DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 19 October 2020

Seikhlas Cinta Kayla - Bab 6

MESYUARAT bersama semua pengawas sekolah akhirnya selesai setelah hampir satu jam mereka berbincang. Ketika Aryan ingin keluar dari bilik pengawas, dia terkejut kerana Zatul masih berdiri di luar bilik itu.

“Awak buat apa dekat sini?” tanya Aryan sambil mengunci pintu bilik pengawas.

“Saya tunggu awak. Err... sebenarnya saya nak ajak awak temankan saya hujung minggu ni. Cari bahan-bahan hiasan dewan.” Zatul menunduk malu.

Tempoh hari, dia dan Aryan telah keluar bersama kerana mencari beberapa buah syarikat untuk menaja hadiah sempena majlis graduasi pengawas.

“Barang apa?” Berkerut dahi Aryan mendengar permintaan itu. Serba salah juga dia. Hujung minggu ini dia sudah berjanji untuk mengajar Kayla. Sudah hampir sebulan juga dia mengajar Kayla di rumah.

“Cat dan kain. Kalau pasal cat ni, saya bukan tahu sangat...” Sebenarnya Zatul cuba mengambil peluang ini untuk mendekati Aryan. Sudah lama dia menaruh perasaan dengan rakan sekelasnya itu.

“Kalau macam tu, biar saya pergi sendiri. Awak tak payah pergi. Lagipun, saya ada hal hujung minggu ini.”

Zatul tersenyum kelat. Kecewa kerana tidak dapat keluar bersama Aryan.

Ermm... kalau macam tu, esok saya akan serahkan duit tu kepada awak.”

“Boleh juga. Saya pergi dulu ya. Assalamualaikum,” ucap Aryan sebelum berlalu pergi meninggalkan Zatul.

Waalaikumussalam.” Belakang tubuh Aryan dilihat dengan rasa kecewa. Zatul berjalan lemah menuju ke tangga yang bertentangan arah dengan Aryan.

Tanpa dia sedari, ada seseorang sedang mengekorinya dari arah belakang. Baru beberapa anak tangga Zatul menapak turun, tubuhnya tiba-tiba ditolak kuat sehingga dia terjatuh ke tangga paling bawah. Kepalanya terhentak kuat di lantai simen sehingga tidak sedarkan diri.

Dari atas tangga, tubuh Zatul dipandang tanpa rasa bersalah.

“Padan muka kau. Baru puas hati aku!”

  

KECOH HARI ini di sekolah apabila berita mengenai kemalangan yang menimpa diri Zatul tersebar. Malah, kes ini turut disiasat dengan lebih terperinci oleh pihak sekolah. Kemalangan yang menimpa diri Zatul dianggap sangat serius.

Zatul kini tidak dibenarkan ke sekolah sehingga dia benar-benar sihat. Ramai rakan sekelasnya sangat bersimpati dengan nasib gadis itu.

Kayla hanya duduk di kerusinya sambil berpeluk tubuh. Dhiya yang duduk di sebelah Kayla hanya menikus sahaja.

Err... Kayla...” panggil Dhiya dengan suara yang agak perlahan.

Hmm...”

“Kau tak risau ke pasal kes Kak Zatul tu?” bisik Dhiya.

Tajam mata Kayla memandang Dhiya. Laju Dhiya mengalihkan anak mata ke arah lain. Kecut perut juga dia melihat wajah Kayla yang menyinga itu.

Tanpa menghiraukan rakan-rakan sekelasnya yang lain, Kayla terus melangkah keluar dari kelas itu. Belum sempat dia ingin keluar, tubuhnya ditahan seseorang.

“Kau nak pergi mana ni? Kejap lagi Puan Julia kan nak masuk,” soal Murni dengan nada yang tegas.

“Ada aku kisah?” Kayla tayang wajah selamba.

