DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 12 December 2017

Mazrik's Signorina - Bab 6

BIBIR menceber. Nafas diatur supaya tenang
seritma namun masih jua ia menderu laju. Minda sepenuh
sedar dipujuk supaya kekal di paras alfa namun tetap juga
celaru. Selain menunggu, ini lagi satu kepantangannya.
Sungguhlah benteng kesabarannya lagi nipis daripada papan
plywood. Tengok orang depan yang macam tak ada perasaan,
lagilah otak rasa bagai nak gila.
Hesy! Dengan mood yang ke laut, Tia hantukkan
kepala ke atas meja.
“Kenapa monyok ni?” tegur Mazrik tenang.
“Budak-budak inilah! Boleh pula memonteng
discussion serentak. Setakat kita dua orang nak buat apa?”
“Then, tak payah discusslah. Jom kita borak-borak,”
usul Mazrik.
“Biar betul abang ni?” Tia kecilkan mata. “Hari
ni final discussion tau. Lusa abang dah nak kena present
semuanya depan Dr. Nazmi.”
“Jangan risau pasal tu. Hari ni kita tak payah nak
sesak kepala fikir pasal presentation. Hari ni kita buat sesi
‘free n easy’.” Mazrik ukir senyum.
“Baik adik balik tidur,” balas Tia sambil menutup
mata. Pukul 2.30 petang macam ni, memang banyaklah
syaitan yang bergayut pada bulu mata. Nak-nak perut tengah
kenyang.
“Eh, jangan. Kalau nak tidur, tidur kat sini aje.”
“Habis tu, takkan abang nak ngadap adik tidur?”
“Apa salahnya? Bukan tak pernah pun, kan?” balas
Mazrik sambil tersengih.
Tia diam tidak mahu mengiakan. Namun dalam
hati dia mengaku yang kata-kata jejaka itu benar. Memang
dia pernah tidur atas meja perpustakaan depan Mazrik masa
group discussion. Malah dia pernah menjerit, menangis dan
membebel macam nenek kebayan depan lelaki itu. Paling
best, dia pernah sepak Mazrik juga. Dalam masa yang singkat,
memang dah banyak sangat dia terlepas laku di hadapan
Mazrik. Betul-betul dia jadi diri sendiri. Sedangkan apabila
dengan Am pun dia banyak cover ayu sopan.
“Daripada abang ngadap adik tidur, baik abang balik
kolej kediaman abang, buat benda yang lagi berfaedah,”
sarannya kepada Mazrik.
“Adik tidur. Abang buatlah pelan presentation kat
sini sampai adik bangun,” balas Mazrik mudah.
“Tak naklah.” Tia angkat kepala dari meja. “Jom
borak!”
Senyuman Mazrik melebar.
“Am sihat?” Dia hulur soalan pertama. Saja merisik
khabar berita tanpa niat apa-apa. Kali terakhir yang dia tahu,
kes curang Am-Erin-Tia telah selesai. Selesai macam mana,
dia tidak tahu. Adiknya ini cuma beritahu yang case was
closed.
“Back to his ‘chipsmore ways’. Dah seminggu dia
senyap.”
“Macam mana kalau ditakdirkan jodoh adik bukan
dengan Am?”
“Kenapa tiba-tiba abang tanya soalan tu?”
“Random.”
“Kalau dah tak ada jodoh, terpaksalah reda.”
“Jadi adik akan lupakan Am?”
Tia terdiam. Tidak mungkin dia dapat melupakan
Am setelah bertahun-tahun menyulam rasa.
“Will you?” Sekali lagi Mazrik bertanya.
“Urmm... kalau memang ditakdirkan jodoh adik
bukan dengan dia, nak tak nak, kenalah terima. Usaha jadi
isteri sebaiknya walaupun Am tetap ada dalam hati.”
“Tapi adilkah untuk suami adik nanti?”
