DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 5 October 2018

Encik Nakal vs Cik Keliru - Bab 7

NOVEL yang dibaca tidak bertukar muka
surat walaupun sudah 10 minit dia menatapnya. Tumpuan
Alia hilang apabila mengenangkan perbualan dengan
Rayyan beberapa hari yang lalu. Ketika itu Rayyan datang
menjenguknya di rumah dan mereka juga sudah berbaik
semula. Tapi Rayyan kelihatan serius, berbeza daripada
kebiasaannya. Rayyan menghabiskan masa mengelamun
seorang diri di beranda, seperti ada masalah berat sedang
difikirkan.
“Kenapa kau nampak tak ceria aje ni?” Ringan mulut
Alia tatkala mengutarakan pertanyaan itu. Salah sebiji mug
yang dibawa terus diserahkan kepada Rayyan.
“Mana ada tak ceria. Aku biasa aje,” balas Rayyan
bersahaja.
Mata Alia tidak lepas daripada memandang Rayyan
yang sedang menghirup minuman. Senyuman kelihatan di
bibir Rayyan apabila mereka bertemu pandang. Walaupun
Rayyan kelihatan tenang, dia tahu ada sesuatu yang
mengganggu fikiran kembarnya itu.
“Kenapa kau asyik jauhkan diri daripada Mak Cik
Mazni dan Pak Cik Ibrahim?”
Berkerut dahi Alia apabila mendengar pertanyaan
itu. Kenapa tiba-tiba sahaja Rayyan membangkitkan tentang
mereka?
“Mereka tu betul-betul sayangkan kau. Boleh tak
kau buka hati kau untuk terima mereka macam keluarga
sendiri?” tambah Rayyan.
“Bukan mudah untuk aku, Rayyan. Aku ni penyebab
kematian anak mereka.”
“Jangan fikir macam tu. Mereka tak pernah
berdendam dengan kau. Malah aku pernah dengar sendiri
mereka bahasakan diri ibu dan abah dengan kau. Tapi
disebabkan kau bagi respons negatif, mereka tak bahasakan
diri macam tu lagi,” ujar Rayyan.
“Setiap hubungan tu ada batasnya. Aku sedar siapa
diri aku. Aku juga sedar abah dan ibu kita dah lama meninggal
dunia. Biarlah panggilan itu kekal untuk mereka. Kalau aku
hanyut dalam angan-angan, suatu masa nanti aku sendiri
yang akan terluka.”
Rayyan hanya mampu menggeleng. Dia tidak setuju
dengan pendirian Alia.
“Lagi satu, kenapa kau suka duduk seorang diri? Kan
bagus kalau kau ada dua tiga orang kawan serumah.”
“Kau kan dah tahu aku tak suka orang lain ganggu
privasi aku,” balas Alia. Rumah itu satu-satunya tempat
privasinya. Disebabkan itu dia menghias rumah itu dengan
cantik dan kemas. Jika dia ada rakan serumah, belum tentu
rakannya itu seorang yang pembersih dan cermat tatkala
menggunakan barang-barangnya. Tambah memeningkan
jika rakannya itu seorang yang bising sedangkan dia sukakan
suasana yang sunyi.
“Kau tak bolehlah cerewet sangat.”
“Tentulah kena cerewet. Rumah ni sangat bermakna
bagi aku,” balas Alia. Mana mungkin tidak bermakna
kerana rumah itu sahaja harta yang dimilikinya dan dibeli
dengan pampasan insurans orang tua mereka. Bakal rakan
serumahnya belum tentu tahu menghargai nilainya.
“Aku faham. Rumah aku pun sangat bermakna bagi
aku.”
“Eloklah kau faham.”
“Sebenarnya bukan itu yang aku fikirkan,” balas
Rayyan sebelum menghela panjang. Hati yang sedang sayu
itu tidak dapat disembunyikan walaupun penat dia mencuba.
Mungkin sudah tiba masanya dia berterus terang dengan Alia.
“Aku tahu. Apa sebenarnya yang kau fikirkan?”
Rayyan mengalih pandangannya.
“Tentang diri kita sendiri.”
“Kenapa pula dengan kau?”
“Aku cuma terfikir... sekiranya umur aku tak
panjang, macam mana dengan keadaan kau?”
Berderau darah Alia apabila mendengar kata-kata
yang meluncur daripada mulut Rayyan.
“Kenapa tiba-tiba aje mengarut yang bukan-bukan
ni?”
“Aku tak mengarut. Semua orang yang dilahirkan
