DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 18 August 2019

My Zaujah Humairah - Bab 5

DARREN melangkah masuk dengan perasaan
geram. Pelanggan-pelanggan yang sedang dilayan Fazli dan
Iman, langsung tidak dihiraukan. Kebiasaannya, dia sebagai
bos selalu jadi pemerhati dan sesekali melayan pelanggan
yang mahu membeli.
Tetapi hari ini, mood baiknya bagai direntap sejurus
terpandang kemesraan Jane dan seorang lelaki yang tidak
dikenali.
Bengang.
Sakit hati.
Cemburu? Sudah tentu!
Kedua-dua tangannya dikepal sambil berjalan tanpa
tujuan di sekitar bilik kerjanya. Sesaat dua nafas dihela
panjang bagi mencari sedikit ketenangan. Namun, hatinya
tetap gelisah. Jelas kegelisahan itu terpancar di seluruh
wajahnya.
“Patutlah you beria-ia tak nak convert. Rupanya
ada jantan lain. Tak berminat nak masuk Islam, rupanya
alasan you aje!” Kemarahannya melantun keluar. Spontan
dia menumbuk dinding batu sehingga kulit tangannya
menggelupas.
Darren menyeringai sakit lalu mengibas tangannya
berulang kali. Apabila melihat sedikit pendarahan sedang
berlaku, laju dia melangkah keluar dan mendapatkan Fazli.
“Fazli...” panggilnya sambil menarik kerusi. Dia
duduk dan menahan sakit di situ.
Fazli yang sedang melayan pelanggan, terpaksa
meminta diri sebentar lalu digantikan dengan Iman. Matanya
membuntang apabila terpandang darah mengalir dari tangan
majikannya.
“Kenapa tangan bos?” Cemas dia menyoal. Menurut
pandangan Fazli, pagi tadi elok saja keadaan Darren. Apabila
balik dari makan tengah hari, begini pula jadinya. Apakah
yang berlaku? Dia garu kepala. Hairan.
“Pergi ambil first aid kit.” Darren mengarah.
“Oo... okey...” Tergagap Fazli menjawab. Panik
melihat keadaan majikannya. Pantas dia melangkah masuk ke
ruangan stor. Kotak kecil berwarna putih berisi ubat-ubatan
ada disimpan di situ.
Aisyah menyenggol lengan Humairah. “Akak, cuba
tengok lelaki tu. Tangannya berdarah. Bukan ke dia yang
marah dan tolong kita tadi?”
“Mana?”
“Tu haa...” Aisyah memuncung ke arah lelaki yang
dimaksudkan. Pasti lelaki itu tidak menyedari kehadiran
mereka di situ.
“Agaknya yalah kut.” Acuh tak acuh Humairah
menjawab pertanyaan Aisyah. Dia mahu cepat. Tidak mahu
berlama-lama memilih telefon bimbit yang akan dibeli. Jadi,
untuk mengulas lebih lanjut, dia tidak berminat. Apatah lagi
kalau membicarakan perihal seorang lelaki.
“Padanlah muka dia. Tadi bukan main marah kita.
Sekarang dah dapat balasan.” Sofiah mencelah dengan
membuat kritikan.
“Apa Sofi cakap macam tu? Tak eloklah. Akak tak
suka Sofi kutuk orang. Tak kiralah sama ada orang tu baik
atau jahat, kita tak boleh sesuka hati jatuhkan hukum pada
orang lain.” Bantahnya saat mendengar kata-kata Sofiah.
“Betul tu, Kak Sofi. Memang padan muka dia kan?
Tentu ada orang pukul dia. Tak pun, dia yang pukul orang.
Samseng sangat tadi. Gengster kononnya. Last-last, berdarah
jugak...” Aisyah tutup mulut. Menahan tawanya agar tidak
bersambung-sambung.
“Astaghfirullahalazim, Cah... Sofi. Kau orang ni
dah dikira mengumpat tau. Nak akak suruh kau orang pergi
minta maaf kat dia?”
Masing-masing menggeleng. Tidak mahu kalau
kakak mereka menyuruh begitu. Kalau disuruhnya juga,
teballah muka mereka mahu memberi alasan kenapa mereka
meminta maaf. Nak mengaku mereka mengumpat perihal
lelaki itu? Memang tidak sama sekali.
“Kalau tak nak, mulut tu diam. Jangan cakap
perkara sia-sia. Buat tambah dosa aje. Kau orang nak muflis
kat akhirat ke? Susah payah buat amalan baik atas dunia, tapi
satu habuk pun tak ada dalam buku catatan amal kebaikan.
