“BAKAL wife kau.” Noah mencuit paha Haris yang sedang tekun makan.
Terus Haris menoleh ke arah yang Noah maksudkan. Hilang terus selera makannya apabila melihat gadis itu. Sudu dan pinggan dia alihkan ke tepi. Tangan mencapai gelas berisi air kosong dan diteguk perlahan. Leon dan Noah sudah mengekek ketawa.
“Haris sayang...” Tanpa dipelawa, Dayana terus melabuhkan punggung ke kerusi kosong di sebelah Haris.
“Aku bukan sayang kau!” Haris mengesat kasar mulutnya dengan tisu. Sepatutnya dia makan di rumah sahaja tengah hari ini. Jadi tak adalah dia bertembung dengan Dayana. Dia memberi isyarat mata kepada Leon dan Noah agar mereka beredar.
“I datang sini susah-susah, takkan you nak tinggalkan I? Temanlah I makan.” Dayana memaut lengan Haris apabila lelaki itu mahu bangun.
“Tak hingin!” Haris menolak tangan Dayana kasar.
“Takkan dengan bakal isteri sendiri pun sombong?” Dayana sengaja meninggikan suara untuk menarik perhatian pengunjung lain yang sedang makan. Sekali lagi, dia memaut lengan Haris. Kali ini siap menempelkan dadanya pada lengan lelaki itu.
Leon memberi isyarat agar mereka kembali duduk. Restoran ini milik pak ciknya. Jadi dia tidak mahu terjadi sebarang kekecohan di sini.
“Jangan buat kecoh kat sini boleh tak?” Mahu tidak mahu, Haris terpaksa duduk. Tangan ditarik kasar.
“Temankan I makan, baru I tak buat kecoh,” pinta Dayana. “Kawan-kawan you, suruh diaorang balik.”
“Kalau kau nak makan, makan cepat. Kalau tak aku tinggalkan kau. Diaorang stay. Tak elok berdua-duaan. Yang ketiga pasti syaitan. Lagi-lagi memang kau sengaja mengundang syaitan.”
Haris menjeling Dayana sekilas. Gaun ketat separas lutut sahaja Dayana pakai. Memang sengaja mengundang gelojak nafsu lelaki. Bukan dia tidak perasan mata Leon berada di mana.
“Kenapa dengan I you selalu sinis? Dengan perempuan lain kat kelab tu you okey aje. Nak meraba, nak bergesel... you tak pernah marah.”
Haris tersenyum sinis.
“Sebab diaorang tu bukan Dayana.”
“You!” Dayana sebal.
“Selain daripada perempuan yang namanya Dayana Datuk Fuad, aku tak kisah pun diaorang nak menempel kat aku.”
“You...” Telunjuk Dayana lurus menunjuk ke muka Haris. Lelaki ini memang keterlaluan. Terus dia bangun dengan wajah mencuka.
“I hate you!”
Haris ketawa melihat Dayana menghentak kaki sambil melangkah keluar dari restoran. Bukan dia sahaja, semua mata di dalam restoran itu memandang Dayana.
“Kenapa dia obsess sangat dengan kau? Siap mengaku kat semua orang yang dia bakal isteri kau,” tanya Leon. Sering kali mereka bertembung dengan Dayana tetapi Haris tetap buat tidak layan. Melihat tubuh perempuan itu sahaja dia sudah terliur. Tidak mungkin sahabatnya bernafsu songsang.
“Dia nak harta nenda aku aje. Perempuan macam tu aku nak jadikan isteri? Mulut mengaku bakal isteri aku... tapi malam-malam peluk lelaki lain. Korang nak ke jadikan dia isteri?”
Cepat-cepat Noah dan Leon gelengkan kepala. Mereka bukanlah baik sangat. Tetapi mereka tidak mahu perempuan yang sering bertukar-tukar lelaki sebagai teman hidup. Bukan mereka tidak kenal perangai Dayana.
“Jom balik ofis. Aku ada miting ni.” Haris bangun dan atur langkah ke kaunter untuk membuat pembayaran.
“KENAPA LAMBAT tadi?” Puan Sri Rokiah bertanya kepada Haris sebaik sahaja selesai mesyuarat. Selepas 10 minit mesyuarat berlangsung barulah cucunya itu muncul.
“Dayana...”
Puan Sri Rokiah hanya menunjukkan reaksi biasa. Dia memberi isyarat kepada pembantunya agar mereka keluar dari bilik mesyuarat. Ada banyak lagi urusan lain yang perlukan perhatiannya.
“Nenda.” Haris mengekori Puan Sri Rokiah keluar dari bilik mesyuarat dan terus ke bilik nenda.
“Bawa calon. Sesiapa pun yang Haris suka, nenda terima. Itu saja cara nak lari daripada pak long kamu.”
“Tapi nenda... tak boleh ke nenda tolong beritahu pak long?” Haris melabuhkan punggung ke sofa. Matanya tidak lepas memerhatikan Puan Sri Rokiah. Menanti jawapan nenda. Ini soal hidup dan matinya.
