DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 21 August 2017

Ikhlas Memilihmu- Bab 3

HARI demi hari berlalu. Ketenangan bagaikan
mula mengambil tempat. Sepertinya Qistina sudah mampu
menarik nafas kelegaan. Betapa dia rasa bersyukur kerana
penderitaan batin yang ditanggung selama ini akhirnya
berakhir.
Sungguh tidak diduga yang dia telah bercinta dengan
orang yang salah. Memanglah tidak dinafikan, bekas teman
lelakinya itu seorang yang baik akhlaknya. Rupa paras ada.
Kerja pun boleh tahan. Pendek kata, semuanya sempurna.
Dan disebabkan semua kesempurnaan itulah, akhirnya dia
telah terlepas pandang tentang suatu perkara.
“I minta maaf, Qis. I tahu I salah dalam hal ni. Tapi
percayalah... I betul-betul ikhlas cintakan you.”
Ketika itu, Qistina langsung tidak mampu
untuk bersuara. Hanya tangisan yang terhambur bagi
menggambarkan keadaannya sekarang. Betapa dia rasa
kecewa. Sungguh perit perasaan menahan luka sengsara.
Memang benar dia tidak ditipu, tapi hati benar-benar tergores
setelah tahu apa yang berlaku.
“Qis... tolonglah jangan diam macam ni. Say
something please...” Iskandar merayu.
Itulah nama lelaki yang berjaya mencuri hati
perempuannya. Pertemuan mereka yang secara kebetulan,
tidak disangka berjaya memutikkan rasa cinta yang suci.
Malahan, mereka sudah sampai ke tahap yang seterusnya
bilamana lelaki itu meminta izin untuk bertemu kedua-dua
orang tuanya. Sehinggalah pada suatu hari, Qistina terlihat
lelaki itu sedang meladeni telatah anak kecil di sebuah pusat
membeli-belah di ibu kota.
Dari gaya dan tindak-tanduk yang diperhatikan
dalam diam, mustahil anak kecil itu hanya bergelar anak
saudara kepada Iskandar. Kucupan penuh kasih di pipi gebu
anak itu sudah cukup menjelaskan pertalian antara mereka.
Dan apabila pandangan mata Iskandar secara tidak sengaja
menikam wajah Qistina, ada riak panik dan serba salah
terlakar pada wajah lelaki itu. Bukankah semua itu sudah
cukup memberi petanda?
“You nak I buat apa?” Giliran Qistina menyoal pula.
“Tolong maafkan I.”
“Kan I dah cakap, I dah lama maafkan you. Sebelum
kita jumpa hari ni pun, dah banyak kali I ulang benda yang
sama.”
Selepas kejadian itu, Qistina membuat keputusan
untuk menjauhkan diri daripada Iskandar untuk seketika. Dia
harus mencari ketenangan. Bukan senang menerima hakikat
yang dia telah bercinta dengan suami orang.
Disebabkan itulah, Iskandar hanya mampu
berhubung dengannya melalui alat telekomunikasi.
Berkali-kali lelaki itu menelefon semata-mata untuk
memohon kemaafan. Beribu-ribu pesanan WhatsApp,
Telegram dan private message dihantar demi mengetahui
keadaannya. Sehinggalah pada suatu hari, hati Qistina
terbuka jua. Mungkin kerana kemarahan di dada sudah
beransur reda. Ataupun mungkin kerana tersentuh melihat
kesungguhan Iskandar yang tidak berhenti memujuknya.
“Bermakna, you terima I semula?”
“Kalau I terima you, macam mana pulak dengan
keluarga you, Is?”
“Yang tu you tak payah risau. Pandailah I uruskan
mereka nanti.”
Qistina dapat rasa Iskandar benar-benar mahu
membuktikan kata-katanya. Seharusnya dia gembira dengan
jaminan itu. Tapi itu bukanlah sikapnya yang sebenar. Mana
mungkin dia menjadi penyebab keruntuhan rumah tangga
orang lain.
“You nak buat apa? You nak ceraikan isteri you?
You nak tinggalkan anak you demi I?” Qistina bersoal
marah. Pantang betul dia berjumpa dengan lelaki yang suka
mengambil jalan singkat. Cakap dan buat memang senang.
Siapakah yang akan menanggung sengsara? Silap hari bulan,
bukan setakat isteri dan anak Iskandar saja yang menjadi
mangsa, tapi dengan dia sekali yang akan terima padahnya.
