DAPATKAN TEASER PERCUMA!
Tuesday, 12 December 2017
Mazrik's Signorina - Prolog
“RISSA!!!”
Tautan dua susuk tubuh serta-merta terlerai.
Di balik pintu yang terbuka, seorang gadis tinggi
lampai muncul dengan nafas yang termengah-mengah. Kain
baju kurung moden biru yang dipakainya turut disingsing
hingga ke paras betis seolah-olah rumah teres 2 tingkat itu
sedang banjir dimasuki air.
“Jom!” Tangan salah seorang gadis yang sedang
duduk di atas katil disambar rakus.
“Kenapa ni, Wana?”
“Maaf, Kak Ara. Nak pinjam Rissa sekejap. Emergency
case.”
Tanpa membuang masa, tubuh genit yang
menyarung persalinan hijau mint ditarik menjauhi katil
lalu dituntun keluar dari bilik tersebut. Menuruni satu demi
satu anak tangga dan terus berjalan merentasi ruang tamu
sebelum menuju ke pintu utama rumah.
“Nak pergi mana ni, babe?”
“Ikut aje.” Tiba di sisi sebuah Proton Saga kelabu,
tubuh si teman yang terpinga-pinga ditolak masuk.
“Eh, kau nak bawa aku ke mana ni? Ni kereta siapa?”
“Ikut ajelah.”
“Dengan pakai macam ni?”
Soalan yang dilontar terbiar sepi tanpa jawapan.
Sebaliknya Proton Saga yang tidak diketahui siapa pemiliknya
itu mula bergerak meninggalkan laman rumah.
Melihat bayang pintu pagar rumah yang semakin
jauh ditinggalkan, gadis yang duduk di seat penumpang di
sebelah pemandu menyimpan keluh. Dengan pakaian begini...
Dia menilik diri sendiri. Dari hujung kepala hingga
ke hujung kaki, semuanya hijau mint. Dengan lace, dengan
labuci... entah ke mana si pemandu mahu membawanya dalam
keadaan begitu. Mujur sahaja selendang yang dipakainya
untuk ke majlis tadi masih tidak dibuka dan daripada jenis
yang sempurna menutup dada. Jadi penampilannya tidak
nampak janggal walaupun sudah tiada veil di kepala. Cuma...
itulah, mungkin akan menarik perhatian orang sekeliling jika
dia berpenampilan begitu di tempat terbuka.
“Jom!”
Dia angkat kepala. Proton Saga kelabu tersebut telah
berhenti bergerak. Betul-betul di hadapan taman permainan
yang sunyi.
“Sini?”
Melihat si tinggi lampai yang dah melangkah keluar
dari kereta, dengan berat hati sandal dibawa mencecah tanah.
Bersama deretan soalan yang masih berlegar di kepala, kaki
melangkah setapak demi setapak, cuba mengekori si teman
yang sudah jauh ke depan. Perlu mengendali hujung kain
lace yang meleret supaya tidak menjadi mangsa tanah yang
basah akibat hujan, dia jadi terkial-kial. Si tinggi lampai itu
memang betul-betul buatkan dia struggle!
Dalam fikirannya sibuk mengomel, akhirnya dia
sampai juga ke gazebo. Namun apabila menyedari yang
temannya itu mendekati sebatang tubuh yang berdiri
membelakangkan mereka dan mula bercakap dengan suara
yang perlahan, kakinya tidak jadi untuk terus melangkah.
Merasakan tidak sopan untuk terus mengekori mahupun
memasang telinga, tubuh dipalingkan semula menghadap ke
jalan besar. Menikmati keindahan suasana petang yang baru
lepas ditimpa hujan.
Hujan. Dia menyukai bau tanah yang baru lepas
dibasahi hujan. Dia menyukai kesegaran udara selepas
ditimpa hujan. Daun-daun hijau yang masih dihiasi dengan
gelembung jernih air hujan kelihatan begitu indah di
matanya, menggamit jari untuk menyentuh. Basah, segar dan
wangi... dia sukakannya. Dengan tangan kiri memegang kain
supaya tidak kotor, tangan kanannya seronok bermain-main
dengan dedaunan hijau yang basah.
“Rissa.”
Dia berpaling, dan...
“Assalamualaikum, Tia Clarissa.”
Tangan kanannya jatuh. Untuk beberapa saat
pertama, dia jadi kaku, kelu dan kedu.
Suara itu...
Sedang bermimpikah dia? Tangan teman yang kini
telah berdiri di sebelahnya dipaut seerat yang boleh.
“Wana...” Hanya itu yang terpacul di bibirnya.
“Memang dia, Rissa.”
Allah... Dia terlalu ingin rebah. Jantungnya seakan
mahu luruh di situ juga.
“Mm... ma...” Gigih dia cuba menyusun kata namun
lidahnya seakan tidak mahu memberikan kerjasama.