Semua kebaikan yang kau orang buat, berpindah pulak pada
lelaki tu.”
Humairah menarik nafas panjang. Sedikit keras
menasihati adik-adiknya. Ditambah dengan kejadian tadi,
kini semput pula menyinggah tak semena-mena. Apatah lagi,
sejak kecil dia menghidap penyakit asma itu.
Beg tangannya dibuka dengan tujuan mengambil
Bricanyl Inhaler, ubat sedut yang sentiasa dibawa ke
mana-mana.
Darren angkat muka. Terpaku pandangannya
ke arah tiga orang gadis sedang berdiri berhampiran rak
cermin yang menyimpan beberapa buah iPhone di dalamnya.
Salah seorang daripada mereka membuka beg tangan dan
kelihatannya mahu melakukan sesuatu. Darren bingkas
dari kerusi dan melangkah ke arah mereka. Matanya tajam
menikam ke wajah-wajah yang pernah dilihatnya sebelum ini.
“Awak semua nak mencuri?”
Masing-masing tercengang memandang ke arah
lelaki yang menuduh.
“Sedapnya mulut mengata orang. Jangan main
tuduh-tuduh eh...” Sofiah mengangkat jari telunjuk lalu
diayun-ayunkan di hadapan lelaki yang memarahi mereka di
tempat letak kereta tadi.
Humairah terpinga. Tak sangka mereka berhadapan
dengan situasi yang langsung tidak diduga. Mereka dikatakan
mahu mencuri? Allah... jangan kata nak mencuri, untuk
berfikir ke arah itu pun tidak sama sekali.
“Tadi tu awak cuba buat apa? Bukan nak mencuri?”
Darren menunjuk ke arah beg tangan Humairah yang sedikit
terbuka.
Aisyah ketap bibir. Geram dengan tuduhan dan
kata-kata yang dilemparkan. Beberapa mata di sekeliling
mereka sudah memandang dan memberi perhatian. Itu
semua akan menjatuhkan maruah mereka kerana dituduh
cuba mengambil barang tanpa bayaran.
“Awak ni siapa, hah? Dahlah tadi cari pasal dengan
kita orang. Sekarang, tuduh kita orang yang bukan-bukan
pulak. Samseng betul!” Aisyah membesarkan mata.
Darren menaikkan kedua-dua tangan ke pinggang.
Laju sungguh mulut remaja perempuan seorang ini. Seorang
lagi juga boleh tahan. Cuma perempuan yang dewasa itu
tidak banyak kerenah dan hanya diam menunduk.
“Saya tuan punya bangunan dan kedai ni. Awak
bertiga jangan macam-macam. Saya repot polis nanti!” ugut
Darren tanpa niat. Sengaja berkata begitu hanya bertujuan
menakut-nakutkan.
“Eleh, nak repot polis konon. Sebelum polis tangkap
kita orang, awak yang kena tangkap dulu tau. Jangan-jangan,
semua telefon bimbit yang awak jual ni, telefon klon. Huh,
Cina penipu!” Sofiah membalas untuk menyakitkan hati
lelaki yang sedang membuat tuduhan palsu itu.
Humairah pegang sisi kepala. Sakit telinga
mendengar pertikaman lidah dan tuduh menuduh.
Kemudian, sebelah tangannya dimasukkan ke dalam beg lalu
mengeluarkan sesuatu.
“Saya buka beg sebab nak ambil ni.” Inhaler berwarna
biru diangkat sedikit tinggi.
Kening terjongket. Darren nampak terkejut.
“Sa... saya... minta maaf.” Segera permohonan
maaf dibuat. Kenapalah dia jahat sangat hari ini? Ini semua
gara-gara Jane!
“Ewah... senangnya minta maaf. Jom, akak. Kita
pergi repot polis atas tuduhan palsu!” Aisyah memaut lengan
kedua-dua kakaknya dan mahu berlalu keluar, tetapi tiba-tiba
dia ditarik dari belakang.
Humairah dan Sofiah serentak berpaling.
Humairah kepal tangan. Marah dengan tindakan di
luar batasan terhadap adiknya.
“Berani awak pegang adik saya?” Beg tangan
diturunkan dari bahu lantas bertindak memukul kepala lelaki
itu.
“Aduh!” Darren menjerit sakit sambil menahan diri
dari terus dipukul.
Fazli yang baru keluar dari bilik stor, segera berlari
mendapatkan majikannya apabila melihat kekecohan yang
berlaku.
“Apa hal ni, bos?” Dia menyoal cemas.
