TOK!!! Tok!!! Tok!!! Begitu merdu sekali iramanya. Tetapi hanya mampu bertahan beberapa saat. Dumm!!! Dumm!!! Dumm!!! Bunyi ketukan yang pada asalnya berirama balada sudah bertukar kepada rentak heavy metal. Bagaikan hendak roboh daun pintu itu diketuk, tetapi tiada tanda-tanda penghuni bilik tersebut akan membukanya. Khairil mendengus geram. Bagaikan hendak patah tangannya mengetuk daun pintu namun penghuni bilik tersebut langsung tidak mengendahkannya.
“Sayang, buka pintu,” jerit Khairil. Ketukan semakin rancak.
“Tidur mati ke perempuan ni?” Khairil sudah mati kutu memikirkan bagaimana caranya hendak masuk ke kamar Damia. “Jika main redah, mesti kena sembur. Hisy... nak buat macam mana ni?” bebel Khairil sambil menggaru pelipis keningnya. Sudah naik lenguh dan sakit tangannya mengetuk daun pintu tersebut.
Khairil masih lagi mundar-mandir di hadapan kamar Damia. Jarum jam sudah menunjukkan pukul lima petang. Khairil tahu, Damia masih lagi kepenatan selepas berjam-jam terperap di dalam perut kapal terbang. Tetapi permintaan Samad, salah seorang pekerjanya supaya mengambil alih tugasnya malam ini membuatkan Khairil tidak sampai hati hendak menolak. Isteri Samad terpaksa ditahan di wad selepas tekanan darahnya naik secara mendadak. Hanya Damia sahaja yang berupaya menolongnya. Khairil berselawat dan membaca doa yang terlintas dalam benak kepalanya. Harap-harap tiadalah perkara yang pelik-pelik berlaku nanti, bisik hati Khairil. Dengan lafaz bismillah, Khairil memulas tombol pintu.
“Huh! Lena diulit mimpi rupanya tuan puteri ni. Agaknya kalau bom meledak kat sebelah dia pun... dia tak akan sedar,” omel Khairil sendirian. Memang tak akan sedar pun, sebab dia juga turut innalillah, gumam Khairil. Tangannya pantas menggoncang tubuh Damia.
“Sayang... bangun! Sayang... bangun!” Payahnya budak bertuah ni nak bangun, gerutu Khairil. Lenguh tangannya menggoncang tubuh Damia.
Damia bagaikan bermimpi mendengar orang memanggil namanya. Dalam keadaan mengantuk yang masih lagi belum beredar sepenuhnya, dia membuka matanya.
“Ada apa Ucu? Sayang mengantuklah. Bagilah Sayang tidur barang sejam dua lagi.” Damia merengek manja. Bantal peluk yang berada di sisinya ditarik erat ke dalam pelukan. Matanya kembali memberat. Mujurlah hari ini dia cuti solat. Jika tidak, kelam-kabut juga dibuatnya.
“Bangunlah Sayang! Ucu nak minta tolong cover Abang Samad malam ni. Isteri dia kena tahan kat wad tiba3 tiba. Ucu janji... malam ni, Ucu teman Sayang kat stesen,” pujuk Khairil.
Besar harapan Khairil agar Damia bersetuju. Dia tidak mengharapkan pekerjanya yang lain menjaga stesen minyak tersebut terutama sekali tanpa pengawasan daripada orang yang dia percayai. Dia bimbang sekiranya ada pekerja yang tidak jujur. Pengalaman lalu dijadikannya pengajaran.
Pernah salah seorang pekerjanya melarikan sejumlah wang dan barang makanan dari stesen minyaknya. Walaupun bekas pekerjanya itu berjaya diberkas, tetapi wang hasil jualan pada hari tersebut hanya sebahagian sahaja ditemui.
“Ala... Ucu! Sayang baru aje sampai malam tadi. Masih penat lagi!” Damia memejamkan matanya kembali. Sejurus tiba di KLIA, Damia terus mengambil teksi dan pulang ke rumah neneknya. Hendak pulang ke rumah mamanya pun tidak ada gunanya. Mamanya ketika ini berada di Pulau Pinang, menghadiri seminar selama beberapa hari di sana.