“Adik akan berusaha untuk suami merasa adil. Hati
adik ni, biar adik aje yang rasa, orang lain tak perlu nak selam.
Meh, giliran adik tanya abang!”
“Apa dia?”
“Kak Suria sihat?”
“Alhamdulillah, sihat.”
“Bila abang nak kahwin dengan dia? Bertunang dah
lama, kan?”
“Dah 3 tahun.” Tenang Mazrik menjawab.
“Lama tu! Ada gambar dia tak?”
Mazrik mengeluarkan telefon bimbitnya lalu
membuka folder gambar.
“Cantiknya Kak Suria...” Tia puji ikhlas. Hatinya
menjadi suka melihat gambar-gambar yang ada. Suria
yang putih gebu, dan ada lesung pipit di sebelah kiri yang
menambah manis.
“Mana abang jumpa Kak Suria ni? Pandai abang
pilih.”
“Abang kenal dia sejak kami kecil. Dia sekampung
dengan atuk abang.”
“Oh...”
“Bulan depan birthday Kak Suria.”
Kata-kata Mazrik buat Tia teringat sesuatu.
“Hari ni berapa hari bulan? Laju dia menyoal.
“15 Disember. Kenapa?"
“Esok birthday adik. Patutlah rasa macam ada
missed something.” Tia dah tersengih.
Tanpa basa-basi, Mazrik mengetuk dahi Tia dengan
pen di tangannya.
“Adoi, sakitlah abang! Ada cop kat dahi ni ke tulis
‘sila ketuk saya’?” Tia mengusap dahi sambil berlari ke arah
cermin yang tergantung di dinding kafeteria. Setelah pasti
tiada kesan merah atau lebam, dia kembali menghampiri
meja.
“Adik nak naik biliklah. Tak nak kawan abang sebab
ketuk dahi adik,” ucap Tia sambil mengemas fail di atas meja.
Bukan merajuk pun, tapi dia dah sakit perut sebenarnya.
Sebelum kantoi mengeluarkan gas busuk, baik dia cabut
dulu.
Tanpa pamitan, selamba dia meninggalkan Mazrik
terkulat-kulat. Mazrik nak merajuk? Tak ada maknanya. Dan
kalau merajuk pun, ada dia kisah?
Sekembalinya dari tandas, pesanan WhatsApp
daripada Mazrik sedia menanti.
Esok jumpa kat bawah kolej adik
pukul 10 pagi.
Dahi Tia jadi berlapis. Esok Ahad kut? Hari untuk
golek-golek atas katil. Dengan malas, dia menaip kata-kata
balasan.
Nak buat apa?
Dalam beberapa saat, mesej WhatsAppnya berbalas.
Ada benda abang nak bagi.
Terus dia balas ‘Ok’ sebelum menarik bantal
kesayangan.
Tuan puteri ingin beradu untuk seketika sebelum
masuknya waktu solat asar. Untung-untung dapat mimpi
berjumpa putera raja selepas tak ada jodoh dengan Am. Eh?
Ahad, 9.45 pagi...

TUBUH TIA masih pegun bersila di atas katil dengan selimut
yang membungkus tubuh. Tiada mood untuk bergerak ke
mana-mana walaupun hari ini hari lahirnya. Hendak turun
katil untuk duduk di atas lantai pun terasa malas.
Julia yang masih lena di katil sebelah dipandang
penuh rasa cemburu. Selepas solat subuh tadi, mereka
sama-sama berlumba mahu menganyam mimpi namun
matanya tidak mampu lelap. Puas diarah untuk lena tetapi
deria yang satu itu tidak mahu menurut kata. Terkebil-kebil
dia seorang diri, macam-macam gaya yang dia buat dengan
harapan akan tertidur namun sebaliknya, matanya menjadi
semakin terang. Mahu dikejut Julia untuk menemani diri
yang kebosanan, dia tidak sampai hati. Raut Julia tampak
begitu keletihan.
Terasa vibrate di bawah bantal. Dengan malas tangan
dipanjangkan untuk mencapai si gadget putih.
Abang on the way ke kolej adik ni.
Jumpa kat kafe.
Bulat matanya membaca pesanan tersebut. Alamak,
Mazrik! Macam mana dia boleh terlupa?
Keluhan panjang terlepas lagi. Sungguh dia tengah
tak ada mood untuk bergerak. Kalau dia buat bodoh aje dan
pura-pura amnesia pagi ni aci tak?
Tarik nafas, hembus nafas... tarik nafas, hembus
nafas... tarik, hembus... Ligat otaknya memikirkan jalan
keluar.
“Kau dah kenapa macam kucing hilang anak ni?”
Kus semangat! Nyaris dia tergolek ke lantai kerana
terkejut yang teramat sangat. Entah bila Julia bangun,
tiba-tiba aje dah ada betul-betul depan mata dengan rambut
yang tengah megah menggerbang.
“Ju...” Tangan melekap pada dada, tindakan spontan
mahu melindungi jantung daripada gugur.
“Kau kenapa ni Rissa? Duduk dalam gelap, macam
orang tengah menurun nak seru puteri ulik mayang.”
“Sastera sangat tu untuk budak MBA...”
Julia tersengih. Selimut yang masih membaluti
tubuh dikemaskan lilitannya.
“Hujan baru berhenti ke? Sejuk semacam, syok aku
tidur.”
“Dah tu yang tiba-tiba bangun kenapa?”
“Aku ingat nak perlahankan kipas sebab sejuk
sangat. Bangkit-bangkit, tengok kau tengah macam tak betul
atas katil ni. Kau apasal? Tunggu Am call ke?”
Tia geleng.
“Taklah.”
“Dah tu?”
Terasa vibrate sekali lagi. Laju tangan menyentuh
skrin.
Abang dah sampai.
Ditekap muka dengan bantal melepas perasaan.
Malasnya nak bangun... malas, malas, malas!
“Rissa, kau okey tak ni?”
Dialihkan bantal yang menutupi muka. Wajah Julia
dipandang penuh mengharap.
“Ju, kau rajin tak nak wakilkan aku?”
“Wakilkan kau? Untuk?”
“Aku patutnya jumpa Mazrik kat bawah pagi ni,
tapi aku betul-betul tengah tak ada mood. Boleh tak Ju, kau
tolong aku? Kau tolong cakap kat Mazrik yang aku tak dapat
jumpa dia sebab tak sihat.”
“Aku ni mandi pun tak lagi. Dengan rambut yang
tengah kembang macam ni...”
“Aku tahu... dan aku minta maaf. Tak apalah, aku
WhatsApp dia beritahu yang aku tak dapat jumpa dia. Sorry
susahkan kau.”
Tangan mula menyentuh keypad.
“Pukul berapa dia nak jumpa kau?”
“Sekarang.”
“Sekarang???”
“Yalah, dia dah ada kat bawah.”
“Kejap. Kau WhatsApp kat dia suruh tunggu.”
Seperti lipas kudung Julia berlari ke bilik air. Tidak
sampai 5 minit, dia kembali semula ke dalam bilik.
“Dah WhatsApp dah?
“Dah.”
“Dia balas apa.”
“Dia kata take your time.” Tia tunjuk skrin telefon
bimbit. “Dia tak tahu bukan aku yang turun.”
Tergesa-gesa Julia menyalin baju yang lebih sopan.
Rambut diikat ala kadar dan tudung instant disarung
tergesa-gesa sambil melangkah meninggalkan bilik. Kalau
tidak kerana room-mate yang disayangi, tak ingin dia
menyerah diri dalam keadaan semua ciri keayuannya hilang.
Depan lelaki yang jadi eye candynya selama ini pula tu! Jatuh
saham!
