DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 5 October 2018

Encik Nakal vs Cik Keliru - Bab 8

SEBAIK sahaja melangkah keluar dari rumah,
Alia terserempak dengan Janice yang baru sahaja melangkah
keluar dari rumah Uncle Simon. Masing-masing terlalu
gembira lalu berpelukan dengan erat. Sudah lama mereka
tidak bersua muka memandangkan masing-masing sibuk
dengan kerja.
“Dah lama tak jumpa ni, you makin menawan.”
Sempat lagi Janice memuji sebaik sahaja mereka meleraikan
pelukan.
“Biasa aje. You yang nampak berseri-seri. Maklumlah
tengah bahagia,” usik Alia.
“Ada-ada ajelah you ni.” Janice sudah tersipu-sipu.
“Marilah masuk rumah. Kita minum-minum,”
pelawa Alia.
“Tak apa ke? I tengok you dah bersiap nak keluar.”
Alia tetap bertegas mempelawa Janice masuk ke
dalam rumahnya membuatkan Janice tidak mampu menolak.
Jus mangga dan sepotong kek keju dihidangkan
untuk Janice. Alia tahu itu kegemaran Janice kerana mereka
sudah kenal lama.
Janice terus menikmati hidangan yang disediakan
hingga habis. Dia gembira apabila Alia menambah sepotong
kek lagi untuknya.
“Alang-alang kita jumpa ni, ada sesuatu I nak
berbincang dengan you. Harap you tak fikir yang bukan-bukan
dan tak marahkan I.” Janice kelihatan serba salah.
“Ada apa yang you nak bincangkan?”
Janice menarik nafas panjang, cuba bertenang.
“I berminat nak beli rumah you.”
Spontan Alia ketawa. Dia tidak terkejut kerana
dia sudah dapat mengagaknya. Lebih-lebih lagi kanan dan
kiri rumahnya dihuni oleh keluarga Uncle Simon dan anak
sulungnya.
“Kenapa you ketawa? You tak marahkan I?” soal
Janice kehairanan.
“Takkanlah I nak marah. Famili you kan tinggal kat
sini.”
“Itulah... parents I tu tak nak berpindah. Mereka
suka tinggal sini. Jadi I dan abang I beralah sebab risaukan
mereka. Lagipun mereka jaga nenek dan pak cik I yang sakit.”
“Mereka selesa kat sini sebab ramai kawan.
Kemudahan banyak. Malah hospital pun dekat. Senang nak
bawa nenek dan pak cik you ke hospital.”
“Betul cakap you. Kalau boleh, I nak tinggal dengan
parents I. I nak dekat dengan famili. Tapi I risau Micheal dan
Aaron tak selesa tinggal ramai-ramai. Sebab itulah I kena
cari rumah yang berdekatan. Kebetulan rumah you berjiran
dengan parents I. Sebab tu I tanya you,” jelas Janice.
Alia serba salah.
“You jangan risau. I sanggup bayar lebih mahal
daripada market price asalkan you sanggup jual rumah ni,”
tambah Janice. Dia benar-benar serius dengan hasratnya.
“Boleh tak kalau you bagi I masa untuk fikirkan hal
ni?”
“Ambillah berapa banyak masa yang you nak.
Setahun dua pun I sanggup tunggu. You jangan jual pada
orang lain pula,” ujar Janice penuh mengharap.
Alia menggenggam hujung jari-jemari Janice lalu
tersenyum.
“You janganlah risau. I seorang yang berpegang pada
janji.”
Hati Janice berasa lapang mendengarnya. Sedikit
sebanyak hatinya terpujuk.
KETIKA MATANYA terleka memandang skrin telefon bimbit,
Alia terasa bahunya disentuh seseorang. Dia segera berpaling
kerana terkejut. Rupanya Puan Hayati yang menyapanya.
Mereka saling berpelukan dengan perasaan gembira.
“Lapang ke sekarang ni? Boleh kita pergi minum,”
pelawa Puan Hayati.
“Boleh aje, auntie.” Alia terus sahaja bersetuju
dengan pelawaan itu.
Mereka beriringan menuju ke kafe yang berdekatan.