“Atas alasan apa nenda nak tolak cadangan pak long kamu? Nak kata Dayana bukan perempuan baik-baik... kamu pun bukan stok lelaki beriman. Keluar masuk kelab suka hati juga.”
Haris tergemap.
“Betul juga alasan pak long kamu. Harta kita tak adalah jatuh pada orang lain. Nenda boleh kata Haris dah ada calon sendiri atau belum sedia nak kahwin tapi... lama-lama nanti habis juga alasan nenda.”
Haris tunduk. Bukan sekarang buah fikiran pak longnya muncul. Sejak dia habis belajar lagi. Tapi sering kali dia dapat mengelak. Pelbagai alasan yang dia berikan.
“Tapi nenda...”
“Bawa calon. Nenda akan setuju.”
“Walaupun dia cuma orang gaji... nenda akan setuju?”
Puan Sri Rokiah tidak menjawab.
“HAI SEKSI.”
Terus Najah menoleh sebaik mendengar suara yang kedengaran janggal di telinganya. Terkejut dia melihat Luzman berdiri di belakangnya. Beraninya lelaki itu masuk sampai ke dapur. Dia sedang membancuh adunan cucur udang untuk minum petang nanti.
“Tu... tuan nak apa?” tanya Najah takut-takut. Pantas dia pusingkan tubuhnya apabila perasan mata Luzman melekat di belakang tubuhnya. Terlihat juga lelaki itu menggigit bibir tadi. Faham akan isyarat lelaki itu. Sudahlah dia seorang sahaja di dapur tika ini.
Luzman beranikan diri mendekati Najah. Dia menjalarkan jemarinya di pipi Najah. Tetapi pantas gadis itu menepis. Bibirnya tersengih lebar. Suka dengan perempuan jual mahal begini.
“Kau cantik. Sejak aku tengok kau tadi, semua kerja aku tak menjadi. Kau sengaja jampi aku ke hah?” Luzman mendekati Najah lagi.
“Jampi apa?” Najah pantas menepis jari yang seakan mahu mengelus pipinya. “Jangan sentuh saya.” Dia menjauhi Luzman.
“Kau jadi makwe aku. Aku akan salut kau dengan kemewahan. Tak perlu lagi kau jadi orang gaji.” Luzman tidak berputus asa. Sekali lagi dia merapati Najah.
“Maaf, tuan. Saya tak minat jadi makwe tuan. Saya selesa kerja di sini.” Najah mengelak sebaik sahaja Luzman mahu memeluknya. Terus dia berlari ke sudut dapur. Sambil itu dia berdoa dalam hati agar Mak Ton muncul.
“Semua orang nak jadi makwe aku. Kenapa kau tak nak?” Luzman masih tidak putus asa untuk mendapatkan Najah. Dia panjangkan tangan cuba memeluk tubuh itu sekali lagi. Namun pantas gadis itu mengelak.
“Kenapa saya perlu beri alasan kalau dah jelas kenapa? Tuan tak nampak diri tuan sendiri tak ubah seperti lelaki gila yang cuba berbuat tidak baik terhadap perempuan. Buat pengetahuan tuan, saya tak minat lelaki macam tuan.”
Luzman mendecit. Biasanya orang perempuan berkejar mahukan dia. Tetapi sekarang dia yang mengejar Najah. Penolakan Najah menguatkan lagi keinginannya.
“Lebih baik tuan keluar dari sini. Kalau tidak, saya jerit.” Najah sudah tidak tahan. Kalau dibiarkan, tidak mustahil dia akan menjadi mangsa Luzman.
“Jeritlah. Bukan ada sesiapa pun.” Luzman pamer sengih. Sudah dia pastikan di banglo besar ini hanya ada mereka berdua. Orang gaji yang lagi seorang sedang berbual dengan tukang kebun. Manakala nenda dan Haris belum pulang dari pejabat.
“Kalau macam tu, jangan salahkan saya kalau kaki tuan patah nanti.” Najah kepal penumbuk dan pasang kuda-kuda. Dia ada ilmu silat.
“Tak ada satu pun tentang awak yang buat saya tak teruja.” Luzman mendepakan tangan mahu memeluk Najah.
Najah mahu membuka langkah mengelak, tetapi dia terpijak kainnya. Tubuhnya hilang imbangan dan hampir sahaja jatuh ke belakang jika bukan disambut oleh seseorang.
“Tolong hormat nenda. Jangan buat maksiat kat sini.” Haris menolak tubuh Najah kembali berdiri tegak. Cepat-cepat dia berlari masuk sebaik terlihat kereta milik sepupunya tadi. Memang sudah dia jangka yang Luzman akan mengganggu Najah.
Luzman buat muka selamba. Dia berjalan melepasi Haris dan terus beredar keluar dari situ.
“Kalau nak bercinta, jangan kat sini,” perli Haris sambil memandang Najah.
No comments:
Post a Comment