“MAK nampak Thaqif kat kubur tadi?”
Puan Mimi meletakkan cawan berisi kopi-o kembali ke atas piring. Wajah lesu si anak sulung dipandang.
“Nampak. Dari awal lagi dia dah ada. Kat masjid pun dia ada solat jenazah sekali. Kakak je yang tak perasan dia datang.”
“Dia tak tegur mak ke?” soal Syamel lagi.
“Tegur. Dengan ayah pun dia sempat berbual tadi.”
Syamel mengeluh. “Mak boleh terima ke penjelasan dia?”
“Mak dah lama dapat terima, abang. Orang yang ikhlas menyesal dan minta maaf, kita pun kena bukakkan hati kita untuk terima. Dia dah mengaku semua salah dan khilaf dia sekeluarga. Bukan sekali dua dia minta maaf dengan mak dan ayah. Dah banyak kali dah,” jelas Puan Mimi penuh sabar.
Syamel mengetap bibir.
“Tapi Ifa tu...”
Kali ini giliran Puan Mimi pula mengeluh.
“Kakak tu perlukan masa. Allah tengah uji dia. Allah nak tengok sejauh mana kesabaran dia.”
“Abang tak rasa hati dia akan berubah, mak. Hati dia tak pernah sekeras ni...”
Puan Mimi mengangguk. Ada benarnya kata-kata anaknya itu.
“Mak ada nasihat kat Thaqif dulu. Bagi kakak masa. Tapi dah 3 tahun, kakak masih macam tu. Mak pun dah tak tahu nak cakap apa lagi pada kakak tu.”
“Dia kat mana mak?”
“Tadi mak nampak dia duduk kat buai kat laman dengan Jaja. Abang pergilah tengok dia. Risau dah mak ni.”
Syamel mengangguk seraya bangun. Ingin menurut permintaan ibunya itu.
“Abang,” tahan Puan Mimi.
“Ya mak?”
“Kakak tu rapat dengan abang, rapat dengan kita sekeluarga. Dia tu dah takde siapa lagi kat dalam dunia ni melainkan kita dan keluarga rapat yang lain. Dia selalu dengar cakap mak, tapi dia lebih senang nak terima cakap abang. Mak tahu abang akan sebelahkan dia dalam apa jua masalah, tapi mak mohon pada abang. Tolonglah nasihat dia agar lepaskan semuanya. Dalam apa pun perbalahan, biarlah kita jadi orang yang mendamaikan, bukan orang yang mengapi-apikan,” pesan Puan Mimi dengan wajah penuh mengharap.
Syamel mengangguk perlahan. Dia bersetuju dengan pendapat ibunya itu. Sudah-sudahlah Syifa’ hidup dalam kesuraman. Dia perlu lakukan sesuatu.
“Lagi satu,” tambah Puan Mimi. “Abang jangan lupa yang kita dah janji takkan cerita kepada kakak pasal penjelasan Thaqif tu.”
Syamel mengangguk sebelum membawa kaki ke pintu utama. Kaki dibawa ke bahagian tepi rumah. Bunyi keriang-keriut buaian besi menandakan Syifa’ memang masih berada di tempat yang disebut ibunya tadi.
“Kakak tak nak masuk tidur lagi ke?” Kedengaran suara adik bongsunya, Hajar bertanya pada Syifa’.
Dalam kesamaran lampu limpah daripada bahagian tepi dinding rumah, Syamel bisa melihat kepala Syifa’ yang menggeleng.
“Dah nak pukul 12 ni, kak. Kat luar ni banyak nyamuk,” ujar Hajar lagi.
“Jaja pergi tidur dulu ya. Akak tak ngantuk lagi,” balas Syifa’ dengan suara yang serak. “Kejap lagi akak masuk.”
Hajar tak sampai hati mahu meninggalkan Syifa’ berseorangan di luar rumah mereka ini. Sedar yang kakak sepupunya itu sedang menanggung kesedihan yang terlalu dalam. Tapi matanya sendiri terasa begitu berat sekali.
