DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 21 November 2017

Impian Kasih - Bab 4

Toyota Camry milik Izdham meluncur laju
menuju ke Restoran Dima yang sememangnya popular
di Melaka. Restoran yang terletak di hadapan Universiti
Multimedia Melaka atau lebih dikenali dengan nama MMU
itu sering penuh dengan pelanggan yang kebanyakannya
terdiri daripada pelajar-pelajar luar negara. Nasi Arab yang
dihidangkan sememangnya amat enak sekali.
Setibanya mereka di restoran itu, Izdham memilih
untuk duduk di meja yang terdapat di penjuru restoran
tersebut. Seusai memesan makanan, mereka hanya duduk
tanpa berbicara. Hanya riuh restoran yang bergema sebagai
santapan halwa telinga kedua-duanya.
Izdham mengambil kesempatan untuk merenung
wajah Melissa yang sedang duduk di hadapannya. Gadis itu
kelihatan sedang leka menatap telefon bimbit di tangan
seolah-olah sedang menyibukkan diri untuk mengelak
daripada berbual-bual dengannya. Dia mendengus geram,
tidak puas hati. Lantas, telefon bimbit yang berada di tangan
gadis itu dirampas dan sepantas kilat disimpan ke dalam
poket seluarnya.
Melissa mencerlung geram ke arah lelaki itu.
“Awak ni dah kenapa? Sesuka hati aje nak
rampas-rampas barang orang lain!”
“Sebab awak tak nak layan saya, saya rampaslah
telefon awak. Saya ajak awak keluar sebab nak awak bercakap
dengan saya. Bukan untuk tengok awak menghadap telefon
bimbit awak,” jawab Izdham. Tubuhnya disandarkan santai
di kerusi sambil bola matanya kembali merenung gadis itu.
Cantik! Sejak pertama kali bertemu dengan gadis itu lagi
hatinya telah tertawan.
“Awak dah tak ada kerja lain ke? Asyik sangat tenung
muka saya aje. Macam tak pernah tengok muka orang ni
kenapa?” soal Melissa lantas menjeling sekilas ke arah lelaki
itu.
“Salah ke saya tenung? Mata saya, suka hati sayalah,”
jawab Izdham dengan senyuman yang manis.
“Saya korek mata tu nanti, baru tahu!” ugut Melissa.
Dia rasa tidak selesa diperhatikan sebegitu.
“Berani ke nak korek mata saya?” tanya Izdham pula.
“Apa tak berani pulak? Mata awak yang saya korek,
bukan mata saya,” jawab Melissa sambil menghadiahkan
senyuman sinis kepada Izdham.
Izdham tersenyum sendiri, berasa sedikit terhibur
dengan keletah gadis itu.
“Dasar tak makan saman!” getus Melissa perlahan
apabila lelaki itu masih lagi merenungnya dengan bersahaja.
“Beritahu saya, kenapa awak cuba nak bunuh diri
tempoh hari?”
Tersedak Melissa yang sedang meneguk air
mendengarkan pertanyaan itu. Merah menyala wajahnya.
Melihatkan situasi itu, selamba sahaja lelaki itu bangun dan
menggosok belakang badannya untuk membantu melegakan
kesakitan yang sedang dialami.
Melissa terpempan seketika. Dia hanya memilih
untuk mendiamkan diri. Saat ini, dirasakan diam itu lebih
baik daripada membuka bicara. Khuatir pula jika mulut
dibuka, perkataan yang kurang enak dilontarkan tanpa
mengira batas kemanusiaan.
“Hai, baru tanya dah tersedak?” Izdham menegur
seraya mengambil tempat duduknya kembali.
“Siapa bagi awak keizinan untuk sentuh-sentuh
badan saya ni?” soal Melissa. Mereka tidak punya apa-apa
kaitan sehingga perlu bersentuhan!
“Dah awak tersedak macam nak mati sangat, saya
tolonglah. Salah?” Izdham menayang muka tidak bersalah.
Terbeliak mata Melissa mendengar bait-bait kata
yang keluar dari mulut lelaki di hadapannya ini. Terlalu
celopar!
“Memang salah! Badan saya bukan charity untuk
awak sentuh-sentuh. Mind your attitude!” Melissa puas dapat
membalas kata-kata lelaki itu. Biar lelaki itu tahu dia gadis
yang tegas tentang kehormatan dan maruahnya.
