SEPERTI mengulang cerita pada awal tadi, sebuah kereta berhenti di sebelah Suri. Kerana tahu gerangan lelaki itu, maka Suri sengaja berbuat tidak tahu. Dia cuba keraskan hati, menyombongkan diri. Langkahnya terus diatur. Kereta yang dipandu Putra turut bergerak perlahan, cuba bergerak seiring dengan langkahnya.
“Sajalah tu. Tunjuk baik nak pujuk.” Dalam membebel sendiri, kakinya terpelecok lalu dia terus jatuh terduduk. Mungkin juga kerana kakinya sudah terlalu penat. Namun disebabkan dia tahu lelaki itu sedang mengekori, serta-merta dia bangun. Maka, malulah dia untuk kesekian kalinya. Entah mengapa lelaki itu juga yang ditakdirkan menjadi saksi tika dia terjatuh. Apalah nasib...
Putra kini memberhentikan keretanya sedikit ke hadapan. Dia terus keluar dari perut kereta dan berjalan laju mendapatkan si gadis.
“Okey tak ni awak?” soal Putra dengan riak wajah risau.
Suri buat sombong lagi. Sengaja tidak menjawab pertanyaan itu.
“Jomlah, naik dengan saya. Lupakan hal tadi, okey. Saya minta maaf. Saya tahu salah saya.” Putra tidak mahu hal tadi menjadi masalah yang berpanjangan.
“Pergilah sana. Saya tak harapkan bantuan awak pun. Yang awak patah balik ni dah kenapa?”
“Awak merajuk, eh?” Putra tersengih sinis. Rasanya memang gadis itu tengah merajuk dengannya. Nada itu dia boleh kenal. Okey, comel! Itu aje yang dia nak kata.
“Merajuk? Sorrylah. Tak kuasalah nak merajuk, lagi-lagi dengan orang yang saya tak kenal macam awak ni.”
“Kalau awak kata awak tak merajuk, saya nak tengok awak senyum and then ikut saya naik kereta. Tu kalau betul-betul awak tak merajuklah.” Putra mula bermain helah kata.
Hakikatnya dia mesti membawa gadis itu bersamanya. Tak mungkin ditinggalkan sendirian di tempat sebegini. Terlalu berbahaya. Kalau diculik, siapa yang ingin bertanggungjawab? Lagilah dia orang yang terakhir bersama gadis itu. Silap hari bulan, dia pula yang dipersalahkan.
“Tak ingin pun. Ingat saya tak boleh sampai ke kalau jalan kaki ni?” Nampaknya Suri masih terus mempertahankan egonya. Dia tidak mahu lelaki itu memandang rendah kepadanya.
“Saya rasa memang takkan sampai pun. Tak payahlah nak buat sombong kalau kaki tu dah sakit. Kejap lagi terus kram kaki tu macam mana? Tak boleh jalan terus. Nak macam tu? Dah, jom. Saya kira sampai 3. Kalau tak, saya dukung awak.” Putra mula pandai nak mengugut. Itu sebenarnya satu trick untuk buatkan gadis itu menyerah kalah.
Zapp! Tajam anak mata Suri menikam pandangan mata lelaki itu. Lelaki itu pula selamba membalas renungannya berteman pakej senyuman.
“Kalaupun nak tikam mata saya, janganlah tikam sampai ke hati saya juga Cik Suri. Sakit tahu tak. Dahlah tak sudi nak jadi kekasih saya.” Putra melepaskan tawa.
Terus Suri kalih pandang ke arah lain sambil menggigit bibir menahan geram. Lelaki itu memang boleh tahan juga dalam bab-bab menjawab.
“Dah, jom.” Ajak lelaki itu untuk kesekian kalinya.
Suri masih tidak mahu kalah dengan lelaki itu. Dia tetap melangkah pergi.
“Betul awak nak jalan kaki ni? Tak nak naik dengan saya?”
“Ya. Saya nak jalan kaki.”
Putra hanya menggeleng kepala. Ego betul gadis ini.
“Rasanya kaki awak tu dah tak larat dah pun. Saya ni tengah tunggu masa aje awak jatuh terduduk kat situ. Waktu tu, free of charge saya dukung awak masuk dalam kereta. Barulah sweet macam scene drama Korea kan?”
“Hei! Awak perli saya ke apa ni?”
“Eh, taklah. Awak terasa ke? Saya cakap yang betul aje. Kaki awak dah penat sangat tu. So, sebelum saya berhati mulia nak dukung awak, dipersilakanlah masuk ke kereta tu. Saya kira sampai 3, kalau awak tak nak masuk sendiri, saya dukung awak secara paksa!” Kali ni Putra tunjuk ketegasannya.
“Eee... sakit jiwalah cakap dengan awak ni.” Suri mendengus geram. Rasa menyampah pula rasa hatinya dengan sikap lelaki ini.
“Laaa... marah kita pula. Dahlah, Suri. Jom. Membazir masa aje kita gaduh-gaduh ni. Tak dapat apa pun. Baik kita berkenalan secara baik. Tak mahulah gaduh-gaduh macam ni. Orang yang lalu-lalang tengok aje kut. Mesti diaorang fikir yang bukan-bukan.”
“Awak yang mula dulu.”
“Saya ke?”
“Yalah, awak.” Suara Suri sudah mula kendur. Mungkin sebenarnya dia terpaksa mengaku kalah dengan lelaki itu. Sebenarnya dia dah touching juga sebab lelaki itu datang memujuk.