“Akak...” Hajar ingin memujuk sekali lagi. Memujuk agar Syifa’ mengikutnya masuk ke dalam rumah.
“Jaja, please,” potong Syifa’ laju. “Akak tak nak tidur lagi. Jaja masuk dulu ya.”
“Jaja, pergi masuk. Dah lewat ni,” arah Syamel dari belakang.
Spontan kepala Syifa’ dan Hajar menoleh. Hajar melihat isyarat mata yang diberikan oleh abangnya. Dia mengangguk tanda memahami.
“Jaja masuk tidur dulu, akak. Selamat malam...”
“Selamat malam,” balas Syifa’ perlahan tanpa sedikit pun menoleh ke arah adik sepupunya itu.
Hajar bangun dari buaian sebelum berlalu. Tempatnya diambil pula oleh Syamel. Buaian besi tua diayun dengan tolakan kakinya. Syamel mengerling ke arah kiri. Syifa’ sedang menadah wajah ke dada langit. Wajahnya kosong tanpa perasaan. Namun Syamel tahu rasa yang tersimpan dalam hati sepupunya itu tak mampu diperincikan dengan kata-kata semata-mata.
“Ifa, let it out. Hamburkan semuanya. Abang ada kat sini.” Syamel bermukadimah. Telinga sudah bersedia untuk ditadahkan buat Syifa’, adik sepupu yang sudah pun dianggap sebagai adiknya sendiri sejak Syifa’ dan juga Suria menjadi yatim piatu.
“Apa lagi Ifa nak cakap, abang? Semuanya abang dah dengar dari dulu. Takde apa yang berubah pun. Semuanya sama je,” rintih Syifa’.
“Kalau macam tu, ulang semuanya balik. Kalau takde apa yang berbeza pun takpe. Ifa cakap je apa yang Ifa nak cakap.”
Merekah sedikit bibir Syifa’. Tawar senyumannya. Dia menoleh. “Abang tak bosan ke dengar Ifa ulang balik perkara yang sama dari dulu?”
Laju kepala Syamel menggeleng.
“Never!”
Kali ini senyuman Syifa’ bergula sedikit. Terharu! Syamel sekeluarga terlalu baik pada dirinya dan Suria selama ini. Tak terhitung budi yang ditaburkan oleh mereka. Tak terbalas jasa mereka sekeluarga.
“Kalau abang tak bosan, Ifa yang dah rasa bosan.”
“Kalau Ifa dah bosan dengan yang lama, boleh tak Ifa dengar sesuatu yang baru?” duga Syamel penuh hati-hati. Air yang tenang, tidak mahu dikocak terlalu kuat ketika ini. Tiada yang lebih memahami jiwa seorang gadis bernama
Syifa’ selain dirinya sendiri. Namun sebagai seorang yang lebih tua, dia tak betah melihat Syifa’ terlalu jauh dalam menjunjung dendam dan amarah di hati. Nasihat ibunya tadi masih terngiang-ngiang di telinga.
Lambat-lambat kepala Syifa’ mengangguk.
“Apa bang?”
Wajah Syamel berubah serius.
“Belajar lepaskan semuanya.”
Berubah riak Syifa’.
“Abang pun nak Ifa lupakan semuanya?”
“Bukan lupakan, tapi lepaskan. Ada beza tu.” Syamel membetulkan kata-kata Syifa’. “Abang tahu, yang sampai mati pun Ifa takkan boleh lupa apa yang diaorang buat kat Su dan Ifa sendiri. Tapi, diaorang dah sedar kesalahan diaorang, dan berkali-kali Thaqif cuba nak hubungi Ifa untuk minta maaf, tapi Ifa sengaja larikan diri tak nak jumpa dia. Sampai bila Ifa nak macam ni?” Lunak butir bicara Syamel. Cuba menembus kekerasan hati adik sepupunya dengan kelembutan.
“Abang lupa apa diaorang pernah buat kat adik? Apa diaorang pernah tuduh kita orang berdua?” Nada suara Syifa’ bergaris luka. Renungan matanya berbaur pilu.