“Masa awak tak sedarkan diri dulu... bukan setakat
usap, saya siap dukung awak lagi. Ingat?” Sengaja Izdham
menyalakan api pertengkaran.
Melissa lelah. Kalau asyik begini, di mana
kesudahannya? Lelaki di hadapannya ini memang pandai
menyakitkan hati.
“Macam mana awak boleh tahu nombor telefon saya
dan ambil kad pengenalan saya? Macam mana awak boleh
tahu tempat tinggal saya?” Laju saja dia memuntahkan soalan
yang bermain-main dalam mindanya, cuba menukar hala
tuju topik perbualan mereka.
Izdham menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Awak ni Melissa, memang suka tanya soalan
bertalu-talu ya? Cubalah tanya satu-satu dulu,” tegurnya lagi.
Melissa menayangkan muka selamba, padahal ketika
itu kulit muka seakan menebal. Malu dan tidak puas hati
sebenarnya kerana dirinya asyik ditegur oleh lelaki itu sahaja.
Ada saja yang tidak kena di mata lelaki itu.
“Saya selongkar beg tangan awak masa awak tak
sedarkan diri lepas saya selamatkan awak tempoh hari. Saya
terpaksa buat macam tu sebab... kalau saya tak tahu apa-apa
pasal awak, macam mana saya nak daftarkan awak di hospital
dan sebagainya? Sebab tak nak awak mengelak atau lari
daripada saya, saya simpanlah kad pengenalan awak. Saya
tahu bahaya awak ke sana sini tanpa kad pengenalan diri, tapi
tengoklah sendiri? Kalau saya tak call awak dan cakap kad
pengenalan awak ada pada saya, mesti sampai sekarang pun
awak masih tak sedar yang awak tak punya kad pengenalan,
kan? Cuainya awak, Melissa...” Dalam menerangkan sempat
juga Izdham mengutuk gadis itu.
Melissa hanya diam, tahu dirinya memang cuai.
Tiada apa yang hendak dikatakan bagi membantah komen
lelaki itu. Bimbang jika sepatah dia membantah, berjuta patah
peluru kosa kata dilepaskan tepat mengena ke jantungnya.
Dia membuang pandang sekilas ke arah lelaki di
hadapannya. Mulutnya hendak berkata sesuatu tapi egonya
seakan-akan menghalang. ‘Macam mana ni? Nak cakap ke tak
nak?’ Melissa masih berkira-kira dalam fikiran.
“Errr... kenapa awak bayarkan bil perubatan saya
tempoh hari? Awak ingat saya tak ada duit ke nak bayar bil
tu?”
“Saya tahu awak terlebih mampu nak bayar bil awak
sendiri. Tapi, saya yang nak bayarkan,” jawab Izdham berterus
terang. Untuk gadis itu, apa sahaja dia sanggup lakukan.
“Tapi saya tak nak ada apa-apa hutang dengan awak.
Kita bukan sesiapa.” Melissa membantah kata-kata Izdham.
“Walaupun awak bayar balik duit saya tu, tetap ada
satu hutang yang awak tak boleh nak langsaikan dengan saya.
Awak terhutang budi dan nyawa dengan saya. Remember?”
Izdham mengingatkan gadis di hadapannya. Bukan niatnya
hendak mengungkit pertolongan ikhlas yang diberikan,
namun melihatkan perangai keras kepala Melissa, apa sahaja
pilihan yang dia ada selain mengungkit kembali pertolongan
yang dihulurkannya tempoh hari? Tekadnya hanya satu,
hendak mengikat gadis itu!
Melissa berasa sebal dan sayu. Ternyata lelaki itu
tidak ikhlas membantunya tempoh hari. Kalau sudah tahu
tidak ikhlas, kenapa masih mahu menolong? Sebak yang
menghampiri cuba diusir pergi. Sungguh, hatinya tidak kuat
untuk berhadapan dengan lelaki itu lama-lama. Bimbang
empangan matanya pecah tidak semena-mena. Wajah
ditundukkan menekur meja meladeni perasaan.
“Makanlah, saya belanja.” Izdham mempelawa sebaik
sahaja makanan sampai.
Melissa mengangkat wajah memandang lelaki itu
kembali. Pandangan matanya tegas dan tajam.