Tia yang menanti di dalam bilik, masih kekal di atas
katil mengira detik masa yang berlalu. Mahu lihat selama
mana Mazrik akan berbual dengan Julia di bawah. Kalau lama,
mesti sempat mengumpat pasal dirinya. Kalau sekejap...
Julia kembali muncul di muka pintu bilik. Biar
betul? Tak sampai 5 minit pun!
“Ju?”
“Ni, Mazrik minta aku bagi kat kau.”
Julia menghulurkan sebuah kotak cantik yang tidak
perlu dibalut.
“Mazrik cakap dia dah agak yang kau takkan jumpa
dia.” Kali ini Julia dah senyum-senyum.
“Dia faham betul fiil kau, kan?”
“Tak adalah.” Laju Tia menafikan. “Dia dah boleh
agak sebab aku turun lambat kut...”
“Dia boleh agak, dan dia relaks aje. Sikit pun tak
melenting tadi walhal aku rasa dia memang dah beritahu kau
awal-awal yang dia nak jumpa, kan? Bukan dia terjah datang
sini sesuka hati, tapi kau aje yang buat perangai tak nak
jumpa dia, betul tak?”
“Thanks, Ju. Nanti aku belanja lunch.” Provokasi
Julia tidak dibalas. Sebaliknya, kotak pemberian Mazrik
dibawa ke atas riba dan dibuka penutupnya.
Tanpa sedar, bibir Tia mengukir senyum. Ada sarung
kecil untuk menyimpan telefon bimbit yang diperbuat
daripada kain baldu berwarna biru dan juga sekeping kad
ucapan bersaiz sederhana yang cantik. Perlahan dia membuka
kad tersebut.
Adik,
Selamat Hari Lahir yang ke... (Abang lupa).
Kehadiran adik membawa seribu makna
buat abang. Abang doakan adik berjaya
dunia dan akhirat. Dah berjaya, jangan
lupakan orang tua yang membesarkan
adik.
Kalau sudi, jangan lupakan abang sampai
bila-bila.
-Mazrik Hakimuddin-
Tia rasa sangat terharu. Walaupun bukan pemberian
yang mewah, hati perempuannya tahu yang Mazrik ikhlas
memberi. Nekad, terus dia menelefon lelaki itu.
“Malam ni jumpa pukul 8 kat sini. No excuse.”
Itu sahaja yang diperkatakannya sebelum memutuskan
panggilan. Langsung tidak memberi peluang untuk Mazrik
memberikan jawapan.
“Macam itulah kawan aku. Belajar menghargai
orang yang tahu menghargai kita, okey?” ucap Julia bersama
senyuman sebelum menarik dirinya supaya berdiri.
“Bangun, pergi mandi. Aku dah lapar ni. Tadi kau
kata nak belanja aku lunch, kan?”
“Baru pukul 10.”
“Time lunch aku pukul 11.”
“Esoklah, boleh? Malas nak bangun.”
“No, no, no. Bangun sekarang. Abang Mazrik dah
bagi hadiah pun tak ada semangat lagi?”
“Ju!”
“Dah, dah. Bangun!” Ditolak tubuh Tia ke arah bilik
air. Sebelum itu sempat diselitkan tuala mandi ke leher gadis
itu.
Hilang bayang Tia, Julia simpul senyum.
‘Saya tahu dia tak ada mood tapi tolong
pastikan dia tak skip makan ya.’
Terngiang-ngiang pesanan Mazrik di telinganya.
How sweet! Sayangnya, lelaki itu sudah bertunang.

“ABANG, THANKS a lot. Really appreciate your present to
me.”
Mazrik hanya mengangguk. Mereka kini berada
di hadapan pejabat kolej kediaman Tia. Dia sedang berdiri
manakala Tia duduk di atas kerusi batu. Lampu jalan
menerangi tempat mereka berada.