“Kau ni memang sengaja nak cari pasal kan!” Bengang Murni kerana Kayla langsung tidak menghormati dirinya sebagai penolong ketua kelas.

Malas bertekak dengan Murni, selamba saja bahu gadis itu dilanggar ketika dia keluar dari kelas. Kayla sebenarnya tidak suka mendengar pelajar yang lain bercakap tentang Zatul.

Di tandas, dia membuka paip air di singki dan sengaja membiarkan air mengalir laju. Wajahnya dibasahkan untuk menghilangkan rasa marah. Dia merenung wajahnya di hadapan cermin tandas. Saat ini dia teringatkan kejadian yang berlaku pada petang semalam.

Hatinya sakit ketika ternampak kelibat Zatul bersama Aryan ketika itu. Disebabkan terlalu marah, dia sanggup mengekori Zatul sehingga ke tangga. Walaupun sudah dihalang oleh Dhiya, dia tidak peduli dengan rancangannya itu.

Tanpa rasa bersalah, tubuh Zatul ditolak. Hatinya cukup puas kerana dapat mengajar gadis itu. Hanya Dhiya sahaja yang tahu tentang kejadian semalam.

Kayla telah memberi amaran kepada Dhiya supaya tidak menghebohkan perkara ini kepada sesiapa. Akhirnya, kawan baiknya itu terpaksa akur dengan arahannya dek takut tertangkap kerana terlibat dalam kemalangan yang menimpa diri Zatul.

“Sesiapa yang cuba sakitkan hati abang, Kayla takkan lepaskan dia,” kata Kayla dengan senyuman penuh sinis.

 

MALAM INI Kayla bermalam di rumah keluarga Aryan. Encik Malik terpaksa berada di Kedah selama beberapa hari atas urusan kerja. Kebetulan pula Mak Jah dan Pak Daud pulang ke Melaka untuk menjenguk anaknya yang sakit.

Kayla masih ralit menyapu losen di leher dan tangannya tanpa menyedari dirinya diperhatikan oleh Adel.

“Kayla, kalau aku tanya ni, kau jawab dengan jujur ya.”

Hmm... apa dia?” Kayla masih lagi tidak memandang wajah Adel.

“Kau terlibat ke dengan kes kemalangan Kak Zatul tu?” Sejak Adel mengetahui kemalangan yang menimpa diri Zatul 3 hari yang lepas, perasaannya menjadi tidak tenteram. Dia sangat berharap Kayla tidak terlibat dalam kemalangan itu.

Kayla hanya tergelak sinis. Riak wajahnya masih kelihatan tenang.

“Kau nak tuduh aku ke?” Kali ini wajah Adel dipandang dengan renungan tajam.

Tertelan air liur Adel dengan reaksi Kayla. “Aku tanya aje. Aku harap sangat kau tak terlibat dalam hal ni,” jawab dia dengan penuh berharap.

“Kalau aku buat pun, memang patut pun dia dapat balasan macam tu.” Kayla masih lagi bersikap tenang.

Tercengang Adel. “Jadi kau yang...”

“Aku nak tidur!” Kayla terus menuju ke katil dan berbaring di sebelah Adel. Dia tidak mahu lagi bercakap mengenai hal kemalangan Zatul.

Terkilan Adel dengan sikap Kayla.

“Aku sayangkan kau. Aku tak nak kau rosakkan diri kau dengan buat perkara bodoh macam ni,” nasihatnya sebelum merebahkan tubuhnya di sisi Kayla. Dia yakin, Kayla pasti mendengar kata-kata itu.

Walaupun kata-kata Adel memberi kesan di hatinya, Kayla tetap mengeraskan ego. Hanya dia sahaja yang tahu punca dia bertindak begitu. Perbuatan Zatul lebih kejam daripada dia jika tembelang gadis itu pecah.

Hampir satu jam juga Kayla tidak dapat melelapkan mata. Dia keluar dari bilik untuk membasahkan tekak. Kebetulan pula dia ternampak kelibat Aryan di dapur.