“Sayang tolonglah Ucu. Lepas Ucu siapkan report di pejabat, Ucu janji... Ucu akan ambil alih tugas Sayang. Lagipun malam hari tak ramai sangat pelanggan. Andai kata Sayang mengantuk, Sayang tidurlah.” Khairil masih lagi berusaha menagih simpati Damia. “Ucu bukannya apa, Ucu cuma bimbang jika ada yang buat hal macam dulu. Sayang tak risau ke jika stesen minyak milik arwah papa Sayang muflis?”
Bulat mata Damia memandang Khairil. Mana mungkin dia membiarkan hasil penat lelah arwah papanya terkubur begitu sahaja.
“Yalah... yalah... Sayang tolong Ucu!” ujar Damia sambil menggosok matanya.
Tersengih Khairil apabila umpannya mengena. Damia menolak ke tepi selimut yang membaluti tubuhnya. Tidak sampai hati pula dia menolak harapan dan permintaan bapa saudara kesayangannya itu. Langkah longlai diatur menuju ke bilik mandi yang terdapat di dalam kamar tidurnya.
“Jangan lupa tutup pintu bila Ucu keluar nanti,” jerit Damia dari dalam bilik mandi.
Khairil menggeleng kepala melihat telatah anak saudaranya. Umurnya dengan Damia hanya berbeza empat tahun sahaja. Dia agak rapat dengan Damia memandangkan sedari kecil lagi Damia dan ibu bapanya tinggal serumah dengannya. Papa Damia merupakan abangnya yang kedua. Abangnya yang pertama tinggal di daerah Mersing. Setelah papa Damia meninggal dunia, barulah kakak iparnya Karina berhijrah ke Kuala Lumpur. Katanya, terlalu banyak kenangan manis bersama arwah di sini. Dia bimbang akan terus hanyut dalam kenangan yang ditinggalkan oleh arwah suaminya.
Khairil kini menerajui Menara Impiana milik arwah abangnya yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Johor Bahru. Dia menguruskan syarikat tersebut memandangkan Damia masih belum tamat belajar. Mujurlah dia pernah membantu arwah abangnya sebelum ini dan tahu serba sedikit perjalanan syarikat. Jika tidak, pasti mendatangkan masalah buatnya.
“Ibu... Ril nak pergi ofis semula, tapi Ril tak balik rumah malam ni. Nak temankan Sayang kat stesen minyak. Kesian pula biarkan dia sorang-sorang kat situ,” terang Khairil kepada ibunya Puan Saadiah. Tangan ibunya diraih dan pipi tua itu dicium kasih. Dia kemudiannya menyarung jaket kulit ke tubuh dan memakai helmet.
“Emmm... baiklah! Ibu faham. Hati-hati bawa motor tu. Jangan nak merempit pula,” pesan Puan Saadiah. Matanya tidak lepas memandang anak bongsunya. Begitulah lumrah aktiviti seharian anaknya. Sekiranya hendak ke mana-mana, anak bongsunya lebih gemar menunggang motosikal berbanding memandu kereta. Senang kata, terutama ketika waktu beban puncak dan kesesakan lalu lintas.
SAYANG DAMIA tiba sekitar jam tujuh malam. Stesen minyak yang beroperasi di Kampung Melayu Majidee agak sibuk ketika itu. Maklumlah waktu orang pulang dari kerja masih belum tamat. Damia terus mengambil alih tugas Melati yang sudah bersiap sedia hendak pulang. Biasanya di malam hari, mereka tidak membenarkan pekerja wanita bertugas kerana bimbang akan keselamatan mereka.
“Hai... Cik Kajol sudah sampai? Lama tak ada nampak muka?” tegur Aswad pekerja dari Bangladesh.
“Kenapa you suka sangat panggil saya Kajol?”
“Sebab muka Cik Damia ada macam itu pelakon Hindustan kesukaan saya. Kalau Cik Damia senyum, ada serupa itu Kajol. Banyak manis!”
