DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 5 October 2018

Encik Nakal vs Cik Keliru - Bab 2

SEBAIK sahaja selesai jadual hari Khamis itu,
Neil terus masuk ke pejabat. Dibuka kedua-dua almari fail di
belakangnya. Satu per satu fail dilihat, namun tiada satu pun
yang menyerupai fail yang dicari. Kemudian dia menggeledah
laci dan di bawah meja. Namun tetap tidak menjumpainya.
Mata Emelda turut sama memerhati sekeliling
pejabat Neil. Dia cuba membantu sedaya upaya kerana tahu
fail itu amat penting buat Neil.
“Entah mana pergi fail ni. Dahlah ada maklumat
penting,” rungut Neil. Dia bimbang jika fail itu hilang
ataupun terlepas secara tidak sengaja ke tangan pihak lain.
“Doktor ada bawa balik ke?”
“Setahu saya tak ada. Saya memang tinggalkan fail
tu kat sini,” jawab Neil. Dia yakin bahawa dia tidak membawa
fail itu pulang ke rumah.
Emelda terus mengangkat beg Neil yang berada di
atas meja. Manalah tahu jika fail itu terlindung di bawah beg
tersebut. Dia berasa lega kerana sangkaannya benar.
“Dah jumpa pun. Ini dia failnya.” Emelda terus
menghulur fail itu kepada Neil.
Neil berasa lega apabila melihat fail yang dicari telah
dijumpai.
“Tak tahulah macam mana kalau awak tak ada.
Terima kasih,” ujar Neil.
“Hal kecil aje. Rasanya doktor perlukan rehat, sebab
doktor nampak penat.”
Neil menghela nafasnya. Sepanjang minggu itu
memang jadualnya penuh dengan pembedahan dan rawatan
susulan pesakitnya.
“Saya nak pergi buat kopi. Doktor nak minum?”
“Boleh juga. Anything,” jawab Neil. Tekaknya mula
terasa haus.
“Kalau macam tu, saya pergi buat sekarang,” balas
Emelda.
Setelah pintu tertutup rapat, Neil membelek fail yang
berada di hadapannya. Malam nanti dia perlu melaksanakan
satu pembedahan penting. Seorang pesakit perlu menjalani
pembedahan tulang belakang kerana kemalangan jalan
raya. Kemalangan itu turut meragut nyawa ayah pesakit
itu yang memandu kereta tersebut. Manakala remaja lelaki
itu pula mengalami kecederaan parah dan berada dalam
keadaan koma. Sudah beberapa kali pembedahan tertangguh
memandangkan keadaan remaja lelaki itu yang kurang
stabil. Syukurlah keadaannya mula stabil setelah beberapa
hari berada di hospital. Lalu Dr. Bakar mengaturkan tarikh
pembedahan untuknya.
“Doktor perlukan apa-apa lagi?” soal Emelda seraya
meletakkan mug berisi minuman panas kepada Neil.
“Tak ada apa-apa. Terima kasih buatkan air,” balaNeil.
“Sama-sama,” balas Emelda sebelum meminta diri
untuk berlalu.

LANGKAH MELISSA terhenti apabila bertentang mata
dengan Emelda yang baru sahaja keluar dari bilik Neil.
Senyuman yang dihadiahkan oleh jururawat itu dibalas
dengan senyuman nipis. Dia hanya tenang walaupun
fikirannya kusut dengan masalah kerja.
“Cik Melissa apa khabar?” sapa Emelda.
“Saya sihat. Abang Neil ada kat dalam?” soal Melissa.
“Ada.”
Jawapan itu melegakan hati Melissa.
Sekurang-kurangnya tidak sia-sia kedatangannya.
“Tapi Dr. Neil sibuk sikit hari ni,” tambah Emelda.
“Saya datang sekejap aje,” balas Melissa.
Emelda membiarkan sahaja Melissa menuju ke bilik
Neil. Selagi Neil tidak menghalang, dia sendiri tidak kisah
dengan kehadiran wanita itu.

