DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 19 October 2020

Seikhlas Cinta Kayla - Bab 10

SUASANA di dalam kelas sangat bising dengan suara para pelajar. Disebabkan mereka sudah selesai menjalani peperiksaan PMR, semua pelajar dibenarkan melakukan aktiviti sendiri di dalam kelas.

“Kayla, aku nak beritahu kau pasal Kak Zatul.” Tiba-tiba Dhiya berbisik di telinga Kayla.

Berdebar dada Kayla saat nama itu muncul. Sudah hampir 2 bulan juga dia tidak mendengar berita mengenai gadis itu.

“Kenapa dengan budak tu?” soalnya dengan nada yang mendatar.

“Dia dah datang sekolah macam biasa pagi tadi. Kan hari ni majlis restu ilmu untuk pelajar tingkatan 5,” jelas Dhiya lagi.

Kayla hanya tersenyum sinis.

“Kaki budak tu dah elok ke?”

“Tadi aku nampak dia berjalan masih pakai tongkat.”

“Baguslah. Ingatkan dah lumpuh budak tu,” kata Kayla tanpa rasa bersalah.

Terkejut Dhiya. Tak sangka sehingga sekarang Kayla masih lagi marahkan Zatul. Lagipun salah Zatul juga kerana tidak bersikap jujur.

“Ikut aku.” Kayla mengeluarkan satu beg kertas dari laci meja belajarnya. Pantas tangan Dhiya ditarik supaya mengikutnya keluar dari kelas.

“Eh, kita nak ke mana ni?” Terpinga-pinga Dhiya dibuatnya.

“Aku nak buat perhitungan dengan budak tu.”

Dhiya terpaksa mengikut Kayla sehingga mereka berada berhampiran dengan dewan sekolah. Dari jauh Kayla sudah ternampak kelibat Zatul sedang berjalan sambil dibantu oleh rakannya.

Sebaik sahaja melihat Zatul ditinggalkan keseorangan, dia tersenyum penuh makna. Dia mahu memastikan gadis itu mengambil iktibar dari perbuatannya dulu.

“Kau duduk sini. Aku nak ke sana.”

Terkulat-kulat Dhiya ditinggalkan keseorangan. Risau juga jika Kayla melakukan sesuatu perkara yang boleh mendatang kecederaan terhadap Zatul lagi.

Zatul masih menunggu Amira mengambil beg sekolah mereka di dalam kelas. Kaki dia masih belum kuat lagi selepas dibuka balutan simen beberapa hari yang lepas. Dia terpaksa berjalan menggunakan tongkat buat sementara waktu.

“Teruk sangat ke kaki tu sampai kena pakai tongkat?”

Terkejut Zatul dengan kemunculan Kayla. Wajah Kayla ditatap dengan pandangan keliru. Sebelum ini, belum pernah lagi mereka berdua bertegur sapa. Dia pernah terdengar gadis ini sangat rapat dengan Aryan.

“Buat masa ni kena pakai tongkat. Kaki Kak Zatul masih tak kuat untuk berjalan tanpa sokongan,” ramah Zatul bercerita.

“Macam mana boleh jatuh?” Kayla tayang wajah meluat. Mujurlah Zatul tidak memandang ke arahnya.

Err... Kak Zatul pun tak pasti sebenarnya sebab kemalangan tu berlaku secara tiba-tiba.”

Kayla tergelak sinis.

“Kesian kan... nasib baik tak patah dua-dua belah kaki.”

Tergamam Zatul. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Kayla.

Kayla menghampiri Zatul dan meletakkan tangannya di atas bahu gadis itu. Bibirnya sengaja didekatkan di telinga Zatul.

“Lain kali jangan cuba nak rapat dengan Aryan. Takut kaki yang sebelah lagi terima nasib yang sama.”

“Jadi... hari tu...” Lidah Zatul kelu. Tergagap-gagap dia ingin menghabiskan ayatnya. Pucat wajahnya apabila menerima ugutan itu.

Kayla memeluk tubuhnya sambil ketawa mengejek.

“Aku yang tolak kau,” akuinya tanpa rasa bersalah.

Menggigil tubuh Zatul menahan marah. Tidak sangka Kayla sanggup mencederakan dirinya tanpa rasa bersalah.

“Ambil ni! Good luck untuk exam nanti.” Kayla terus berlalu pergi selepas meletakkan beg kertas yang dibawa di atas riba gadis itu.