Darren tidak dapat menjawab apabila kakinya dipijak
dan lututnya ditendang gadis yang dipegangnya tadi. Dia
bukan berniat tidak baik. Sekadar menghalang gadis itu
supaya tidak mengotakan kata-katanya. Untuk apa buat repot
kalau dia sudah meminta maaf?
Humairah berpuas hati dapat memberi pengajaran
walau tidak setimpal dengan apa yang dibuat lelaki itu pada
adiknya. Kurang ajar betul. Tiba-tiba saja adiknya kena
pegang begitu, kakak mana yang tidak marah?

BERGEGAS DIA menarik adik-adiknya keluar. Tidak perlu
terus bergaduh dan bertikam lidah dengan lelaki itu lagi.
Sudah cukup dia dan adik-adiknya dimalukan kerana dituduh
mahu mencuri.
Lebih menambah kemarahan, apabila adiknya Aisyah
ditarik dan dipegang. Suatu tindakan yang sungguh di luar
jangkaan. Kurang ajar dan tidak beradab!
Di tempat duduk pemandu, Humairah mengusap
dada dan cuba bertenang. Kali ini, Sofiah duduk di hadapan
bagi menenangkan keadaan si kakak. Belakang Humairah
digosok dan diusap-usap perlahan. Tahu dan faham kakaknya
menahan lelah.
“Akak tak apa-apa?” Aisyah resah di tempat
duduknya. Melihat keadaan Humairah, hatinya disapa rasa
bimbang yang bukan sedikit.
“Sedutlah ubat gas, kak.” Cadang Sofiah sambil
menarik zip beg tangan kakaknya.
“Eh, mana inhaler akak?” Dia menyoal cemas apabila
ubat dimaksudkan tiada di dalam beg berkenaan.
Humairah kerutkan muka. Berasa pelik ketika
adiknya tercari-cari sesuatu dalam beg tangannya. Mustahil
Sofiah tidak jumpa. Seingatnya, dia sudah menyimpan
inhaler tadi.
“Betul ke tak ada? Mari sini akak tengok.” Beg
bertukar tangan. Segera dia mencari ubat pentingnya. Kalau
tidak ada, susahlah dia.
Sofiah dan Aisyah saling berpandangan. Terpancar
kebimbangan di wajah mereka. Ubat sedut itu sangat penting
pada Humairah. Mereka sedia maklum sejak bertahun-tahun
dahulu.
Humairah mengeluh hampa. Ubat dicari langsung
tiada. Dia juga nampak bingung.
“Mana pulak perginya? Tadi ada akak simpan dalam
beg.”
“Mungkin tercicir tak?” Aisyah gigit hujung jari.
Berfikir tentang kemungkinan itu. Tidak mustahil kalau
ia terjatuh memandangkan situasi kalut yang mereka lalui
sebentar tadi.
Sofiah mengangguk. Bersetuju dengan telahan
adiknya.
“Sofi pun rasa macam tulah. Mungkin ubat akak
terjatuh dalam kedai telefon lelaki jahat tadi tu.”
Wajah Humairah bertukar muram. Ya, ubatnya
tercicir. Dia mengakui dan menerima kemungkinan itu
dalam diam.
“Semuanya sebab lelaki tulah. Kenapa dia jahat
sangat dan tuduh kita yang bukan-bukan? Kalau tak sebab
dia, semua ni takkan berlaku. Sekarang ubat akak dah
hilang.” Aisyah berpeluk tubuh dan menyandar di tempat
duduk. Sakit betul hatinya apabila terbayang-bayang wajah
lelaki yang menarik bahunya tadi.
“Betul tu, Cah. Entah apalah malang yang lelaki tu
bawa.” Sofiah bersetuju dengan kata-kata adiknya.
“Jangan kata macam tu, Sofi. Tak ada siapa yang
bawa malang atau nasib tak baik dalam kejadian ni. Allah
yang tetapkan macam tu. Dia dah atur supaya benda ni jadi.
Ini ujian untuk kita dan ujian pada lelaki tu jugak. Nanti
adalah hikmahnya yang boleh kita nampak.” Dia menghela
nafas sesak. Dadanya diurut-urut bagi mendapatkan sedikit
kelegaan.
Sofiah dan Aisyah, masing-masing membatu saat
mendengar kata-kata Humairah.
Enjin kereta dihidupkan dan perlahan menolak gear
undur. Kali ini mudah pula gear keretanya berfungsi. Tadi
bukan main susah gear nak masuk sehingga terpaksa dibantu
lelaki yang mencabar kesabaran mereka bertiga.
Darren menggosok kepala. Dahinya ditepuk-tepuk
perlahan bagi menghilangkan sakit.