Jus oren dan sepotong pai menjadi pilihan Alia. Manakala
Puan Hayati memilih kopi pekat dan roti bakar.
“Tak sangka dah 3 tahun berlalu,” ujar Alia
memulakan bicara.
Puan Hayati menghela nafasnya.
“Janganlah diingat lagi hal lama tu. Nanti hati Alia
juga yang terluka.”
Alia membalas dengan senyuman nipis.
“Alia tak apa-apa, auntie. Alia dah mampu terima apa
yang berlaku.”
“Betul Alia tak apa-apa?” Puan Hayati inginkan
kepastian.
Alia mengangguk perlahan. Dia sudah mampu
membuang kisah silam itu daripada hidupnya. Jarang dia
ingat kecuali disebabkan hal tertentu.
“Eloklah macam tu, Alia. Kita kena kuat hadapi ujian.
Hidup kita perlu diteruskan walau apa pun yang berlaku.”
“Ya. Tak ada yang berubah kalau terus bersedih.”
Puan Hayati turut bersetuju.
Alia melihat skrin telefon bimbit. Panggilan itu
daripada Neil. Dia terus menolak panggilan itu. Kali kedua
dan ketiga juga sama.
“Siapa yang call?” soal Puan Hayati.
“Entah. Alia tak kenal,” balas Alia seraya menukar ke
vibrate mode.
Puan Hayati hanya membiarkan. Dia faham yang
Alia tidak mahu diganggu.
“Auntie ada dengar apa-apa berita tentang dia?”
Lidah Alia tidak mampu hendak menyebut nama insan yang
dibencinya itu.
Puan Hayati menggeleng perlahan. Dia juga tidak
pernah mendengar khabar berita tentang insan yang dicari
oleh Alia sejak 3 tahun yang lalu.
Jawapan itu membuatkan Alia mengeluh panjang.
Dia rasa kecewa.
“Anak auntie apa khabar?” Alia terus menukar topik
apabila teringat tentang anak perempuan wanita itu yang
setahun lebih tua daripada usianya.
Puan Hayati menghela nafas panjang.
“Biasa aje, Alia. Auntie harap dapat kenalkan dengan
kamu suatu hari nanti.”
“Teringin juga nak kenal dia. Mesti dia cantik
orangnya.”
“Dia memang cantik. Tapi kamu jauh lebih cantik.”
Alia ketawa. Dia percaya Puan Hayati sekadar
bergurau.
Usai berbual panjang, Alia meminta diri. Lalu
kakinya dihalakan menuju ke keretanya yang elok terparkir.
Sebaik sahaja masuk ke dalam kereta, Alia
menggagau telefon bimbitnya yang tiba-tiba sahaja bergetar.
Rupanya dia menerima panggilan daripada Zaidi.
“Helo, Encik Zaidi.” Alia memulakan perbualan.
“Awak sihat? Awak kat mana sekarang ni?” Zaidi
pantas membalas.
“Saya sihat. Tengah kat luar sekarang ni.”
“Awak busy ke hari ni?”
“Biasa aje. Ada apa, encik?” soal Alia. Kemudian dia
baru tersedar bahawa pertanyaan itu memerangkap dirinya
sendiri.
“Saya nak ajak awak pergi dinner,” ujar Zaidi.
Alia mengetap bibir. Sudah beberapa kali dia berjanji
akan makan malam dengan lelaki itu. Tapi sampai ke hari ini
dia belum mengotakan janjinya.
“Ada hal kerja yang saya nak bincangkan. Esok saya
akan ke Itali. Saya harap awak sudi keluar dinner malam ni
dengan saya,” ujar Zaidi. Dia benar-benar berharap Alia akan
menerima pelawaannya.
“Baiklah. Encik nak ajak saya dinner kat mana?”
Suara Zaidi kedengaran ceria di telefon. Lelaki itu
terus memberitahu waktu dan lokasi janji temu mereka.
Keluhan panjang kedengaran daripada mulut Alia
sebaik sahaja perbualan tamat. Dia benar-benar sedang
mencari nahas. Tapi dia tiada pilihan lain kerana Zaidi
mempelawa dengan cara yang baik.
Sekali lagi dia menerima pesanan WhatsApp.
Rupa-rupanya daripada Neil. Dibiarkan sepi begitu sahaja.