Naik pening kepala Damia memahami kata-kata Aswad. Apa yang dia faham, Aswad mengatakan muka dan senyumannya manis seperti Kajol. Hisy... manis ke senyuman aku? Tersenyum Damia sendirian sambil menghadap wajahnya di depan cermin kaca-kaca. Biasan wajah yang terpampang di hadapannya direnung. Dia mengukirkan senyumannya beberapa kali. Bahagian mana yang manisnya? Aku tengok biasa aje senyuman aku, gumam Damia sambil meneliti senyuman yang terukir di bibirnya. Tanpa Damia sedar, banyak mata yang memandang gelagatnya. Mungkin perempuan ini kurang siuman fikir mereka.
Damia memandang ke arah pekerja-pekerjanya yang sedang sibuk melayan pelanggan. Kebanyakan stesen minyak di seluruh negara mengamalkan sistem layan diri, tetapi tidak di stesen minyak milik keluarganya. Mereka lebih bersikap toleransi. Para pekerjanya akan membantu jika ada pelanggan yang memerlukan bantuan semasa mengisi minyak. Kelihatan Aswad sedang mengelap cermin kereta pelanggan manakala Nawab pula mula mengilap tayar kereta pelanggan. Mungkin inilah rahsia mengapa stesen minyak milik keluarganya sentiasa penuh dengan kunjungan pelanggan.
Damia sebenarnya kurang gemar menjaga stesen minyak di luar kawasan Pasir Gudang. Sudahlah jaraknya agak jauh dari rumah, tak ada kawan pula tu. Sekiranya di Pasir Gudang, stesen minyak tersebut bukan sahaja berhampiran dengan rumah malahan Damia mempunyai kawan rapat. Setiap kali pulang bercuti, dia sentiasa ‘menyemakkan’ diri di situ.
Melihat jam sudah menunjukkan pukul sepuluh malam, Damia menjadi tidak sabar. Jarang dia mengambil alih tugas di sebelah malam.
“Hisy... mana Ucu ni? Sampai sekarang belum nampak batang hidung lagi. Tak akan balik rumah kut! Banyak sangat ke kerja kat ofis tu?” omel Damia sendirian. Dia sudah seperti kucing kehilangan anak. Rasanya kucing kehilangan anak pun tidak seresahnya. Puas duduk, dia bangun. Setelah itu dia berjalan mundar-mandir di sekitar stesen minyak. Nombor telefon bimbit bapa saudaranya ditekan berulang kali namun hanya masuk ke dalam peti simpanan suara. Tanpa tertangguh Damia menghubungi rumah neneknya.
“Assalamualaikum...” Talian di sana bersambut. Mak Jah pembantu rumah neneknya yang menjawab.
“Waalaikumussalam... Mak Jah. Emmm... Ucu ada tak kat rumah?”
“Ucu? Dia belum balik lagi, kenapa?”
“Tak apalah Mak Jah kalau Ucu tak ada. Ingatkan dia dah balik rumah tadi.”
“Mungkin dia sibuk agaknya.”
“Mungkinlah kut!” balas Damia. “Maaflah sekiranya Sayang dah ganggu waktu tidur Mak Jah. Mak Jah sambung tidur balik ya. Assalamualaikum.” Selepas Mak Jah menjawab salamnya, Damia memutuskan talian.
Tidak lama kemudian telefon bimbit Damia berbunyi. Dengan pantas Damia melihat skrin telefon bimbitnya untuk mengetahui siapakah gerangan si pemanggilnya. Tertera nama ‘Ucu Encem’ di situ. Damia menarik nafas lega. Panjang pun umur Ucunya. Belum sempat dia memberi salam, Ucunya terlebih dahulu bersuara.
“Helo... Sayang! Ucu mungkin lambat sikit ke sana. Ucu sekarang berada di Taman Perling, ada masalah kat branch di sini. Sorry ya...” beritahu Khairil. Dia sebenarnya terkejut apabila melihat ada lima panggilan tidak berjawab daripada Damia. Pasti Damia keresahan menanti
kedatangannya ketika ini.
kedatangannya ketika ini.
“Emmm... tak apalah. Lagipun masih awal lagi. Sayang sebenarnya risau kalau berlaku apa-apa kat Ucu.” Damia berdalih menutup kekalutannya sebentar tadi.
“Sayang juga anak saudara Ucu ni kat bapa saudaranya ya...” Khairil mengusik.
