayangkan kau...
sampai syurga.
-Tania-
Tiara melipat kembali surat yang selama ini menjadi
rahsia yang tersimpan kemas di dalam bungkusan. Patutlah
selama ini dia tidak kuat untuk mengetahui apa yang
dikirimkan oleh arwah Tania. Terasa senak menikam jiwanya.
Sangat berat apa yang diminta oleh arwah Tania.

No comments:

Post a Comment