“Tak... abang tak lupa. Cuma abang tak nak hati Ifa penuh dengan rasa benci sampaikan Ifa tak boleh nak nampak jalan kat depan. Ifa masih muda. Bahagia yang Ifa pernah rasa dulu, masih ada kalau Ifa bukakkan hati untuk mencari. Adik abang yang dulu bukan sekeras sekarang ni. Adik abang yang dulu tabah dan penuh sabar menghadapi dugaan hidup,” sambung Syamel lagi.
Syifa’ melarikan wajah. Mata dipejam seketika. Perih.
“Jangan sampai Ifa salahkan takdir dengan apa yang dah terjadi pada Ifa dan Su. Dan jangan salahkan Thaqif atas pemergian Su...”
“Ifa nak salahkan siapa lagi, bang?” lirih suara Syifa’. “Kalau bukan Encik Thaqif dan keluarga dia, siapa lagi yang boleh Ifa salahkan?”
Berat keluhan yang terbit dari celah bibir Syamel.
“Bukan salah Thaqif, Tamim kemalangan. Bukan salah Thaqif, Tamim hilang ingatan dan langsung tak ingat pada Su. Bukan salah Thaqif, Su meninggal. Tu Ifa kena terima.”
“Tapi kalau diaorang tak larang adik kahwin dengan Tamim dan tak tuduh yang bukan-bukan, tu semua takkan berlaku!” desis Syifa’ tanpa rasional.
“Ifa, kalau diaorang terima Su sebagai menantu, diaorang tatang Su bagai minyak yang penuh, bermakna Su akan hidup ke sekarang ni? Ajal dia takkan sampai ke pagi tadi?” soal Syamel dengan mata yang tak berkalih daripada wajah Syifa’.
Syifa’ menggigit bibir. Luluh hatinya mendengar pertanyaan daripada Syamel. Sedar yang imannya sedang goyah ketika ini.
“Su dah sampai ajal dia, Ifa. Takde apa pun dapat merubah ketentuan Allah tu.”
“Ifa... Ifa...” Jeda. Gagal mahu membidas kata-kata Syamel.
“Jangan lupa yang bila mama Tamim dah sedar kesalahan dia, dia nak bawak Su balik ke rumah dia. Dia dah terima Su sebagai menantu. Tapi keadaan tak mengizinkan bila Tamim langsung tak ingat pada Su. Ifa ingat kan?”
Kepala Syifa’ mengangguk sekali.
“Tamim macam tak boleh terima yang dia dah kahwin dan keadaan dia tertekan sangat masa tu, walaupun Thaqif dah cuba pujuk dia untuk terima Su. Jadi, diaorang tak jadi nak bawak Su balik ke rumah diaorang.”
“Dah terlambat, abang. Semua yang diaorang cuba buat untuk adik dah terlambat!” tegas Syifa’.
“Terlambat untuk sedar? Terlambat untuk insaf dan bertaubat? Kita siapa nak tentukan tu semua, Ifa?”
“Abang tak faham...”
“Betul, abang mungkin takkan faham apa yang Ifa rasa selama ni. Abang masih ada mak dan ayah. Abang masih ada adik-adik abang. Abang tak pernah rasa kehilangan macam yang Ifa rasa. Tapi...” Jeda. Syamel sengaja memberhentikan bicara. Mahu mendapatkan tumpuan Syifa’ sepenuhnya.
Syifa’ menongkat wajah. Mata Syamel dicari. Riak mukanya penuh tanda tanya.
“Tapi Allah tu ada, Ifa. Mengadulah dengan Dia. Menangislah, marahlah, bencilah... tapi jangan selamanya berdendam dan membenci, sedangkan orang yang kita benci tu dah pun meminta maaf dan bertaubat.”
“Ifa... Ifa tak boleh, abang. Ifa tak boleh!” tolak Syifa’ mentah-mentah. Bagaimana harus dia lepaskan semuanya sedangkan luka dek kata-kata Thaqif masih merah dan berdarah? Tak pernah diri rasa terhina selama dia hidup di atas muka bumi ini, melainkan di tangan Thaqif.