“Mestilah Sayang sayang Ucu,” balas Damia manja. Khairil tertawa senang.
“Ucu akan cuba selesaikan masalah kat sini secepat yang boleh. Bila semuanya dah settle, Ucu akan segera ke sana.”
“Emmm... baiklah! Ucu... hati-hati ya,” pesan Damia sebelum menamatkan perbualan mereka.
Memandangkan tidak ada apa-apa kerja yang perlu dilakukan, Damia meneliti cara Bashir bekerja. Bekas graduan Social Sciences dari Universiti Of Dhaka itu begitu tekun menyentuh maklumat yang tertera di skrin komputer. Peluang pekerjaan yang agak sukar di negaranya menyebabkan Bashir mengambil keputusan berhijrah mencari pekerjaan. Walaupun gaji yang ditawarkan tidak setimpal dengan tahap pendidikan yang dimiliki, tetapi daripada tidak memiliki sebarang pekerjaan lebih baik dia tidak terlalu memilih kerja. Itulah apa yang terangkan oleh Bashir kepadanya sebentar tadi.
UCU KHAIRILNYA kelihatan sangat letih. Tersentuh hati Damia melihatnya. Dia kemudiannya menyuruh bapa saudaranya itu membersihkan diri terlebih dahulu. Biar segar dan selesa sedikit. Mujurlah Damia tergerak hati hendak membawa pakaian buat Ucunya. Tanpa disuruh, Damia menghidangkan makanan dan minuman buat Khairil. Pekerjanya yang lain sudah dipelawa makan sebentar tadi.
“Inilah Ucu suka dengan Sayang. Tak perlu disuruh atau dipaksa, tahu apa yang perlu dibuat. Kalaulah Sayang ni bukan anak saudara Ucu, dah lama Ucu ajak kahwin,” gurau Khairil.
Berselera sungguh Khairil menikmati makan malam. Perutnya memang sudah berkeroncong sejak petang tadi, cuma tidak ada masa hendak mengisinya. Nasib baiklah Damia ringan tulang membawa bekal. Jika tidak terpaksalah dia menapak ke kedai makan berhampiran. Entah-entah dibiarkan sahaja perutnya kosong tidak berisi hingga ke pagi. Badannya juga sudah terlalu letih. Kini hanya satu sahaja yang menerpa dalam fikirannya iaitu tidur... Damia menarik sengih mendengar gurauan bapa saudaranya itu.
“Aiks... suka aje? Tak sayang?” usik Damia.
“Siapa kata tak sayang? Sayang sangat-sangat dengan anak saudara Ucu ni,” jelas Khairil sambil mencubit manja pipi Damia.
Damia tersenyum memandang wajah bapa saudaranya itu. Wajah Khairil dan Pak Long Kamal ada irasiras wajah papanya. Tapi papa lebih handsome, bisik hati kecil Damia. Yalah... jika tak si anak yang nak puji bapanya siapa lagi? Betul tak?
“Ucu pergilah berehat. Kesian pula Sayang tengok keadaan Ucu yang keletihan. Kalau ada apa-apa yang berlaku... Sayang akan kejut Ucu.” Khairil menggosok kepala Damia sambil tersenyum. Murni sungguh hati anak saudaranya itu.
“Kalau dah Sayang kata macam tu, baiklah. Ucu pergi tidur dulu. Lepas ni Sayang pula yang tidur ya,” terang Khairil.
Damia mengangguk tanda mengiakan kata-kata Khairil. Kasihan Damia memikirkan Ucu Khairilnya. Hingga kini Ucunya masih belum terfikir mencari pasangan hidup selepas tunangnya berlaku curang. Besar sangatkah kesalahan bekas tunangnya itu hingga menutup rapat pintu hati Ucu untuk bercinta? Ucunya menjadi begitu alergi apabila ada mana-mana perempuan yang ingin mendekati dirinya. Walaupun sudah dua tahun peristiwa itu berlalu tetapi kesannya begitu mendalam. Seolah-olah menjadi barah buat bapa saudaranya itu.
