AKU terjaga secara mengejut. Terpinga-pinga dan dalam keadaan yang tidak menentu. Tatkala aku buka mataku, pandanganku terasa amat silau sekali dek pancaran cahaya lampu siling yang bagaikan tusukan beribu-ribu mata jarum sahaja. Aku segera menutup mataku semula. Sedang pernafasanku setengah sesak kerana ada sesuatu yang menutup hidung dan mulutku ketika ini. Sementelah lagi, kepalaku terasa begitu pening sekali. Berdenyut-berdenyut bukan kepalang. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang memukul di dalam benakku ini bertalu-talu.
Namun tidak lama kemudian, aku pun membuka mataku semula, tetapi secara berhati-hati hinggalah penglihatanku rasa serasi dengan cahaya lampu itu. Aku lantas mendapati mulut dan hidungku sedang ditutup dengan alat bantu pernafasan demi menyalurkan oksigen ke dalam tubuhku. Sesungguhnya, benda itulah yang telah membuatkan aku seperti setengah lemas.
Aku pun cuba menanggalkan penutup oksigen itu dari wajahku ini kerana merasa rimas, tetapi aku rasa gerun apabila mendapati aku tidak dapat hendak mengangkat kedua belah tanganku ini. Seolah-olah kedua-dua tanganku ini sudah menjadi batu atau besi yang cukup berat sekali.
Bahkan persekitaran seperti berpusing hingga aku menjadi agak mabuk juga. Aku menutup mataku semula rapat-rapat sedang jiwa raga ini dipagut oleh keresahan. Tidak lama kemudian, aku pun buka mataku semula. Kini pandanganku agak lebih baik. Malahan, kononnya sekelilingku yang berpusing tadi tidak terasa lagi, meskipun pening di kepalaku masih berdenyut-denyut kecil.
Aku lantas cuba bergerak, ingin bangun dan duduk, tetapi tidak berdaya seolah-olah seluruh tubuhku sudah menjadi lumpuh sepertimana aku rasakan terhadap kedua belah tanganku tadi. Memikirkan sahaja tentang hal itu, semakin membuatkan hatiku gelisah dan bimbang juga. Aku menjadi tidak menentu dan mula berfikiran yang tidak elok.
Bagaimanapun aku segera menolak perasaan yang bukan-bukan itu ke tepi. Aku pasakkan perasaan kental dalam hati dengan ucapan Allahuakbar berkali-kali, kerana itu sahaja yang terlintas dalam fikiranku ini sambil mataku terus merenung ke arah siling.
Akhirnya dengan izin Allah, aku dapat juga menggerakkan tanganku. Maka apabila aku dapat mengangkat tangan kananku, aku rasa bersyukur hingga bergenangan air mata, menunjukkan bahawa tubuhku masih boleh berfungsi. Demi membuktikan bahawa seluruh tubuhku tidak apa-apa juga, aku pun menggagahkan diri untuk bangun dan duduk. Alat bantu pernafasan yang menutup mulut dan hidungku segera aku tanggalkan. Aku setengah termengah-mengah sebelum pernafasanku kembali seperti biasa.
Aku pun mengetap gigiku erat-erat dan memaksa tubuhku untuk bingkas. Perlahan-lahan aku berjaya juga bangun dan akhirnya membuat tubuhku yang lemah ini duduk. Aku termengah-mengah lagi. Kepalaku sekali lagi berdenyut-denyut tetapi aku terus bertahan dengan menundukkan kepalaku dan pejamkan mata sejenak semula. Aku sebut nama Allah beberapa kali lagi kerana aku tidak mahu mengaku kalah. Aku tidak akan mengalah selagi nadi dan jantungku masih berdenyut.
Sesungguhnya, kecekalanku itu membuahkan hasil juga. Sebaik sahaja aku selesa dalam keadaan duduk begitu, aku pun memegang kepalaku, cuba mengurut-urut perlahan demi membuat rasa sakit itu hilang. Lantas aku terpisat-pisat kerana mendapati kepalaku dibalut rapi; iaitu dari dahi dekat dengan umbun-umbun hingga ke tengkuk. Mungkin disebabkan itulah kepalaku rasa kurang selesa dan bengang. Apabila aku usap kepalaku itu dan tidak merasa sebarang rambut melainkan kain lembut, aku setengah terkilan juga. Pada mulanya aku menyangka aku sudah menjadi botak.