“Saya tak nak awak belanja. Kali ni biar saya yang
bayar sebab saya tak nak berhutang apa-apa lagi dengan
awak.” Semuanya hendak dibayarkan, semuanya hendak
ditanggung. Apakah lelaki ini ingat dirinya tidak berharta?
Tidak bekerja?
Izdham berasa tercabar mendengarkan penolakan
itu. Memang dia tidak suka katanya dibantah. Sifat panas
barannya itu mudah sahaja datang menyapa.
“Saya cakap, saya belanja. Saya belanjalah! Awak
makan aje. Faham?” Dia sudah menyinga, wajah yang tadinya
tenang sudah berubah rupa.
Melissa tersentak. Siapakah lelaki itu? Mengapa
kata-katanya asyik saja hendak dituruti? Lelaki itu bukan
suaminya, bukan abangnya mahupun sesiapa dengannya!
“Dah, makan.” Izdham mengulangi arahannya.
Dalam keterpaksaan, Melissa mengikut juga arahan
lelaki itu. Sesi makan malam mereka sepi tanpa bicara. Lain
yang Izdham bayangkan, lain pula yang menjadi kenangan.
Usai makan malam, Melissa sangka lelaki itu akan
menghantarnya terus pulang ke rumah. Tapi sangkaannya
meleset apabila Toyota Camry milik lelaki itu memasuki
persimpangan ke Muzaffar Heights. Dia menjadi tidak senang
duduk, bagai cacing kepanasan di dalam kereta mewah milik
lelaki itu. Penghawa dingin yang dipasang tidak mampu
menenangkan hatinya yang kerisauan.
“Awak nak bawa saya ke mana ni? Hantarkanlah
saya balik,” pinta Melissa dengan suara yang bergetar cuak.
Namun permintaannya dibiarkan sepi.
Toyota Camry Izdham selamat memasuki garaj
sebuah rumah yang dipasang dengan pintu pagar automatik.
Melissa semakin cemas. Lengan lelaki itu dijadikan sasaran.
Ditampar berkali-kali apabila lelaki itu masih enggan
bersuara.
“Awak dengar tak apa yang saya cakap ni? Saya cakap
hantarkanlah saya balik. Kalau awak degil jugak, saya jerit!”
Melissa mengugut. Sepasang matanya tidak lepas daripada
memanah tajam ke arah seraut wajah milik lelaki itu. Dia
menagih jawapan.
“Awak ingat kalau awak jerit, ada orang ke yang nak
datang tolong? Do you think anyone will hear you scream? I
don’t think so!” Angkuh Izdham menjawab.
Melissa tertoleh-toleh ke kanan dan kiri. Benar!
Pintu pagar automatik itu tingginya menggunung. Dibina
rapat sehingga tidak kelihatan kawasan luar dari dalam dan
pastinya orang di luar tidak boleh melihat apa yang berada
di dalam. Liur diteguk. Dia tidak mahu tergadai body kerana
terhutang budi.
“Jom, masuk. Awak nak masuk sendiri atau nak saya
paksa?” Izdham memberi pilihan.
Situasi tidak memungkinkan untuk Melissa
melawan. Dia tidak mengenali lelaki itu. Hanya tahu yang
lelaki itu seorang doktor dan penyelamatnya dahulu. Sesiapa
pun tidak tahu tentang keberadaannya di rumah ini. Daripada
mencipta bahaya, lebih baik dia turutkan sahaja kehendak
lelaki itu. Moga-moga dia selamat dan semoga lelaki itu
bukanlah seorang psiko!
Semakin lama, semakin dia tidak mampu mengecam
mahupun mengenali perangai lelaki itu. Segalanya boleh
bertukar sekelip mata. Melissa mula menyesal dipertemukan
dengan lelaki itu. Penyelamat yang kelihatan seperti
pemangsa pada matanya.
Sebaik kakinya melangkah masuk ke dalam rumah,
matanya dihidangkan dengan hiasan dalaman yang amat
moden dan kemas bagi kediaman seorang lelaki bujang.
Tidak menyangka lelaki segarang itu mempunyai cita rasa
tersendiri.
‘Not bad...’ puji Melissa dalam hati. Dalam ketakutan,
sempat juga dia memuji dan mengkaji hiasan dalaman rumah
ini. Punggung dilabuhkan pada sofa yang terdapat di ruang
tamu itu walaupun tidak dijemput oleh tuan rumah.
