DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 1 March 2016

MY SOULMATE - BAB 14



“Cik Ayuni, saya nak tengok laporan kewangan bulan lepas.  Sila bawa fail-fail tu ke bilik saya sekarang!”. 
Ayuni terpaku di tempat duduknya setelah meletakkan gagang telefon.  Panggilan yang tidak diduga dari CEO syarikat, benar-benar membuat dia bungkam di tempat duduknya. 
Kenapa pulak aku yang kena hantar?  Selalunya, ketuanya Encik Shah Iskandar yang bertanggungjawab ke atas penyerahan laporan kewangan bulanan kepada Encik Hisyam.  Ayuni pelik!
Ayuni segera memaklumkan kepada ketuanya tentang permintaan CEO syarikat itu. Shah Iskandar sendiri juga amat pelik dengan arahan yang diberikan oleh Encik Hisyam apabila Ayuni memberitahunya tentang arahan dari CEO syarikat itu.  Selama ini, itu adalah tugasnya.
 “Err…takpelah Ayuni.  Mungkin Encik Hisyam nak tengok prestasi kerja awak selama sudah hampir dua bulan awak di sini.  Awak pergilah hantar.  Ini juga sebahagian dari bidang tugas awak.  Nanti, kalau ada apa-apa yang tak clear, awak beritahu saya” Balas Shah Iskandar apabila dilihatnya Ayuni mula resah. 
Ayuni hanya mengangguk.  Hatinya mula berdebar-debar untuk menghadap CEO syarikat itu.  Kali terakhir dia berjumpa dengan Encik Hisyam adalah semasa hari pertama dia melaporkan diri dahulu.  Selepas insiden itu, dia langsung tidak pernah bertemu dengan Encik Hisyam kerana selalunya hanya ketuanya yang berurusan dengan bosnya itu.
           

                                                                                       




AYUNI hanya terkebil-kebil bila melihat Hisyam membelek-belek isi kandungan fail yang dibawanya itu.  Seperti biasa, Hisyam tidak akan memandang wajahnya.  Hanya sesekali dia memandang wajah Ayuni apabila menunggu jawapan pada soalan yang dilemparkannya. 
“Kenapa laporan kewangan ni tak lengkap?  Saya dapat kesan banyak kesilapan berlaku di sini.  Macamana awak buat kerja ni?” Hisyam sengaja mencari kesilapan gadis di hadapannya itu. 
Dia sebenarnya langsung tidak dapat mengesan apa-apa pun kesalahan laporan itu tetapi disebabkan dia perlu mencari point untuk memulakan bicara mengenai Taufik, dia terpaksa melakukannya.
            Ayuni menggaru kepala yang tidak gatal.  Tidak lengkap?  Banyak kesalahan?  Mustahil sebab ini bukanlah kali pertama ketuanya menyediakan laporan itu.  Selama ini, itulah tugas yang digalas oleh Encik Shah Iskandar dan dia pula hanya membantu ketuanya menyiapkan laporan itu.  Tambah menghairankan Ayuni ialah apabila Datuk Bakri sendiri sangat berpuas hati dengan hasil kerja dia dan ketuanya, bagaimana pula Hisyam boleh mengatakan banyak kesilapan? 
“Err…maafkan saya Encik Hisyam….tapi laporan ni dah disahkan oleh Datuk sendiri, dan katanya dia amat berpuas hati” Jawapan Ayuni yang jujur itu membuatkan Hisyam terperangkap. 
Dia buntu mencari alasan.  Namun, egonya masih beraja di hati menyebabkan dia naik angin dengan kata-kata Ayuni itu.
            “Sejak bila pulak awak pandai nak melawan cakap saya?  Kalau saya kata ada kesalahan, adalah kesalahan tu.  Awak ingat saya sengaja nak menipu macam awak?” Laju saja kata-kata itu keluar dari mulut Hisyam. 
Dia sendiri tidak tahu kenapa dia harus berkata sebegitu terhadap Ayuni.  Mungkin dengan cara itu saja dia boleh berkomunikasi dengan gadis pujaan temannya itu. 
Darah mula menyerbu ke muka Ayuni apabila bosnya itu membangkitkan semula kisah semasa sesi temuduga.  Dia tidak tahu kenapa dia cukup sensitif dan cepat naik angin apabila perkara itu disebut-sebut lagi.  Dia mencerlung memandang Hisyam.  Mulutnya ringan saja hendak memuntahkan isi hatinya, namun seolah-olah ada suara halus yang menghalangnya.  Ayuni segera beristighfar.
 “Macam nilah Encik Hisyam, sebenarnya laporan ini disiapkan sepenuhnya oleh Encik Shah, dan saya hanya membantu.  Jika terdapat mana-mana bahagian dalam laporan ni yang tak memuaskan hati Encik Hisyam, Encik boleh terus berhubung dengan Encik Shah kerana kelulusan keseluruhan laporan kewangan hanya berhak dilakukan oleh Encik Shah sebelum mendapat pengesahan Datuk.  Tadi pun sepatutnya Encik Shah yang menghantar laporan kewangan ni, tapi saya tak tahu kenapa Encik Hisyam minta saya yang hantar.  Saya minta maaf sebab saya memang tidak dapat menjelaskan masalah ni” Kendur sahaja suara Ayuni. 
Dia harus menyabarkan dirinya.  Berhadapan dengan Hisyam, nampaknya memang memerlukan kekuatan dalaman.  Kadang-kadang dia sendiri tidak tahu kenapa Hisyam sentiasa ingin mencari salahnya.  Adakah besar sangat kesalahan yang dilakukannya dahulu?
            Melihatkan bosnya itu hanya mendiamkan diri, Ayuni bersuara lagi.
 “Kalau tiada apa-apa lagi, saya minta diri dulu”. 
Ayuni mula melangkah keluar tetapi langkahnya terhenti apabila bosnya memanggilnya. 
“Nanti dulu….saya nak tanya awak satu soalan…” Hisyam memutuskan untuk berterus-terang dengan Ayuni. 
“Apa hubungan awak dengan Encik Taufik?” Keras bunyi pertanyaan Hisyam.  Ayuni terpaku. 
Dia pelik bagaimana seorang CEO syarikat boleh bertanya soalan yang berkaitan dengan peribadinya.  Dia tidak tahu apa jawapan yang paling sesuai diberikan ke atas soalan itu.  Sebabnya?  Dia sendiri sudah lama tidak berhubung dengan Taufik. Begitu juga dengan jawapan yang ditagih oleh Taufik.  Masih tergantung.  Walaupun sudah beberapa kali Taufik menagih jawapannya, berikan dia masa, itu saja jawapan yang keluar dari mulutnya.  Namun, satu perkara tentang Taufik yang agak mengkagumkannya dan kadang kala juga merimaskannya, adalah sikapnya yang  tidak mengenal erti putus asa.
            “Maaf Encik Hisyam.  Saya tak dapat menjawab soalan Encik.  Saya rasa itu adalah urusan peribadi saya. Saya minta diri dulu”. 
            Ayuni terus melangkah keluar dari bilik yang sentiasa dirasakan ‘panas’ itu meninggalkan Hisyam yang terpinga-pinga dengan tindakan Ayuni yang tidak disangka-sangkanya itu.











No comments:

Post a Comment