KETUKAN DI pintu membuatkan Neil mengukir senyuman.
Entah apa lagi yang dimahukan oleh Emelda. Namun,
sangkaannya meleset sama sekali apabila melihat wajah
Melissa terjengul di muka pintu.
“Hai,” tegur Melissa.
“Hai. Tak sangka Mel datang melawat abang,” balas
Neil.
“Boleh Mel masuk?” soal Melissa.
Neil membalas dengan anggukan. Walaupun
kedatangan Melissa tidak dijangka, namun dia tidak kisah.
Sekurang-kurangnya dia ada teman untuk berbual.
Melissa melangkah masuk dengan senyuman
manis yang tidak lekang di bibirnya. Penampilannya cukup
menawan hari ini. Sepasang dress berwarna biru laut yang
mengikut potongan badan dipadankan dengan tas tangan
putih kegemarannya. Bau wangian jenama Chanel memenuhi
ruang bilik itu tatkala dia menghampiri Neil.
“Abang busy ke hari ni?” soal Melissa sebaik duduk
bertentangan dengan Neil.
“Boleh tahan juga. Nanti abang ada operation.
Kenapa Mel tanya?”
“Tak ada apa-apa,” jawab Melissa tenang. Dia berasa
kecewa apabila diberitahu Neil akan menjalankan satu
pembedahan. Benarlah kata Emelda bahawa Neil sedang
sibuk.
“Nak ajak abang makan tengah hari ke?” Neil sengaja
menduga. Tambahan pula jam di dinding sudah menunjukkan
pukul 12.20 tengah hari.
Melissa membalas dengan senyuman sebelum
mengangguk perlahan.
“Jadi kita nak makan kat mana?” soal Neil lagi.
“Mana-mana yang abang suka,” balas Melissa
bersahaja.
“Kalau macam tu, kita makan kat kafe. Mel tak kisah,
kan?”
Melissa hanya mengangguk. Mana mungkin dia
menolak. Sudah cukup bagus Neil sanggup meluangkan
masa walaupun sedang sibuk.

SELESAI SAHAJA makan, Neil dan Melissa menghabiskan
masa di taman. Masih ada sedikit waktu lagi sebelum masuk
waktu zohor. Kebetulan cuaca ketika ini agak redup dan
angin pula sepoi-sepoi bahasa. Kerusi yang mereka duduk
juga terlindung daripada panas matahari.
“Dah lama abang tak dengar tentang Samsul. Macam
mana dengan dia?” soal Neil.
Melissa tersenyum.
“Biasa aje. Tengah sibuk dengan projek baharu.”
“Dah lama kita tak makan bertiga. Bila free, jomlah
makan sama.”
“Mel tak rasa kita patut makan sama-sama.”
“Kenapa?” Neil tidak sabar inginkan jawapan.
“Abang patut kasihankan diri abang sendiri,” balas
Melissa. Tentulah janggal apabila seorang lelaki makan semeja
bersama bekas kekasih dengan teman lelaki baharunya.
Lainlah kalau Neil juga membawa pasangan.
“Buat apa nak kasihan? Kisah kita dah lama berlalu,”
balas Neil seraya tersenyum nipis. Hakikatnya dia hanya
mahu berbaik dengan mereka walaupun sedikit sebanyak
hatinya berasa cemburu apabila melihat kebahagiaan mereka.
Melissa menghela nafas panjang. Dia tahu Neil
sekadar memujuk hati.
“Dia cintakan Mel. Mel akan bahagia kalau kahwin
dengan dia,” tambah Neil.
Perkataan kahwin membuatkan Melissa berasa
kurang selesa. Dia masih belum bersedia kerana masih
banyak perkara yang perlu diselesaikan dalam hidupnya.
“Macam mana pula dengan abang?”
Neil tersenyum apabila mendengar pertanyaan itu.
Dia berasa senang hati kerana hatinya kini sudah terisi.
“Abang tengah kenal hati budi seseorang.”
Melissa terpegun mendengarkannya.
“Seriously? Mel kenal ke?”
“Rahsialah.” Dia berharap pertanyaan Melissa akan
berhenti di situ.
“Berapa umur dia? Dia kerja apa? Asal dari mana?”
Neil membalas dengan gelengan. Dia tetap enggan
berkongsi apa-apa.
“Antara dia dengan Mel, siapa lebih cantik?”
Pertanyaan itu membuatkan Neil ketawa. Melissa
tidak akan mengalah selagi tidak mendapat jawapan yang
diinginkan.
“Dah, jangan tanya lagi. Abang takkan cerita apa-apa.
Mel hanya akan tahu bila kami dah bertunang nanti.”
Jawapan itu membuatkan Melissa mengeluh
panjang. Ternyata hubungan Neil benar-benar serius kali ini.
“Mana boleh macam tu. Abang kena cerita juga
dengan Mel.”
Neil tetap enggan berkongsi rahsia. Belum masanya
untuk sesiapa pun tahu. Dia tidak mahu hatinya terluka buat
kali yang kedua.

No comments:

Post a Comment