“Dah sihat dah? Tadi room-mate cakap adik tak
sihat.” Mazrik memandang tubuh Tia sekali lalu. Gadis itu
turun menemuinya dengan sweater yang membalut tubuh.
Nampak comel di mata lelakinya.
Tia yang mendengar, menggaru kepala. Tidak pasti
sama ada Mazrik sedang menyindirnya atau betul-betul mahu
tahu. Tapi memikirkan yang lelaki itu telah masak dengan
perangainya, sudahnya dia melempar senyum.
“Sorry. Tak ada mood tadi.” Dia berterus terang.
“Sekarang mood dah okey dah?”
Soalan Mazrik dibalas dengan anggukan.
“Am bagi adik apa?”
“Am?” Soalan yang menghantar rasa perit ke hati.
Wajah Mazrik dipandang tawar. “Tak ada apa-apa. Dia terlupa
kut.”
“Lupa? Hari lahir buah hati sendiri pun boleh lupa?”
Suara Mazrik naik sedikit.
“Dia call tak?” soalnya lagi.
Tia berasa semakin malu. Perlahan kepala
digelengkan sebelum menunduk.
“Dia busy agaknya.”
Tidak pernah terlintas dalam hati perempuannya
yang Mazrik akan mengamuk. Tahu-tahu sahaja lelaki itu
sudah menumbuk kuat permukaan meja batu di hadapan
mereka.
“Abang!” Tia mengurut dada sendiri yang terperanjat.
Tangan Mazrik yang menumbuk meja diperhatikan, risau jika
berdarah. “Kenapa tiba-tiba abang tumbuk meja batu ni? Tak
sakit ke?” Teragak-agak dia menyoal. Sungguh! Tak pernah
dia melihat Mazrik baran seperti tadi. Hilang sifat tenang
yang jejaka itu pamerkan selama ini.
“Hati abang ni lagi sakit sekarang ni. Kalaulah abang
dapat jumpa Am tu...” Mazrik melurut rambutnya yang dah
sedikit panjang.
“Abang nak buat apa kalau jumpa dia?”
Tia mula rasa tidak sedap hati. Janganlah kedua-dua
lelaki ini bergaduh disebabkan dirinya.
“Abang nak tanya, dia serius ke tak dengan adik?Kalau
dia jawab tak, dia patut lepaskan adik.”
“Tapi abang...” Tia telan liur yang terasa pahit.
“Sepanjang kami berkawan selama 4 tahun, Am memang tak
pernah ingat. Tapi, bila dia nak bagi something, dia akan bagi
juga tak kira masa.”
Tia berharap penjelasan tersebut dapat menyejukkan
hati lelaki di hadapannya ini. Sungguh dia seriau melihat
Mazrik yang selama ini cool tiba-tiba mengamuk.
“Being busy is not an excuse, girl.” Mazrik tenung
wajah Tia dalam-dalam. “It's just a matter of priority.”

MAZRIK HEMPASKAN tubuh ke atas tilam. Tangan yang
sedikit membengkak diusap perlahan. Sesakit tangannya
menumbuk meja batu, sakit lagi hati lelakinya.
Tia Clarissa... Gadis itu terlalu baik untuk
diperlakukan seperti itu. Lelaki yang bernama Am itu
memang nak kena agaknya!
“Aku benganglah dengan si Am tu.”
“Am?”
Mazrik angguk.
“Tia Clarissa's guy?”
Mazrik angguk untuk kali kedua. Sebelum ini
dia memang ada bercerita kepada Hadi tentang Tia yang
in-a-relationship.
“Kenapa dengan dia?”
“Cuba cakap terus terang apa dia nak sebenarnya.”
“Aku tak faham.” Hadi letak pen atas meja.
“Maksud aku, dia dengan Rissa tu... patutnya dia
terus terang akan hala hubungan diaorang tu instead of main
tarik tali macam ni. Terus terang kan senang?”
“Apa yang senang?”
