DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 21 November 2021

Syurgaku... Di Wajahmu - Bab 2


MATA Hairi terus merenung atap yang tidak ditutupi siling. Dalam kesamaran malam, kelihatan beberapa ekor cicak merayap pada kekisi atap rumah. Pada waktu malam begini, kedinginannya menggigit hingga ke tulang hitam. Kalau pada waktu tengah hari, panasnya bagai berada di dalam sauna. Begitulah suasana kampung.

Dia bagaikan tidak percaya yang dia kini berada di sini. Pada awalnya dia membantah kerana ditempatkan untuk membuat kajian di perkampungan yang agak terceruk begini. Seumur hidupnya dia tidak pernah tinggal di kampung.

Berasal dari bandar raya Pulau Pinang, dia tidak tahu bagaimana cara untuk hidup di kampung sekecil ini. Kedudukannya agak jauh dari bandar besar dan kemudahan yang ada cukup terhad. Namun, atas nasihat penyelia projek tahun akhirnya, dia datang juga ke sini. Mulanya dia difahamkan akan tinggal di rumah tok penghulu kampung ini, tapi akhirnya dia dan Razlan ditempatkan di rumah Abang Sahak yang agak kurang selesa ini. Malah, mereka hanya diberikan tikar, bantal dan selimut sahaja. Bilik yang ada hanya sebuah dan dihuni oleh Abang Sahak, Kak Midah dan anaknya yang bongsu.

Terpaksalah dia dan Razlan tidur di ruang tamu ini bersama dua orang anak Abang Sahak yang paling besar, Aiman dan Hamdi. Untuk menukar pakaian pun terpaksa dilakukan di ruang tamu. Rumah kecil ini hanya ada tiga ruang sahaja, ruang tamu, satu bilik tidur dan dapur yang agak luas. Memang betul-betul asas kemudahannya. Tiada satu pun bilik mandi di dalam rumah. Cuma yang ada hanyalah ruang yang menempatkan sebuah perigi yang dipagari oleh dinding konkrit separas bahu. Tanpa privasi, dia terpaksa mandi air perigi yang sejuknya hingga ke tulang hitam. Tandas disediakan kira-kira 50 meter dari pintu dapur. Dia tidak dapat membayangkan kalaulah dibuatnya sakit perut pada malam hari, terpaksalah meredah gelap malam untuk ke tandas.

Selama 25 tahun hidupnya, dia tidak pernah membayangkan sebuah kehidupan yang sebegini daif. Dilahirkan dalam keluarga yang agak mewah, ibunya adalah seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dan ayahnya seorang ahli perniagaan. Dia tidak pernah merasakan kesusahan dalam kehidupan. Walaupun ini baru hari keduanya, dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk kembali ke Hospital USM Kubang Kerian, tempat pengajiannya.

Belajar di tahun akhir dalam bidang perubatan memaksa dia membuat kajian ke atas penyakit-penyakit yang berkaitan dengan persekitaran dan malangnya dia terpaksa mengkaji kaitan persekitaran terpencil dengan kesihatan penduduknya. Tempat ini pula dipilih oleh penyelianya yang

memang gemar membuat kajian di tempat-tempat terpencil sebegini. Hairi mengeluh sambil memandang pada Razlan yang lena di sebelahnya.

Razlan kelihatan begitu selesa berada di sini. Tidak seperti dirinya yang merasakan bagaikan satu bebanan yang amat berat untuk ditanggung. Mungkin kerana Razlan berasal dari kampung, maka dia tidak merasa terbeban berada di kampung terpencil sebegini. Walaupun kampung Razlan tidaklah jauh nun di pedalaman dan mempunyai kemudahan asas yang lebih baik, tetapi dia sudah biasa dengan kehidupan yang sederhana.

