DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 21 November 2017

Impian Kasih - Bab 11

Pulang daripada kerja, dia melihat sebuah
kereta yang amat dikenali terparkir di seberang jalan. Pintu
kereta dibuka lalu dia meluru ke arah kereta tersebut.
“Ibu! Ayah!” Melissa menjerit kegirangan. Dia berlari
lantas terus memeluk kedua orang tuanya, melepaskan rindu
yang menebal dalam hati.
“Anak ayah... sihat?” Encik Akmal bertanyakan
khabar anak bongsunya itu sambil mencium pipi anak
kesayangannya.
“Sihat, ayah. Ayah dan ibu sihat?”
“Ibu pun sihat aje,” jawab Puan Faridah lembut.
“Ibu, ayah... jomlah masuk,” ajak Melissa tanpa
berlengah lagi. Dia membantu mengangkat beg baju
kepunyaan kedua ibu bapanya.
“Kenapa tak beritahu Iddya yang ibu dan ayah nak
datang sini? Kalau tak, Iddya boleh siapkan apa yang patut.”
“Kami saja nak buat surprise. Surprise!” Encik
Akmal bergurau, cuba membuat anaknya tertawa.
“Ayah ni...” Melissa menampar lembut bahu
ayahnya. Tak lama kemudian tawanya meletus. Puan Faridah
memandang senang akan kemesraan kedua-duanya.
“Ayah dan ibu datang ke sini pun sebab dah lama
Iddya tak balik ke rumah. Kenapa Iddya lama sangat tak balik,
sayang?” tanya Puan Faridah. Rambut Melissa yang duduk di
sebelahnya di belai lembut. Kasihnya tumpah kepada anaknya
ini.
“Maaf ibu... ayah. Iddya sibuk sangat, sampai tak
sempat nak balik jenguk ibu dan ayah. Maafkan Iddya ya?”
Melissa merasa bersalah. Dia tidak mahu kedua ibu bapanya
berasa kecil hati dengan sikapnya yang seolah-olah tidak
mengendahkan mereka sejak kebelakangan ini. Hakikatnya,
dia sengaja menyibukkan diri agar ingatan terhadap kisah
kasih yang kecundang tidak membelenggu diri.
“Tak apa sayang... ibu dan ayah faham.” Encik
Akmal cuba meredakan rasa bersalah yang menjerut tangkai
hati anak gadisnya. Dia dapat melihat anaknya itu seperti
sedang menanggung beban perasaan yang amat berat lewat
senyuman yang terukir di bibir yang merah itu.
“Terima kasih ayah, ibu. Eh, astaghfirullah! Iddya
terlupa nak tanya. Ibu dan ayah dah makan ke belum?”
Melissa menepuk dahinya.
“Ha... memandangkan anak ayah dah tanya, ayah nak
minta tolong buatkan ayah air Nescafe O panas satu. Boleh?”
pinta Encik Akmal.
“Bolehlah ayah... apa yang tak bolehnya pulak. Ibu
nak air apa?”
“Ibu nak air sejuk aje. Iddya tak payah susah-susahlah,
tak payah masak atau apa, nanti kita makan kat luar
sama-sama malam ni.” Puan Faridah memberikan kata putus.
“Okey bu. Ibu dan ayah duduk dulu, Iddya buatkan
air sekejap. Ibu, ayah... Iddya letakkan beg ibu dengan ayah
semuanya kat bilik tetamu tu tau. Ibu dan ayah kalau nak
rehat-rehat, masuklah dalam bilik ya.”
Melissa berlalu ke dapur pula untuk menyediakan
minuman petang buat ibu bapanya.
“Ibu, ayah... jemput minum,” pelawa Melissa kepada
kedua ibu bapanya. Dia melabuhkan punggung di sebelah
bapanya.
“Macam mana kerja?” soal Encik Akmal mula
mengambil tahu perihal anak gadisnya.
“Macam biasalah ayah. Kadang-kadang busy,
kadang-kadang tidak. Nothing new.” Melissa menjawab
dengan pendek sambil menayangkan gigi di hadapan kedua
ibu bapanya persis iklan ubat gigi Darlie.
“Ibu dengan ayah datang sini, kak long tahu tak?
Kenapa tak ajak kak long sekali? Iddya rindu nak tengok Iki.”
Melissa memuncungkan sedikit bibirnya tanda merajuk dan
protes. Sudah lama dia tidak mendengar khabar buah hati
intan payungnya yang comel lote itu.
“Amboi. Tak payah nak muncungkan bibir tu macam
itiklah sayang. Iddya yang langsung tak telefon kak long,
kan? Pergi rumah kak long pun tak jenguk si Rizqi tu.” Puan
