DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 1 March 2016

MY SOULMATE - BAB 16




Usai mengerjakan solat isyak, Ayuni terus merebahkan dirinya di atas katil.  Dirinya kembali merasa segar setelah mandi.  Indahnya perasaan apabila dapat bermalas-malasan di atas katil sendiri setelah seharian penat bekerja.  Sejak di pejabat lagi, dia sudah berniat untuk tidur awal malam ini.  Dia hendak meng’qada’kkan tidurnya yang agak terganggu disebabkan kesibukan bekerja kebelakangan ini. 
Memang apabila sampai hujung bulan, adalah waktu yang paling sibuk di bahagiannya.  Puas dia cuba melelapkan mata tetapi tidak berjaya walaupun sebenarnya matanya cukup mengantuk.  Penat terlentang, dia baring terlungkup, namun matanya masih berdegil tidak mahu terlelap walaupun sesaat.  Akhirnya, dia berbaring terlentang merenung syiling.  Kini, syiling biliknya menjadi layar putih, manakala otaknya mengimbau kembali peristiwa yang berlaku di lobi syarikat siang tadi dan dia seolah-olah sedang menonton filem tentang kisah dirinya sendiri.

Salam.  Saya nak jumpa awak lunch hour nanti.  Tunggu saya di lobi.