Zatul masih kaku di tempat duduknya. Perlahan-lahan dia membuka beg kertas itu untuk melihat isi kandungannya. Mulutnya ditekup perlahan kerana terlalu terkejut. Tubir matanya berkaca dengan pemberian Kayla.

“Kayla...”

 

SUDAH HAMPIR sebulan Aryan selesai menjawab kertas peperiksaan SPM. Dia tidak perlu lagi bersengkang mata untuk membuat ulang kaji sehingga lewat malam. Keputusan SPM dijangka akan keluar dua atau tiga bulan dari sekarang.

Pada masa yang sama dia berasa agak sedih kerana bakal berpisah dengan Irwan. Irwan akan berpindah ke Melaka pada minggu hadapan. Namun, mereka telah berjanji akan sentiasa berhubung jika ada kelapangan.

Selepas makan malam, Aryan berjumpa dengan Dato’ Syed Arman di bilik kerja. Agak pelik juga kerana bapanya ingin berjumpa dengannya di sana. Sebaik sahaja dia masuk ke bilik itu, kelihatan bapanya sedang duduk santai membaca buku di sofa.

“Walid...”

Dato’ Syed Arman mendongak memandang di hadapan. Buku di tangan diletakkan di atas meja.

“Ada apa walid nak jumpa Yan?” tanya Aryan sebaik sahaja dia duduk di sebelah bapanya.

“Walid nak bincang tentang masa depan Yan. Apa rancangan Yan lepas ni? Nak tolong walid dekat pejabat?”

Dato’ Syed Arman sebenarnya mahu Aryan belajar tentang perniagaan keluarga mereka. Hanya Aryan yang menjadi harapan buat dia untuk mengganti tempatnya suatu hari nanti.

“Memang Yan rancang nak tolong walid. Yan nak belajar tentang perniagaan keluarga kita sementara nak tunggu result SPM. Kalau boleh, buat sementara waktu ni Yan nak berehat dalam seminggu dua.”

Dato’ Syed Arman mengangguk tanda faham. Dia gembira dengan perancangan anak sulungnya itu. Ternyata dia boleh mengharapkan Aryan suatu hari nanti.

“Sekarang walid nak tanya tentang keputusan Yan untuk sambung belajar. Memang Yan dah buat keputusan muktamad ke nak belajar dekat sini saja? Walid sebenarnya tak kisah kalau Yan nak ke luar negara.”

Terkejut Dato’ Syed Arman apabila dia mengetahui daripada isterinya yang Aryan hanya mahu belajar di dalam negara sahaja. Dulu dia pernah mendengar yang Aryan ingin belajar di London. Pelik kerana tiba-tiba saja anaknya itu mengubah fikiran.

“Ya, walid. Yan tak sampai hati nak berjauhan dengan umi dan walid. Belajar dekat dalam Malaysia pun Yan okey aje.”

Dato’ Syed Arman tersenyum mendengar alasan yang diberikan oleh Aryan. Bukan dia tidak tahu ada alasan lain yang menyebabkan Aryan mahu belajar di sini.

“Betul ke tak sampai hati nak tinggalkan umi dengan walid?” tanyanya dengan penuh makna.

Terkulat-kulat Aryan memandang bapanya. Belakang lehernya diusap perlahan.

Err... betullah walid. Mana ada sebab lain lagi.” Laju dia menjawab.

Hmm... tak apalah kalau dah itu keputusan Yan. Hujung minggu ni jangan nak ke mana-mana pula. Rumah Kayla ada buat majlis tahlil.”

“Baik, walid.” Aryan sebenarnya sudah tahu tentang rancangan itu melalui Kayla beberapa hari yang lepas.

“Pergilah berehat. Walid ada kerja nak buat.”

Sebaik sahaja Aryan keluar dari bilik itu, Dato’ Syed Arman mengeluh lemah sambil bersandar di sofa. Dia sebenarnya agak risau dengan layanan Aryan terhadap Kayla. Dia tidak mahu Aryan memberikan harapan kepada Kayla jika anaknya hanya menganggap Kayla sebagai seorang adik sahaja.

Kelak, hati Kayla yang akan terluka.

*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN, KELUARAN OKTOBER 2020 ATAU HUBUNGI/WHATSAPP NO DI BAWAH ***

019-3729676 (Cik Shida) 013-4888095 (Kak Peah)

2 comments:

  1. hi sis buku ni ada stock lagi tak ? Kalau ada saya nak beli

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi dear. Ada stok tapi terhad.. Sis boleh WhatsApp no ni ya : 019-3729676

      Delete