“Wana, boleh tinggalkan kami berdua sekejap? I’ll
take good care of her.”
“Orait, Wana faham. Go on. Wana tunggu dalam
kereta.”
Tia ingin menjerit supaya tidak ditinggalkan
namun suaranya tidak terkeluar. Dia mahu mengikut Wana
melangkah, tetapi kakinya terpasung kaku. Dengan rasa tidak
rela, Wana dibiarkan berlalu semakin jauh dengan dirinya
yang hanya mampu berdiri kaku tanpa berbuat apa-apa.
“Okey, Wana dah selamat masuk dalam kereta,
kan? Dia dah selamat dalam tu, tak perlu nak risau apa dah.
Sekarang ni hal kita.”
Tubuh yang sederhana tinggi itu kini sedang berdiri
memandangnya dengan pandangan yang redup. Raut muka
yang sama, bahasa tubuh yang sama, suara yang sama. Yang
dia tidak pernah lupa, dan mungkin tidak akan boleh lupa
sampai bila-bila.
“Soalan-soalan yang berderet dalam kepala tu, adik
boleh tanya abang sekarang. Abang akan jawab satu demi
satu. Tak perlu tanya Wana as I’m here. I’m here for you.”
Sang hati yang tadinya terkejut dan terkedu mula
mendapat rentak normal. Terus dia berundur dua tapak, dan
matanya dilarikan supaya tidak bersabung pandang.
“Abang buat apa kat sini?” Dia menyoal datar.
“Kan abang cakap tadi, abang di sini untuk adik.”
“Majlis dah lepas, dan adik tak perlukan sokongan
daripada abang, kalau itu yang abang maksudkan.”
“Abang tahu. Abang dah sampai sini sebelum majlis
tu mula lagi. Tapi bukan itu sebabnya abang ke sini.”
“Habis tu sebab apa? Nak kenalkan adik dengan Kak
Suria? Abang patut bawa dia ke rumah kalau nak kenalkan
kami. Jumpa kat sini macam ni sangatlah tak proper. Ayah
adik cakap, tetamu adalah untuk diraikan, bukan diajak
sembang di tepi jalan.”
“Kan bawah pondok ni, mana ada tepi jalan.”
“Abang!”
Kali ini mereka saling berpandangan. Dapat dia
mengesan senyuman lelaki itu yang mula menguntum.
“Apa senyum-senyum? Ingat laku ke kalau jual kilo?”
Dia keraskan suara.
“Abang nak bagi percuma aje kat adik senyuman ni,
nak terima tak?”
“Tak nak.”
“Tak sudi?”
“Tak.”
“Sampai hati.”
“Memang pun.”
“Padan muka abang, kan?”
Entah kenapa, dia tidak dapat menahan diri daripada
tergelak.
“Ketawa pun. Rindu kat lesung pipit adik tu.”
Tawanya terus mati. Dia tersedar, antara mereka
tidak harus begini. Pantas dia menyingsing sedikit hujung
dress yang dipakai sebelum mula berlari-lari anak ke arah
Wana yang berada di dalam Proton Saga kelabu. Kali ini dia
tidak peduli itu kereta siapa. Yang penting, dia perlu pergi.
“Adik!”
“Maaf, adik kena balik!”
“Adik nampak cantik hari ni.”
Langkahnya mati. Pertama kali dia dipuji cantik.
Selama ini lelaki itu hanya mengatakan dia comel, bukan
cantik.
“Tapi...”
Tia terasa lelaki itu melangkah mendekatinya.
“Sayangnya ada yang kurang.”
Kini lelaki itu berdiri betul-betul di hadapannya.
“Adik akan bertambah cantik kalau senyum tapi
senyuman tu tak ada.”
Dia memejamkan mata, menelan pahitnya sebuah
kenyataan.
“I’m not yours, abang. Antara kita tak mungkin ada
apa-apa.”
“ADIK!”
Dia terjaga daripada lena. Peluh yang membasahi
sekitar kepala dan dahi dikesat dengan tangan. Dalam gelap,
tangannya tercari-cari telefon pintar di serata permukaan
katil. Sebaik sahaja ditemui, terus skrin Oppo itu dibawa ke
depan matanya. Nampak waktu yang terlayar pukul 3.19 pagi.
“Astaghfirullahal’azim...” Tangannya meraup muka
sambil beristighfar. Dia jarang bermimpi namun kali ini
mimpinya begitu jelas. Terasa seperti benar-benar berlaku.
Adakah ia satu petunjuk daripada Allah atau dia yang
terbawa-bawa perbualan dalam telefon lewat petang tadi?
“Abang, Am lamar Rissa. Abang kena buat sesuatu.”
Terngiang-ngiang ungkapan Wana di telinganya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment