“UMAR!!!” Mia menjerit.
Umar tersenyum sambil jarinya menunjukkan tanda peace.
“Umar tak boleh buat macam ni. Ni semua salah.” Firaz pula bersuara.
“Umar nak mak su dengan papa duduk sekali. Jadi nanti Umar taklah kena pindah duduk rumah papa atau duduk jauh daripada mak su,” Umar membela diri.
“Macam mana Umar dapat idea gila macam ni?” tanya Firaz lagi. Dia sempat menjeling ke arah Mia. Manalah tahu gadis itu yang telah memberikan idea bodoh ini kepada Umar kerana tidak mahu berpisah dengan anak saudaranya itu. Nafas dihembusnya kasar. Geram, malu, sakit hati... semua bercampur baur. Kecil besar kecil besar sahaja dia melihat gadis yang dianggap gila itu.
“Hah! Siapa yang suruh Umar buat macam ni?” Mia memandang kepada abangnya. Dia syak abangnyalah dalang semua ini. Bukan sekali dua dia telah terjerat dengan blind date anjuran rahsia abangnya. Dia sudah masak. Entah mengapalah abangnya itu hendak sangat dia berkahwin.
Daud tenang sahaja. Bagaikan tidak bersalah. Dia juga tidak sabar untuk mendengar penjelasan Umar. Sah-sah dia bukan dalangnya. Tapi siapa?
“Mana ada orang suruh Umar pun. Alah, Umar tengok TV. Kan drama banyak tunjuk bila lelaki dengan perempuan tu duduk dua-dua dalam rumah, lepas tu imam ketuk pintu. Lepas tu mereka kahwin,” cerita Umar jujur.
Semasa ibu saudaranya masuk ke dalam biliknya, dia terjaga. Apabila mendapat tahu pak longnya sekeluarga keluar dan meninggalkan Firaz, Mia dan dia sahaja di rumah, Umar merancang sesuatu. Dia tekad keluar secara senyap-senyap dari pintu belakang dan menuju ke rumah pak imam.
Belum pun sampai di rumah pak imam, dia bertembung dengan Zaid yang tinggal di hadapan rumahnya.
“Umar nak pergi mana pagi-pagi buta ni?” soal Zaid yang baru pulang daripada kerja syif.
Umar tidak menjawab. Dia tidak suka lelaki itu. Zaid selalu bercakap kasar dengannya.
“Mak su Umar mana?” tanya Zaid lagi.
“Ada dekat rumah. Dengan papa.” Akhirnya Umar bersuara.
“Papa?” Zaid pelik. “Siapa papa?” tanyanya lagi. Seingatnya, tidak ada pun sebarang majlis di rumah itu.
“Jom, pak cik hantar balik. Nanti mak su kamu cari,” ajak Zaid. Risau juga dia dengan keselamatan Umar.
“Mak su tak cari. Mak su tidur. Papa pun tidur.” Umar sedikit pun tidak menoleh kepada Zaid.
“Biar betik! Tak boleh jadi ni!” Zaid terus ke rumah tok ketua. Mereka perlu menyerbu rumah cikgu itu.
Bam!!! Mia menepuk meja. Tersentak Umar. Hilang segala flashbacknya tadi. Firaz dan Daud juga terkejut.
“Dah, kemas baju! Lepas ni pergi ikut papa kau tu. Tak sangka, mak su jaga Umar elok-elok, Umar buat mak su macam ni. Agak-agaklah kalau nak cari calon suami untuk mak su. Mak su tak hadaplah nak kahwin dengan orang macam ni.” Mia marah. Dia bangun lalu menyalami isteri imam dan pulang ke rumah.
Umar terpinga-pinga. Niatnya baik hendak menyatukan mak su dan Papa Firaznya.
“Aku pun tak hadap nak kahwin dengan orang gila macam kau,” balas Firaz perlahan.
Apa yang berlaku awal pagi tadi benar-benar mengecutkan isi perutnya. Sudahlah Umar hilang, dia juga hampir-hampir sahaja menjadi suami kepada seorang gadis gila. Nasib baik mereka dibawa ke rumah pak imam dan mereka dibebaskan kerana salah faham.
“Tak sangka, along keluar sekejap saja dah jadi macam ni. Penduduk kampung ni memang macam-macam. Mereka ni cukup pantang bab berkhalwat, apatah lagi kalau bersekedudukan. Alimlah sangat, tapi kalau bab membawang, mereka sama naik. Entahlah, tak tahu along nak cakap apa.” Daud menggelengkan kepalanya sambil berjalan menuju ke keretanya. Lepas menerima panggilan, dia terus menghantar isteri dan anaknya pulang dan kemudian ke rumah pak imam.
Sebenarnya dia juga bersependapat dengan Umar. Terbit dalam hatinya untuk menyatukan adiknya dengan Firaz. Setidak-tidaknya kebajikan Umar terjamin. Tapi melihatkan mereka bercakaran sesama sendiri, dia mematikan sahaja niatnya itu.
“Teruk juga orang kampung ni.” Hanya itu yang mampu Firaz katakan. Itu pun setelah selamat dia masuk ke dalam kereta Daud. Debaran dipaksa bernikah dengan Mia masih terasa.
“Umar, sampai rumah nanti ambil beg, pak long hantarkan ke rumah papa kamu,” pelawa Daud. Dia juga hendak tahu di mana Umar tinggal selepas ini. Kalau ada apa-apa senang dia mencari.
Umar akur. Sampai sahaja di rumah, dia terus ke biliknya. Tidak lama kemudian, dia keluar dengan beg trolinya semalam. Perlahan dia berjalan ke bilik mak sunya. Pintu bilik itu tertutup rapat. Umar tahu ibu saudaranya berkurung di situ. Diketuknya sekali.
“Mak su, Umar nak pergi dah ni. Umar minta maaf. Halalkan makan minum Umar. Umar sayang mak su sampai bila-bila. Mak su jaga diri ya. Nanti Umar besar, Umar datang cari mak su,” tutur Umar perlahan. Air matanya dikesat. Lama dia berdiri di depan pintu, namun Mia masih membatukan dirinya.
“Umar jom,” panggil Daud di muka pintu hadapan. Enjin keretanya sudah dihidupkan. Ikut perancangan sebelum ini, cuti sekolah itu Umar akan tinggal dengan Daud sementara adiknya pergi bercuti ke Hat Yai.
Memang Mia suka melancong. Sejak zaman sekolah lagi, ada sahaja aktivitinya apabila ada cuti panjang. Tetapi sejak kakaknya meninggal, Mia semakin jarang melancong. Mungkin kerana Umar. Jika di dalam negara, dia akan membawa Umar sekali, tetapi jika ke luar negara, Umar terpaksa ditinggalkan kepada Daud. Kerana itu, Mia selalu menolak ajakan rakannya.
“Mak su, Umar pergi dulu. Assalamualaikum.” Dengan perlahan Umar melangkah membuntuti pak longnya. Dia menyalami Sara dan memeluk Aisha.
“Umar jaga diri baik-baik tau. Jangan tinggal solat, mengaji. Kalau Umar nak balik sini, bila-bila masa pun boleh. Pintu rumah ni dan rumah mak long sentiasa terbuka buat Umar,” pesan Sara. Umar dipeluknya erat. Matanya mula berkaca. Dahi anak yatim piatu itu turut dikucup. Ketika ibu bapa Umar meninggal, dia baru sahaja berkahwin dengan Daud. Umar sudah dianggap seperti anaknya sendiri walaupun Umar memilih untuk terus tinggal bersama Mia. Sedikit pun dia tidak berkecil hati.
“Mak long nanti tolong jaga mak su ya? Kesian mak su duduk sorang-sorang,” pinta Umar.
Sara hanya mengangguk.
Firaz hanya memandang dari jauh. Hatinya turut tersentuh. Nampak sangat Umar menyayangi gadis gila itu. Anak saudaranya itu sudah kena guna-guna agaknya.
“Jom!” ajak Daud.
Firaz hanya tersenyum. Dia membantu Daud memasukkan beg Umar ke dalam kereta.
Sampai di pintu hadapan, Umar menoleh memandang pintu bilik Mia. Pintu itu masih tertutup rapat. Terpancar wajah penuh kehampaan. Umar tahu mak sunya marah sangat kepadanya. Tetapi jauh di sudut hatinya, dia berharap Mia keluar. Dia mahu memeluk Mia sebelum berangkat.