Tanpa tertangguh Khairil menuju ke bilik yang dikhaskan buat pekerjanya untuk merehatkan diri. Di situ sudah terbentang alas untuk tidur, bantal dan selimut. Ini mesti kerja Sayang, getus Khairil. Tanpa berlengah Khairil terus merebahkan badannya. Yang kedengaran hanyalah alunan nafasnya sahaja selepas beberapa ketika.
Khairil ni sebenarnya dua kali lima aje dengan Damia. Pantang jumpa tilam dengan bantal, tak sampai lima saat terus ‘berlayar.’
Damia meneliti jam di skrin komputer. Dah lebih satu jam Ucunya tidur. Pasti sudah jauh Ucunya berada dalam alam mimpi, bisik hati Damia. Pekerjanya, Nawab, Aswad dan Bashir sedang sibuk mengemas bahagian stor dan tempat dingin beku.
Memandangkan keadaan stesen minyak yang sudah lengang, Damia membuka beg sandang dan mengeluarkan Notebook kesayangannya.
“Lebih baik aku jumpa kawan-kawan kat Facebook. Manalah tahu masih ada yang tersesat di laman tu waktu ni,” kata Damia sendirian.
Terdapat beberapa orang rakannya yang masih melayari laman tersebut. Antaranya Reqza, rakan sekampusnya. Terus icon Reqza ditekan. Puteri Aqtar : Assalamualaikum. Sedang buat apa tu? Belum tidur lagi? Tersengih Damia apabila melihat Reqza membalas sapaannya. Temannya itu terlalu baik. Di mana sahaja dia berada, lelaki itu tidak pernah melupakannya. Pasti ada sahaja alasan sahabatnya itu untuk mencari tahu akan halnya.
Re’Q : Waalaikumussalam... puteri hatiku. Kanda baru sahaja selesai mandi. Rindukan kanda ke? Dinda pula sedang buat apa? Belum tidur lagi? Tersenyum Damia membaca ayat-ayat Reqza. Jiwang!
Puteri Aqtar : :P! Tak ada maknanya nak rindurindu ni! Awat mandi lewat sangat? Tak elok untuk kesihatan tau. Nanti mudah kena penyakit. Aku sekarang tengah kerja. Re’Q : Sampai hati dinda tak rindukan kanda yang handsome ni... :’C balas Reqza sedikit rajuk.
Puteri Aqtar : Huhuhu... janganlah merajuk. Nanti hilang kemachoan tu... ;) Laju sahaja dia membalas balik kata-kata Reqza. Bimbang juga dia jika Reqza berkecil hati.
Re’Q : Haa... tahu takut. Req tak merajuklah. Req sebenarnya baru balik dari gim tadi. Tak selesa pula nak tidur sekiranya tak mandi. Macam biasalah ni ya, cover orang?
Puteri Aqtar : Aah... aku tengah ganti orang. Rajinnya kau pergi gim? Dah hilang penat ke? Bagus sungguh temannya itu. Dia kalau boleh nak tidur aje. Penat duduk di dalam kapal terbang masih belum hilang lagi.
Re’Q : Penat memang penat. Tetapi dah jadi rutin harian, mana boleh tinggal. Lagipun jika tak kacak dan tampan nanti, Mia cabut lari pula. Sedang asyik mereka bersembang di FB, Damia menerima kunjungan seorang pelanggan. “Cik... Coke satu.” Lelaki itu menghulurkan
sekeping wang kertas bernilai RM10.
Damia mencapai sekotak rokok dan memberikannya kepada lelaki itu berserta wang baki. Setelah itu, matanya kembali terarah ke Notebooknya. Tersengihsengih dia membaca ayat-ayat Reqza pada pagi hari. Geram melihat telatah Damia, lelaki itu memetik jarinya berulang kali. Namun tiada tindak balas diterima daripada pihak lawan. Budak ni dah sampai planet Pluto ke... hingga tak dengar apa yang aku cakap? Ke dia ni pekak? Confirm... budak ni mesti pekak tahap kritikal! Masakan tak boleh nak beza antara Coke dan rokok, bebel lelaki itu dalam hatinya. Kemudian dinding kaca di hadapannya diketuk untuk menarik perhatian Damia.
