“ABANG Lan.” Pintu diterjah. Tengku Harlina berlari masuk. Namun tiada kelibat Roslan di situ melainkan seorang gadis memakai baju kurung Kedah sedang memasukkan pakaian ke dalam almari. “Awak bibik baharu kami?”
“Cik ni mesti Tengku Harlina, kan?” Dari segi penampilan, Katrina mengagak yang gadis itu adik kepada Tengku Harraz. Lagipun mana ada perempuan lain lagi di banglo itu.
Tengku Harlina mengangguk. Tanpa dipelawa, selamba sahaja dia panjat katil dan bersila.
“Nama akak siapa?”
“Rasanya kita sebaya. Panggil Kat... Khatijah.” Hampir sahaja dia menyebut namanya. Mujur teringat. Sempat dia menukar nama.
“Kita sebaya eh?” Tengku Harlina bertanya lagi.
“Ya. Umur kita sama.”
“Tak sangka kita sebaya. Kesian awak terpaksa jadi orang gaji saya.” Tengku Harlina menunduk. Dia sangkakan orang gaji baharu mereka berusia 50-an ke atas. Tak sangka masih muda.
“Tak semua orang bernasib baik dalam dunia ni. Saya kurang bertuah berbanding Cik Harlina. Allah dah tentukan jalan ni untuk saya.” Terpaksa dia bercakap yang baik-baik. Hendak tunjuk imej baik di hadapan adik Tengku Harraz.
“Kalau macam tu, kita jadi kawanlah. Tijah jadi kawan saya. Saya ni.... tak ada kawan.” Sekali lagi Tengku Harlina menunduk. “Along tak bagi saya berkawan.”
“Tengku Harraz cuma nak lindungi adik dia. Itu saja.”
“Saya faham dia nak lindungi saya. Tapi saya terkongkong. Nak keluar pun tak boleh. Nak berkawan... along tapis dengan siapa saya boleh berkawan. Tak ada yang lepas tapisan lagi setakat ni.”
Kasihan pula Katrina dengan nasib Tengku Harlina. Tentu payah mempunyai seorang abang yang terlalu melindungi. Serba-serbi dikawal. Mujur Akil tak melindungi dia sampai mengongkong. Katrina melabuhkan duduk di hadapan Tengku Harlina.
“Mulai dari hari ni kita kawan.” Katrina menghulurkan tangan.
Dengan senyum lebar Tengku Harlina menyambut salam orang gajinya. “Khatijah. Boleh saya panggil Tijah?”
Katrina tersenyum sumbing sambil mengangguk. Nampaknya melekat nama Tijah yang Tengku Harraz panggil tadi. Kampung sangat. Jauh beza dengan nama Katrina. Tapi apa boleh buat? Demi misinya, dia akan biasakan diri dengan nama Tijah.
“Akhirnya saya ada kawan. Saya tak ingat bila kali terakhir saya ada kawan. Saya gembira sebab akhirnya ada kawan.”
Tok! Tok! Tok!
Cepat-cepat Katrina melompat turun dari katil dan membuka pintu. Dia memberi isyarat dan membuka pintu lebar-lebar. “Tijah sedia berkhidmat.”
Roslan kerutkan dahi. Namun segera dia faham sebaik ternampak kelibat adik majikan mereka di dalam bilik.
“Tijah, Tengku Harraz panggil pergi bilik bacaan dia. Nak tandatangan surat perjanjian katanya.”
“Ada surat perjanjian ke?” Katrina bertanya. Roslan tidak maklumkan pula tentang surat perjanjian.
“Saya tak tahu kenapa tiba-tiba dia buat surat perjanjian. Mungkin...”
“Okey. Jomlah kita pergi bilik bacaan dia.” Cepat-cepat dia memotong kata-kata Roslan. Takut lelaki itu terlepas cakap. Tengku Harlina sedang menguping perbualan mereka. Dia pusingkan tubuhnya menghadap Tengku Harlina.