Fikiran Hairi kembali menerawang mengenangkan peristiwa petang tadi. Sewaktu dia meninjau-ninjau kawasan di pinggir sungai belakang rumah Abang Sahak, dia terjumpa sebuah jeram kecil yang terletak di satu kawasan yang agak tersembunyi. Dengan batu bata yang pelbagai saiz dan pohon-pohon yang pelbagai jenis, kawasan itu dirasakan amat menarik.

Yang lebih menarik lagi, sedang dia termangu-mangu di situ, kelibat seorang gadis manis tiba-tiba mengganggu. Terpaku dia melihat seraut wajah itu. Orangnya tinggi lampai, berkulit cerah dan sekali pandang, dia seakan-akan dapat mengagak bahawa gadis itu berusia dalam lingkungan akhir belasan tahun. Wajahnya sederhana sahaja. Cuma, yang menariknya ialah keayuan dan kelembutannya. Perwatakannya lembut dan agak berlainan dengan gadis-gadis lain yang ditemuinya sepanjang 2 hari dia berada di kampung ini.

Gadis polos itu tidak menyedari kehadirannya, menyebabkan lebih mudah untuk dia mengamati perlakuan gadis yang sungguh ayu berbaju kurung dan bertudung, walaupun berada di kawasan terpencil sebegitu. Sesekali gadis itu menyelak kainnya untuk mencecahkan kaki ke dalam air sungai, menampakkan kaki dan betisnya yang cantik bak bunting padi. Pemandangan yang mengasyikkan itu sedikit sebanyak dapat melegakan hatinya yang gundah kerana terpaksa datang ke tempat terceruk sebegini.

Pada mulanya ingin sekali Hairi menegur gadis itu untuk memulakan salam perkenalan. Tetapi apabila dilihat keasyikan gadis itu, dia mendiamkan diri. Menikmati sahaja pemandangan menarik yang disajikan di depan mata. Terdetik juga dalam hatinya, ‘Kalau-kalau perlakuannya itu diketahui orang.’

Tak pasal-pasal pula nanti dia ditangkap kerana mengintai anak dara orang. Baru saja 2 hari berada di sini, sudah buat hal. Tetapi, dia tidak dapat mengelak daripada terus memandang. Dan kedudukannya yang berada di sebalik batang pokok besar mampu menyembunyikan dirinya daripada pandangan gadis itu. Mungkin gadis itu dapat merasakan kehadirannya kerana sesekali dia memandang sekeliling, seakan-akan tercari-cari sesuatu di sekitar kawasan tersebut.

Agak lama gadis itu termenung sendirian. Sesekali dia tersenyum bagaikan terkenangkan sesuatu. Dan apabila gadis itu melangkah pulang, bagaikan ada satu perasaan sayu melanda hatinya. Timbul rasa bimbang dalam hati yang dia tidak akan bertemu lagi dengan gadis itu. Untuk menegur dan berkenalan, Hairi merasakan terlalu awal. Tetapi, Hairi merasakan terlalu sayang untuk melepasnya pergi begitu sahaja, tanpa mengenali dengan lebih dekat lagi.

Tetapi kini, pada saat hati ini berbicara sendiri, terasa cukup kesal dalam hati kerana melepaskan gadis itu pergi tanpa mengetahui siapa gerangan empunya diri. Kesal kerana tidak berani untuk menunjukkan diri dan mengambil peluang yang terbentang di depan mata. Dia nekad, jika diberi peluang sekali lagi, dia akan cuba untuk mengenali gadis ini. Keayuan dan kelembutan yang sebegitu agak jarang ditemuinya sekarang ini. Rata-rata kenalan perempuannya agak agresif dan lincah. Maklumlah, mereka terdidik sebegitu, sebagai bakal doktor yang perlu sentiasa bersedia untuk menjalankan tugas walau dalam apa keadaan sekali pun.