dalam dunia ni akan merasai mati. Cuma berbeza cara mati
dan bila waktunya.”
Alia menghela nafas panjang. Kata-kata Rayyan
memang ada benarnya. Tiada yang kekal di dunia ini
melainkan Allah.
“Kenapa tiba-tiba kau bangkitkan hal ni?”
“Perkara ni dah lama terlintas dalam fikiran aku, tapi
baru sekarang aku luahkan.”
“Kau risaukan masa depan aku?” soal Alia.
Rayyan menghela nafas panjang seraya menatap
wajah Alia dalam-dalam.
“Tentulah risau. Walaupun kau tu dah besar, aku
tetap risaukan kau.”
Hati Alia berasa tersentuh mendengar luahan itu.
Dia faham maksud Rayyan.
“Sepatutnya kau lebih risaukan Kak Yana. Tentu dia
akan rasa sedih kehilangan kau.”
“Memang aku risaukan dia, tapi tak sama macam
kau,” ujar Rayyan perlahan.
Alia terkesima mendengar kata-kata itu.
“Kenapa kau fikir macam tu?”
“Sebab aku tahu keluarga dia boleh jaga dia
sekiranya terjadi sesuatu kat aku. Mereka saling sayang dan
ambil berat antara satu sama lain. Mereka takkan biarkan
dia terkapai-kapai seorang diri. Aku tahu dia boleh teruskan
hidup macam biasa. Mungkin juga akan berkahwin dengan
lelaki lain dan hidup bahagia sampai tua,” ujar Rayyan.
“Janganlah cakap macam tu. Aku tahu hati kau sakit
bila cakap macam tu.”
“Itu kenyataannya. Hidup ni perlu diteruskan
walaupun dengan insan berbeza.”
Alia mengetap bibirnya dalam diam. Dia tahu apa
yang diluahkan oleh Rayyan itu datang dari lubuk hatinya
yang paling dalam. Bukan mudah untuk Rayyan berterus
terang tentang sesuatu yang tersimpan rapi dalam hatinya.
“Aku risaukan kau sebab kau tak ada keluarga lain
selain aku. Sekiranya terjadi sesuatu kat aku, kau sebatang
kara. Aku risau kau akan habiskan masa bersendirian sampai
akhir hayat kau,” Rayyan menambah.
Terasa sebak hati Alia. Dia mengalih pandangannya
kerana tidak mahu rasa sedih menguasai fikiran. Walaupun
sering dihimpit kesunyian, dia tidak mahu menyusahkan
sesiapa kerana masing-masing memiliki kehidupan sendiri.
“Tak payahlah kau mengharap. Aku... aku takut nak
sayangi seseorang,” ujar Alia. Dia yakin Rayyan mahu dia
berterus terang tentang perasaannya yang sebenar.
Rayyan mengamati Alia.
“Kenapa?”
“Sebab aku takut ditinggalkan.” Terasa sebak hati
Alia tatkala berkata demikian.
“Tak ada sesiapa akan tinggalkan kau.”
Alia menghela nafas panjang.
“Memang tak ada sesiapa yang akan tinggalkan aku.
Selain kau, aku pun dah tak ada sesiapa lagi.”
Perasaan sayu mengusik hatinya apabila
mengenangkan kemalangan jalan raya yang meragut nyawa
ibu, bapa dan kakak mereka. Nenek mereka pula meninggal
dunia tidak lama selepas itu. Begitu juga sahabat baiknya
Shahida yang meninggal dunia 3 tahun yang lalu. Rayyan
pula sudah berkahwin dan mempunyai kehidupan sendiri.
Kini tinggallah dia keseorangan meneruskan hidupnya.
“Macam yang aku beritahu kau, kalau aku hanyut
dalam angan-angan, suatu masa nanti aku sendiri yang
terluka. Jadi lebih baik aku hidup seorang diri,” tambah Alia.
“Janganlah cakap macam tu. Kau masih ada Neil,”
ujar Rayyan.
Alia memandang Rayyan.
“Kenapa mesti dia?”
Rayyan faham maksud di sebalik pertanyaan Alia. Dia
memandang wajah kembarnya dengan tenang.
“Boleh kau berikan aku 10 sebab kenapa bukan dia?”
Nafas Alia hela kasar. Berat sungguh mengenangkan
perbualannya dengan Rayyan beberapa hari yang lalu. Saat
itu lidahnya kelu. Hilang terus kata-kata daripada mulutnya.
Novel yang baru separuh dibaca itu diletakkan di
sisi katil semula. Dia ke dapur kerana tekaknya berasa haus.
