“I dah ceraikan dia Karina. I rasa itu dah cukup
untuk buktikan yang I betul-betul cintakan you. Dan I
bukannya munafik macam you cakap.” Ammar berbicara di
telefon. Dia meraup wajahnya. Biliknya kemas tidak berusik.
Baru sebentar tadi dia membuat satu keputusan yang sangat
zalim.
“Good... I harap you tak lembut hati rujuk dengan
dia pula. Walaupun dah cerai still you boleh nampak dia
hari-hari. Mana tahu tiba-tiba dia ajak you rujuk then you
setuju. I rasa lebih baik kita cepat-cepat kahwin.”
Ammar mengeluh. Suara di hujung sana bukan
membuatkan dia tenang. Malah fikirannya bertambah kusut.
“Dia dah pun keluar dari rumah ini. Apa yang you nak
lagi? Dah malam ni... I nak tidur.” Ammar mematikan telefon
bimbitnya dan dicampakkan ke atas katil. Semak kepalanya
memikirkan Karina yang tak habis-habis mendesak.
Dia membaringkan tubuhnya dan merenung siling.
Kenapa dia tergamak menceraikan Zara? Kenapa dia tak
boleh tunggu besok? Kenapa tiba-tiba dia kejam hanya kerana
desakan dan tuduhan munafik Karina? Dia tipu semua orang
dan dirinya sendiri.
Ammar bangun untuk ke kamar mandi. Tetapi
sesuatu telah menarik perhatiannya di meja solek. Dia tidak
jadi untuk mencuci muka. Telefon Zara terletak elok di atas
meja. Kotak barang kemas dibukanya. Dia ada membeli
beberapa perhiasan untuk Zara. Semua barang yang dibeli
ada dalam kotak. Diambilnya cincin emas yang dihiasi 3 butir
berlian. Cincin yang disarungkan ke jari manis Zara. Semua
barang kemas Zara ada di dalam kotak. Tiada satu pun yang
dibawanya.
Mahar adalah untuk isteri... Maaf,
saya tak sanggup nak ambil mahar
dan juga wang hantaran ini lepas
saya dapat tahu betapa seksanya
awak hidup dengan saya. Carilah
cinta sejati awak. Maafkan saya jika
saya banyak menyakiti hati awak.
Sejumlah wang dikeluarkan dari sampul surat.
Memang wang pemberiannya tidak terusik. Zara belum
sempat membeli apa-apa dengan mas kahwin yang diberinya.
Kad ATM dan juga kad kredit turut terselit.
Ammar tidak dapat menahan air matanya daripada
gugur. Betapa Zara memang seorang insan yang baik. Dia
yang kejam kerana menceraikan Zara. Namun dia perlu
menunaikan janjinya pada Karina. Dia tersepit antara
tanggungjawab dan kehendak hati. Dia akui mula selesa
dengan Zara namun bayangan Karina yang suram tetap
menghimpitnya.
“Kalau awak tinggalkan semua ni, apa yang awak
bawa Zara? Duit awak tak ambil. Kad kredit dengan kad
ATM pun awak tinggalkan. Macam mana awak nak hidup
kalau tak ada duit satu sen pun?” Ammar mengeluh sendiri.
Memikirkan bagaimana kehidupan Zara selepas ini.
Ammar melihat pintu bilik wardrobe terbuka. Dia
melihat ke dalam. Sama seperti sebelum ini. Pakaian yang
dia belikan untuk Zara juga ditinggalkan. Jubah, baju kurung
dan tudung tersusun rapi di dalam almari. Koleksi beg tangan
Zara juga tidak berusik.
Ammar kembali duduk di katil. Dia terus diserang
rasa bersalah. Kenapa dia tak boleh berfikir secara waras
sebelum mengambil keputusan yang drastik macam ini. Dia
tahu Zara sangat terluka kerana dia sendiri rasa sakit atas
perbuatannya. Dia peluk bantal Zara. Bau wangi rambut Zara
dicium sepuas hatinya. Tak sampai sejam Zara pergi kenapa
dia sudah mula rasa rindu?
“Angah... boleh along masuk?” Aiman bersuara di
muka pintu. Ammar segera bangun untuk membuka pintu.
Dia pasti bakal kena marah dengan along.
Aiman masuk setelah pintu dibuka. Mereka berdua
duduk di sofa.
“Along nak marah angah?” tanya Ammar.
“Tak... Cuma nak tengok adik along ni macam mana.
Nampak lain macam aje. Bukan ke sepatutnya angah gembira
sebab dah ceraikan perempuan yang buat angah derita tu.
Senyumlah.”
“Senyum? Tengok angah senyum.” Ammar pamerkan
senyum. Tapi dia sendiri rasakan senyumannya palsu. Tak
ikhlas.
“Angah dah besar... bijak untuk buat pilihan sendiri.
