“FOR the last time, Izza, I’m telling you, aku
dengan Hanif tak ada apa-apa. Kita orang kawan aje.” Syazani
menekan suaranya, geram dengan Izza yang tak habis-habis
mengasak. Walaupun cuma bercakap di telefon, dia dapat
bayangkan senyuman mengusik gadis itu di matanya.
“Ya ke? Tapi malam tadi kau dengan dia tak nampak
macam kawan pun tau? Mesra semacam,” usik Izza lagi
sebelum ketawa.
Syazani tergeleng-geleng. Tudungnya dikemaskan
di depan cermin. “Suka hati kaulah, aku malas nak nafikan
apa-apa lagi. Bukannya kau dengar pun.” Suaranya dikuatkan
ke arah telefon di atas katil yang sudah diaktifkan dengan
pembesar suara.
Izza tergelak-gelak. “Okey, okey. Kalau betul kau
cuma anggap dia kawan, tak salah kalau kau dengan dia
mulakan sekali lagi, kan? Kau dengan dia ada sejarah.”
“Kau tahu tak kenapa kita panggil sesuatu peristiwa
tu sebagai sejarah?” balas Syazani. Gincu nipis dicalitkan
pada bibirnya.
“Kenapa, doktor?”
“Sebab, peristiwa tu berlaku di masa lepas dan
kita mestilah ambil iktibar dan belajar supaya benda tu tak
berulang lagi. Faham?” Syazani mengemaskan begnya,
memastikan segala barang yang perlu dibawa tidak tertinggal.
Izza mengeluh dalam, faham yang dia akan selalu
kalah berbahas dengan Syazani.
“Okey, aku ada kerja dekat zoo. Apa-apa nanti kau
text aje, nanti aku call balik.” Talian dimatikan. Telefon
dimasukkan ke dalam beg lalu terus keluar dari bilik.
Turun ke bawah, dia terkejut melihat kakak
angkatnya, Kak Faiqa baru tiba bersama anak kecilnya dalam
dukungan. Suaminya pula mengikut di belakang.
“Akak!” Syazani meluru mendapatkan kakaknya ke
dalam pelukan.
Faiqa ketawa melihat tingkah Syazani.
“Akak tak cakap pun nak datang?” Syazani meleraikan
pelukan. Pandangannya jatuh pada Qaiser, bayi berusia empat
bulan dalam dukungan Faiqa. Tangannya mencubit perlahan
pipi Qaiser sebelum mengucupnya.
“Saja nak bagi surprise. Qaiser pun suka surprise,”
balas Faiqa, tersenyum gembira. Qaiser dalam dukungannya
bertepuk-tepuk tangan.
Syazani ketawa.
“Ibu mana?” Muaz pula menyampuk dari belakang.
“Kat atas. Ibu! Kak Faiqa datang!” Syazani melaung
kuat. “Aja nak keluar ni, ada kerja sikit.”
“Aja ni memang 24 jam sibuk aje,” rungut Faiqa.
Syazani tersengih. “Akak stay lama sikit tau. Nanti
ada cerita nak share dengan akak.” Syazani tunduk menyalami
tangan Faiqa, mencium pipi Qaiser sekali lagi, bertukar
senyuman dengan Muaz lalu terus keluar dari rumah.
PESAKIT TERAKHIR untuk pagi itu baru saja pulang. Pintu
biliknya dibuka dari luar, wajah pembantunya terjengul.
Syakiran mendongak.
“Doktor, tadi anak doktor ada call tapi saya beritahu
dia doktor sibuk. Nanti doktor akan call balik,” maklum Nissa.
Syakiran mengangguk sebagai isyarat mesej sudah
diterima. Pintu ditutup semula. Gagang telefon di atas meja
diangkat, jarinya mendail nombor telefon rumah.
“Helo.” Suara kecil anaknya, Luthfia muncul di
talian.
Syakiran tersenyum. “Fia telefon daddy ke tadi?
Kenapa, sayang?”
“Tadi Fia bangun tidur daddy dah tak ada. Nenek
cakap daddy pergi kerja,” beritahu Luthfia.