Damia sebenarnya menyedari tindakan lelaki itu tetapi dia buat bodoh sahaja. Buat-buat bodoh tidak mengapa, asalkan jangan jadi bodoh terus sudahlah! getus Damia dalam hatinya.
Eleh... macam hebat sangat setakat petik jari macam tu. Tak gempak pun! Orang pekak boleh buat! Damia mencebik. Sekiranya dah rasa bagus dan hebat sangat, pergilah petik bulan atau bintang. Hah... itu baru boleh dikatakan superb! Tapi ada ke orang yang boleh buat? fikir Damia. Berkerut-kerut dahinya memikirkan persoalan yang satu itu. Ada-ada... aku boleh buat! Apa susahnya? Gantung aje replika bulan dan bintang kat pokok, confirm aku boleh petik dan capai punya, bisik hati Damia lagi. Lebar senyuman yang menghiasi bibir merahnya kerana berjaya merungkaikan teori bodoh ciptaannya. Entah apalah yang dilalutkan oleh Damia kala dinihari begini?
Huh... dia ingat lawa sangat dengan mencebik macam tu? Dah serupa macam muka kambing mengembik. Rasanya muka kambing lagi comel daripada muka dia, gumam lelaki itu jengkel. Jangan-jangan minah ni baru terlepas dari Hospital Bahagia tak? Itu yang mental sikit! Yalah... mula-mula buat muka toya, lepas tu muka macam orang tengah sembelit dan sekarang muka ceria seperti baru lepas menang hadiah berjuta-juta. Tak ke mental namanya tu? Lelaki itu tak habis-habis mengutuk Damia dalam hatinya. Malang sungguh siapa yang kena kahwin dengan perempuan ni! Anak siapalah perempuan ni ya? Harap muka aje cantik tapi otak tiga suku. Kutuk lelaki itu lagi.
Apa lagi yang dia tak puas hati ni? gerutu Damia dalam hatinya. Bukan ke aku dah bagi rokok yang dia minta tadi? Kenapa tak blah lagi? Damia menentang biji mata lelaki yang berada di hadapannya kala ini. Sementelahan itu, matanya liar mencari Aswad dan Nawab. Manalah tahu jika lelaki di hadapannya ini tiba-tiba buat hal, boleh juga dia minta pertolongan. Walaupun mereka terpisah oleh dinding kaca tetapi siapa boleh menduga seandainya lelaki itu memiliki senjata api.
“Hoi... cik kak! Awak... kalau rasa tengah bekerja buat cara macam orang tengah bekerja. Ini tidak... masa bekerja layan komputer. Dahlah tu... berlagak macam bos pula kat sini, sedarlah diri tu sikit,” tempelak lelaki itu sinis.
“Itulah padahnya jika bekerja tidak seikhlas hati. Lain yang orang mintak, lain yang awak bagi. Awak ni pekak ke apa? Saya minta Coke bukan rokok. Ada faham?” sindir lelaki itu terus-terusan.
Damia merenung wajah lelaki itu. Ikutkan hati yang membara dah lama lelaki di hadapannya ini kena silat gayung, silat timba dan silat besen. Sesedap rasa sahaja lelaki itu mengutuknya pekak. Tetapi nak marah balik pun tak boleh juga, sebab dah ternyata memang dia yang bersalah. Lagi pula pepatah Inggeris ada mengatakan, customer is always right! Tapi ayat tu... pepatah Inggeris ke? Hentam ajelah labu...
“Maaflah ya...! Encik minta Coke rupanya. Saya ingatkan encik minta rokok tadi. Saya memang macam ni bila pepagi hari, mamai sikit,” terang Damia menutup kesilapannya. Tanpa berlengah Damia bergegas mengambil beberapa tin Coke lalu diberikan kepada lelaki tersebut.
“Minta maaf banyak-banyak sekali lagi ya. Emmm... ambillah balik duit encik, saya sedekah aje Coke ini untuk encik,” ujar Damia sambil tersenyum. “Jangan serik datang lagi ke mari,” pesan Damia dengan mesra seraya tersenyum manis. Senyuman umpama gula itu menyerlahkan giginya yang putih berkilauan.
Mesti silau mata mamat ni pada subuh hari apabila tertengok gigi aku yang putih melepak, getus Damia. Dia juga tertawa jahat dalam hati. Huh! perli akulah tu, getus lelaki itu. Setelah mengambil air Coke tersebut, dia berlalu tanpa mengambil wang yang diberikan oleh Damia. Huh! Dasar manusia sombong lagi bongkak serta angkuh, gumam Damia. Dalam pada membebel itu, Damia mengambil wang yang ditinggalkan oleh lelaki tersebut lalu disimpan.
“Bagus juga dia tak ambil balik duit dia. Kalau tidak ‘terbang’ duit aku kena ganti. Mana boleh bagi orang barang tanpa perlu membayarnya, tak pasal-pasal lingkup business bapa aku.”
Bagi mengenang jasa baik lelaki ego itu, Damia dengan senang hati meneruskan amalan ‘Budi Bahasa Budaya Kita.’
“Selamat memandu dan berhati-hati di jalan raya,” pesan Damia melalui alat pembesar suara. “Tata... titi... tutu...!!! Bye... bye...!!!” Apalah aku ni... Terlajak mesra la pula. Macamlah orang lelaki tu nak ambil kisah. Damia menyambung kembali sembangnya bersama Reqza.
Puteri Aqtar : Maaflah lambat balas, ada pelanggan tadi. Tak kisahlah hodoh ke tampan, Mia tetap berkawan dengan Req. Emmm... Req, kita berhenti setakat ini dulu ya. Ada masa nanti Mia call Req. Assalamualaikum.
Re’Q : Okeylah... Req pun dah mengantuk ni. Ada masa kita bersembang lagi. Selepas menamatkan sembangnya di alam maya, Notebook miliknya disimpan. Peristiwa sebentar tadi harus dijadikan pengajaran. Dia tidak mahu melakukan kesilapan lagi. Tidak berbaloi rasanya jika dia melayan keseronokan tetapi stesen minyak milik keluarganya mendapat nama yang buruk selepas itu. Dia berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya lagi. Cukuplah sekali! Tanpa sedar... jam sudah menunjukkan ke angka 5.37 minit pagi. Azan subuh mula berkumandang dan bersahut-sahutan dari surau dan masjid berhampiran. Tanpa berlengah Damia bangun dan bersedia hendak mengejut bapa saudaranya. Bashir diminta menjaga kaunter seketika. Nawab dan Aswad pula sudah ke surau yang memang tersedia di stesen minyak untuk menunaikan solat subuh.
Damia merenung kasih wajah bapa saudaranya. Tidak sampai hati pula dia hendak mengejutkan bapa saudaranya malam tadi. Khairil kelihatan begitu nyenyak sekali lenanya.
“Ucu... bangun.” Damia menolak lembut bahu bapa saudaranya. “Ucu... bangunlah! Dah masuk waktu subuh ni.” Kali ini agak keras sedikit nada suaranya. Terpisat-pisat keadaan Khairil ketika itu. Dia menggosok-gosok matanya seketika.
“Dah pukul berapa, Sayang?”
“Dekat pukul enam. Bangunlah... nanti boleh kita balik awal. Sekiranya lambat, bimbang jammed pula highway Pasir Gudang,” beritahu Damia. Maklumlah laluan itu sentiasa sibuk dengan orang yang hendak pergi bekerja. Khairil bingkas bangun. Kasihan pula dia melihat
anak saudaranya itu. Tentu Damia tidak tidur semalaman. Jika tidak, pasti dia sudah dikejutkan lebih awal untuk mengambil alih tempat Damia. Khairil segera membersihkan diri dan terus menuju ke surau.
SETIBANYA mereka di rumah, haruman nasi lemak menusuk hidung masing-masing. Damia pantas berlari menuju ke ruang makan.
“Emmm... yummy... yummy...!!! Sedapnya bau nasi lemak kukus Mak Jah,” puji Damia ikhlas. Dia menghidu bau nasi lemak tersebut. “Terasa lapar pula perut Sayang ni, Mak Jah,” ujar Damia sambil tersenyum manis. Mak Jah menghadiahkan senyuman tatkala mendengar pujian Damia. Begitulah lazimnya pujian yang diberikan oleh keluarga Puan Saadiah, majikannya. Tangan Mak Jah laju menyusun pinggan dan cawan di atas meja sebelum berlalu ke dapur.