“I... I...” Iskandar mati kata. Terhimpit dengan
situasi begini, membuatkan akalnya sedikit bejat. Jujur
dari hati, kedua-duanya dia sayang. Tiada niat pun hendak
melukakan hati sesiapa. Tamakkah dia berfikiran sebegitu?
Lagipun, bukannya dia tidak mampu. Dia jamin, sekiranya
dia diberi peluang untuk bersama, dia berjanji akan berlaku
adil seadil-adilnya.
“Dahlah Iskandar. I dah malas nak fikir benda ni
lagi.”
“Kenapa? You takut bermadu?” sinis Iskandar
menyoal. Egonya mula tercalar apabila Qistina bermain tarik
tali dengannya. Kata sudah memaafkan, tapi kenapa masih
sukar menerima? Apa masalah Qistina sebenarnya?
Terjojol mata Qistina. Rasa sedih tadi terus bertukar
menjadi bengang. Ucapan itu seolah-olah memperlekeh
dirinya pula.
“I ingatkan you ni lain daripada lelaki yang lain.
Rupa-rupanya jantan ni semuanya sama aje. Memang
tak guna!” Selamba Qistina menyerang Iskandar. “Untuk
pengetahuan you, I ni walaupun nampak selenga, tapi I
seorang perempuan yang berprinsip. Kalau ya pun I terdesak,
I takkan rampas mana-mana suami orang. You ingat I ni apa?
Murah sangat?”
“Bukan tu maksud...”
“Cukuplah Iskandar. I dah penat, tahu tak? Kalau you
berterus terang dari awal lagi, taklah I buang masa dengan
you macam ni.”
Iskandar terkedu. Sebal hati mendengar ayat Qistina
sebentar tadi. Apakah Qistina sengaja mahu membalas
dendam dengan menyakitinya atau dia benar-benar
memaksudkannya?
“Qis...”
Pin, pin! Pin, pin!
Tiba-tiba memori yang sedang bermain dalam
ingatan Qistina bersepai tatkala bas berhenti tidak jauh
daripadanya. Bimbang tidak mendapat tempat duduk, dia
bingkas meluru ke arah pintu utama bas dan beratur di sana.
Selesai gilirannya, Qistina mula melangkah masuk.
Nafas lega turut ditarik melihatkan masih banyak lagi tempat
kosong. Harga tiket dibayar. Sempat dia menghadiahkan
senyuman buat pemandu kenderaan awam yang sudah masuk
separuh abad itu.
“Wah, gembira nampak kamu hari ni?” Pemandu
yang bertanda nama Harun itu menegur mesra.
“Mestilah. Kan dah lama tak jumpa Pak Cik Harun.
Pak Cik Ramu cakap, Pak Cik Harun cuti lama.”
“Haah. Ada kecemasan sikit kat kampung. Kamu apa
khabar?”
“Saya macam ni ajelah, pak cik.”
“Hari ni kamu nak ke mana pula?”
“Tengok keadaan dulu. Kalau tak ada tempat yang
berkenan, saya duduk dalam bas ni ajelah kut.”
Kenyataan itu ternyata mengundang ketawa
Pak Cik Harun. Menggeleng dia kerana tercuit rasa lucu.
Awal-awal dulu, memang dia tidak mengerti kenapa salah
seorang penumpangnya bersikap begitu. Naik bas tanpa ada
tempat spesifik yang mahu dituju. Seolah-olah hanya mahu
mengitari kawasan ibu kota dari dalam bas semata-mata.
Pernah beberapa kali, gadis itu hanya turun ketika
Harun sudah menghabiskan tugasnya. Lama-kelamaan, dia
memilih untuk tidak mencampuri urusan gadis itu. Asalkan
tidak membuat onar di dalam basnya, itu sudah memadai.
Lagipun bukannya Qistina naik tanpa membayar pun.
“Kamu ni macam-macam hallah. Dah, pergi duduk.
Orang lain pun nak naik tu.”
“Hehehe... yalah. Terima kasih, pak cik.”
Pak Cik Harun hanya mengangguk sambil
tersenyum. Dia terus melayan penumpang lain sebelum bas
bergerak untuk menuju ke destinasi seterusnya.
Rupa-rupanya, impak putus cinta dengan Iskandar
ternyata memberi tamparan hebat buat Qistina. Awal-awal
dulu dia seperti orang yang hilang arah. Ke sana ke mari tanpa
ada tujuan hidup. Sehinggalah secara tidak sedar, dia berjaya
mencipta satu terapi buat mindanya sendiri. Bersiar-siar
menaiki pengangkutan awam sambil melihat gelagat warga
kota di sekitarnya. Terbukti ia berjaya menenangkan jiwa.
Selain bas, kadangkala dia akan menggunakan teksi dan
komuter juga.