Anaknya itu demam sejak tiga hari lepas dan dia
sudah mengambil cuti untuk menjaga Luthfia, cuma baru
hari ini dia masuk bekerja semula. Tak sampai berapa jam,
Luthfia sudah mengigau mencarinya. Barangkali duduk
bersama nannynya di rumah rasa berbeza dibandingkan
dengan daddy sendiri.
“Betullah nenek cakap tu, sayang. Daddy kerja hari
ni,” ujar Syakiran lembut.
“Fia dah demam baliklah, daddy. Macam mana ni?”
Suara polos itu buatkan Syakiran tersenyum. Dia
tahu itu cuma taktik Luthfia untuk terus ‘simpan’ dia di
rumah. “Kesiannya anak daddy demam lagi...”
“Daddy baliklah. Nanti kalau daddy balik tentu Fia
tak demam dah,” ujar Luthfia, beria-ia meyakinkan yang dia
memang demam.
“Okey, macam ni. Malam ni daddy balik, kita pergi
makan dekat luar. Okey tak?” pujuk Syakiran.
“Hmm... Okey. Daddy balik pukul berapa?” tanya
Luthfia, takut kalau-kalau daddy tipu dan mungkir janji.
Sebab itu memang bukan kali pertama.
“Pukul 9 daddy balik. Cakap dekat nenek tau? Fia
pakai baju cantik-cantik, lepas tu kita terus pergi.”
“Okey, daddy!” Terus suara Luthfia jadi ceria. Janji
daddy untuk mereka keluar makan bersama malam ini sudah
cukup menjadi penawar kepada demamnya.
“Bye, sayang.”
“Bye-bye.”
Syakiran tersenyum meletakkan gagang, tidak
sedar Daus sedang memerhati dari pintu bilik. Rakan sekerja
merangkap rakan kongsi klinik giginya itu tak lain tak bukan,
ada saja hal yang nak disibukkan. “Hah, kau nak apa?”
Daus tersengih sambil melangkah masuk. “Aku rasa
dah sampai masa kau cari mak baru untuk Fia tu,” ujarnya
selamba sambil duduk di atas sebuah kerusi.
Syakiran tersenyum pahit. “Kau cari seseorang yang
boleh sayang Fia macam mana aku sayang Fia, baru aku
kahwin.”
“Kau cabar aku ke ni?” Daus mengecilkan mata.
Syakiran ketawa rendah. “Tak ada maknanyalah. Aku
lagi senang macam ni. Lagipun hati aku ni tak terbuka lagi
nak menikah baru.”
“Memanglah hati kau tak terbuka lagi. Tapi kau kena
fikir jugak pasal anak kau tu...”
“Anak aku bahagia dengan aku.”
“Itu kata kau. Dalam hati dia kau tak tahu, kan?”
“Dia kecik lagilah, tak ada apa pun dalam hati dia tu.”
Senang Syakiran membalas. “Dahlah, aku nak rehat kejap.
Kejap lagi ada appointment patient lagi.” Dia menyandar
tenang di kerusi empuknya lalu memejam mata.
Daus jongket bahu sebagai isyarat ‘suka hati kaulah,
labu’ sebelum terus bangun dan keluar dari bilik itu.
Syakiran membuka semula matanya. Empat tahun
hidup menduda, tanpa isteri yang memutuskan untuk pergi
dari hidup dia dan Luthfia, dia masih belum terfikir untuk
mencari yang baru. Biarlah dulu. Selagi Luthfia sendiri tak
pernah mengatakan secara terang yang dia mahukan seorang
ibu, selagi itulah dia akan menganggap semuanya okey.
Lagipun, ada hal lain yang lebih memenuhi
kepalanya sejak kebelakangan ini. Perkara yang lebih penting
berbanding mencari isteri baru. Iaitu, mencari di mana
adik-adiknya berada.
KETUKAN DI pintu membuatkan Syazani berpaling.
Laptopnya ditinggalkan di atas meja untuk mendapatkan
pintu. Faiqa sedang berdiri di luar, tersenyum.
“Akak tak tidur lagi?” Syazani melebarkan pintunya
lalu berlalu ke arah katil.
“Aja pun belum akak tengok.” Faiqa duduk di sebelah
Syazani selepas menutup pintu.
“Belum ngantuk lagi,” jawab Syazani.
“Akak tunggu Aja cakap ada benda nak cerita tadi,”
kata Faiqa.
