DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 21 August 2017

Ikhlas Memilihmu- Bab 1

TERKOCOH-KOCOH Haris berlari. Peluh
merecik ke segenap dahi. Beg sandang bayi dan lampin pakai
buang yang dibimbit ternyata tidak langsung mengganggu.
Begitu juga Alya, anak kecil yang berumur lingkungan 3
tahun. Lena anak kecil itu beradu di bahu sebelah kanannya.
Daripada kejauhan, kelibat si ibu sudah kelihatan.
Sabar dia menantikan anaknya di hadapan koridor rumah.
Tinggal di flat, beginilah gayanya. Hanya ini yang termampu.
Itu pun sudah cukup baik daripada tinggal di rumah
setinggan.
“Sampai pun. Mak ingat kamu tak nak datang tadi.”
Puan Aidah mengusik manja. Itulah gerangan nama ibu
kandung Haris. Seorang wanita tabah lagi cekal. Walaupun
sudah berumur lebih 60-an, kudratnya masih lagi kuat.
Sanggup mengambil upah mengasuh bayi-bayi jiran yang
memerlukan. Termasuklah cucunya yang bernama Alya.
“Maaf mak, Haris tak sedar tadi. Penat sangat kut.”
Haris memberi alasan.
Memang dia mengaku dia agak lewat hari ini.
Selalunya dia akan bangun seawal 6 pagi. Tapi hari ini, entah
kenapa kelopak matanya sukar dibuka. Mungkin penangan
tidur lewat semalam. Alya meragam teruk. Perutnya kembung
entah sebab apa.
Seketika, Haris membuka kasut. Kemudian dia
masuk ke dalam rumah dengan diiringi si ibu.
“Kamu penat sebab apa?”
“Cucu mak ni hah... dari semalam teriak tak
henti-henti. Rasanya sakit perut. Panik jugak saya, mak.”
“La... ya ke? Kenapa kamu tak telefon mak? Dah
bawa pergi klinik?”
Klinik? Terdiam Haris mendengar saranan itu. Kalau
klinik, rasanya itu bukan pilihan utama. Kejam ke dia kalau
berfikiran sebegitu?
“Saja tak nak susahkan mak.” Haris berkata jujur.
“Tapi lepas sapu minyak Yu Yee, dia macam dah okey. Tu yang
Haris tak bawa pergi klinik tu.” Okey, yang ini dia mengaku
dia tipu. Klinik swasta kan mahal. Dia takut tak mampu nak
bayar bil klinik nanti. Kalau siang, lainlah. Bolehlah dia bawa
ke klinik kerajaan.
“Oh...”
Ketika itu, Haris perasan tilam yang terbentang
di ruang tamu kecil itu kelihatan kosong. Selalunya kalau
waktu-waktu begini, sudah ada 2 orang peneman Alya yang
terbongkang di situ. Yalah, ibu bapa kerja. Cari duit lebih
dalam keadaan ekonomi tak menentu macam ini. Rela atau
tidak, kenalah tinggal anak kepada pengasuh.
“Mana Fawwaz dengan Maya mak?” Haris bertanya
sambil meletakkan Alya di ruang kosong yang ada. Rambutnya
yang menutup mata sempat dirapikan sebelum memandang
wajah Puan Aidah.
“La, kamu ni... kan mak dah cakap, start bulan ni
mereka dah tak duduk sini. Fawwaz katanya nak masuk
sekolah awal. Maya pulak mama dia nak hantar ke taska dekat
tempat kerja mamanya.” Puan Aidah menjelaskan.
Tidak dinafikan, sedikit rasa terkilan bertandang
dalam hatinya. Yalah, dengan duit mengasuh itulah dia
menampung perbelanjaan hariannya selama ini. Terutama
untuk Rafiq iaitu adik bongsu Haris yang masih berada di
tingkatan 5. Duit pencen arwah suami bukanlah banyak
sangat pun. Hendak menyusahkan Haris, dia pun empati
dengan nasib anaknya itu.
Haris lagi kesian. Muda-muda lagi dah jadi duda.
Namun apabila Puan Aidah fikirkan semula, tak elok
rasanya jika dia terlalu mengeluh. Kalau dia rasa terhimpit,
rasanya ada lagi orang yang lebih tersepit daripadanya.
Sekurang-kurangnya dia masih punya rumah. Masih ada
anak. Cukup makan dan pakai. Dan ternyata semua itu lebih
daripada cukup buat dirinya sekeluarga.
Haris mengeluh dalam diam. Mendengar jawapan
ibunya tadi, sedikit sebanyak membuatkan hatinya rawan.
Faham benar akan tanggungjawab yang semakin berat
terletak di bahu.
Spontan, tangan menepuk dahi.
‘Aduh! Kenapalah aku boleh melangut lagi ni?’ Saat
itu juga, Haris baru tersedar yang dia memang benar-benar
sudah terlambat. Cepat-cepat dia menyelimutkan Alya lalu
mengucup penuh kasih pipi anak kecil yang masih diulit lena
itu.
“Mak, orang pergi dulu. Petang nanti orang balik
ambil Alya.” Haris menyalami tangan wanita yang telah
bersusah payah melahirkannya.
Puan Aidah mengangguk seraya tersenyum.
Mengenangkan nasib anaknya, rasa sebak tiba-tiba
menghunjam hulu hati. Tetapi untuk menangis di hadapan
Haris, sumpah dia tidak akan melakukannya. Bimbang hati
anak itu akan menjadi rapuh pula. Cukuplah apa yang telah
ditanggung olehnya selama ini.
Di muka pintu, sewaktu Haris sedang memakai
kasut, sempat Puan Aidah menitipkan pesan seperti selalu.
“Haris, kalau kamu penat, tak payahlah kamu ambil
Alya ni. Tinggalkan aje dia kat sini. Biar mak yang jaga.”
“Eh! Tak apalah mak. Tak nak susahkan mak.”
Puan Aidah mengeluh perlahan. Kadangkala Haris
ini memang keras kepala. Macamlah dia tidak dapat hidu
keadaan anaknya itu bagaimana. Tengok eye bag bawah mata
pun dah tahu. Suka sangat menipu. Menipu demi kepentingan
orang lain.
‘Haris, Haris... kesiannya mak kat kamu,’ hati
Puan Aidah bergumam sayu. ‘Tabahlah aduhai anakku.
Sesungguhnya, Allah bersama dengan orang-orang yang
sabar.’
Dari kejauhan, Puan Aidah hanya memandang sayu
pemergian anaknya.