DISEBABKAN TERLALU letih, Haris tidak sedar yang
dia boleh terlelap di dalam bas. Mujurlah Alya yang berada
di pangkuan dipegang kejap. Ralit betul anak itu bermain
loceng mainan pemberian nenek. Sesekali dia tersengih
menampakkan gigi arnabnya.
Perhatian Qistina terarah kepada Alya. Tercuit
hatinya saat melihat telatah comel anak itu. Kecil-kecil sudah
pandai berdikari. Ada bapa pun hanya pandai membuta saja.
“Eeek...”
Tiba-tiba Alya merengek. Tangannya dilihat cuba
menggapai sesuatu di bawah. Oh, rupa-rupanya mainannya
terjatuh. Kasihan dengan keadaan itu, Qistina cepat-cepat
bangun lalu mengambil mainan yang terjatuh di bawah
kerusi. Dia turut menyapu mainan itu dengan bajunya
sebelum dihulurkan semula kepada Alya.
“Nah.”
Sejenak Alya hanya memandang lama wajah
Qistina. Terkebil-kebil kelopak matanya. Apa yang dia tahu,
mainannya sudah ada. Tangan segera mencapai mainan itu
lalu digoncang-goncang. Alya ketawa mengekek.
Qistina yang mula tertarik dengan Alya duduk di
bangku kosong di belakang kedudukan Alya bersama bapanya.
Tertanya-tanya juga dia. Betul ke lelaki itu bapa anak kecil
itu? Kalau penculik, bagaimana?
‘Hesy... takkanlah penculik kut? Mana ada penculik
naik bas.’ Qistina menjawab kekusutan yang diciptanya
sendiri.
Melihatkan peluang yang ada, Qistina cuba
memberanikan diri untuk bermain dengan anak kecil itu.
Kan bagus kalau anak kecil itu boleh bercakap. Kalau tak, dah
lama dia tahu nama anak secomel itu.
‘Agak-agaklah, apa nama dia yek? Mia? Fatin? Qaisara
pun sedap jugak. Hesy, aku ni... pandai-pandai aje buat macam
anak sendiri. Itu anak oranglah.’ Qistina memarahi diri
sendiri. Melonjak rasa ingin tahu, dia mengambil keputusan
untuk bertanya sendiri.
“Hai baby. Baby nama apa?” Qistina memegang
tangan Alya.
Anehnya, tiba-tiba saja Alya menggenggam erat
jari telunjuknya, membuatkan Qistina bertambah geram.
Namun dalam masa yang sama, lain yang diseru, lain pula
yang menyahut. Tiba-tiba saja bapa kepada anak itu boleh
menggeliat.
Menyenget muka Qistina. Buruknya perangai! Ingat
ni kat rumah ke?
‘Eww... tolonglah jangan ingat orang panggil dia
baby. Geli-geleman pula rasa.’ Qistina mengutuk dalam hati.
Sejenak, Qistina hanya diam tidak berkutik. Dia
hanya melihat lelaki itu mengenjut-enjut anaknya seketika.
Menepuk-nepuk lembut belakang anak itu disertai dengan
agahan manja sebelum akhirnya lelaki itu terlelap semula.
‘Ceit! Ingatkan nak tidurkan budak tu, rupanya dia
sendiri yang tertidur. Poodah.’ Sakan Qistina mengutuk
lelaki yang tidak dikenalinya itu. Mungkin sejak perpisahan
itu berlaku, membuatkan Qistina menjadi anti dengan lelaki.
Tengok aje spesies itu, terus rasa berbahang dadanya. Itu
tidak termasuk yang sudah diketahui budi pekertinya seperti
papa, Pak Cik Harun, dan beberapa orang yang dikenali.
Jangan salahkan dia. Tapi salahkan siapa yang
menjadi punca kenapa dia boleh jadi begini. Siapa? Lelakilah,
kan? Cuma dia hanya mampu berharap, semoga rasa ini tidak
kekal. Kalau tidak, memang menangislah papa dan mamanya
yang terlalu mahukan cucu.
Apabila Qistina pasti lelaki itu kembali nyenyak;
dengar dengkuran pun tahu, Qistina mula bermain semula
dengan Alya. Mengekek-ngekek Alya ketawa. Seolah-olah
sudah lama tidak bermain dengan insan yang bergelar
seorang ibu.
“Cak aaa! Cak!” Qistina berterusan mengagah
Alya. Sampaikan penumpang lain yang melihat situasi itu,
turut tergelak sakan tatkala melihat anak comel itu ketawa
terbahak-bahak.
Pertama kali dalam hidup, Qistina tidak pernah rasa
jiwanya boleh terisi begini. Semuanya gara-gara anak kecil
yang tidak diketahui namanya itu.

No comments:

Post a Comment