“Cik Harlina, saya kena jumpa Tengku Harraz sekejap. Nanti kita sambung borak.”
“Saya nak ikut jumpa along.” Tengku Harlina melompat turun dari katil dan terus mendekati Katrina. Dipeluk lengan orang gajinya itu.
Katrina hanya tersenyum. Takkan dia hendak marah pula. Dia biarkan sahaja Tengku Harlina memeluk lengannya.
“Abang Lan, saya dengar Abang Lan sebut surat perjanjian tadi. Betul ke along buat surat perjanjian dengan Tijah? Kenapa dia kena tandatangan surat perjanjian? Sebab dia perempuan, along curiga kat dia?” Bertalu-talu soalan muncul dari bibir Tengku Harlina. Dia hanya mahu memastikan yang abangnya betul-betul minta Khatijah tandatangan surat perjanjian.
Selama ini pekerja mereka hanya perlu mengisi borang kerja. Dan dalam borang itu ada diterangkan peraturan dan undang-undang di dalam rumah ini. Selepas tamat tempoh percubaan dan diterima bekerja, sebuah buku panduan kerja akan diberikan. Buku panduan itu mengandungi semua maklumat yang pekerja perlu tahu.
“Mungkin...” Roslan tak berani habiskan ayatnya. Bimbang kalau-kalau Tengku Harlina mengamuk. Tapi firasatnya mengatakan Tengku Harraz curiga dengan Katrina dan mengambil tindakan berjaga-jaga dengan membuat surat perjanjian.
“Along ni memang prejudis dengan perempuan. Semua perempuan dikatanya nak dekat dia sebab harta. Dia ingat dia kahwin dengan lelaki agaknya nanti. Biar saya marah dia.”
“Cik Harlina, tak apa. Tak ada masalah. Saya okey aje.” Katrina bertindak menenangkan Tengku Harlina. Janganlah dua beradik itu bergaduh kerana dia. Tak pasal-pasal dia kena berhenti kerja sebelum mula kerja.
Roslan mengetuk pintu. Selepas mendapat jawapan dia tolak pintu dan terus masuk. Di belakangnya Tengku Harlina bersama Katrina.
“Adik dah berkenalan dengan Tijah.” Tengku Harraz perasan adiknya memeluk lengan orang gaji mereka. Tengku Harlina lepaskan tangan Khatijah. Terus dia meluru ke arah meja kerja abangnya. Dia tarik kertas di atas meja. Seperti yang Roslan beritahu, surat perjanjian kerja.
“Percubaan tiga bulan. Kalau buat kesalahan pertama, terus pecat... Apa ni along? Mentang-mentang dia perempuan, along buat macam ni. Ni apa ni... kalau didapati menggoda Tengku Harraz, terus pecat serta-merta?” Naik angin Tengku Harlina membaca butir-butir dalam surat perjanjian itu. Abangnya betul-betul berat sebelah.
“Along buat macam ni sebab nak lindungi kita.” Tak sangka pula adiknya akan muncul sekali. Memang dia sengaja buat surat perjanjian lain untuk Khatijah.
“Lindungi kita? Tak! Ini bukan melindungi kita. Along memang cari alasan nak pecat Tijah cepat-cepat, kan? Silap-silap nanti dia pandang along, along tuduh dia nak goda along. Lepas tu bolehlah along pecat dia.”
“Cik Harlina, tak apa. Saya boleh tandatangan. Tak ada masalah.” Katrina ambil surat perjanjian itu dari tangan Tengku Harlina. Memang betul ada tertulis apa yang diucap oleh gadis itu tadi. Dasar lelaki beku. Takkan pandang sahaja pun dikata menggoda. Cepat-cepat dia ambil pen.
“Along memperbodohkan diri sendiri sebab perempuan tak guna tu. Along benci semua perempuan sebab dia. Along tuduh semua perempuan dekat dengan along sebab nak rampas harta along. Semuanya sebab dia!”