Izdham ke dapur menyediakan minuman buat
tetamunya. Sengaja dia membawa gadis itu datang bertandang
ke rumah. Dia hendak mengenali Melissa dan dia juga hendak
dikenali dengan lebih dekat lagi. Tidak lebih daripada itu.
Dia tidak punya niat yang tidak elok dan dia juga berharap
semoga gadis itu tidak berasa canggung di rumahnya.
Minuman yang telah siap dibancuh diletakkan ke
atas meja, lalu dia mula mengambil tempat di sebelah gadis
itu. Rapat.
Melissa mengengsot, tapi lengannya sempat
dipegang oleh Izdham. Jelas nyata lelaki itu tidak mahu dia
menjauh. Panahan mata lelaki itu juga kelihatan amat tajam
dan menakutkan. Dia tidak mampu mentafsir apa yang sedang
bermain dalam minda lelaki itu saat ini. Sudahnya dibiarkan
saja mereka duduk bersebelahan, cukup rapat walaupun tidak
sampai bersentuhan.
“Awak gila ke? Sampai tempat duduk saya pun awak
nak tentukan?” Melissa menyoal dengan berani tetapi masih
dengan nada yang perlahan. Bengang apabila kerap kali dia
diarah melakukan sesuatu di luar kemahuannya.
“Yup, saya gila. Saya gilakan awak, Melissa...” ujar
Izdham sambil terus-terusan menatap wajah rupawan itu
dengan pandangan yang mengandungi pelbagai rasa yang
tersimpan kemas.
Melissa berasa canggung mendengarkan jawapan
spontan itu. Sedetik dua berlalu. Masing-masing diam tanpa
kata. Yang teruna meneruskan aktiviti renungan tidak bergaji,
si dara pula terduduk kaku berasa janggal sekali.
“Siapa nama awak?” Melissa membuka topik
perbualan untuk menyingkirkan rasa canggung yang
dirasainya ketika ini.
“Umar Izdham Syah bin Naufal. Ingatkan sampai
sudah awak tak berminat nak ambil tahu tentang nama saya.”
Izdham kini tersenyum manis.
‘Sedap namanya,’ desis hati Melissa. Dia tersenyum
sekilas tanpa memandang lelaki itu.
Namun, senyuman sekilas si gadis sempat ditangkap
pandangan mata Izdham, betul-betul menggetarkan
hati lelakinya. Sungguh dia terpesona. Baru saat ini dia
berkesempatan melihat senyuman itu. Selama ini dia hanya
berpeluang melihat wajah cemberut gadis itu sahaja. Setiap
kali bertemu, mereka pasti akan bercakaran. Lihat sahaja apa
yang berlaku sebentar tadi.
“Saya nak berterima kasih pada awak sebab bersusah
payah menolong saya tempoh hari sampaikan baju saya
pun awak belikan. Saya tak tahu macam mana nak balas
budi awak. Saya nak bayar dengan duit, awak tolak. Saya
hanya mampu doakan yang baik-baik sahaja untuk awak.”
Melissa memecahkan kesunyian. Hilang sedikit ketakutan
yang singgah dalam hatinya apabila dia berasa sedikit yakin
lelaki itu lelaki yang budiman dan tidak berbahaya. Masakan
seorang doktor seperti Izdham mahu merosakkan nama,
karier dan reputasinya sebagai seorang doktor kerana seorang
gadis, kan?
“Kenapa awak tergamak cuba bunuh diri tempoh
hari?” Izdham tidak berputus asa menuntut penjelasan
sambil menghulurkan semula kad pengenalan yang disimpan
olehnya kepada gadis itu. Bukan dia sengaja hendak
menyimpan kad pengenalan itu lama-lama, namun akibat
terlalu sibuk bekerja, masa membatasi. Lalu apabila peluang
sudah muncul, laju saja dia menekan nombor telefon milik
gadis itu. Tidak sabar hendak bertemu kerana sudah muncul
bibit-bibit rindu dalam kalbu.
“Perlu ke awak tahu? I don’t think so.” Melissa
tidak mahu membuka rahsia diri yang disimpan rapi kepada
lelaki yang amat asing bagi dirinya. Beg tangan dibuka lalu
menyimpan kembali kad pengenalannya.