Umar memandang Firaz. Lelaki itu tersenyum kepadanya. Entah mengapa, kerinduan terhadap arwah daddynya sedikit terubat dengan kehadiran bapa saudaranya itu. Dia melangkah masuk ke dalam perut kereta Daud. Mereka ke pusara ibu bapa, datuk dan nenek Umar dahulu sebelum ke rumah bujang Firaz.
SAMPAI DI depan pagar rumah teres setingkat, Firaz mempelawa Daud dan Umar masuk.
“Nilah rumah bujang saya. Buat masa ni, saya menyewa berdua sahaja dengan kawan sekolah saya. Jemputlah masuk,” pelawa Firaz. Pintu hadapan rumah itu dibukanya.
“Assalamualaikum! Kay, kita ada tetamu,” Firaz memanggil Kay.
“Hah, tetamu? Siapa?” tanya Kay yang baru keluar dari bilik mandi yang terletak berhampiran dengan dapur. Selamba saja dia berkemban dengan tuala. Rambut panjangnya yang basah dibalut dengan tuala kecil. Dia ingat Firaz main-main sahaja. Apabila melihat Daud dan Umar melangkah masuk, laju dia berlari masuk ke biliknya.
“Kejap ya. Saya pakai baju dulu,” kata Kay malu-malu.
Bulat mata Daud dan Umar melihat Kay.
“Dia tu memang macam tu. Tapi jangan risau, dia straight,” ujar Firaz perlahan sambil mengenyitkan matanya. Dia tahu Daud dan Umar terkejut melihat sahabatnya itu.
“Oh straight. Kau?” Daud terus bertanya.
Firaz ketawa.
“Saya sah-sah straight sestraight-straightnya.” Firaz mendabik dada.
Daud mengurut dada sambil mengangguk. Lega.
Mereka duduk di ruang tamu sambil berborak. Tidak lama kemudian, Kay keluar dari biliknya dengan busana serba pink, warna kegemarannya. Sudah rupa macam Pink Panther pula.
“Maaf ya, boraklah dulu. Saya pergi buatkan air,” sapa Kay sambil menjeling kepada Firaz yang tidak reti-reti menghidangkan minuman kepada tetamu.
“Eh, takpelah. Tak payah susah-susah, kami dah minum tadi,” Daud menolak dengan lembut. Perutnya masih kenyang dengan semangkuk cendol yang dibelanja oleh Firaz selepas mereka menziarahi pusara ibu bapa Umar.
“Hesy, itu air lain. Air tangan saya sedap tau,” balas Kay sayup-sayup dari dapur.
Terus Daud tertelan air liur. Dia terasa bagai digoda pula. Seluruh anggota badannya terus rasa seram sejuk. Bagaimanalah Firaz boleh tinggal dengan rakan serumah begitu? Bagaimana Umar nanti? Nasib baik Mia tidak ikut sekali. Kalau tidak, sah-sah kecoh apabila Mia melihat Kay.
“Jom, papa tunjuk bilik Umar,” ajak Firaz.
Umar bangun mengikut Firaz. Daud pun ikut sama. Dia tidak mahu tinggal sendirian di ruang tamu. Tambahan pula apabila dia nampak Kay mula bergerak ke arah mereka dengan dulang berisi minuman.
Bilik di rumah itu ada tiga. Satu milik Kay dan satu lagi milik Firaz. Satu lagi bilik kosong lengkap dengan katil bujang dan almari dikhaskan untuk tetamu. Adakalanya ibu Kay yang datang menziarah akan menggunakan bilik itu. Kini bilik itu diberi kepada Umar. Kay tidak pula membantah kerana sedia maklum yang suatu hari nanti Umar akan tinggal bersama mereka. Hanya dia tidak sangka secepat ini.
“Macam mana?” tanya Firaz sambil duduk di birai katil. Daud hanya bersandar di pintu.
“Okey,” Umar nampak teruja. Walaupun bilik itu kecil daripada biliknya sebelum ini, sebuah penyaman udara benar-benar menarik minatnya. Tambahan pula sedang musim panas.
Daud tersenyum lega.
“Eloklah macam tu. Lepas ni Umar duduk baik-baik dengan papa Umar ni ya. Jangan buat hal macam dekat kampung lagi,” nasihat Daud.
Umar hanya mengangguk.
“Okeylah Firaz, along nak gerak dulu. Lepas ni nak balik KL, esok along kerja. Senang-senang along datang lagi. Jaga Umar ni baik-baik.” Daud hendak pulang.
