DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 25 June 2023

Sisa Rasa Yang Tertinggal - Bab 7

 

SUASANA di rumah agak sunyi. Mungkin Mak Mon dan Zaton keluar ke mana-mana. Di bilik tidur Jalal, terdapat sebuah almari yang dipenuhi dengan pelbagai buku. Hasnan tertarik untuk membaca sebuah buku biografi seorang pemimpin politik yang ada di rak itu.

Hampir sejam membaca, tekaknya terasa kering. Dia turun ke bawah untuk membasahkan tekak. Agak kekok kerana tiada sesiapa di rumah ini. Rumah ini terlalu besar bagi Hasnan. Berbeza betul dengan rumahnya di kampung.

Belum sempat dia membuka peti sejuk, pintu dapur dibuka oleh seseorang. Tergamam Hasnan melihat gadis itu ada di sini. Di tangan gadis itu ada bakul besar. Pasti gadis itu baru lepas menjemur kain.

“Abang nak apa-apa ke?”

“Abang dahaga.” Hasnan mengambil gelas yang terdapat di atas kabinet dan menuang minuman sejuk dari dalam jag.

“Ke mana pembantu rumah? Kita berdua saja ke di sini?” tanya Hasnan dengan perasaan gugup.

“Mak keluar kejap. Mak Joha ada dalam bilik. Dia pening kepala. Itu yang Ton tolong jemurkan baju.”

Hasnan tarik nafas lega.

“Abang ingatkan kita berdua saja. Risau juga kalau kena tangkap basah.”

Wajah gadis itu sedikit merah apabila mendengar kata-kata Hasnan. Dia duduk di kerusi makan. Hasnan pula masih berdiri di tepi kabinet dapur. Sebaik saja dia habiskan minuman, dia basuh gelas itu terlebih dahulu.

Disebabkan Mak Mon tiada di rumah, Hasnan berani untuk duduk di kerusi makan yang berhadapan dengan gadis itu.

“Ton marah abang?”

“Kenapa nak marah?” soal gadis itu dengan riak keliru.

Hasnan usap belakang lehernya.

Err... abang bergurau pasal tangkap basah tadi.”

“Ton tak ambil hati pun. Ton tahu abang cuma risau kalau kita berdua.”

Keduanya diam seketika.

“Abang masih tunggu jawapan Ton.”

Zaton kelu untuk menjawab. Sebenarnya dia sudah ada jawapan tapi dia tersepit setiap kali memikirkan tentang keluarganya.

“Hari ni abang nak makan apa?” Zaton mengubah topik perbualan. Dia bangun dan keluarkan bahan mentah dari peti sejuk.

Hasnan tersenyum kelat. Dia tahu gadis itu mahu mengelak.

“Cepatlah. Abang nak Ton masak apa?”

“Gaya Ton sekarang ni dah seperti isteri abang.”

Zaton berdiri membelakangi lelaki itu. Langsung tidak sedar perbuatannya tadi telah menimbulkan perasaan aneh di hati lelaki itu.

“Abang tak kisah Ton nak masak apa. Asalkan air tangan Ton, abang telan.”

Zara sembunyi senyum. Tangannya lincah menyiang ikan.

“Abang ke bilik dulu ya.” Hasnan bangun dan berura-ura untuk ke bilik. Dia tidak mahu mengganggu gadis itu memasak.

“Abang...”

Terhenti langkah lelaki itu. Hasnan menoleh sedikit ke arah gadis itu.

“Ton nak kenal abang dulu sebelum berikan jawapan. Boleh ke?” Kali ini Zaton beranikan diri.

Wajah Hasnan tergamam. Rasa seperti bermimpi pula.

“Ton tak nak terburu-buru untuk jalinkan hubungan dengan abang. Lebih baik kita saling mengenali dulu.”

“Dah tentu. Abang pun nak kenal Ton dengan lebih dekat.”

Keduanya saling tersenyum.

“Petang nanti, Ton nak ajak abang berjalan dekat belakang rumah ni. Ada hasil tanaman Ton dengan Mak Joha.”

“Ton suka berkebun ke?”

“Suka sangat.”

“Baik. Abang anggap ajakan Ton tu seperti janji temu.” Hasnan kenyitkan mata sebelum berlalu pergi.