“Saya rasa saya ada hak untuk tahu, sebab saya yang
selamatkan awak daripada mati lemas malam tu. Jika tiada
sebab yang kukuh, kenapa awak lakukannya? Kalau tidak...
saya rasa saya perlu laporkannya pada pihak berkuasa,” Izdham
memulakan ugutannya dengan wajah yang selamba. Tiada
gunanya dia berlembut jika gadis itu sendiri menginginkan
kekerasan.
Melissa kembali buntu. Lelaki itu memang tidak
habis-habis mahu mengugutnya.
“Memang hobi awak mengugut orang eh? Kalau
awak berkira sangat dengan budi yang awak hulurkan pada
saya malam tu, kenapa awak tak biarkan saya mati aje?”
Melissa mula berang. Baru saja dia hendak berbaik-baik dan
mengelakkan pertengkaran antara mereka, lelaki itu pula
yang memulakan angkara.
“Sebab saya tak gila macam awak, dear. Saya tak gila
nak biarkan gadis secantik awak ni lenyap dari muka bumi ni
begitu sahaja,” jawab Izdham sambil mengenyitkan matanya.
“Awak tahu tak, saya rasa awak yang berperangai
macam orang gila! Bukan saya!” Melissa menjeling lelaki itu
dengan pandangan maut. Nasib hanya diberikan jelingan, jika
dilayangkan pisau belati? Percuma saja menempah tiket ke
hospital!
“Baik, saya mengaku saya bertindak macam
orang gila. Awak yang buat saya jadi gila, Melissa. Awak
penyebabnya!” Izdham cuba berterus terang tentang rasa
cinta yang sedang dirasainya semenjak bertentang mata
dengan gadis itu di tepi Sungai Melaka tempoh hari.
“Balik-balik itu juga yang awak cakap. Kenapa? Bila
masa saya buat awak jadi gila?” Melissa menuntut penerangan.
Sesak nafasnya. Mindanya stres.
“Bila awak tak sedar.” Izdham memilih jawapan
yang selamat kerana dia merasakan ini bukanlah waktu yang
sesuai untuk melafazkan kata cinta kepada gadis itu. Masih
terlalu awal barangkali.
Jawapan itu membuatkan Melissa lelah. Bibirnya
diketap rapat, menahan geram yang menyapa. Lelaki itu
pandai bermain dengan emosinya.
“Baik... awak nak tahu sangat sebabnya, kan?
Semuanya sebab cinta! Okey? Puas hati awak?” Satu keluhan
berat dilepaskan. Melissa bangun dan berjalan menuju ke
tingkap yang terletak di ruang tamu itu. Menjauh daripada
Izdham dan dia membuang pandang ke luar, cuba menepis
beban perasaan yang datang menerjah. Dia cuba melupakan
kisah silamnya, tapi mengapa lelaki itu beria-ia mahu dia
mengingatkannya kembali?
“Cinta? Sebab cinta, awak sanggup memperjudikan
nyawa awak?” soal Izdham dengan mata yang terbuntang. Dia
sudah dapat mengagak dari awal lagi, tapi setelah mendengar
jawapan sebenar dari mulut gadis itu sendiri, dia benar-benar
tidak sangka Melissa mempunyai akal secetek itu.
“Bukan sebab cinta saja. Lebih daripada itu, Izdham.
Awak takkan faham kenapa saya boleh ambil tindakan
macam tu sebab awak tak berada di tempat saya! You're not
in my shoes, you wouldn't understand.” Suara Melissa mula
bergetar.
Izdham terdiam, terus memerhatikan susuk tubuh
gadis itu yang membelakanginya.
“Beritahu saya... awak boleh percayakan saya,
Melissa.” Izdham berjalan mendekati gadis itu. Berdiri rapat
di sebelahnya, cuba memberikan semangat. Ingin gadis itu
merasakan kehadirannya.
Dia perlukan penjelasan untuk memahami sebab
musabab peristiwa tempoh hari terjadi. Memang dia bukan
sesiapa dengan gadis itu, juga tiada pertalian darah; tapi dia
merasakan dia berhak untuk mengambil tahu akan masalah
yang membelenggu gadis yang sudah mula dicintainya
walaupun Melissa masih tidak tahu akan perasaan cintanya
itu.