Ternaik kening Katrina mendengar pergaduhan dua beradik itu. Tengku Harraz pernah ada kekasih? Kenapa dia tak tahu? Dan kenapa kawan-kawannya pun tak tahu? Kenapa semua orang tak tahu?
“Along cuma nak pastikan dia bukan orang suruhan Datuk Hisham.”
“Datuk Hisham tu papa kita, along. Papa kita! Kenapa along benci dia sangat?”
“Dia bukan papa kita. Berapa kali along nak cakap. Dia bukan papa kita! Papa kita meninggal 30 tahun lepas!” Tengku Harraz tinggikan suaranya. Kebenciannya terhadap Datuk Hisham memang tak pernah disangkal.
“Bagi along, dia memang bukan papa along. Tapi bagi adik, dia satu-satunya papa yang adik kenal. Dia yang ajar adik naik basikal masa kecil. Dia yang bawa adik pergi hospital malam-malam waktu adik demam panas. Dia ada dengan adik sebagai papa adik.” Tengku Harlina mengalirkan air mata.
“Dia buat semua tu sebab harta kita. Harta yang arwah ayah tinggalkan untuk kita.” Penat dia hendak fahamkan adiknya tentang kebusukan hati bapa tiri mereka.
“Harta apa yang dia ambil? Harta apa? Sebaik along cukup umur dia serahkan balik semua harta kita. Rumah, saham... semua dia bagi balik, kan? Jawatan dalam syarikat. Dia terus letak jawatan bila along mintak. Lepas mama meninggal dia masih jaga kita walaupun kita bukan darah daging dia.” Tengku Harlina terus mengalirkan air mata.
Dia tak faham kenapa abangnya begitu membenci bapa tiri mereka. Sedangkan lelaki itu, sebaik-baik lelaki yang dia pernah jumpa. Walaupun bergelar bapa tiri, mereka berdua dilayan seperti anak sendiri. Abangnya sengaja butakan mata dan menuduh bapa tiri mereka gilakan harta.
Tengku Harraz terdiam. Walaupun tiada bukti menunjukkan bapa tirinya ada mengambil harta mereka, namun dia yakin lelaki itu berhati busuk. Lelaki yang suka ambil kesempatan. Arwah ayahnya meninggal dunia semasa arwah emaknya sedang sarat mengandungkan Tengku Harlina. Sebaik sahaja Tengku Harlina lahir, arwah emaknya menikah dengan Datuk Hisham. Tak sampai dua bulan ayahnya meninggal dunia, emaknya berkahwin lain.
“Saya dah siap tandatangan, Tengku.” Katrina tunjukkan tandatangannya.
“Along buat semua ni sebagai langkah berjaga-jaga.” Tengku Harraz turunkan tandatangannya pula. Usai itu surat tadi dimasukkan ke dalam fail.
“Berjaga-jaga? Along jangan yakin sangat along tu betul. Kalau terbukti papa tak ada niat nak rampas harta kita, merangkaklah along cari dia nanti minta maaf. Dan lagi satu... konon tak perlukan perempuan. Adik doakan akan muncul seorang perempuan yang buat along gila bayang. Dan bila along gila bayang, adik harap perempuan tu tinggalkan along. Berlagak sangat, kan?” Usai berkata-kata Tengku Harlina terus keluar dari situ. Berdentum bunyi pintu dihempas.
“Tijah, Roslan. Awak boleh keluar sekarang!”
Katrina menjeling Tengku Harraz tajam. Lelaki itu bukan setakat buruk sangka terhadap perempuan tetapi juga terhadap bapa tiri sendiri. Dia ada mendengar cerita tentang Datuk Hisham. Tak sangka pula ada cerita di sebalik penghijrahan tokoh itu ke Sarawak.
“Awak bila nak keluar?” Tengku Harraz perasan orang gajinya itu belum keluar lagi.
No comments:
Post a Comment