Syamel mengeluh lagi. Sukarnya mahu melenturkan hati seorang Syifa’ ini.
“Ambik masa untuk tenangkan diri Ifa. Jangan lupa apa yang abang cakap tadi. Ini semua takdir Su. Jangan pernah menyoal suratan takdir! Takdir kita, takde siapa pun yang tahu,” pesan Syamel.
Syifa’ tidak membalas. Sukar hati mahu menerima kebenaran di sebalik pesanan abang sepupunya itu. Kedegilan hati mahu dimenangkan semampu boleh, walaupun secebis iman yang masih ada dalam jiwanya berbisik sebaliknya.
“Abang pergilah masuk dulu. Tak manis kalau 27 jiran-jiran nampak kita berdua duduk kat luar ni.” Syifa’ ‘menghalau’ abang sepupunya. Hati masih tidak mampu menerima semua yang mampu dicerna dengan baik oleh akalnya. Hati berkata yang lain, akal pula berbisik yang lain pula. Biarlah dia menangkan hatinya buat ke sekian kalinya.
“Siapa yang nak tengok? Rumah kita ni kan corner lot? Kat sebelah tu kan jalan?” sindir Syamel. Tahu sebab Syifa’ mahu dia pergi dari situ. Nak pekakkan telinga la tu!
“Rumah depan boleh nampak kita apa.” Syifa’ beralasan.
Syamel melangut. Barisan rumah teres di depan rumahnya kelihatan gelap lagi sunyi. Tiada tanda-tanda mereka sedang diintai oleh jiran tetangga.
“Hmmm, yalah.” Syamel memilih untuk mengalah.
“Lagipun, kalau Pipa tahu abang duduk dengan Ifa macam ni, habis diganyangnya Ifa nanti,” ungkit Syifa’ memetik nama teman wanita Syamel. Gadis yang sangat dikenali dengan api cemburunya.
“Hesy! Mengarut je Ifa ni.”
Syifa’ tersenyum segaris.
“Abang pun tahu dia tak suka kat Ifa, kan? Dah berapa kali Ifa cakap yang abang ni sepupu Ifa dan tak lebih daripada tu, tapi dia masih tak percaya. Ifa nak buat apa lagi?”
Kening Syamel bertaut.
“Ifa jangan risau pasal Pipa tu. Belum jadi isteri abang dah lebih-lebih!” gerutunya.
“Takpelah, bang. Ifa faham. Dia sayang sangat kat abang tu dan tak mahu kehilangan abang.”
“Dahlah, abang tak nak cakap pasal dia. Pandai Ifa tukar topik ya!”
“Taklah, bukan Ifa sengaja nak tukar topik. Ifa Cuma dah tak nak bincang lagi pasal yang tadi tu. Cukuplah dulu. Malas dah Ifa. Adik pun dah takde, jadi Ifa dah takde sebab nak fikir pasal Thaqif dan keluarga dia. Lepas ni pun, dah takde sebab lagi nak berjumpa diaorang.”
Syamel menggelengkan kepala. Ada suatu fakta yang masih belum terlintas di fikiran Syifa’ nampaknya.
“Ifa, jangan lupa Tamim tu suami Su yang sah walaupun Tamim tak nak mengaku Su tu isteri dia. Apa-apa harta yang Su ada, ada hak Tamim kat situ.”
Wajah Syifa’ pantas kehilangan darah. Ternganga mulutnya. Ya Allah! Dia lupa!
Kepala Syamel mengangguk pula.
“Ya, Ifa. Nak tak nak, Ifa masih kena berurusan dengan Tamim. Dan kalau Tamim masih degil macam dulu, Ifa kena minta tolong Thaqif. Urusan harta ni tak boleh nak tangguh-tangguh, Ifa tahu kan? Bukannya Ifa tak pernah buat. Ifa dah ada pengalaman masa uruskan harta arwah umi dan abah Ifa dulu.”