Aku melepaskan keluh perlahan. Lega.
Namun, aku setengah terpinga-pinga juga akan di manakah aku berada sekarang ini? Bukan sahaja keadaannya yang kebanyakannya serba putih bahkan berbau ubat-ubatan yang agak segar dan menenangkan.
Pada masa yang sama, mataku meninjau sekeliling untuk kepastian yang jitu akan tempat itu. Aku pun mula menyedari bahawa aku telah berbaring di sebuah katil. Apabila aku amat-amati, ia ialah sebuah katil yang terdapat di sebuah hospital. Aku telah terbaring di atas katil yang memang sah katil hospital. Cadarnya berwarna biru muda dipadankan dengan selimut putih yang agak tebal. Apatah lagi dengan berbagai alat perubatan berada dekat dengan katil.
Terpandangkan pula pakaian yang aku kenakan merupakan gaun yang digunakan oleh pesakit, tidak dapat diragukan lagi bahawa aku sememangnya pesakit di sebuah hospital. Malahan aku mula perasan juga akan seutas tiub telah dipasang untuk menyalurkan semacam cecair dari alat IV ke tubuhku dengan salah satu hujung tiub berkenaan ditusuk di belakang tangan kiriku.
Tetapi di hospital manakah aku berada sekarang?
Kemudian aku sedar juga bahawa aku telah ditempatkan di dalam sebuah wad persendirian. Dengan perkataan lain, aku berada di dalam wad kelas satu.
Aku terus termangu dek dipagut tanda tanya. Sebenarnya apakah sudah terjadi kepada diriku ini? Sekali lagi satu sudut fikiranku ini - yang masih tidak ingat satu apa pun - ingin tahu bagaimana aku boleh terlantar di hospital ini? Dan sudah berapa lama agaknya?
Aku mengeluh lagi. Sakit di kepalaku sudah semakin reda meskipun denyutan seperti dipicit-picit masih terasa juga. Namun aku mampu mengharunginya. Masalah utama yang perlu aku fikirkan sekarang ialah bagaimana aku dimasukkan ke hospital dengan kecederaan di kepala? Dan mengapakah aku tidak dapat ingat satu apa pun yang telah terjadi kepada diriku ini? Sungguh aneh. Atau daripada kemalangan yang telah berlaku, aku telah mengalami semacam trauma hingga daya ingatanku tidak dapat berfungsi dengan baik? Dengan perkataan lain, apakah aku telah mengalami hilang daya ingatan?
Memikirkan sahaja tentang itu membuatkan aku mula ditekan oleh perasaan bimbang dan resah sekali lagi. Bagaimanapun, demi mendapat semacam kepastian, aku pun cuba ingat akan namaku yang sebenar. Tetapi seperti tadi, aku tidak dapat ingat satu apa pun. Jangan nak ingat akan nama sendiri, bahkan aku tidak dapat bayangkan apa sahaja kenangan lalu tentang diriku ini. Otakku seperti telah dicuci bersih daripada segala pengalaman yang pernah aku tempuh pada masa lampau. Aku bagaikan seorang budak yang baru lahir sahaja. Begitulah yang aku rasakan pada saat ini; seperti seorang bayi yang terperangkap dalam tubuh seorang perempuan dewasa sahaja!
Lantaran itu, aku terfikir juga berapakah usiaku yang sebenarnya? Bukan itu sahaja, tiba-tiba terdetik dalam hati ini ingin tahu juga, bagaimanakah wajahku yang sebenar pula? Aku pun meninjau wad kelas satu itu dengan mata yang liar. Apa yang aku cari ialah sesuatu yang seperti cermin; apa sahaja asalkan ia kilat yang dapat menayangkan wajahku ini.
Malang sekali aku tidak lihat satu pun benda kilat yang dapat bertindak sebagai cermin. Aku mengeluh kecil sambil meletakkan kepalaku semula di atas bantal yang empuk itu. Sebenarnya, aku cuba tenangkan fikiranku yang terus bercelaru. Lagipun, setakat ini aku tidak berdaya untuk berbuat apa-apa.