“Yalah, kan elok dia terus terang kalau dia tak serius
dengan adik aku tu. Senang aku nak...” Mazrik tercari-cari
perkataan yang sesuai.
“Senang untuk kau apa?” Hadi jongket kening.
“Urmm... senanglah untuk aku tolong apa yang
patut, adik aku tu bro...”
“Adik? Bukan adik tiri kau pun, apatah lagi adik
kandung. Korang berdua tak ada pertalian darah langsung,
nil, zero!”
“Wohoooo, relaks brother! Yang nada kau tiba-tiba
menaik ni apasal?” Mazrik tarik seruling di atas meja.
Sahabat rapat selama bertahun-tahun merangkap teman
sebilik sepanjang 2 tahun pengajian master dipandang tepat.
“Jangan main api, bro.” Hadi sambung semula
aktiviti menconteng test pad.
“Maksud kau?”
“Kau tu tunang Suria sejak 3 tahun lepas kalau kau
terlupa.”

TIA RENUNG Mazrik yang langsung tidak memandangnya.
Dua minggu, jejaka itu senyap tanpa khabar berita. Dan
bersemuka saat ini pun, sebab dia yang berusaha mencari
jejak.
“Abang pergi mana 2 minggu ni?”
“Ada aje tak ke mana-mana.”
“But I heard no news from you.”
“Should there be?”
Tia mengeluh. Siapa cakap lelaki ni simple dan tak
complicated?
“Ni, nota untuk abang.” Dibuang perasaan sebal yang
bermukim. Beberapa helai kertas ditolak ke depan Mazrik.
“Rumoured questions, skema jawapan dan
topik-topik penting dalam slaid Dr. Nazmi. Explanation
semua dah ada kat situ.”
“Okey.”
Tia bengang. Cakap okey tapi kepala duk pandang
pada jari-jemari sendiri yang sedang rancak melarikan pen.
Sedikit pun tidak peduli dengan apa yang dia cakap.
“Abang!” Dijerit sesopan yang boleh. Kalau tidak
dikawal suaranya, mahu dia dihalau keluar dari perpustakaan.
“Ya...”
“Dengar tak orang cakap ni?”
“Dengar.” Mazrik sahut sambil lewa.
“Eeeiiii, geram betul dia ni tau!” Tia kepal penumbuk
sendiri mencari kesabaran. “Dahlah 2 minggu hilang,
WhatsApp semua tak berbalas! Ni orang share tips untuk final
exam pun buat tak tahu aje, langsung tak ambil peduli. Orang
punya risau kat dia, dia langsung tak kisah!” Turun naik dada
Tia menahan marah.
“Care about me so much?” Mazrik silang tangan ke
dada, menatap wajah Tia untuk kali pertama.
“Of course I do! Abang kan abang adik!”
Mazrik bersandar dan mengangguk.
“Ya, Tia Clarissa adik Mazrik Hakimuddin.” Raut
yang tadinya serius terus berubah wajah. Satu senyuman
diukir untuk si gadis. “Mana tips tu? Yang ni ya? Explain kat
abang satu per satu boleh?”
Tia terlongo sesaat. Dalam sekelip mata lelaki di
hadapannya ini boleh berubah? Daripada sejuk beku serius
tanpa perasaan kepada penuh perhatian seperti sebelumnya.
Her ‘abang’ is back!
“Adik dah habis ulang kaji ke?” soal Mazrik seusai Tia
terangkan semua tips-tips yang dibawanya.
“Adik study sikit aje. Hafal slaid Dr. Nazmi yang
simple tu, baca buku rujukan sekali lalu. Tak ada buat nota
sendiri pun. Lepas tu cari jawapan untuk soalan spot.”
Mazrik senyum dan menggeleng.
“Kenapa abang?”
“Betullah room-mate abang cakap, adik ni top
student, dean's list.”
“Ala... dean's list aje, bukan four flat pun.”

No comments:

Post a Comment