DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 11 December 2017

Kunci Hati Hanim - Bab 2

DARI jauh dia melihat pasangan itu bergelak
ketawa sambil bertepuk tampar. Bahagia sungguh! Senyuman
tidak lekang dari wajah sang jejaka yang kelihatan kacak
dalam pakaian pejabat. Wajah yang manis bergula dengan
sengihan yang melebar, membuatkan jantung Hanim sedikit
pincang temponya.
Tangan kanan naik melekap pada dada kiri. Sungguh
cepat si dia mencari pengganti sedangkan dia masih
begini. Bersendirian mencari erti kasih dan sayang untuk
meneruskan hidup.
Senyuman yang tidak lekang dari bibir cukup
menjadi isyarat bahawa sang jejaka itu sedang bahagia dengan
kehidupannya sekarang. Bahagia bersama wanita baru di
sampingnya. Bahagia meneruskan hidup tanpa dirinya.
Pedih dan sakit, namun tiada apa lagi yang mampu
dia lakukan selain daripada memandang sang jejaka dari
kejauhan. ‘How I wish he’s still mine...’ Hati berbisik kesal.
Namun kesalan itu tiada gunanya lagi kerana waktu tidak
mampu diundur kembali. Untuk apa menyesali perkara
yang telah terjadi, Hanim? Untuk apa? Untuk mengenang
kebodohan sendiri?
Tanpa sedar matanya bersabung dengan pandangan
mata wanita yang menjadi pujaan hati sang jejaka kini. Mata
itu tajam merenung ke wajahnya. Langsung hilang tawa dan
digantikan pula dengan wajah yang mencuka. Hanim mula
cuak. Sesaat... dua saat... Pasti sang jejaka itu menoleh ke
arahnya.
Sangkaannya benar. Tanpa perlu menunggu lama,
pandangan mata Hanim bersabung dengan pandangan mata
sang jejaka pula. Sama seperti wanita itu tadi, senyuman
yang mekar kuncup kembali. Wajah ceria berubah serius,
membuatkan hati Hanim gundah-gulana. Tanpa berfikir
panjang, punggung diangkat ingin berlalu meninggalkan
ruang yang sangat menyesakkan dada.
Saat Hanim ingin berlalu pergi, dia melihat sang
jejaka turut bangun seperti mahu mengejarnya. Dengan
tergopoh-gapah, dia membuka langkah. Seorang lelaki yang
berdiri berhampiran dengan mejanya dilanggar tanpa sengaja.
Hanya ekoran mata yang sempat diberikan. Langsung tiada
kata maaf yang terkeluar dari bibir merahnya.
Hanim berjaya melarikan diri manakala sang jejaka
pula sudah berhenti mengejar. Mereka hanya memandang
belakang Hanim yang mula menghilang. Tanpa mereka sedar,
ada sepasang mata turut memandang figura Hanim dengan
raut wajah yang penuh dengan persoalan.