KERJA SEBAGAI seorang despatch tidaklah seteruk
kerja-kerja buruh yang lain. Hanya menghantar surat atau
barang ke tempat yang diarahkan. Sesekali dia juga terpaksa
mengutip surat atas arahan pihak atasan. Ke sana ke mari
menunggang motosikal. Berpanas hujan ibarat lumrah
hidupnya.
Haris memulakan tugas ini sejak tamat tingkatan 5
dulu. Memandangkan keputusannya tidak berapa baik, maka
dia memilih untuk bekerja daripada menyambung pelajaran.
Sekurang-kurangnya, dapat juga dia menimba pengalaman.
Tidak betah dia untuk menjadi penganggur, kerana itu hanya
akan merugikan dirinya sendiri.
Kalau nak dihitung, sudah hampir 12 tahun dia
bergelar despatch. Lama, kan? Sepatutnya, memang dah
lama juga dia naik pangkat. Tapi apa jadah jawatan despatch
naik pangkat? Mahu jadi apa? Penolong Pegawai Despatch?
Ketua Despatch? Mana ada semua jawatan macam tu di
syarikat, kan? Despatch tetap despatchlah. Lagilah mustahil
kalau tiba-tiba dia dinaikkan pangkat jadi eksekutif. Itu dah
masuk tahap kucing bertanduk dah. Angan-angan bolehlah...
Tapi kan... alangkah bagusnya kalau dia dapat naik
pangkat. Selalu sangat dia berangankan begitu. Bukan gelaran
yang mahu direbutkan. Tapi sekurang-kurangnya, dapat
juga kenaikan gaji yang tinggi. Sedikit sebanyak dapatlah
meringankan bebanan kewangan yang membelenggu
hidupnya sejak akhir-akhir ini.
Itulah, masa sekolah dulu banyak sangat main.
Bergaul dengan budak-budak nakal dan entah apa-apa.
Ponteng kelas ibarat perkara rutinnya. Apabila dah besar
macam ini, kenalah terima padahnya.
Namun begitu, Haris tetap menerima semua
ini dengan hati yang terbuka. Apa yang berlaku, sudah
pasti menjadi ketentuan-Nya. Semuanya telah tertulis.
Sesungguhnya, Dia Yang Maha Berkuasa lebih mengetahui
apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya.
Dan apabila direnung kembali, ternyata semua
yang berlaku memang ada hikmahnya. Disebabkan kerja itu
jugalah dia telah ditakdirkan untuk bertemu dengan cinta
pertamanya, iaitu mama kepada buah hati kesayangannya
sekarang.
Lina. Itulah gerangan nama wanita yang pernah
menjadi sanjungan. Tidak keterlaluan juga jika Haris
mengatakan bahawa nama wanita itu masih lagi terpahat
kemas dalam hatinya. Namun begitu, gara-gara masalah
dalaman, hubungan tulus yang dibina itu ternyata tidak
mampu dipertahankan.
Terbayang di mata Haris sekarang, saat kali pertama
dia bertembung dengan Lina. Ketika itu, entah macam mana
motor yang dipandunya secara tiba-tiba terlanggar sisi tepi
kereta yang dipandu oleh seorang gadis. Tidak semena-mena
dia berada dalam keadaan tertonggeng di atas jalan raya.
“Ya Allah encik, saya minta maaf. Saya tak sengaja.”
Gadis itu bersuara cuak sejurus keluar dari keretanya.
Haris cuba mengawal dirinya agar bertenang. Nasib
baiklah telinganya dapat mendengar permohonan maaf
tadi. Nampak sangat bukan dia yang salah dalam kejadian
ini. Sebab Haris memang yakin, dia merupakan seorang
penunggang motor yang berhemah selama ini. Kalaulah ada