Zaton tersenyum kecil. Pipinya ditampar berkali-kali menandakan dia tidak bermimpi.

 

 

HASNAN MEMERHATI jam di pergelangan tangan yang menunjukkan tepat pukul lima petang. Selepas makan tengah hari, gadis itu menyuruh dia menunggu di sini.

Anak matanya meliar ke sekeliling belakang rumah ini. Ada banyak hasil tanaman sayur yang ditanam seperti bendi, terung, cili padi dan kacang panjang. Malah ada banyak tanaman bunga di sini.

Tak lama kemudian, Zaton muncul bersama raga plastik sederhana besar, terisi dengan buah manggis yang sudah masak.

“Manggis? Dari mana datangnya buah ni?” tanya Hasnan.

“Dari kebun nilah. Ton baru ambil dari pokok sana,” tunjuk Zaton ke arah pokok manggis.

Tergamam lelaki itu. Tak sedar ada pokok manggis yang ditanam di situ.

“Ton juga ke yang tanam?”

“Bukanlah. Ayah.”

Bercakap tentang ayah, baru Hasnan sedar dia masih belum bertemu dengan lelaki itu. Setiap kali dia ke sini, ayah Zaton yang dikenali sebagai Pak Ayub selalu keluar daerah.

“Ayah Ton selalu ke tak ada di rumah?” soal lelaki itu sambil mencapai buah manggis.

Ermmm... biasa macam tulah.”

Melihat raut wajah Zaton yang agak sugul, menyesal pula dia bertanya perihal ayah Zaton.

“Cuba Ton teka, berapa isi manggis ni?”

Zaton ketawa kecil.

“Senang sangat teka teki abang tu. Dah tentu melalui tampuknya. Buah tu tak boleh menipu.” Ternaik-naik kening Zaton.

“Ya, sebab itulah buah manggis ni dikaitkan dengan orang Melayu. Tak pandai menipu dan berbohong. Jujur,” kata Hasnan.

“Ya ke? Rasanya ada juga yang suka menipu,” balas Zara Zaton.

“Abang tak suka berbohong. Sebab tu abang suka berterus terang.”

“Boleh Ton tanya sikit?”

“Nak tanya apa?”

Hasnan memicit buah manggis itu hingga ia terbuka. Isinya yang berwarna putih bersih terserlah. Sebaik saja masuk ke dalam mulutnya, rasa manis memenuhi mulutnya.

“Abang kerja di sini berapa lama agaknya?”

Terdiam Hasnan. Pelik pula dia mendengar soalan itu.

“Jujurnya abang dah suka sangat kerja di sini. Abang sukakan suasana di sini. Boleh dikatakan negeri Sarawak dah berjaya memikat hati abang.”

Zaton ukir senyuman nipis.

“Maksudnya abang tak akan balik ke Semenanjung ke?”

“Tak adalah sampai macam tu. Keluarga abang masih ada di sana. Satu hari nanti, abang pasti akan balik juga.”

Berubah air muka Zaton. Sepatutnya dia sudah dapat mengagak jawapan itu yang akan diberikan oleh Hasnan.

“Abang tak berbohong bila abang cakap abang sukakan Ton.”

Tergamam Zaton. Jantungnya berdegup laju.

“Ton ni tak ada apa yang istimewa. Kenapa abang sukakan Ton?”

“Abang sendiri tak ada jawapan. Pertama kali abang nampak Ton, hati abang dah terusik.”

Zaton pura-pura memandang ke arah pohon orkid. Tak tahu reaksi yang perlu diberikan kepada lelaki itu.

“Abang tak akan paksa Ton suka abang.” Kedengaran lemah nada suara Hasnan.

“Kalau Ton tak suka, mustahil Ton ajak abang jumpa di sini.”

Tegak tubuh Hasnan. Wajah gadis itu dipandang tak berkelip.

“Jadi, Ton suka abang juga?”

Zaton tak menjawab. Kali ini dia beranikan diri memandang lelaki itu.

“Ton ada sesuatu nak beritahu abang.”

“Apa dia?” Berdebar dada Hasnan.

“Ton anak angkat. Mak kandung Ton, adik kepada mak. Sejak kecil lagi Ton dijadikan anak susuan oleh mak.”