“Hisy... Sayang ni! Tak menyempat langsung. Pergilah mandi dulu baru makan,” bebel Khairil. “Tengok! Gigi pun belum bergosok lagi, dah nak menghadap makanan. Sungguh tidak sopan!” tempelak Khairil sambil mengancing lengan kemejanya. Setiba sahaja di rumah, dia terus mandi dan bersiap kerana sebentar lagi dia perlu ke Menara Impiana.
“Ala... Ucu ni, tak sporting langsung! Nanti Sayang mandilah. Bagilah Sayang makan dulu ya... Tapi lepas makan nak tidur kejap. Mata ni dah tak tahan nak qadak tidur malam tadi.
“Apa punya anak daralah agaknya? Lepas makan, terus tidur.”
“Nak buat macam mana, dah mengantuk sangat. Ucu lainlah... malam tadi dah puas tidur,” sakat Damia sambil tersenyum meleret.
“Eleh... itu pun nak berkira! Dah tahu mengantuk kenapa tak kejutkan Ucu malam tadi?”
“Sayang mulanya memang nak kejutkan Ucu bangun. Tapi bila tengok Ucu letih sangat, tak jadi nak kejut. Tak sampai hati. Apa salahnya sekali-sekala Sayang berbakti dan berkorban untuk bapa saudara kesayangan Sayang ni,” ujar Damia sambil menarik kedua-dua belah pipi Khairil.
“Aduh! Sakitlah Sayang oii...! Kamu ingat pipi Ucu ini diperbuat daripada getah buku ke apa? Ikut suka hati kamu nak tarik-tarik!” marah Khairil sambil mengusap pipinya yang perit.
“Sikit-sikit nak marah! Nak merajuk! Kalau Sayang pula yang merajuk, baru Ucu tahu. Siapa yang nak tolong ganti tempat Abang Samad malam nanti?” ugut Damia.
“Eleh... tegur sikit dah terasa! Ucu keluarkan aura kelapan dari tubuh badan Ucu baru padan muka. Masa tu... barulah Sayang tahu langit tinggi ke rendah,” ujar Khairil sambil tersengih. Pipi Damia ditolak lembut.
“Eeii... tak naklah aura kelapan tu! Busuk tahu tak!” Damia segera menutup hidungnya. Kalau aura kelapan yang dimaksudkan oleh Khairil, Damia sudah arif akan keadaannya. Hanya orang yang mempunyai masalah deria bau sahaja sanggup menghidunya. Busuknya mengalahkan telur tembelang!
Khairil sudah ketawa berdekah-dekah. Masakan dia hendak bertikam lidah dengan anak saudaranya lama-lama. Damia memandang geram wajah bapa saudaranya. Sakit hatinya bila Khairil suka mengenakan dirinya.
“Ucu minta maaf. tak ada niat dalam hati Ucu hendak mentertawakan Sayang. Dahlah jangan merajuk,” pujuk Khairil. “Malam nanti Ucu bawa pergi City Square atau Aeon Tebrau, kita tengok wayang. Nak?”
“Nak... nak...!!!” Damia sudah teruja.
“Tapi siapa yang nak ganti tempat Abang Samad malam nanti?”
“Ala... Bashir kan ada! Dia boleh jaga stesen minyak tu sekejap. Lagipun kita bukannya nak menonton sampai panggung wayang tutup.”
“Kalau Ucu dah kata macam tu, Sayang ikut sahaja. Walau apapun lepas makan Sayang nak masuk tidur terus.” Menggeleng kepala Khairil dengan telatah anak saudaranya itu.
Tidak lama kemudian, Puan Saadiah pula datang menyusul di meja makan. Selepas menikmati hidangan sarapan pagi bersama, Khairil bersedia menuju ke Menara Impiana. Damia pula menuju ke bilik tidurnya. Puan Saadiah serta pembantu rumahnya, bersiap untuk ke pasar membeli barang keperluan. Tengah hari nanti dia ingin menyediakan hidangan istimewa untuk cucu kesayangannya itu.
No comments:
Post a Comment