anugerah penunggang contoh, memang layaklah jika dia
yang menerimanya.
“Cik tak boleh macam ni. Sebelum nak keluar
simpang, cik kena tengok kiri dan kanan dulu.” Haris cuba
menegur kesilapan gadis yang sudah tampak panik itu.
“Ya, saya tahu encik. Saya mengaku memang salah
saya. Saya gabra tadi.”
Haris terdiam sejenak sejurus mendengar jawapan
itu. Sambil itu, dia cuba mendirikan motornya yang terbaring
ala-ala model tadi. Sempat dia meliarkan mata pada cermin
hadapan kereta. Saat terjumpa lambang ‘P’, barulah dia
bersuara semula.
“Baru ambil lesen ke?”
“Err ya, ya...” Gadis itu mengiakan. “Macam mana
encik boleh tahu saya baru ambil lesen?” Gadis itu segera
bertanya.
“Maaflah kalau saya cakap ni. Kat atas jalan raya
ni, hanya ada dua jenis pemandu yang sering menyebabkan
kemalangan jalan raya macam ni. Satu, pemandu yang
sememangnya cuai. Tengah memandu, boleh pulak dia main
telefonlah, minum araklah, borak dengan perempuanlah dan
banyak lagilah...” Haris menyatakan pendapatnya.
Sering kali dia mendengar dalam berita, mereka
semua inilah yang menjadi antara punca kemalangan yang
berlaku di Malaysia. Hari-hari kalau tak ada cerita kemalangan
ngeri, bagaikan tidak sah. Baginya, kejadian seperti ini dapat
dielakkan sekiranya pemandu itu peka dengan tanggungjawab
sendiri. Mereka bukan saja dapat menyelamatkan nyawa
sendiri, malahan tidak akan sesekali menjadi punca kepada
kematian insan yang tidak berdosa.
“Yang keduanya, pemandu yang paling digeruni oleh
mana-mana lelaki kat atas muka bumi ni.”
“Maksud encik, pemandu yang baru dapat lesen ke?”
Gadis itu kedengaran cuba menduga.
“Tak.”
“Habis tu?”
“Pemandu perempuan. Ada lesen dengan takde sama
aje.”
Walaupun kata-kata Haris berbaur perlian, ia sedikit
pun tidak mendatangkan rasa marah kepada gadis tersebut.
Sebaliknya, ketawanya terus terhambur. Terus kepala
teringatkan tentang video-video yang sering dilihat dalam
Internet sebelum ini. Ada yang nak memarkirkan kereta
saja pun ambil masa dekat sejam. Undur, pusing, masuk.
Undur, pusing, masuk. Ada juga yang terlanggar tiang sebab
tak pandai anggar jarak, panjat tembok, tersalah undur dan
bermacam-macam lagi.
Terpinga-pinga Haris melihat gadis itu ketawa.
Ingatkan dia dah perli punya baik tadi. Tapi boleh pulak gadis
itu tergelak sakan? Macam ada udang di sebalik mi aje. Ke
gadis itu saja pura-pura gila sebab tak nak bertanggungjawab?
“Awak ni kelakarlah.”
“Pulak dah. Saya seriuslah.”
“Saya pun serius. Hahaha...”
Haris pasrah. Tak sangka pula dia boleh jumpa
dengan awek sewel hari ini. Dahlah langgar orang. Siap
ketawakan dia lagi. Ada juga manusia macam ini.
Tapi apabila difikir-fikirkan semula, terus Haris tidak
jadi nak marah. Sekurang-kurangnya gadis itu mengaku
salah. Lagipun kalau ditengok keadaan motornya sekarang,
tak adalah teruk mana pun. Cuma cermin sisi sebelah kanan
saja yang patah.
“Hai. Nama saya Lina. Nama awak?”
Dan saat gadis itu bersuara, detik itulah bermula
segala-galanya.

No comments:

Post a Comment