“Bercinta bertahun lamanya, tapi saat segala
persiapan telah dibuat, hampir dimeterai, ibunya menghalang
dan tak merestui. Akhirnya dia dipaksa berkahwin dengan
pilihan ibunya, dan saya... ditinggalkan! Maruah keluarga
saya, maruah saya, segala persiapan dan jemputan yang dah
diedarkan, bagaimana? Boleh tak awak bayangkan apa yang
harus saya hadapi?” Melissa sudah mula menangis. Hati yang
terluka semakin terhiris dengan setiap memori dan ingatan
terhadap peristiwa lalu.
“Maafkan saya. Saya tak tahu begitu berat masalah
yang awak hadapi.” Izdham terasa menyesal kerana
beranggapan yang tidak-tidak kepada gadis itu. Satu keluhan
berat dilepaskan. Dia baru menyedari yang rupanya berat
bebanan perasaan yang sedang ditanggung oleh Melissa
ketika ini. Patutlah gadis itu hilang pertimbangan diri. Bukan
hanya sebab cinta mahupun lelaki yang dicintainya, tetapi
sebenarnya lebih daripada itu. Melibatkan harga diri dan air
muka yang tiada galang gantinya.
Melissa membiarkan Izdham menemaninya di sisi.
Terasa damai seketika apabila dapat meluahkan perasaan
yang selama ini dipendam sendirian. Bukan dia tidak mahu
berkongsi perasaan yang dirasai dengan keluarganya. Bukan!
Selebihnya dia merasakan dia tidak berhak membebankan
keluarganya dengan masalahnya lagi.
“Saya cuba nak lupakan semuanya Izdham, so
please... let me. Saya harap awak tak ungkit tentang perkara
ni lagi pada saya. Saya lelah dengan perasaan saya sendiri.”
Air mata mengalir laju menuruni pipinya yang putih bersih.
Izdham yang berasa sangat simpati dalam diam
mengangguk perlahan. Dia hanya mengekori Melissa yang
kembali duduk di sofa. Beberapa helai tisu dihulurkan kepada
gadis itu buat mengesat air mata yang jatuh berderai.
“Maafkan saya kerana bertanya tadi, Melissa. I
wouldn’t ask about it again. You have my word.” Izdham
mengukir janji.
Melissa mengangguk, menerima permohonan maaf
lelaki itu. Suasana sepi seketika, memberi peluang kepadanya
untuk kembali tenang seperti sediakala.
“Minumlah, tak ada racun dalam tu. Don’t worry.”
Izdham menghulurkan air yang telah dibancuhnya sebentar
tadi kepada gadis itu.
Melissa tergelak kecil. Izdham hendak meracuninya?
Tak masuk dek akal jikalau lelaki yang menyelamatkannya
berniat untuk membunuhnya.
Izdham turut berasa senang melihat gadis itu
sudah boleh tertawa, berjaya mengusir kesedihan yang baru
bertandang sebentar tadi. Silapnya juga kerana ingin benar
bersikap seperti seorang pakar psikologi, pengakhirannya
hati gadis itu terluka seperti dilapah-lapah tanpa kenal makna
simpati.
“Saya harap awak dapat kuatkan semangat awak,
cekalkan hati. Memang berat ujian awak, tapi bersyukurlah
awak hanya diuji dengan kehilangan cinta. Ada insan lain
yang diuji dengan kehilangan keluarga, anak, dan sebagainya.
Belum kira lagi yang diuji dengan kesusahan dari segi duit
dan sebagainya. Kadang-kadang kita rasa, macam ujian kita
yang paling berat dalam dunia ni. Padahal kita tak sedar, ada
insan lain di luar sana menanggung dugaan yang lebih hebat
daripada masalah yang kita hadapi.” Izdham memberikan
kata nasihat.
“Apabila kita reda dengan sesuatu yang
mengecewakan hati kita, maka percayalah... Allah akan
menggantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang tidak
dijangka,” tambah Izdham lagi.
Melissa diam sendiri, meneliti kata nasihat yang
diberikan kepadanya.
Melihat gadis itu menerima kata nasihatnya dengan
baik, Izdham meneruskan perbualan mereka sehingga
hampir lewat malam.
“Awak tidur di sini ya malam ni?” kata Izdham
tiba-tiba.