Dalam keadaan begitu aku sekali lagi menyelam dan menjengah ke dalam fikiranku ini. Mungkin dalam keadaan yang tenang, tanpa serabut yang berpusaran seperti jerebu, akhirnya aku akan dapat ingat sesuatu. Terutama sekali tentang nama dan diriku ini.
Namun begitu, apa yang aku harapkan jauh daripada jangkauan. Kotak benakku tetap kosong dan gelap. Bak aku kononnya berada di dalam sebuah gua yang gelap-gelita sahaja hinggakan tangan sendiri pun tidak dapat aku lihat. Aku paksa juga diriku ini untuk ingat sesuatu meskipun sekelumit, namun hanya membuat sakit di kepalaku yang telah cedera ini menyerang kembali. Maka aku pun hentikan sahaja perbuatanku itu.
Mungkin apabila aku sudah sihat betul dan dapat pengesahan daripada doktor bahawa keadaanku ini baik-baik belaka, aku yakin aku boleh ingat semula. Terutama sekali akan namaku yang sebenar dan kemalangan yang telah aku alami. Jadi, untuk sementara waktu biarlah aku berehat seraya menanti ketibaan salah seorang jururawat yang bertugas demi mendapatkan penjelasan.
Kurang lebih 15 minit kemudian, masuklah seorang jururawat muda dan berperawakan kecil molek. Justeru melihat aku sudah sedar, wajah manisnya tampak terpegun dan segera keluar semula. Aku cuba memanggilnya, tetapi tiada suara pun yang terlantun keluar. Malahan tekakku terasa perit seolah-olah ada pasir yang berkumpul dalam kerongkongku. Pedihnya hingga membuat mataku bergenangan dengan air mata. Bahkan suara yang keluar pun kedengaran serak dan menguak.
Beberapa ketika, jururawat itu pun masuk semula dengan seorang doktor lelaki berbangsa India. Berperawakan kurus dan dalam lingkungan usia lewat 40-an.
“Ermm, baguslah akhirnya Puan Aslin dah sedar,” doktor India itu bersuara dalam bahasa Melayu dengan senyum lebar sebaik sahaja berdiri di sisi katil. “Saya Doktor Rahul. Saya yang bertanggungjawab mengawasi keadaan puan.”
Aslin? Namaku Aslin?
Aku cuma dapat mengangguk dan memberi bahasa isyarat bahawasanya aku tidak dapat bersuara seraya mengurut-urut kerongkongku.
Doktor Rahul mengangguk mengerti. Dia pun mengeluarkan lampu suluh kecil dari kocek seluarnya dan mengarahkan agar aku membuka mulut. Sebaik sahaja aku buat begitu, dia pun menyuluh ke dalam. Malahan, dia memeriksa juga kedua-dua biji mataku. Dia melakukan sekejap sahaja dan kemudian mengangguk lagi.
“Tekak puan merah dan bengkak sedikit. Tak perlu bimbang Puan Aslin, puan akan dapat bersuara apabila kerongkong puan itu baik selepas makan ubat,” doktor itu memberitahu sambil menyimpan lampu suluh kecil itu semula tetapi mula memeriksa keadaan diriku dengan stetoskop pada dada dan belakangku serentak dengan memegang pergelangan tangan kananku di mana terdapatnya nadiku.
Sebaik sahaja doktor India itu selesai, aku lantas memberi bahasa isyarat lagi dengan menuding ke kepalaku dan kemudian menggoyang tangan kananku sambil menggeleng. Memberitahu bahawa aku tidak dapat ingat apa-apa pun. Pada masa yang sama, aku merenung ke mata doktor itu dengan dahiku berkerut dan air muka yang setengah bimbang.
Doktor Rahul tersenyum lagi.
“Puan telah tidak sedarkan diri selama 2 hari. Jadi, mungkin apa yang puan alami sekarang ini merupakan hilang daya ingatan. Jangan bimbang, mungkin ia sementara saja. Saya pasti apabila puan telah betul-betul sihat, puan akan dapat ingat semula. Namun begitu, kita akan terus pantau keadaan puan. Mungkin kalau dalam masa seminggu ni puan masih tak dapat ingat apa-apa, kita akan lakukan CT scan.”
Keterangan doktor itu membuatkan aku mengeluh seraya mengangguk.
“Berehatlah, puan. Puan tak perlu rasa bimbang. Apa yang sedang puan alami ini sementara saja. Percayalah, puan akan dapat ingat semula apabila keadaan puan sudah sembuh sepenuhnya,” doktor itu meyakinkan dengan senyum.