Setelah mengambil minuman dari peti sejuk, dia menuju ke
katil semula. Mug itu diletakkan di atas meja lalu kembali
menyambung bacaan.
Belum pun 5 minit menyambung bacaan, dia
menerima panggilan daripada Zaidi. Lelaki itu sekadar
bertanya khabar dan memberitahu bahawa dia berada di
London. Alia melayaninya dengan hormat, seperti seorang
pekerja dengan majikannya.
“Awak tak ke mana-mana ke hari ni?” soal Zaidi.
“Tak. Kat rumah aje.”
“Tak keluar dengan boyfriend?” Zaidi sengaja
menduga.
“Tak.” Alia memilih untuk berselindung.
Sepi. Agak lama talian itu sepi.
“Encik Zaidi?” Alia memanggil lelaki itu. Dia mahu
memastikan bahawa lelaki itu masih berada di talian. Manalah
tahu kot-kot lelaki itu tertidur.
“Oh, sorry. Awak... awak dah siapkan laporan yang
saya nak tu?”
“Dah. Saya dah serahkan kepada Puan Laila.”
Zaidi mengeluh panjang.
“Saya terlupa pula. Laila ada beritahu nak berbincang
dengan saya bila saya balik nanti.”
Alia tersenyum sendiri. Tidak hairanlah jika lelaki itu
terlupa kerana sejak akhir-akhir ini dia terlalu sibuk dengan
tugasnya di luar negara.
“Saya akan call Laila kejap lagi. Sebelum terlupa,
boleh awak continue ke Fasa 2?”
“Boleh. Tak ada masalah,” balas Alia. Fasa 2
yang dinyatakan tidak terlalu rumit dan dia yakin sempat
menyiapkannya sebelum Zaidi pulang dari London.
Kemudian Zaidi terus mengucapkan selamat tinggal
sebelum mematikan talian. Alia juga kembali menyambung
bacaan yang tergendala.
Setengah jam kemudian, bunyi pesanan pula
mengganggu tumpuan Alia. Dicapai telefon bimbit lalu
membuka pesanan WhatsApp yang diterima.
Salam. Sihat ke? Tengah buat apa tu?
Alia berasa benar-benar terkelu menerima pesanan
yang ditulis agak kasual itu. Tambahan pula pesanan itu
datang daripada Neil. Jarang lelaki itu menghantar pesanan
kepadanya.
‘Patut ke aku balas?’ hatinya berbisik sendiri.
Beberapa ketika dia bertindak mendiamkan diri. Dia
tidak tahu apa yang perlu dilakukan saat ini.
Abang sihat. Baru aje lepas habis kerja.
Pesanan itu membuatkan Alia tersenyum sendiri.
Tidak perlu ditanya, Neil sudah menjawab bagi pihaknya.
Salam. Alia sihat. Tengah baca buku.
Dah makan?
Pertanyaan itu membuatkan perut Alia tiba-tiba
sahaja berbunyi. Dia memang sedang lapar.
Belum lagi.
Neil segera membalas.
Nak makan dengan abang?
Alia hampir membalas ‘tidak’, tapi akhirnya dia
menukar fikiran.
Boleh juga.
Nanti abang jemput Alia ya.
Alia terus sahaja menyatakan persetujuan. Mungkin
benar kata Rayyan, dia harus memberi Neil peluang. Begitu
juga dirinya sendiri untuk bahagia.

MEREKA KELUAR makan malam di sebuah restoran mewah
pada malam itu. Alia mengenakan gaun malam berwarna
biru yang sungguh cantik dan rantai emas putih berloketkan
sebutir mutiara. Manakala Neil pula mengenakan pakaian
serba hitam.
Awal-awal lagi Alia mendapat sejambak bunga ros
merah daripada Neil ketika lelaki itu datang menjemputnya.
Kemudian dia mendapat satu hadiah lagi sebaik sahaja
mereka duduk di restoran. Rupanya seutas jam tangan
eksklusif jenama Chanel.
Neil melayani Alia dengan penuh kelembutan dan
romantis. Perempuan lain tentu sanggup berbuat apa sahaja
untuk memiliki lelaki seperti Neil. Tapi Alia rasa terasing.
Dia percaya saat indah seperti ini hanya sementara dan
akan hilang apabila tiba masanya. Sungguh, selepas ini dia
tidak mahu keluar lagi bersama Neil. Tidak mahu memberi
peluang kepada lelaki itu lagi. Dia percaya tindakannya hanya
akan melukai hatinya sendiri.

No comments:

Post a Comment