“KAU KE mana, Nim? Sekarang baru masuk ofis.”
“Breakfast.” Cuma sepatah jawapan yang diberikan
kepada rakan sekerjanya, Maira.
“Kau tahu kan yang sekejap lagi kau kena jumpa
client.”
“Tahu.”
“Dah tu sekarang baru nak masuk? Lepas ni nak
keluar lagi. Kalau bos bising macam mana?”
“Bos tak bising.”
“Yalah tak bising depan kau sebab kejap lagi kau dah
tak ada dekat sini. Yang nak kena hadapnya nanti aku ni juga.”
Hanim mengeluh kasar. “Bos tak bising tapi kau pula
yang bising.” Hanim membalas dengan nada malas. Sungguh
dia malas mahu melayan bebelan Maira. Bingit telinganya.
Kebelakangan ini sahabatnya itu selalu membebel, naik
bosan dibuatnya.
“Itulah kau, bila aku membebel marah. Aku
membebel ni pun untuk kebaikan kau juga. Prestasi kerja kau
teruk sangat sekarang ni Hanim, sales makin teruk. Jangan
sampai bos panggil kau masuk bilik dia pula.”
Rasa geram yang bergumpal di dalam dada cuba
disimpan kemas. Tak nak mengeruhkan lagi keadaan. Bukan
dia tidak tahu yang Hanim sedang mengalami masalah
sekarang. Masalah hati dan perasaan. Tapi sebagai sahabat
dan rakan sekerja, dia rasa bertanggungjawab untuk menegur
Hanim yang sepertinya terlalu larut di dalam permasalahan
yang dialami sehingga mengabaikan soal kerja.
“Kalau bos panggil nanti tahulah aku nak jawab
macam mana.”
Maira mengeluh perlahan mendengar jawapan
Hanim. “Kau kenapa Nim? Kau ke mana sebenarnya tadi?
Kalau breakfast pun takkanlah sampai berjam lamanya.”
Tangan Hanim yang bergerak menyusun kertas
di atas meja terus terhenti. Dada mula menyesak kembali.
Matanya juga mula memberat semula. Seketika dia menoleh
ke arah Maira yang sedia memerhati.
Melihat mata Hanim yang mula memberat dengan
air mata, hati Maira mula rasa tidak enak. Pasti ada sesuatu
yang telah terjadi terhadap sahabatnya itu. Tanpa berlengah,
dia bergerak mendekati Hanim dan menarik tangan Hanim
ke dalam genggamannya. “Kau kenapa?”
Terasa kesat air liur yang ditelan. Mata dipejam dan
pipi mula basah dengan air mata yang menitis. “Aku nampak
dia masa tengah breakfast tadi Maira,” ucap Hanim dengan
nada tertahan. Rasa sebak cuba diusir dari dada.
Maira menarik nafas dalam. Dia lagi...
“Ada perempuan depan dia. Isteri dia agaknya...”
Suara Hanim semakin perlahan. Pandangan matanya juga
dialihkan daripada Maira.
“Kalau betul itu isteri dia, seharusnya kau lupakan
dia Hanim. Tak ada gunanya lagi kau simpan perasaan kau
untuk dia. Tak ada gunanya lagi kau tunggu dia.” Walau keras
kedengaran kata-kata Maira, hanya itu saja caranya untuk
menyedarkan Hanim yang lena dalam jaga sebegini. Itu saja
caranya.
“Kau cakap senang...”
“Ya, aku cakap senang sebab bukan aku yang rasa.
Tapi Hanim, aku tengok kau pun tak mencuba. Tak cuba
untuk lupakan dia.”
Terdiam Hanim mendengar bebelan Maira. Menyesal
pula dia ceritakan semuanya kepada Maira. Tapi hanya Maira
saja yang sudi mendengar keluh-kesahnya dari dulu hingga
kini. Hanya Maira saja yang sanggup mendengar ceritanya
yang tidak berkesudahan ini.
“Sudah-sudahlah Hanim, cukuplah kau seksa diri
kau macam ni. Move on! Sampai bila kau nak menjerut rasa
macam ni? Kau tak kesian dekat diri sendiri ke?”
Dalam diam, tangan Hanim naik menyapu air mata
yang sempat menjengah pipi. “Dahlah Maira, aku nak keluar.
Dah tiba masa untuk aku berjumpa dengan client aku.”
Pantas tangannya bergerak mengemas segala barang dan
dokumen serta brochure yang perlu dibawa.
Maira hanya mampu menggelengkan kepala.
“Larilah Hanim. Lari selagi kau mampu,” ucap Maira seraya
berlalu meninggalkan meja kerja Hanim.
Pergerakan Hanim terhenti dan Maira dipandang
dengan hujung mata. Keluhan lemah dilepaskan.
Lari... sampai bila Hanim?