Fazli yang duduk di sebelah, tergeleng-geleng
melihat nasib menimpa majikannya hari ini. Nak rasa kasihan,
tak mungkin. Tetapi lebih kepada situasi yang menggeletek
hati. Dia tersenyum-senyum. Lucu mengingatkan tiga orang
gadis yang bertindak memukul majikannya.
“Bos okey? Sakit tu nampaknya tak serius sangat.”
“Tak serius awak kata? Macam nak pecah kepala saya
ni.”
“Kenapa bos cari pasal dengan diaorang?”
“Saya curiga. Awak tahu kan, kedai ni dah berapa kali
kena rompak. Berapa banyak saya tanggung rugi. Salah ke
kalau saya hati-hati?”
“Salah tu taklah. Tapi logik ke orang nak mencuri
waktu siang macam ni? Perempuan pulak tu. Kalau lelaki,
barulah masuk akal.” Fazli menarik tangan majikannya. Luka
yang baru saja dicuci, dibalut dengan kain kasa berwarna
putih.
“Orang kalau dah nak mencuri, dia tak kira siang atau
malam. Tak kira lelaki atau perempuan.” Darren mencebik.
Tidak setuju dengan pendapat Fazli.
“Okeylah, bos menang. Cuma saya nak tanya, tangan
bos berdarah ni, kenapa pulak? Mustahil sebab bergaduh
dengan perempuan-perempuan tu. Setahu saya, tangan bos
luka sebelum bos bergaduh dengan diaorang kan.”
Darren berdecit. Malas mahu menerangkan pada
Fazli yang tidak tahu apa-apa. Walaupun Fazli adalah
satu-satunya pekerja yang dia boleh menaruh sepenuh
kepercayaan, tetapi untuk hal-hal peribadi, dia tidak selesa
mahu berkongsi. Apatah lagi kalau hal itu melibatkan soal
cinta yang tidak kesampaian. Buat malu saja.
“Okey, dah siap. Kalau bos tak nak cerita kat saya,
tak apalah. Tapi sebagai pekerja yang tiap-tiap hari tengok
muka bos, nak jugak saya tolong kalau bos ada masalah.” Dia
menawarkan diri. Botol kecil berisi iodin disimpan ke dalam
peti pertolongan cemas bersama kapas dan kain kasa.
Darren memerhati dan menilik tangannya yang
dirawat Fazli. Buat masa ini, dia benar-benar tiada keinginan
untuk bercerita. Segala masalah, dia lebih selesa simpan
sendiri. Namun, sikap prihatin Fazli, sangat dia hargai.
“Terima kasih. Awak pergilah makan. Saya ambil alih
layan pelanggan sementara awak tak ada.”
“Sure bos tak nak cerita?”
Darren menggeleng.
Fazli angkat bahu. “Terpulang pada bos. Saya bukan
apa, bos ni orang yang baik. Tak pernah marah pekerja dan
tak kedekut pulak tu. Selalu bagi bonus setiap hujung tahun.
Bonus raya pun ada. Sebab tu saya berat hati nak kerja kat
tempat lain kalau kerja kat sini pun saya boleh dapat apa
yang saya nak. Cuma hari ni aje, mood bos lain macam sikit.
Tapi, saya tak kecik hati. Kalau bos nak cerita atau luahkan
masalah, saya boleh dengar.”
“Banyak betul awak bercakap. Macam perempuan.
Pergi buat kerjalah. Saya tak ada masalah apa-apa.” Darren
tersenyum nipis. Pekerjanya ini seorang yang mengambil
berat rupanya.
Perlahan-lahan Fazli berlalu.
Darren melangkah setapak dua. Tetapi langkahnya
mati apabila pandangannya menyorot ke arah satu objek
asing di atas lantai. Dia membongkok dan mengutip objek
tersebut. Matanya mengecil dan memusing-musingkan objek
yang kini berada di tangannya.
“Inhaler? Siapa punya?” Derren usap dagu. Sesaat
kemudian, matanya membesar apabila otaknya mula
mencerna milik siapa ubat gas tersebut.
Dia segera berlari keluar dan tercungap-cungap
ketika tiba di tempat letak kenderaan. Kereta milik tiga orang
perempuan tadi sudah tiada. Itu bermakna, mereka sudah
meninggalkan kawasan ini.
Darren mengeluh kesal. Sedikit rasa bersalah dengan
apa yang berlaku. Dia tahu, alat penyedut itu sangat penting
pada perempuan yang memukul kepalanya sebentar tadi.

No comments:

Post a Comment