Mesej pendek dari Taufik yang diterima sebaik sahaja Ayuni baru hendak memulakan tugas, benar-benar memeranjatkannya.  Keras bunyinya mesej itu.  Seolah-olah satu arahan.  Tiba-tiba Ayuni rasa bimbang kerana sudah lama juga Taufik tidak menghubunginya.  Telahan Ayuni bahawa Taufik sudah berputus asa terhadap dirinya ternyata meleset.  Selama ini Ayuni sengaja mencipta seribu satu alasan dengan harapan Taufik akan melupakan hasrat hatinya terhadap Ayuni tapi ternyata Taufik memang manusia yang tidak pernah mengenal erti putus asa.  Ayuni semakin tertekan.  Dia sedang merangka ayat yang sesuai untuk diberikan kepada Taufik sekiranya lelaki itu masih terus mendesaknya. 
“Hishh!..kenapalah dia ni tak faham bahasa.  Aku dah buat macam-macam alasan pun masih nak juga mencuba.  Apa yang sebenarnya mamat ni nak dari aku? Ramai lagi staf-staf yang syok kat dia, tapi kenapalah aku juga yang dia nak?” Ayuni merungut seorang diri selepas membaca mesej dari Taufik. 
Namun, dia sedar.  Dia tidak boleh berterusan bersikap begitu kerana dengan sikap membisunya itulah yang menyebabkan Taufik terus-terusan mengharapkannya.  Dia sendiri tidak tahu akan perasaannya.  Semenjak putus tunang, dia seolah-olah sudah hilang semua perasaan suka, sayang, rindu dan cinta pada lelaki.  Perasaan yang tinggal kini hanyalah benci, menyampah dan rasa tidak percaya kepada lelaki.  Bukan dia sengaja menerbitkan perasaan-perasaan negatif itu, tetapi dia wujud secara semulajadi.  Keperitan yang dilalui selama ini menjadikan dirinya sekarang seolah-olah sudah hilang perasaan.  Ayuni yang baru adalah Ayuni yang tiada perasaan.  Macam robot.  Itulah sindiran sinis dari Hanis apabila setiap kali Ayuni hanya memekakkan telinga apabila Hanis menyebut perihal Taufik.
Pada awalnya, Ayuni ingin mengabaikan sahaja mesej dari Taufik tetapi dia bimbang Taufik akan melakukan sesuatu di luar dugaannya.  Masih terbayang-bayang perlakuan Taufik terhadapnya di hadapan staf-staf yang lain sewaktu hari pertama dia mula bekerja di Menara Holding. 
Taufik seperti biasa hanya selamba dengan tindakannya tetapi dia yang terpaksa menanggung malu di atas perlakuan lelaki itu.  Ayuni sudah bertekad.  Dia akan berterus terang dengan Taufik akan pendirian dirinya nanti.  Biarlah, apa jua pun yang akan Taufik luahkan, dia tetap akan bertegas kerana sesungguhnya hati dan perasaan memang tidak boleh dipaksa-paksa.  Dia mahu perasaan suci itu terbit dalam dirinya secara sendiri tanpa didesak dari mana-mana pihak sekalipun walaupun dia sendiri tidak tahu bilakah saat itu akan tiba.  Biarlah masa yang menentukan dan jika saat itu tiba, dia akan pasrah dengan apa jua yang berlaku selepas itu.
Ayuni sengaja melengah-lengahkan masa.  Sebolehnya dia tidak mahu berjumpa dengan Taufik kerana saat ini, itulah manusia pertama yang cuba dielakkan dari berjumpa selepas bosnya, Hisyam.  Rasa cukup janggal untuk berjumpa Taufik apatah lagi berjumpa di lobi syarikat.  Namun dia sudah bertekad untuk meleraikan segala kekusutan hari ini juga. 
Dari jauh, Ayuni sudah nampak kelibat Taufik.  Lelaki itu dilihatnya kelihatan serius.  Tidak seperti selalu.  Ayuni berjalan menghampiri Taufik.  Semakin dekat menghampiri lelaki itu, hatinya semakin berdebar-debar.  Kenapa perlu ada perasaan begini? Selama ini dia tidak pernah merasa apa-apa apabila berhadapan dengan Taufik, tetapi tidak kali ini. 
“Assalamualaikum” lembut Ayuni menyapa Taufik. 
Walau seribu kali dia tiada perasaan dengan lelaki itu sekalipun, tidak bermakna dia perlu menunjukkan sikap yang tidak elok.  Memang itulah Ayuni.  Dia tidak mahu berpura-pura.  Dia mahu menjadi dirinya sendiri.  Taufik segera berpaling sebaik mendengar Ayuni memberi salam. 
“Waalaikumsalam…” Balas Taufik pendek. 
Memang jelas riak wajahnya yang agak keruh.  Tidak seperti Taufik yang biasa dia jumpa.  Riang dan happy go lucky.  Taufik terpaku sebentar memandang Ayuni.  Dia merasakan denyut nadinya semakin laju sebaik sahaja berhadapan dengan gadis itu.  Sememangnya dia tidak mampu mengawal perasaannya terhadap Ayuni tika dan saat itu.  Ternyata aura gadis itu cukup kuat sehingga boleh melemahkan seluruh sendi-sendi di badannya.  
Ah!  Memang gila. 
Dia memang akan jadi gila bila melihat Ayuni secara berhadapan begini.  Apatah lagi apabila melihat seraut wajah lembut Ayuni.  Berkebaya labuh rona biru firus dan berselendang sedondon menambah keayuan Ayuni.  Taufik makin tidak keruan.
 “Dah lama Encik Taufik tunggu saya?  Maaflah, tadi ada banyak kerja yang urgent”.  Melihatkan Taufik hanya mendiamkan diri, Ayuni bertanya lagi.
 “Errr….ada apa  Encik Taufik nak jumpa saya ni ye?”. 
“Duduklah…” Arah Taufik pendek. 
Memang Taufik yang berada di hadapannya sekarang adalah Taufik yang sangat berbeza.  Dia seolah-olah tidak mengenali lelaki di hadapannya itu.  Ayuni duduk berhadapan dengan Taufik.  Walaupun hatinya sangat berdebar-debar ketika itu, tapi seboleh mungkin dia cuba mengawal perasaannya supaya tidak dapat dihidu oleh Taufik.  
“Ayuni…straight to the point.  Sebenarnya saya ada perkara penting yang nak dibincangkan dengan awak…” Taufik memulakan bicara. 
Ayuni seolah-olah sudah dapat mengagak apa yang akan dituturkan oleh Taufik.  Ayuni hanya diam.  Dia ingin mendengar apa yang hendak disampaikan oleh Taufik terlebih dahulu sebelum dia memberi kata putus.  Taufik menyambung lagi,
“Tapi…bukan di sini.  Di sini tak sesuai untuk bincangkan perkara itu.  Malam esok, saya akan ambil awak di rumah pukul lapan.  Saya harap awak dapat tunggu saya datang” Tegas Taufik. 
“Err..tapi malam esok….”,
“Saya akan ambil awak pukul 8 malam esok. Full stop” Taufik segera memotong kata-kata Ayuni apabila dia menyedari yang Ayuni cuba untuk menolak  ajakannya. 
Dia tidak peduli.  Dia perlu bertegas dengan gadis itu.  Selama ini dia sudah cukup bersabar dengan sikap Ayuni yang seolah-olah main tarik tali dengannya. Dia sudah bertekad untuk meluahkan apa jua yang tersirat di dalam hatinya kerana jika dibiarkan terus terpendam di hatinya, dia bimbang akan jadi seperti bom jangka yang akan  meletup bila-bila masa tanpa diduga.  Dia sanggup untuk melakukan apa sahaja jika terpaksa.  Ayuni terdiam seribu bahasa dengan sikap Taufik hari itu.  Sudah hilang tekadnya tadi untuk berterus terang dengan Taufik.









No comments:

Post a Comment