Syazani tertawa halus sambil menundukkan wajah.
“Akak ingat tak Aja pernah cerita pasal... Hanif?”
Muka Faiqa berkerut sedikit, cuba mengingati
semula sepotong nama itu. “Oh, yang... masa sekolah dulu?”
Syazani mengangguk-angguk.
“Kenapa dengan dia?”
“Aja jumpa dia masa reunion sekolah hari tu.”
“Wow...” Faiqa ketawa. “Habis tu macam mana? Aja
ada cakap dengan dia?”
“Adalah jugak...” Syazani tergaru-garu belakang
kepala. “Semuanya dah settle, kak. Dia dah minta maaf dan
Aja pun dah maafkan dia...”
“Siapa tahu, mungkin tu permulaan kepada sesuatu
yang baru,” usik Faiqa.
Syazani tersenyum nipis. Mungkin orang lain fikir
macam itu, tapi baginya tidak. Sejak pertemuan semula
dengan Hanif beberapa hari yang lepas, dia langsung tidak
rasa apa-apa. Mungkin hatinya sendiri belum bersedia untuk
menerima cinta dalam hidupnya, tidak selagi apa yang
sebenar-benarnya yang hatinya mahukan belum tercapai.
Duduk berbual begitu dengan Faiqa, dia jadi rindu
kepada abang dan adik kandungnya. Di mana mereka sekarang
agaknya? Sihat ke? Hidup bahagia ke? Kalau mengikut
kiraannya, abang sulungnya sudah pun berumur 32 tahun
dan adik lelakinya berumur 26 tahun. Masih ingatkah mereka
kepadanya? Atau pun adakah masa yang telah lama berlalu
memisahkan mereka sudah merenggut ingatan mereka
terhadap dirinya?
“Kenapa ni? Macam ada masalah aje,” tegur Faiqa.
Sejak kecil cuma mereka dua beradik yang tinggal di situ
bersama ibu dan ayah, hubungan pun sangat rapat. Jadi
mestilah dia tahu kalau adiknya itu ada masalah. Dan dia tak
rasa masalah itu ada kaitannya dengan Hanif.
Syazani menoleh ke arah bingkai gambar di tepi
katilnya. Bingkai itu dicapai. Sayu terasa di hati. “Aja rindu
abang dengan adik.”
Faiqa tersenyum kecil, bersimpati dengan nasib tiga
beradik yang telah lama terpisah itu.
“Kat mana diaorang sekarang agaknya? Bahagia ke...
Ada masalah ke...” Sebak tiba-tiba datang entah dari mana.
Faiqa menggenggam erat tangan Syazani, mengerti.
Kisah tiga beradik yang menyayat hati itu sentiasa segar
dalam fikirannya dan dia tahu betapa tinggi harapan Syazani
untuk bersatu dengan abang dan adiknya semula.
“Akak tahu Aja rindu diaorang. Percayalah, satu
hari nanti, Allah akan temukan jugak kamu tiga beradik. Doa
jangan putus, minta pada Dia. Ingat tu, okey?”
Syazani mengangguk. Kata-kata Faiqa tidak boleh
disangkal. Dalam situasi sekarang, itulah satu-satunya
tindakan yang boleh dilakukan. Kolam mata yang basah
dikesat dengan hujung jari.
“Kak, Aja ingat nak ambik cuti dalam seminggu. Nak
pergi bercuti.”
“Ke mana?”
“Tak tahu lagi.”
“Dengan Izza?”
Syazani menggeleng. “Tak, sorang.”
Faiqa tersenyum, faham yang Syazani memang
suka bersendiri sejak dulu lagi. Cuma sejak dia mula aktif
terlibat dalam banyak program yang memerlukannya untuk
berinteraksi dengan orang lain, barulah dia mula berubah
sedikit demi sedikit.
“Okeylah kalau macam tu. Akak pun dah ngantuk
ni.” Faiqa bangun. “Good night.”
“Night, kak,” balas Syazani. Sebaik saja pintu
ditutup, renungannya jatuh pada bingkai gambar itu semula.
Bibirnya mengukir senyuman nipis. “Abang, adik, suatu hari
nanti kita akan bertemu semula juga,” bisiknya perlahan
penuh harapan.
No comments:
Post a Comment