“Insya-Allah. Sebenarnya ada banyak saya nak tanya along. Tapi takpelah, nanti saya call.” Sebenarnya Firaz risau juga apabila Daud kata hendak datang lagi. Bagaimana jika gadis gila itu datang sekali? Lepas tu setiap hari datang dengan alasan hendak berjumpa dengan Umar. Masak!
“Dah nak balik?” sapa Kay mesra.
“Haah, esok kerja. Lepas ni dah nak balik KL,” Daud berbasa-basi.
“Minumlah dulu,” ajak Kay lembut.
Daud tidak jadi keluar, dia ke ruang tamu. Punggungnya dilabuhkan kembali di sofa. Gelas bercorak abstrak dicapai lalu dibawa ke mulut. Air sirap dicecap sedikit. Boleh tahan sedapnya. Habis segelas air diteguknya.
“Sedap, kan? Homemade tau,” ujar Kay.
“Jumpa lagi. Assalamualaikum,” pamit Daud sebelum pulang.
“Eh, kejap! Budak ni tertinggal ni,” Kay bersuara apabila menyedari Daud pulang seorang diri. Dia cuba mengejar kereta Daud, tetapi dihalang oleh Firaz.
Firaz mengangguk. Dia turut memberi sekuntum senyuman paling manis. Harap-harap Kay cair dengan senyumannya.
Makin pelik Kay dibuatnya. Berkerut seribu dahinya. Setelah berjeda seketika, Kay membulatkan matanya.
‘No Firaz, no!’ Mulutnya terkumat-kamit tanpa suara yang keluar. Laju tangannya menarik lengan Firaz. Dibawanya ke tepi.
“Kau sedar tak apa yang kau buat?” soalnya tegas.
“Sebab sedarlah aku bawa dia balik.” Firaz meleraikan genggaman tangan Kay. Nasib baik bukan digenggam pada bekas gigitan semalam.
“Siapa nak jaga?” Serius muka Kay menuturkannya.
“Nanti kita bincang ya. Aku nak tidur. Mengantuk.” Bahu Kay, Firaz tepuk sebelum melesapkan diri masuk ke dalam rumah mereka bersama Umar.
“Firaz... Firaz,” panggil Kay perlahan. Dia hendak mereka menyelesaikan isu itu dengan segera, namun haram dijawab sahabatnya itu. ‘Hesy Firas, macam-macamlah kau ni! Pening aku. Nasiblah kau sahabat baik aku. Kalau tak, dah lama aku halau kau keluar,’ bentak hati Kay.
“Cik Kay, nak main teka-teki tak? Siapa kalah kena belanja aiskrim.” Memang Umar suka berikan teka-teki kepada orang yang baru dikenalinya.
“Boleh juga, lama Cik Kay tak main teka-teki.” Kay duduk menghadap Umar. Tidak sabar dia hendak menjawab teka-teki budak kecil. Kacang aje!
“Okey. Teka-teki dia macam ni, what chair that can run?” Umar menggayakan tangannya seperti berlari.
“Amboi, dahsyat! Teka-teki omputih. Ada kelas, tapi apa ya?” Kay mengulang soalan tadi sambil berfikir. Kerusi lari? Daripada duduk terus dia berdiri dan mengelilingi sofa yang Umar duduk. Sekejap dia memegang sofa, sekejap dia menggayakan tangan seperti Umar tadi. Akhirnya dia kembali duduk.
“Cik Kay mengalah. Cik Kay pandai teka-teki Melayu aje. Teka-teki teka tekuk.”
Umar ketawa. Satu lagi aiskrim untuknya!
“Jawapannya ialah chairman!”
Kay tepuk dahi. Kenapalah dia tidak terfikir ke arah itu? Dengan tidak berpuas hati, Kay memberikan Umar satu teka-teki. Teka-teki bahasa Inggeris pasti jawapannya bahasa Inggeris juga. Kenapalah dia fikir jawapan bahasa Melayu?
“Sekarang Cik Kay nak bagi kau teka-teki pula. Dengar ya. Apa dia kalau jilat-jilat, bila dah basah baru cucuk?”
Berkerut seribu dahi Umar. Tidak pernah dia dengar teka-teki itu.
“Kau fikirlah, aku bagi kau tambahan masa sampai petang karang.” Kay bangun lalu masuk ke dapur sambil bersiul senang hati.
No comments:
Post a Comment