‘Siapakah gadis itu? Akan bertemu lagikah dengannya? Di mana dapat aku menemuinya lagi?’ Semua persoalan itu bagaikan tidak terjawab dek mindanya. Dia nekad, jika bertemu lagi, dia akan menghulurkan salam perkenalan. Daya tarikan gadis itu begitu kuat dirasakannya. Seumur hidupnya, Hairi tidak pernah terkenangkan mana-mana gadis, tetapi yang satu ini lain sekali perwatakannya, sehinggakan tak lena tidur dibuatnya. Ah, milik siapakah gadis itu?

 

“TENGAH HARI ni... Mak Su Jah, isteri Pak Dollah tu, ajak kita makan di rumahnya. Nak berkenalan katanya,” jelas Sahak kepada dua anak teruna yang menumpang di rumahnya.

“Lagipun, katanya nak minta maaf sebab sepatutnya kamu berdua tinggal di rumahnya, tapi Mak Su Jah tu tak setuju sebab mereka ada anak dara. Tak manislah nanti kalau dua anak teruna tinggal sebumbung dengan anak dara dia. Lagipun Idayu tu, pemalu orangnya, nanti tak selesa pulak dia di rumah sendiri,” sambung Sahak lagi.

Hairi dan Razlan yang sedang menghirup kopi pagi itu tersenyum sesama sendiri. Masing-masing agak terharu dengan layanan yang diberikan kepada mereka sejak berada di kampung ini. Hari pertama mereka di sini, Pak Dollah telah membawa mereka melawat sekitar kampung. Dia telah menjelaskan perkara itu kepada mereka. Dan sementara itu mereka ditempatkan di rumah Sahak sehinggalah mendapat tempat lain yang lebih selesa.

“Abang Sahak ni bukan apa, rasa terkilan jugak sebab kamu berdua terpaksa duduk kat rumah kami yang kecil ni sementara dapat tempat lain. Mesti kamu rasa tak selesa, kan? Tapi dalam keadaan tergesa-gesa ni, susah nak cari orang yang sanggup tumpangkan kamu berdua. Orang kampung ini kebanyakannya susah hidupnya. Malu juga nak tumpangkan orang bandar di rumah kami. Takut nanti tak selesa selama di sini,” jelas Sahak apabila melihat kedua-dua pemuda itu diam tanpa kata.

“Alah... tak apalah Abang Sahak. Tinggal di sini pun dah cukup selesa. Tak ada halnya,” ujar Razlan senang.

“Betul kata Razlan tu. Sekurang-kurangnya kami ada pengalaman tinggal di kampung... bolehlah cerita kat kawan-kawan dan keluarga kami nanti bagaimana seronoknya tinggal di kampung ni,” sahut Hairi untuk menyedapkan hati tuan rumah. Enggan menyinggung perasaan Abang Sahak yang baik hati itu.

“Memang kat sini kebanyakannya macam Abang Sahak ni, hidupnya susah. Yalah, kerja kampung-kampunglah katakan, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang... cukup-cukup untuk nak bagi anak bini makan. Pak Dollah tu, dulunya polis, jadi dia senanglah sikit berbanding dengan kami, ada pencen,” cerita Sahak tanpa ditanya.

“Anak dia ramai jugak ke Abang Sahak?” tanya Razlan ingin tahu.

“Tak adalah... Idayu tu sorang ajelah anak dia. Itu pun, anak angkat. Pak Dollah dengan Mak Su Jah tu tak ada anak sendiri. Mereka ambil Ayu tu sebagai anak angkat masa dia kecil lagi, masa tu mereka tinggal di Perak. Tapi, layanan mereka pada dia langsung tak macam anak angkat. Sayang sungguh mereka pada Ayu tu. Budaknya pun baik. Baru aje lepas SPM. Anak dara suntilah katakan, manis orangnya. Nanti kamu tengoklah, kut-kut ada yang berkenan, nanti boleh buat bini.” Gurau Sahak mengundang tawa besar kedua-dua tetamunya itu.

No comments:

Post a Comment