Faridah cuba menyedarkan anak gadisnya yang merajuk
secara tiba-tiba.
“Yalah... nanti Iddya cuba call kak long, nak ajak dia
bermalam sama kat sini.” Melissa mencapai telefon bimbitnya
lalu cuba menghubungi Yasmin Hani, kakak kandungnya.
“Helo... kak long. Apa khabar? Sorrylah, lama adik tak
call kak long. Rizqi mana? Sihat tak? Kak long, jomlah datang
rumah adik. Ayah dengan ibu ada sekali ni. Alang-alang dah
dekat ni, jomlah kita berkumpul sekeluarga. Makan-makan,
borak-borak,” katanya bersungguh-sungguh.
Puan Faridah dan Encik Akmal hanya diam
mendengar perbualan anak bongsu mereka. Dalam diam,
mereka menyulam senyum penuh makna menghantar isyarat
mata yang hanya mereka berdua tahu maksudnya.
Usai menamatkan perbualan, Melissa mengeluh
panjang.
“Hah, dah kenapa mengeluh pulak tu?” Puan Faridah
bertanya.
“Kak long cakap dia tak dapat datang...” Melissa
mula mencebik. Terkilan.
“Ha, takpelah. Adalah hal yang kak long kena
uruskan tu.” Encik Akmal cuba memujuk. Melissa hanya
mengangguk.
“Eh, jomlah siap. Lepas solat, Iddya bawa ibu dan
ayah makan dekat PapaRich nak?” Melissa memberi usul.
“Okey, boleh jugak tu,” jawab Encik Akmal.
“Okey, jom siap-siap!” Melissa bangun.
“Iddya... kejap!” panggil Encik Akmal lagi. Puan
Faridah juga turut menghentikan langkah.
“Papa aje ke yang rich? Mama tak kaya ke?” Encik
Akmal tersengih sendiri.
“Ayah!” rengek Melissa manja. Puan Faridah hanya
menggeleng melihat telatah kedua-duanya.
Usai solat maghrib, Melissa membawa kedua ibu bapanya
ke restoran yang dijanjikan. Sedang dia leka memesan
makanan, dia terasa bahunya dicuit dari arah belakang.
Pantas dia berpaling.
“Kak long! Bila sampai ni? Mana tahu adik ada dekat
sini? Kata tak boleh datang?” bertalu-talu Melissa bertanyakan
soalan kepada Yasmin Hani. Anak buahnya yang berada di
dukungan abang iparnya diambil lalu didukung. Dicium pipi
anak buahnya yang comel itu sepuas-puasnya. Melepaskan
rindu yang membuak dalam dada.
“Ayah yang beritahu. Actually, kami dah sepakat dah
nak datang berhujung minggu dekat rumah adik. Tadi saja
aje cakap tak dapat datang. Saja nak kenakan adik,” ujar Alif
Farish sambil melabuhkan punggungnya di situ.
Mereka sekeluarga menikmati makan malam sambil
riuh berborak tentang perkembangan diri masing-masing.
Sungguh, inilah saat yang amat Melissa gemari. Menghabiskan
masa bersama keluarga tercinta. Hilang rindu yang dipendam.
Sedang asyik berbual, telefon bimbitnya berbunyi
nyaring. Sejurus melihat nama yang tertera di skrin telefon
bimbitnya, dia menjawab panggilan itu tanpa melengahkan
masa.
“Awak, sorry. Saya tak dapat teman awak malam ni.
Lain kalilah ya? Famili saya datang ni. Okey bye,” pendek
sahaja jawapan yang Melissa berikan.
“Siapa tu?” tanya Yasmin Hani apabila melihat
adiknya seperti kalut menjawab panggilan sebentar tadi.
“Hah? Nothing. No one.” Melissa cuba berselindung.
Merahsiakan kewujudan lelaki bernama Izdham itu. Dia tidak
merasakan kepentingan untuk memberitahu akan kewujudan
lelaki itu dalam hidupnya. Baginya, Izdham hanya seorang
kenalan biasa.
Keluarga Melissa saling berpandangan sesama
sendiri. Pandangan bermakna yang hanya mereka sahaja
dapat fahami. Masing-masing mendiamkan diri. Sepakat
menerima jawapan yang Melissa berikan.
Selepas makan, mereka mengambil keputusan
untuk berjalan mengambil angin malam di sekitar bandar
Melaka. Melissa yang peka dengan kesukaan ibunya melihat
pantai mencadangkan mereka mengambil angin malam di
Marina Bay.

No comments:

Post a Comment