Aryan membuka peti sejuk dan mengambil botol air minuman. Terasa kering tekaknya setelah hampir 2 jam dia mengulang kaji. Setelah menghabiskan air minuman, gelas dibawa ke singki.

Ketika dia sedang membasuh gelas, tubuhnya tiba-tiba dipeluk dari arah belakang.

“Abang...” bisik Kayla di telinga Aryan.

Meremang bulu roma Aryan dengan perbuatan Kayla. Tangan yang berada di pinggangnya dileraikan dengan kasar. Dia segera menoleh menghadap Kayla. Keadaan di dapur ketika ini samar-samar kerana hanya lampu di luar rumah saja yang terpasang.

Hampir terbuntang biji mata Aryan melihat tubuh Kayla yang sangat seksi dengan pakaian tidur tanpa lengan dan separas paha itu. Sudahlah dia hanya memakai seluar separas lutut dan bersinglet sahaja. Masak dia jika orang tuanya melihat mereka berdua dalam keadaan begini.

“Kayla buat apa ni?” tegur Aryan dengan nada keras. Matanya memandang ke arah pintu dapur. Risau jika ada ahli keluarganya yang masih belum tidur.

“Kayla cuma nak minum air.” Kayla tayang wajah tak bersalah.

Aryan merengus perlahan.

“Kalau nak minum air pun janganlah pakai macam ni. Nanti umi dan walid nampak, tak manis.”

Dia cuba tidak memandang ke arah Kayla kerana tidak sanggup melihat tubuh Kayla yang agak terdedah itu. Dia juga lelaki normal. Ada perasaan ke arah itu.

Kayla menilik baju di tubuhnya. Baginya tiada apa yang salah.

“Apa yang tak kena?” Selamba saja dia mengambil air di dalam peti sejuk dan menuang ke dalam gelas yang berada di tangan Aryan. Dia meneguk air itu sehingga habis.

“Ehem, tak ada apalah. Abang naik dulu.” Aryan ingin segera naik ke bilik. Bimbang jika dia gagal mengawal tingkah lakunya. Lebih-lebih lagi melihat Kayla yang dalam keadaan menggoda itu. Turun naik halkumnya menahan perasaan ketika ini.

Tiba-tiba dia terdengar derap kaki seseorang sedang menghala ke arah dapur. Laju Aryan menarik tangan Kayla dan bersembunyi di sebalik kabinet dapur. Wajah Kayla melekap kemas di dadanya. Pinggang gadis itu dirangkul erat.

“Siapa pula yang minum air tak basuh gelas ni?” rungut Datin Yasmin.

Aryan masih lagi bersembunyi sambil melindungi diri Kayla. Dan Kayla tidak melepaskan peluang ini dengan memeluk erat pinggang Aryan.

Tergamam Aryan dengan perbuatan Kayla. Bau wangian yang melekap di rambut si gadis semakin menggetarkan naluri lelakinya. Malah dia dapat merasai setiap lekuk di tubuh Kayla. Setelah Datin Yasmin beredar, dia segera menolak tangan Kayla daripada memaut pinggangnya.

“Jangan buat macam tu lagi. Abang tak suka.” Malu juga dia kerana bertindak menarik tangan Kayla tadi. Namun dia tidak menyangka Kayla sanggup bertindak dengan lebih jauh lagi. Hampir sahaja dia terbabas.

“Kayla cuma takut dengan umi tadi,” adu Kayla dengan manja.

Aryan meraup wajahnya perlahan. Nyaris saja dia hanyut dengan melakukan perkara yang tidak elok.

“Cepat naik,” gesa Aryan sebelum berlalu pergi meninggalkan Kayla.

Tergesa-gesa Kayla mengikut Aryan dari arah belakang. Dalam hati, dia bersorak riang dengan perkara yang berlaku sebentar tadi.

No comments:

Post a Comment