Ada secebis harapan yang bertunas dalam hati Syamel. Semoga urusan pentadbiran harta Suria nanti bakal memaksa Syifa’ berhadapan dengan ahli keluarga Tamim. Tak selamanya Syifa’ boleh lari daripada kenyataan. Lambat-laun, dia perlu bersemuka dengan Tamim dan mungkin Thaqif jua.
“Abang... Ifa tak sanggup...” rintih Syifa’ sayu.
“Ifa kena kuat. Ifa kena buat semua tu demi Su,” pujuk Syamel lembut. “Apa-apa, abang akan tetap tolong Ifa. Abang minta kawan abang untuk jadi peguam Ifa ya?”
“Patutnya suami adik la yang kena uruskan semuanya. Bukan Ifa.”
“Betul, patutnya Tamim yang uruskan, tapi dalam keadaan dia macam tu, kita tak boleh nak tunggu dia pulih semula. Ifa pun ada hak ke atas harta Su, jadi Ifa sajalah yang buat ya? Anggaplah ni tanggungjawab Ifa yang terakhir untuk Su.”
Syifa’ terdiam. Mampukah dia melakukannya? Sedangkan hati sudah bertekad tidak mahu lagi mempunyai apa-apa talian dengan keluarga adik iparnya itu?
‘Anggaplah ni tanggungjawab Ifa yang terakhir untuk Su...’
“Abang...” Bulat mata Syifa’. Mata yang dipenuhi bintik-bintik bimbang serta ragu-ragu.
“Jangan risau, Ifa. Abang ada. Abang akan tolong Ifa ya?”
“Thanks, abang...” bisik Syifa’ lemah. Tak henti-henti pertolongan yang dihulurkan Syamel kepadanya. Syamel sentiasa ada ketika susah dan senang. Beruntungnya dia mempunyai ahli keluarga yang sentiasa menyokong dirinya begini.
“Abang masuk dulu. Jangan lama sangat kat luar ni, Ifa. Ifa tak nak mak risau kan?” Syamel menggunakan Puan Mimi sebagai umpan. Sedar betapa sayangnya Syifa’ pada ibunya itu.
Syifa’ menggeleng kepala.
“Kejap lagi Ifa masuk.”
Syamel menghentikan buaian dengan kakinya. Dia berdiri. Telapak tangan dilabuhkan seketika di atas kepala Syifa’ yang dibaluti tudung.
“Sabar ya, Ifa. Ada hikmah di sebalik setiap dugaan yang Allah berikan. Jangan lupa tu!”
Syifa’ mengangguk perlahan. Dia cuba mengukirkan senyuman untuk menenangkan kerisauan Syamel. Mata mengekor langkah Syamel masuk ke dalam rumah. Wajah ditadahkan semula ke dada langit. Mata sudah mula berair semula. Ingatan kembali ke arwah adiknya Suria, yang dipanggil oleh sang Penciptanya pada usia 23 tahun. Seorang adik yang penyayang, serta seorang isteri yang patuh pada suruhan suaminya. Terlalu patuh!
‘Adik... akak rindu! Akak rindu sangat! Akak nak buat apa sekarang ni dik? Mampu ke akak buat seperti yang semua orang suruh akak buat ni? Akak tak mampu nak lepaskan semuanya. Akak tak boleh...’
Wajah manis adiknya terlayar di layar mata. Sudah lupa dia pada senyuman adiknya, kerana sudah agak lama Suria tidak bisa tersenyum. Sudah lama telinganya tidak menangkap gelak ketawa adiknya, kerana dalam usia yang masih muda, Suria telah diduga dengan pelbagai rintangan. Yang setia menemani hanyalah tangis sendu yang seakan merentap segala semangatnya untuk meneruskan hidup.
‘Tenanglah adik di sana... takkan ada siapa yang boleh sakiti hati adik lagi...’ bisik Syifa’ lagi. ‘Maafkan akak tak dapat nak teman adik lagi... Insya-Allah kita akan berjumpa di sana nanti...’
No comments:
Post a Comment