“Okey. Saya minta maaf. Rasa dah banyak kali juga saya minta maaf kat awak.” Putra ucapkan kata maaf andai itu yang boleh memujuk hati si gadis.
“Itu pun nak berkira.”
Putra hanya mampu ketawa. Kelakarlah Suri ni. “Dah. Jom naik kereta. Takkanlah saya sampai hati nak tinggalkan jodoh hati saya dekat sini.”
“Awak ni kan...” Suri sudah tidak tahu membalas apa. Biarlah lelaki itu terus bermain dengan kata-katanya. Dia pun malas nak terus bergaduh. Dia dah letih.
Masuk ke dalam kereta, terus lelaki itu menghulurkan sebotol air mineral.
“Nah, minum. Saya tahu awak dah kehausan. Jangan cakap tak nak pula. Karang pengsan saya tak tahu. Memang saya jugalah yang kena angkat awak nanti. Cumanya air tu ada bekas mulut saya. Sorrylah sebab tu aje yang ada.”
Air mineral itu diambil lalu terus diteguk sehingga habis. Alhamdulillah. Segar rasanya.
Kini Putra kembali menyambung pemanduannya yang terhenti tadi. Dilihat gadis di sebelahnya itu pun sudah kembali tenang.
“Awak nak tahu tak Suri... cara awak gaduh, merajuk manja dengan saya tadi kan, macam gaya awak ni dah couple lama aje dengan saya. Comel sangat.”
Terus Suri terbatuk-batuk. Mujur air dah habis diminum. Jika tidak pasti tersembur keluar. Hai, mamat sorang ni. Sajalah tu nak malukan dia lagi.
“Awak memang saja nak malukan saya kan?”
“Taklah. Saya cakap apa yang saya rasa. Nampak sebenarnya kita ni mesra. Tak gitu?”
“Mesra ke?”
“Ya. Mesra macam couple-couple. Yalah. Awak merajuk, saya pujuk. Mesralah tu.”
“Ikut awaklah. Mesra ke, tak mesra ke. Saya, no comment.” Suri malas nak ambil peduli. Menjeling sekilas, dia perasan bibir lelaki itu terhias segaris senyum.
“Kenapa awak senyum?”
“Sedekah untuk awaklah, jodoh hati saya.”
Suri tayang muka bengang. Tak habis-habis lagi lelaki itu bercakap fasal jodoh. Hurmm...
Cakap fasal jodoh, adakah pertemuan mereka ini terkait juga dengan mimpinya sebelum ini? Memang diakah orangnya? Detik hati seakan mengiakan, namun akal tetap menentang kenyataan yang cuba diyakini itu. Menghela nafas, Suri cuba tenangkan perasaannya kembali.
“Suri, awak masih sudi tolong saya, kan?”
“Tolong apa?”
“Berlakon jadi kekasih saya.”
“Yalah, yalah. Saya tolong.” Suri malas nak cakap banyak. Rasanya kalau dia menolak pun tetap kena paksa juga. Tak apalah. Hari ini kasilah peluang lelaki itu jadi kekasih hatinya. Nak sangat kan.
“Thanks. Okey. Sekarang ni saya nak minta awak tolong bukakan kacang tu untuk
saya, boleh?”
Tanpa banyak soal, Suri turutkan saja. Bukan jadi masalah pun nak buka bungkusan kacang itu. Dilihat lelaki itu sudah menadah tangan. Lalu dia tuangkan beberapa butir kacang gajus madu di atas telapak tangan lelaki itu.
“Awak makanlah. Tadi awak dah kehabisan tenaga. Makan ni, okey. Ada madu, manis. Support untuk tenaga awak. Kalau awak nak tahu, kacang ni favourite saya tau.”
“Tak tanya pun.”
“Dah agak dah. Mesti awak nak cakap macam tu.” Putra senyum. Dia perasan gadis itu mengukir senyum. Mungkin mood dah kembali okey. Mulalah dia nak menyakat.
“Tapi manis madunya tak boleh nak lawan manisnya senyuman awak tu. Manis meleting.”
Mendengar kata-kata itu, terus Suri matikan senyum.
“Awak ni memang sengaja kan.” Lelaki itu dijeling. Sambil itu kacang yang berada di tangannya disumbat ke dalam mulut dan dikunyah penuh rakus. Dia dah tak kisah siapa lelaki itu.
‘Suri... Suri... kenapalah comel sangat ni?’ Putra yang melihat senang memuji. Namun pujiannya hanya di hati. Saat ini dirasakan hatinya berbunga-bunga penuh gembira. Seakan ada getar dalam hati lelakinya. Kebetulan irama Hindustan kembali berlagu di radio. Terus dikuatkan sedikit volumenya agar suasana lebih ceria.
“Nah. Your favourite song.” Sememangnya lagu Janam Janam itulah lagu yang menjadi ringtone telefon bimbit Suri yang didengar tadi. Gadis itu dilihat kembali tersenyum. Mungkin gembira melayan lagu itu.
Muzik terus berlagu indah. Namun Putra sibuk juga nak menyanyi. Ala-ala hero Korea nak cuba nyanyi lagu Hindustanlah gamaknya. Aduh, bukan Janam Janam lagi dah! Jahanam terus lagu jadinya.
**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /
: 019-3729676 (Admin Shida)
No comments:
Post a Comment