Dia sudah penat melayani lelaki itu.
Alia memandang ke arah kelibat Puan Hayati.
Pemandu wanita itu belum lagi datang menjemput. Dia
kembali mendapatkan wanita itu. Bimbang pula hendak
membiarkan wanita itu keseorangan.
“Biarlah Alia hantarkan auntie balik,” pelawa Alia.
“Tak menyusahkan ke?”
“Tak apa. Bahaya auntie tunggu seorang diri kat sini.
Dahlah panas.”
Puan Hayati tidak menolak pelawaan itu. Dia terus
membuat panggilan telefon sebelum masuk ke dalam kereta
Alia.
“Auntie nak terus balik atau nak ke mana-mana
dulu?” soal Alia.
“Susahkan kamu aje. Lagipun rumah auntie jauh
dari sini.”
Alia tersenyum.
“Tak apalah. Bukannya susah pun.”
“Auntie rasa nak ke rumah kawan auntie di Bukit
Jelutong. Tadi auntie dah call dia. Tak adalah jauh dari sini
dan senang driver nak datang jemput.”
Sebaik sahaja Puan Hayati berkata demikian, Alia
terus memandu kereta menuju ke Bukit Jelutong. Dia biasa
dengan kawasan itu kerana mentua Rayyan tinggal di situ.
“Silap auntie juga sebab tak drive sendiri pagi tadi.
Bukan auntie tak tahu suami dan anak auntie ada meeting di
Seremban. Itu yang terpaksa tunggu lama,” ujar Puan Hayati.
Alia tidak mencelah. Dia cuma kenal suami dan
anak perempuan Puan Hayati melalui ceritanya. Apa yang dia
tahu, mereka menceburi bidang perniagaan; berbeza bidang
dengan Puan Hayati yang memilih untuk menjadi seorang
pendakwa raya.
‘Ini macam jalan ke rumah Mak Cik Zahra,’ bisik
hati Alia. Hatinya mula berdebar-debar apabila menyusuri
kawasan banglo dua tingkat itu.
“Hah, depan itulah rumah kawan auntie,” ujar Puan
Hayati.
Mata Alia terbeliak apabila melihat rumah yang
dimaksudkan oleh Puan Hayati. Memang benar rumah yang
dimaksudkan itu ialah rumah Puan Zahra. Malah Puan Zahra
juga sedang menunggu di depan pagar rumahnya.
Puan Hayati dan Puan Zahra saling berpelukan
ketika bertemu.
“Dah lama awak tak datang sini. Sibuk memanjang.”
Puan Hayati tersenyum mendengar bebelan itu.
“Awak pun apa kurangnya?”
Puan Zahra turut tersenyum sebelum menoleh ke
arah Alia yang menghampirinya. Mereka saling bersalaman.
Kemudian Alia mencium tangan wanita itu.
“Auntie ingatkan siapalah tadi. Alia rupanya,” ujar
Puan Zahra.
“Awak kenal Alia?” Puan Hayati kelihatan terkejut.
“Takkanlah tak kenal. Alia ni adik Rayyan, menantu
sulung saya.”
Puan Hayati bertambah teruja.
“Kalau Rayyan tu, saya pun kenal.”
Alia berasa kurang selesa apabila mendengar
perbualan mereka yang rupanya saling mengenali. Dia sudah
tidak sabar hendak pulang ke rumah.
“Marilah masuk,” pelawa Puan Zahra.
“Tak apalah, auntie. Saya ada janji dengan kawan,”
balas Alia.
“Sayangnya macam tu. Alia dah lama tak datang
sini,” keluh Puan Zahra. Dia baru berniat hendak menjemput
Alia makan tengah hari di rumahnya.
“Terima kasih hantarkan auntie ke sini,” ujar Puan
Hayati.
Jantung Alia yang berdebar kencang terasa hampir
meletup apabila melihat kereta Neil semakin menghampiri
pekarangan rumah banglo dua tingkat itu. Kelam-kabut dia
masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin keretanya.
Benar sangkaannya, Neil akan mengejar keretanya.