Terbuntang biji mata Melissa. Walaupun dia telah
membuka rahsia diri dan menerima baik kata nasihat
yang diberikan, itu bukan tiket untuk Izdham mengambil
kesempatan ke atas dirinya. Ingat dia perempuan murahan
ke? Sewenang-wenangnya akan bersetuju untuk bermalam di
rumah lelaki yang baru sahaja dikenali secara tidak sengaja?
“Awak ni biar betul, Izdham? Kita tak ada ikatan yang
sah and you ask me to sleep here tonight? Berdua dengan
awak dalam rumah ni? Nonsense!”
“Jadi, awak nak kita ada ikatan yang sahlah?” Izdham
cuba memancing.
“Nope! Saya tak nak kita ada ikatan yang sah sebab
saya tak ada hati dengan awak,” tegas Melissa melontarkan
kata-kata tanpa mengambil kira perasaan Izdham yang telah
pun tergores.
“Saya cakap tidur kat sini, tidur kat sinilah! Jangan
berani membantah. Buruk padahnya nanti.” Izdham menarik
lengan kanan Melissa dan memaksa gadis itu untuk menuruti
langkahnya masuk ke dalam bilik yang terletak di tingkat atas.
Melissa meneguk liur. Dipukulnya dada lelaki
itu dengan tangan kirinya. Sedaya upaya dia melawan. Dia
tidak mahu tidur di situ. Bimbang. Berbagai-bagai bayangan
buruk terlintas dalam kepala. Di mana ada manusia yang
berdua-duaan, akan muncul orang ketiga iaitu syaitan yang
menyesatkan. Dia sangat-sangat bimbang!
“Tolonglah jangan apa-apakan saya. Tolong...” rayu
Melissa meminta belas kasihan Izdham. Entah entiti apakah
yang telah merasuk lelaki itu, dia sendiri tidak tahu. Sekejap
dilihatnya lelaki itu seperti lelaki yang budiman, namun
dalam sekelip mata juga boleh berubah menjadi panas baran
mengalahkan singa yang kelaparan. Lelaki itu mempunyai
split personalitykah?
“Kan saya dah kata, tidur aje kat sini.” Izdham cuba
menenangkan Melissa yang sedang teresak-esak. Gadis itu
memang terlalu pemurah dengan air mata.
“Panggilkan saya teksi! Bukannya jauh sangat pun
rumah saya dari sini.” Melissa tetap tidak mahu mengalah.
Tak mungkin dia akan bermalam di rumah ini. Walaupun
Izdham seorang doktor, namun kerjaya itu belum tentu dapat
menentukan ketinggian moral seseorang.
“Jangan risau. Saya belum gila nak rosakkan maruah
awak walaupun saya dah tergoda dan tertawan dengan awak.”
Izdham mengukir janji, memberikan jaminan.
Melissa menyeka air mata di pipi dengan belakang
tangan. Terkebil-kebil dia merenung wajah Izdham di jenang
pintu kamar, masih menyimpan perasaan ragu-ragu terhadap
lelaki itu.
“Jom,” ajak Izdham tiba-tiba.
“Jom ke mana pulak ni?” tanya Melissa kebingungan.
“Jom ke rumah awaklah, saya hantar awak balik,”
ujar Izdham menyimpan senyuman dan ketawa yang hampir
terburai. Sebenarnya dia sengaja mempermainkan gadis itu
sebentar tadi. Saja ingin menguji.
“Tapi tadi awak cakap yang...” Melissa tidak jadi
hendak meneruskan kata-katanya, dia termalu sendiri.
‘Takkan pulak aku nak cakap dia yang ajak aku tidur kat sini
tadi?’ desis Melissa dalam hati.
Izdham ketawa lepas. Kelakar benar melihat wajah
kelat Melissa. Pasti gadis itu baru menyedari bahawa dirinya
dipermainkan sebentar tadi.
“Awak ni kan! Confirm gila awak tahap miring!”
jerit Melissa dengan kuat, melepaskan geram. ‘Kurang asam
punya Izdham!’ getusnya dalam hati.
“Itulah, siapa suruh cengeng sangat? Usik sikit dah
menangis. Takut macam saya letak awak dalam kandang
harimau pulak. Saya main-main ajelah, takkanlah saya nak
ajak awak tidur sama kat sini. Saya waras lagi tau. Dah, jom!”
Sebaris senyuman dihadiahkan kepada gadis itu tetapi Melissa
membalas dengan jelingan tajam.

No comments:

Post a Comment