Hasnan tergamam.

“Tapi Ton tahu, mak sangat sayangkan Ton. Abang Dali, Kak Cah dan Abang Jalal juga sayangkan Ton. Mak ambil Ton masa usia Ton baru beberapa hari. Mak kandung Ton hidup susah sebab tulah mak ambil Ton sebagai anak.”

Hasnan hanya memasang telinga.

“Mak juga anak Cina yang diambil oleh orang Melayu, dipelihara macam anak sendiri,” cerita Zaton lagi.

“Ton sedih ke jadi anak angkat?” soal Hasnan.

“Sedih juga. Tapi bila difikir-fikirkan, inilah yang terbaik bagi Ton. Tuhan yang tentukan jalan hidup Ton. Sebab tu Ton terhutang budi dengan keluarga Ton sekarang.”

Hasnan mengangguk faham.

“Sebab tu Ton serba salah nak terima perasaan abang.”

“Ton silap. Abang tak kisah latar belakang Ton. Yang penting, abang tetap sukakan Zara Zaton.”

Zaton terharu. Dadanya sebak dengan pengakuan lelaki itu. Kali ini dia yakin untuk menerima cinta lelaki dari Semenanjung ini.

 

 

MAK MON sedang berbual bersama Mak Joha. Sejak Hasnan tinggal di rumah ini, dia tak sedap hati. Bukan dia tak perasan wajah Zaton kelihatan ceria saja.

“Aku perasan sejak akhir-akhir ni, Ton nampak gembira.”

Mak Joha pandang wajah majikannya.

“Baguslah begitu. Sebelum ni, dia tak banyak sangat bercakap.”

“Masalahnya dah nampak macam orang angau aje aku tengok. Siram pokok bunga pun tersenyum-senyum.”

Terdiam Mak Joha. Sebenarnya dia tahu apa yang menggembirakan hati gadis itu. Tapi dia malas nak berkongsi hal itu. Mak Mon bukannya boleh dengar anaknya bercinta dengan orang Semenanjung.

“Biarlah dia. Ton tu walaupun muda, dia matang. Dia tak pernah buat perkara yang tak elok belakang keluarga.”

“Tapi aku tetap risau. Manalah tahu dia bercinta dengan lelaki entah dari mana datangnya.”

“Budak dah besar Kak Mon. Kalau dah jodoh dia, siapa kita nak menghalang.”

Anak-anak bukan hak milik kita. Kita hanya menjaga amanah. Apabila mereka dewasa, mereka punya kehidupan mereka sendiri. Suatu hari, anak-anak harus dilepaskan, tidak boleh dijadikan bagai ayam tambatan. Itulah pendapat Mak Joha.

“Aku tetap dengan pendirian aku. Tak kira dia kecil atau besar, aku tak nak dia salah pilih lelaki. Tengoklah si Aisyah tu jarang sekali balik ke mari. Mak dia ni macam dah dilupakan. Lebih pentingkan suami dari orang tua.”

Sakit juga hati Mak Mon. Semuanya berpunca dari suaminya yang membenarkan Aisyah berkahwin dengan lelaki itu.

“Cah pun susah sangat nak call aku. Bukannya jauh pun duduknya. Di Kuching ni juga. Tapi susah betul nak singgah ke sini,” bebel orang tua itu.

“Mak mengumpat Cah ya?”

Tiba-tiba muncul suara Aisyah dari arah ruang tamu. Mak Mon terperanjat besar. Dia terus memeluk anak perempuannya itu.

“Panjang pun umur, Cah. Memang mak Cah tengah sebut-sebut nama Cah tadi,” akui Mak Joha sambil tersenyum panjang.

“Datang seorang aje ke?” soal Mak Mon.

“Berdua dengan Nina. Suami Cah masuk hutan.”

“Laki kau masuk hutan, baru kau ke mari ya,” tempelak Mak Mon.

Tersengih-sengih Aisyah.

“Mana Ton?”

“Dalam bilik agaknya.”

Aisyah terus berlari ke tingkat atas. Tak sabar untuk dia mendengar cerita dari mulut adiknya sendiri. Sejak tadi dia sudah terdengar perbualan emak dan Mak Joha tentang lelaki dari Semenanjung Malaysia itu.

No comments:

Post a Comment