Dia cuba mengelak dengan membawa kereta lebih laju. Tapi
selaju mana yang dia boleh kerana mereka berada dalam
kawasan perumahan. Jika terjadi kemalangan, dia yang akan
dipersalahkan.
Akhirnya Alia mengalah juga apabila lalu di Sime
Darby Pavilion. Kereta Neil pula berhenti di hadapan
keretanya. Mungkin tidak mahu dia melarikan diri lagi.
Wajah Neil yang serius itu benar-benar menakutkan
Alia. Tulang pipi Neil kelihatan bergerak-gerak, ternyata
sedang menahan rasa marah.
Alia membuka pintu perlahan-lahan. Dia perlu
berani berhadapan dengan Neil.
“Sejak hari tu, kenapa Alia mengelak daripada
abang?” soal Neil. Dia masih tidak puas hati dengan sikap
Alia yang menyepi sejak mereka keluar makan malam. Dia
yakin yang dia tidak membuat sebarang kesilapan. Malah dia
melayani Alia dengan baik.
“Kenapa Alia perlu berdepan dengan abang? Kita
bukannya bercinta!”
“Memang kita tak bercinta. Tapi abang tahu Alia juga
ada perasaan pada abang, macam apa yang abang rasa pada
Alia.”
Debaran kuat yang dirasai membuatkan Alia tidak
mampu mendiamkan diri. Kenapa setiap kali Neil meluahkan
perasaannya, hatinya tidak pernah tenang? Seakan dia juga
berkongsi perasaan yang sama dengan lelaki itu.
“Abang aje yang berperasaan macam tu,” balas Alia,
enggan mengalah.
“Jangan nak tipu diri sendiri!”
“Alia tak tipu diri sendiri. Alia tak ada apa-apa
perasaan pun pada abang. Selama ni Alia anggap abang
macam abang Alia sendiri. Sebab tu Alia tak nak keluar
dengan abang lagi. Alia tak nak abang anggap yang Alia bagi
peluang pada abang.”
“Apa salahnya kalau bagi abang peluang?”
“Buat apa nak buang masa? For your information,
Alia dah jatuh cinta pada lelaki lain. Kami saling mencintai.
Jadi lepas ni jangan kacau Alia lagi.”
“Alia keluar dengan dia walaupun Alia tak ada
perasaan pada dia?”
Tajam renungan Alia menikam ke mata Neil.
“Kan Alia cakap Alia cintakan dia!”
“Tolong hentikannya, Alia. Jangan buat perkara
mengarut macam ni. Nanti kita bertiga yang akan sama-sama
terluka.”
Alia yakin tiada sesiapa yang akan terluka. Dia tidak
meletakkan sebarang harapan.
“Abang nak ingatkan Alia yang Alia takkan ke
mana-mana selain di sisi abang. Hati Alia dah jadi milik
abang. Abang percaya suatu masa nanti, Alia sendiri akan
pilih abang berbanding mana-mana lelaki lain.”
Kata-kata berbaur amaran itu membuatkan
kedua-dua kaki Alia terasa lemah hendak berdiri. Dia tidak
membalas kerana tahu Neil tidak akan mengalah begitu
sahaja. Neil akan terus menyerang selagi hatinya belum puas.
Melihatkan Alia hanya berdiam, Neil bergerak
ke keretanya. Pintu kereta dihempas kasar sebelum
meninggalkan kawasan itu.
Alia hanya mengekori pemergian Neil dengan ekor
mata. Kemudian, dia juga turut masuk ke dalam keretanya.
Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri.
Tapi ayat Neil yang terakhir itu seakan terngiang-ngiang di
telinganya.

MALAM ITU, sekali lagi Alia terpaksa membatalkan janjinya
dengan Zaidi atas alasan ada hal lain. Sebenarnya dia tidak
mampu keluar dengan Zaidi dalam keadaan fikiran yang
sedang berkecamuk dan hati yang tidak tenang.
“Tak apa. Kita boleh keluar lain kali. Jaga diri awak.
Selamat malam,” ujar Zaidi sebelum mengakhiri perbualan.
Alia menghela nafas panjang. Mungkin ada baiknya
dia memberi kata putus. Dia bimbang Zaidi juga menganggap
bahawa dia memberikan harapan kepadanya.

No comments:

Post a Comment