Bersendirian lagi aku melepaskan keluh panjang sambil cuba mencedok ke dalam kotak fikiranku lagi akan peristiwa tentang bagaimana aku boleh mendapat kecederaan ini. Dan benarkah namaku Aslin?
Tetapi tidak satu pun bayangan-bayangan masa silam dapat aku tayangkan pada layar kotak fikiranku ini. Gelap. Kosong. Itulah yang dapat aku lihat tika dan saat ini. Fikiranku benar-benar sudah terbasuh daripada segala peristiwa masa lampau akibat musibah yang telah berlaku kepadaku. Lebih-lebih lagi kecederaan itu melibatkan bahagian kepala.
Juga sakit kepala yang cukup membengangkan kerana aku terlalu memaksa. Lantaran itu aku pun berhenti daripada cuba ingat semula, yang mana aku harus bersetuju dengan pernyataan Doktor Rahul tadi bahawa apa yang sedang aku tempuhi sekarang ini sementara sahaja. Ingatanku akan kembali semula apabila aku sudah benar-benar sembuh. Oleh itu aku perlu bersabar.
Disebabkan aku tidak mampu bersuara, maka hasrat untuk bertanya kepada jururawat yang bertugas tidak dapat aku lakukan.
Tiba-tiba aku berasa cukup letih sekali. Justeru aku pun berbaring semula dan sebentar kemudian aku pun terlelap...
AKU SETENGAH terkesima buat seketika, ingin tahu apakah yang telah mengejutkan aku daripada tidur. Sebenarnya aku telah bangun awal pagi tadi kerana perlu makan ubat yang diberikan oleh jururawat bertugas. Selepas menikmati sarapan pagi, aku telah tidur semula.
Terdengar suara seperti keluh-kesah datang dari arah kiriku, aku pun segera menoleh ke arah itu. Lantas aku lihat sesusuk tubuh lelaki sedang berdiri berdekatan dengan jendela memandang ke luar. Meskipun dia membelakangkan aku, tetapi daripada perawakan tubuhnya yang berdiri tegak begitu menunjukkan dia seorang yang sasa. Rambutnya lebat, pendek dan ikal di bahagian tengkuk.
Hati kecilku mula tertanya-tanya, siapakah gerangan lelaki itu agaknya? Seorang doktor jugakah?
Tetapi cara dia berdiri tegak begitu membelakangkan bilik wad ini serta diriku, dan lebih berminat pada pemandangan di luar jendela itu membuatkan aku hairan juga. Aku berniat ingin kejutkan dirinya daripada apa sahaja yang dilamunkannya itu hingga tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Jika lelaki itu tidak mengelamun, pasti dia menyedari yang aku telah tersedar. Sementelah lagi aku telah mengeluh beberapa kali tadi, maka mustahil lelaki itu tidak mendengarnya.
Demi ingin mendapatkan perhatian lelaki itu, aku pun pura-pura mengerang dengan kuat, kononnya aku baru sahaja terjaga daripada tidur.
Nampaknya perbuatan aku itu berkesan. Dia pun segera berpusing, memberikan perhatiannya terhadap aku pula. Muda dan usianya aku anggarkan awal 30-an.
Namun apa yang membuat aku terpegun ialah air mukanya yang tegas begitu. Sedang sinar di matanya bagaikan memancarkan api yang cukup membara sekali. Andainya sesebuah renungan itu boleh melancarkan bebola api, mungkin ketika ini tubuhku yang cedera dan tidak berdaya ini telah pun terbakar hangus dan rentung. Pun begitu aku terus diselubung gementar kerana menyedari bahawa renungan itu lebih memancarkan api kebencian.
Perasaan pemuda itu yang dilemparkan kepadaku secara terang-terangan tanpa mahu berselindung, cukup membuatkan aku hairan. Selain terpinga-pinga, bercampur dengan perasaan tidak keruan dek ingin tahu apakah sebab musababnya, tetapi apakah salahku hingga lelaki itu tidak ragu-ragu marah serta ada perasaan benci terhadapku?
Tidak dapat diragukan, dia seorang pemuda yang cukup tampan dan menawan. Wajah yang boleh dijadikan muka depan sesebuah majalah. Cuma wajah yang tampan itu kini dicacatkan oleh sengit dan bengis. Bibir eloknya diketap erat hingga datar begitu seolah-olah menahan geram. Malahan, cara dia merenungku dengan kening lebatnya bertaut begitu, aku merasakan seperti sedang direnung tajam oleh seekor harimau yang mahu menerkam dan membaham sahaja. Tentulah aku rasa kecut dan bertambah gelisah serta tidak tentu arah.
Namun begitu, aku tidak akan beralah. Oleh itu, aku segera kumpulkan semangatku agar menjadi gagah demi memberanikan diri untuk menentang renungan lelaki itu. Lagipun, aku tidak mengenalinya dan punca dia benci terhadapku masih menjadi tanda tanya.
Mungkin juga aku kenal akan dirinya sekiranya aku tidak mengalami kecederaan di kepala, yang sekali gus membuat aku tidak ingat apa-apa pun. Tidak salah lagi, lelaki itu memang kenal akan diriku ini kalau dia sanggup melemparkan renungan sengit begitu. Sementelah lagi dengan kehadirannya di dalam wad ini.
Tetapi, siapakah gerangan dia agaknya ya? Apakah yang telah aku lakukan hingga menerima renungan sedemikian rupa? Seandainya dapat aku duga melalui renungan yang membara dengan api benci itu, mungkinkah aku telah melakukan sesuatu yang cukup buruk dan keji?
Apa pun, aku harus kuat sekarang. Disebabkan lelaki itu sahaja yang hadir dalam wad ini, mungkin dia boleh menjelaskan perkara yang sebenar tentang apakah sudah terjadi kepada diriku ini. Dan disebabkan aku masih tidak mampu bersuara, maka aku hanya dapat merenung wajah sengit lelaki itu dengan mata yang bulat dan berkaca. Sebenarnya, aku mahu dia dapat baca melalui air mukaku ini akan dilema yang sedang aku lalui. Juga, apa yang sedang tersirat di wajah dan mataku ini akan apa yang hendak aku ajukan. Aku ingin tahu.
“Ah, sedar juga akhirnya kau, Aslin,” akhirnya lelaki itu memecah dengan nada suara yang kelat dan dingin.
Sekali lagi aku terpinga-pinga ingin tahu siapakah gerangan lelaki yang tampan itu, terutama sekali hubungannya dengan diriku ini. Apa yang anehnya, entah mengapa satu sudut hatiku pula seperti tidak dapat hendak menerima nama Aslin itu sama sekali Memanglah aku ketika ini tidak kenal akan diriku sendiri, tetapi nama itu seperti cukup asing bagiku. Hati dan benakku seperti tidak setuju atau dapat menerima bahawa itulah namaku!
Mungkinkah wajahku ini sudah buruk atau hodoh disebabkan kecelakaan yang telah aku alami hingga dia memberikan aku renungan begitu? Justeru aku pun mula mengusap-usap wajahku ini agar jejariku dapat menyentuh apa sahaja yang ganjil. Mungkin juga luka parah yang akan meninggalkan semacam parut kelak, langsung mencacatkan mukaku ini. Sebaliknya aku dapati kulit pada wajahku ini bersih sahaja.
Aku mendesis kecil dek rasa sakit apabila jejariku menyentuh di bahagian pipi kiri dekat dengan mulutku. Aku sentuh di tempat itu lagi dengan lembut dan lantas dapat aku duga pipi kiriku itu tidak salah lagi telah lebam. Mungkin akibat kemalangan yang telah aku alami itu. Atau mungkin aku telah dikasari seperti dipukul atau disepak. Dilakukan oleh lelaki di depanku inikah?
Namun satu sudut hatiku entah mengapa dengan sebulat suara tidak setuju. Memanglah lelaki itu tampak garang dan bengis, tetapi melalui keterampilan dirinya, aku tidak percaya dia seorang kaki pukul. Aku tidak tahu bagaimana aku boleh rasa begitu, tetapi ada sesuatu pada dirinya, ciri-ciri seorang lelaki yang berwibawa dan budiman. Cara dia berpakaian pun segak dan kemas seolah-olah pakaian itu sememangnya khusus untuk tubuh sasanya. Menunjukkan juga bahawa dia mungkin seorang usahawan atau peguam. Mungkin juga seorang doktor?
Cuma yang tidak terurus ialah wajah dan kepalanya. Dia perlu bercukur dan rambut lebat dan ikalnya harus disisir. Namun begitu, lelaki itu tetap kelihatan menawan, atau bolehlah aku katakan, seksi. Entah mengapa hatiku ini boleh berpandangan begitu, aku pun rasa pelik juga.
“Tak usahlah nak tunjukkan muka tercengang begitu agar aku rasa kesian,” lelaki itu berkata lagi, menyeringai kecil. “Kerana kali ini tindakan kau tu dah melampau, tahu!”
Tentu sahaja aku terkejut akan jerkahan lelaki itu. Tatkala dia menghamburkan kata-kata yang pedas itu, aku seperti telah tertolak ke belakang sedikit sekonyongnya suara garaunya itu bagai angin kencang sahaja. Sekali lagi hatiku ini direnggut oleh perasaan kecut. Mataku terus merenung wajah yang sengit itu tanpa berkerdip. Aku masih dalam terpinga-pinga akan sebab musabab dia begitu marah terhadapku. Aku telah melampau? Apa yang telah aku buat?
Aku mula rasa cukup terkilan dan setengah geram juga kerana tidak dapat hendak bersuara demi membidas pernyataan keras lelaki itu. Andainya aku mampu bersuara, aku tidak ragu-ragu menyesah dia sehendaknya, sangkalkan tuduhannya tadi.
Pada masa yang sama, perasaan takut aku terhadapnya tiba-tiba meleset dari hatiku. Aku hanya dapat melemparkan renungan berkerut, membalas renungannya yang terus galak itu. Seolah-olah aku cuba mencabarnya supaya luahkan apa sahaja yang ketika ini berbuku dalam hatinya itu.
Sesungguhnya, renungan balasku yang turut galak terhadapnya seperti menuang minyak pada api yang sedang bersemarak dalam jiwanya. Seolah-olah juga aku sudah bersikap kurang ajar kerana tidak mahu memberikan sebarang jawapan tetapi sebaliknya menentang renungannya begitu rupa. Ini dapat aku lihat dari air mukanya yang semakin dibakar oleh sengit.
Dia lantas menderam lagi. Mungkin juga dia tergerak hati mahu menerkam ke arah aku, tetapi pada masa itu juga daun pintu wad itu tiba-tiba dikuak dan masuklah Doktor Rahul dan seorang jururawat wanita bertubuh gempal.
“Boleh saya berbincang sekejap dengan Encik Uzzam,” Doktor Rahul memandang ke arah lelaki itu seraya menuju ke pintu.
Jadi, nama lelaki itu ialah Uzzam rupanya!
Dia telah mengangguk dan menyusul Doktor Rahul keluar dari wad ini. Tetapi sempat juga dia melemparkan renungan berkerut ke arahku. Melalui sinar matanya itu, aku dapat membaca bahawa dia masih marah terhadapku.
Namun satu sudut hatiku tertanya-tanya juga, apakah yang hendak mereka bincangkan agaknya hingga harus dilakukan di luar wad ini? Aku jadi bimbang. Yalah, selalunya perbincangan yang dilakukan secara rahsia begitu memberi tanda yang kurang baik. Aku cukup yakin ia tentang keadaan diriku ini.
Kini hanya aku dan jururawat gempal itu sahaja di dalam wad ini. Dari tanda nama yang dipinkan pada baju di sebelah dada kirinya, tertulis nama wanita tersebut sebagai Sharifah. Dia merapati katil dengan senyum yang manis untuk memeriksa keadaan diriku pula; mengambil suhu badan dan tekanan darahku.
“Puan Aslin beruntung dapat suami yang begitu ambil berat terhadap puan. Handsome lagi. Semasa puan dalam keadaan koma selama dua hari, dia selalu berada di sisi puan,” jururawat gempal itu memberitahu tidak lama kemudian. Senyum lebar masih tersungging di bibir tebalnya.
Alangkah terpisat-pisatnya aku akan keterangan jururawat gempal itu. Mataku merenung wajah yang bulat dan lawa itu tanpa berkerdip dek kurang percaya juga akan apa yang baru sahaja aku dengar tadi.
Lelaki yang bernama Uzzam itu sebenarnya suamiku???
No comments:
Post a Comment