Along harap angah hidup bahagia dengan orang yang angah
cinta. Along dan Kak Ita akan sokong angah. Dah pergi tidur.
Besok along tolong kemas semua barang-barang Zara. Boleh
kita sedekahkan semua baju-baju yang dia tinggalkan.” Aiman
bangun untuk beredar.
“Barang-barang Zara biar angah sendiri yang
kemaskan.” Ammar menolak tawaran Aiman. Besok dia
sendiri yang akan kemaskan barang-barang Zara dan serahkan
kembali kepada Zara.
“Okey. Along masuk bilik dulu.” Aiman senyum.
Dia tepuk bahu Ammar. Mahu memberi semangat kepada
adiknya. Ammar tak perasan senyum yang dipamer abangnya
mempunyai makna tersirat.
Ammar menghantar abangnya ke muka pintu. Dia
berasa lega kerana along merestui tindakannya. Karina tidak
perlu risau akan penerimaan keluarganya.
“Cheer up man... at last angah terlepas daripada
Zara yang menyusahkan tu. Malam ni angah bebas dah. Dah
merdeka...” Aiman memperlihatkan riak ceria. Riak ceria
yang sengaja dibuat-buat. Sengaja memancing perasaan
sebenar Ammar.
Ammar pelik. Apakah maksud along? Abangnya itu
lupa agaknya, dia sendiri baru meruntuhkan masjid yang
dibinanya. Dia tak mampu untuk senyum pun. Kata-kata Zara
masih terngiang di telinganya. Tangisan Zara masih terlayar
di matanya.
“Jom kita keluar celebrate. Lepak mamak sampai
pagi.” Aiman masih dengan mood cerianya.
“Along stop! What do you mean by celebrate? I’m
not in the mood to celebrate anything. I need some space
and time.” Ammar sedikit meninggikan suara. Geram dengan
provokasi abangnya.
Aiman merenung adiknya tajam. Dia sudah nampak
perasaan sebenar Ammar. Cinta sudah jadi milik Zara. Tapi
kenapa Ammar masih ungkapkan kata derita? Kenapa mesti
Ammar tipu dirinya sendiri? Kenapa mesti kejam pada rumah
tangga sendiri?
“Kenapa nak marah kalau ini semua memang angah
mahukan? Sepatutnya gembira sebab angah bakal berkahwin
dengan cinta hati angah. Masih belum terlambat untuk
membetulkan keadaan. Zara cintakan angah dan along yakin
angah juga cintakan dia.”
“No! I love Karina... she is nothing!” jerit Ammar.
Bohong lagi. Hatinya sendiri sakit setiap kali mengaku tiada
cinta buat Zara.
“Kalau betul gembira tunjuk muka gembira. Bukan
muka macam baru mati bini macam ni.” Aiman beredar dari
situ. Pedas saja sindiran dia tujukan pada Ammar yang tidak
cukup matang tu.
Berdentum bunyi pintu dihempas oleh Ammar. Dia
sandarkan badan di pintu. Perlahan badannya melorot ke
bawah. Memang dia sedih, memang dia hiba. Dia kehilangan
Zara.
“Maafkan saya Zara.” Ammar terus hiba. Mulai
malam ini dia kembali berseorangan. Tiada lagi Zara untuk
membelainya dan memanjakannya. Ammar berdoa agar apa
yang dilakukannya betul dan tidak tersilap. Karina bakal jadi
suri hidupnya tak lama lagi.
“KENAPA AYAH nak sangat perempuan itu jadi keluarga
kita? Dia tak setaraf dengan kita.” Ammar tetap membantah
cadangan mamanya untuk memenuhi hasrat ayah.
Rancangan Tan Sri Amir untuk menjodohkan dia
dengan Zara adalah sesuatu yang mengarut. Dia sudah punya
Karina dan mereka merancang untuk berkahwin dalam
masa terdekat ini. Ayahnya pula masuk campur dan enggan
merestui pilihan hatinya. Segala kemudahan dan kemewahan
akan ditarik balik jika tidak penuhi permintaan ayahnya.
Puas dia merayu agar hubungannya dengan Karina
direstui. Tan Sri Amir tetap membantah. Apa kurangnya
Karina, model terkenal yang pernah tersenarai dalam 100
gadis cantik Asia. Ayahnya mahukan dia berkahwin dengan
anak bekas pemandunya yang dia sendiri tidak pernah kenal.
“Angah... mama minta tolong sekali ini aje tunaikan
kehendak ayah... angah dengar kan apa doktor cakap tadi.
Bila-bila masa saja Allah akan jemput ayah.” Puan Sri Aisyah
memujuk anak keduanya.
Dia tahu perhubungan antara Ammar dan Karina.
Dan juga tahu akan perancangan mereka untuk berkahwin.
Namun dia berharap agar Ammar sudi mengorbankan sedikit
waktu dan hatinya demi kasih seorang ayah. Puan Sri Aisyah
mahu suaminya gembira di akhir hayatnya.
“Tapi mama... angah tak suka dia. Macam mana
angah nak hidup dengan dia? Lagipun doktor bukan Tuhan.
Kalau umur ayah panjang macam mana? Takkan angah kena
hidup dengan perempuan tu sampai bila-bila? Angah tak
nak.” Ammar buntu. Ditolak, ayahnya akan kecewa. Dituruti,
dia pula yang terluka.
Dia sendiri pun tidak tahu bagaimana rupa Zara
yang dikagumi ayahnya. Cantik, baik, penyayang dan
macam-macam lagi kebaikannya dicanang. Jampi apa yang
diguna oleh perempuan itu dia pun tidak tahu. Sudah lama
dia tidak berjumpa dengan anak bekas pemandu peribadi
ayahnya. Lagipun dia tak tahu bekas pemandu yang mana
satu.
Ammar merenung kolam renang di depannya.
Tenang saja tidak seperti hatinya yang berkocak hebat. Dia
dalam dilema ketika ini. Antara kasih ayah dan kepentingan
diri sendiri. Suasana sunyi mencengkam Vila Aisyah. Hampir
sebulan Tan Sri Amir terbaring di hospital tak berdaya selepas
diserang strok. Semua gara-gara dia menolak permintaan
ayah untuk menikahi Zara. Dia tetap dengan pendiriannya
untuk memperisterikan Karina.
“Angah... mama merayu pada angah untuk penuhi
impian ayah. Kita buat akad nikah dan kenduri kecil saja.
Kita tak payah jemput sesiapa pun. Nanti lepas ayah dah tak
ada Ammar boleh ceraikan dia dan kahwin dengan Karina.”
Puan Sri Aisyah terus memujuk. Cadangan gila terpacul
dari mulutnya hanya kerana mahu memancing persetujuan
Ammar. Demi kegembiraan suami dia mempertaruhkan
kebahagiaan seorang gadis yang tidak berdosa.
Puan Sri Aisyah juga tersepit antara suami dan
anak. Entah dari mana muncul nama Zara tiba-tiba saja
suaminya mahu perempuan itu masuk ke dalam keluarga
mereka. Sudah lama pemilik nama itu hilang dari pandangan
matanya. Apa yang dia tahu daripada cerita suaminya dia
amat terhutang budi dengan Izham bekas pemandu mereka.
Dan memberi perlindungan kepada Zara satu cara membalas
budi Izham. Puan Sri Aisyah juga tak tahu budi apa yang
ditabur oleh bekas pemandunya sampai sanggup Tan Sri Amir
menolak kekasih hati anaknya.
“Mama tak ada cara lain ke? Tak boleh ke mama pujuk
ayah terima Karina. Karina pun cantik, baik macam ayah
cerita pasal budak tu. Kenapa ayah nak sangat budak tu jadi
menantu dia? Dan kenapa dia tak suruh abang long kahwin
dengan budak tu dulu?” Berbagai pertanyaan dilontarkan.
Ammar masih belum putus asa.
“Angah please... Demi ayah dan juga mama. Izinkan
mama tengok suami mama senyum sebelum dia tutup mata.
I beg you, Ammar Syafiq.”
Rayuan seorang ibu menggoyahkan ego seorang
anak. Ammar tidak sanggup melihat air mata yang mengalir
di pipi mamanya. Bukan taraf mamanya untuk merayu dia
sebegitu. Pendiriannya mula goyah. Wajah manis Karina yang
menggoda diganti dengan wajah mamanya yang bergenang
air mata.
Ammar terdiam sekejap. Kejamkah dia sebagai anak
andainya membuatkan ibu dan ayahnya menangis? Tapi dia
akan rasa sakit kalau permintaan ayahnya ditunaikan. Cinta
yang disemai bersama Karina bukan sekejap. Hampir 2 tahun
dia menjalin cinta dengan model terkenal Karina Wilson Tan.
Ayahnya langsung tidak tahu perhubungan mereka.
“Mama... angah sanggup menikah dengan budak
itu demi mama dan juga ayah. Tapi mama jangan salahkan
angah kalau budak tu menderita nanti. Angah akan ceraikan
dia sebaik sahaja ayah meninggal.” Ammar mengalah. Demi
keluarganya dia sanggup berkorban. Sebenarnya dia tak
sanggup melukai hati insan yang tidak berdosa namun hanya
itu yang mampu dia buat. Hati seorang ayah perlu dijaga.
Hatinya sendiri juga perlu dipuaskan. Dia tidak mahu air
mata mamanya tumpah lagi.
“Terima kasih angah.” Puan Sri Aisyah memeluk
Ammar. Berita gembira ini bakal dikhabarkan kepada
suaminya. Harapannya agar Allah memberkati rumah tangga
anaknya yang bakal dibina.
No comments:
Post a Comment