JAM DIKERLING lagi. Sudah hampir sejam dia tercongok
dekat kafe ni, namun bayangan car dealer yang ditunggu
tetap tidak kunjung tiba. Izzat mendengus geram. Kalau tahu
car dealer yang ditunggu bermasalah macam ini, lebih baik
dia tercongok dekat ofis saja, sudahkan kerja yang masih
belum selesai.
Tapi kalau tak jumpa sekarang, bila lagi? Dia
sangat-sangat perlukan kereta baru sekarang. Kereta yang
ada asyik buat hal saja. Tak sanggup dia menghadap masalah
yang sama. Mata Izzat kembali menjeling ke arah jam di
pergelangan tangan.
‘Tunggulah 10 minit lagi.’
Kaki Hanim melangkah laju sambil matanya melilau
mencari client yang sedang menunggu. Kelihatan seorang
lelaki duduk bersendirian di hujung kafe dengan kemeja yang
kemas melekat di badan. Kemeja biru laut. Ya, itulah client
yang sedang menunggunya.
“Maaf lambat,” ucap Hanim sebelum menunduk
buat seketika.
‘Perempuan, patutlah,’ bisik hati kecil Izzat.
Seketika kemudian, Hanim mengangkat wajah
dan terus duduk berhadapan dengan clientnya itu. Segala
dokumen dan brochure diletakkan di atas meja di hadapan
Izzat. Riak wajah serius dipamer walaupun dia yang bersalah
pada ketika itu.
Anak mata Izzat tunak memandang wajah yang
duduk berhadapan dengannya. Kerutan mula kelihatan pada
wajahnya.
‘Macam pernah nampak, tapi di mana ya?’
“Ini brochure model kereta yang encik nak tengok
tu.” Dengan riak wajah yang kosong Hanim bersuara.
Kemudian brochure tersebut ditolak ke hadapan Izzat.
“You are late.”
“Sorry?”
“You are late!” Sekali lagi Izzat bersuara dengan
nada yang sedikit tegas.
Air liur ditelan dan kemudian mata Hanim mula
fokus pada wajah lelaki di hadapannya. “I’m sorry,” jawab
Hanim sepatah.
“Saya tak suka berurusan dengan orang yang suka
datang lambat macam ni. It seems that you’re not taking
your job seriously.”
Dengan pandangan mata yang kosong, Hanim
mengangguk faham. “Okey, kalau macam tu saya pergi dulu.”
Semua dokumen dan brochure yang dibawanya tadi disumbat
ke dalam beg dan Hanim bergegas bangun.
“Sit!”
Pergerakan Hanim terhenti. Mata saling memanah.
Seorang dengan pandangan mata yang tajam, manakala yang
seorang lagi dengan pandangan mata yang kosong tanpa
perasaan. Bibir kedua-duanya terkunci dan masa bagaikan
turut berhenti. Locked eyes!
“Duduk!”
Selepas beberapa ketika Izzat kembali bersuara.
Lama dia merenung wajah Hanim dan akhirnya persoalannya
terjawab juga. Hanim dengan perempuan yang melanggar dia
pagi tadi adalah orang yang sama. Hanim dengan perempuan
yang dia jumpa di tanah perkuburan minggu lepas juga
adalah orang yang sama.
Tanpa kata, Hanim duduk semula. Kalau ikutkan
hati, malas dia nak menghadap lelaki ini lagi. Bukan dia tidak
faham dengan sindiran lelaki di hadapan ini tadi. Tidak suka
berurusan dengan orang yang datang lambat seperti dia.
Tapi, apabila mengenangkan tentang periuk nasinya, cuba
disabarkan hati yang sudah mula memberontak.
“Lain kali jangan lambat lagi.”
Tanpa sepatah kata, Hanim menyerahkan semula
dokumen yang telah disumbat ke dalam begnya itu tadi.
“What’s your name, miss? Saya ingatkan bos awak
akan hantar car dealer lelaki.”
“Hanim.”
Izzat menghela nafas perlahan. Hanim, cantik nama
itu. Secantik orangnya juga. Tetapi sangat berat mulut.
Sepatah-sepatah bersuara.
“Okay, lets continue then.” Izzat merapat ke arah
meja dan mula memberi fokus pada tujuan asalnya untuk
berjumpa dengan Hanim. Tanpa banyak bicara Hanim mula
menjalankan tugasnya sebagai car dealer, menerangkan
tentang model kereta yang menjadi pilihan Izzat.

No comments:

Post a Comment