DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 18 August 2019

Veenea - Bab 6

“ORANG dalam istana tu pergi mana?” soal
Vee sambil mencuci pinggan sebaik saja siap makan malam.
Mak di meja duk sibuk menyiapkan bahan untuk merendang
sekejap lagi.
“Istana?”
“Tu... jiran kita itulah,” balas Vee bersahaja.
“Outstation.”
“Bilik dalam istana tu tak ada ke yang kosong?
Kenapa mak duduk sini sorang-sorang? Gaya macam orang
terbuang aje tau. Sampai hati diaorang layan mak Vee macam
ni,” bebel Vee sendirian. Dari tingkap dapur dia memandang
ke arah ruangan belakang rumah banglo tiga tingkat itu. Ada
cahaya malap saja dari dalam rumah.
“Isy, janganlah cakap macam tu, Vee. Bilik dekat
rumah sebelah ni banyak. Mak yang tak nak duduk sana.
Bell dengan Pak Akob duduk aje situ, cuma sekarang ni
masing-masing balik kampung. Mak pula lagi selesa duduk
sini, Vee.”
“Peliknya...”
“Apa yang peliknya, sayang?”
Vee berjalan ke arah meja sambil menolong sama
mak mengupas bawang.
“Pelik sebab dibeza-bezakan. Tapi yang bestnya,
dekat sini kiranya mak ni lagi tinggilah jawatannya, kan?”
Mak cuma mengangguk sambil tersenyum.
“Kerja dekat sini sama macam kerja dekat hotel mak
kerja dulu. Menu setiap hari berbeza. Lepas tu tak serupa menu
rumah biasa. Kadang-kadang pening juga memikirkannya.”
“Kalau difikirkan, menarik juga kerja mak ni. Kalau
kerja dekat hotel, sewa rumah semua kena bayar.”
“Yup, betul tu. Bijak anak mak ni. Eh... kejap ya.”
Vee terus mengupas kulit bawang sementara mak
beredar masuk ke dalam bilik mengambil telefon bimbitnya
yang berbunyi. Kali terakhir Vee jumpa mak lepas SPM.
Masa keputusan SPMnya keluar. Itu pun dia curi-curi jumpa
dibantu oleh mak usu. Kalau harapkan arwah ayah, memang
dia tidak dibenarkan langsung berjumpa dengan mak atas
arahan bonda.
“Vee, kawan Vee nak cakap dengan Vee.”
“Kawan?” soal Vee sambil menggaru kepala. Siapa
saja kawannya yang tahu nombor mak?
“Helo... ” sahut Vee lambat-lambat sebaik saja telefon
bimbit bertukar tangan.
“Helo, Vee. Dah sampai tempat yang awak cari tadi?”
“Huh? Siapa ni?” soal Vee dengan kening berkerut.
Puas difikirkan gerangan yang menelefon, tapi tak ada idea.
Dahlah lelaki pula tu.
“Anas.”
“Ha, awak ni bukan ke...” soalan Vee tidak habis.
Selebihnya debar saja yang terasa apabila tahu siapa yang
berada di sebelah sana. Mamat KLIA itu! Alahai, macam
terlebih ambil berat saja.
“Ya, saya. Tadi tu mak awak ya?”
“Aaa... err... ya. Macam mana awak tahu nombor
telefon ni ya?” soal Vee berbasa-basi sekadar melegakan debar
dup dap dup dap dalam hati.
“Mestilah saya tahu. Bukan ke awak call mak awak
guna telefon saya?”
“Eh, haahlah. Macam mana saya boleh dapat amnesia
sesaat dua ni, kan? Ala... segannya,” balas Vee sambil menekup
muka dengan tangan menahan malu. Tapi, apabila sedar mak
di hadapannya yang sejak tadi memerhati, langsung tubuhnya
ditegakkan semula dengan wajah ditayang serius.
“Takpelah. Saya cuma call nak pastikan awak
dah sampai. Okeylah, dah lewat ni. Saya nak tidur dulu.
Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam...” balas Vee sambil tangan
masih kejap memegang telefon.
“Amboi... terus kaku. Biru.”
Vee tersengih. Macam tak percaya aje! Macam esok
nak kena beli handphone dan simcard baharu aje dan nombor
pertama yang dia nak save, nombor ini. Yang kedua, baru
nombor telefon mak. Boleh gitu?

“EK ELEH... Langkawi aje?” rungut Eril sambil membaling
beg ke atas lantai. Tubuhnya dihumban ke atas sofa sambil
berpeluk tubuh. Menyesal tak tengok tiket, tak ambil peduli
pun apa yang pilot duk umumkan sebelum boarding tadi.
Kalau tahulah setakat ke mari saja, baik dia duduk di rumah.
“What do you mean by Langkawi aje? Helo... mama
jumpa papa dulu dekat sini tau. Masa tu papa vacation dekat
sini dengan ex-awek dia.”
Eril tepuk dahi. Ini vacation keluarga ke atau sesi
throwback untuk mama dengan papa? Bosannya!
“Fine. Kalau mama dengan papa nak honeymoon,
lain kali jangan bawa Eril okey! I'd rather stay at home.
Dahlah kena share bilik.”
“Hotel ni full house. Mama buat last minute
reservation sayang...”
“Macamlah tak ada hotel lain dekat sini...” tingkah
Eril laju.
“Mama...”
“Ha... jangan kata ini hotel pertama. Bla... bla...
bla...”
“Hairyl... naughty boy. Jangan cakap macam tu
depan papa okey! It's not nice.”
Eril menceber. Malas melayan segala terma dan
syarat mama setiap kali keluar dengan papa. Langsung
headphone disarung. Menyesal ikut! Serius menyesal!
“Erik, are you okay dear?” soal mama perlahan
sambil menepuk bahu Erik yang ralit memerhati kolam
renang yang hanya bermandikan cahaya lampu dari tepi
tingkap.
“Yeah. I'm okay.”
“Senyumlah sikit, sayang. Bukan selalu pun kita
dapat berkumpul. Ha... apa kata kesempatan yang ada ni
nanti mama slow talk dengan papa pasal...”
“Nope. Tak apa, ma. Erik nak usaha sendiri. Erik tak
nak guna kabel papa ke apa.”
“Tapi Erik...”
“Sayang... ”
Mama menoleh sekilas ke arah pintu sebelum
menghadiahkan ciuman mesra pada dahi Erik yang nampak
tidak terkutik sedikit pun dek tindakannya itu. Tubuhnya
keras tiada respons. Masih setia merenung tajam ke arah
kolam renang.
“Erik rehat dulu ya. Esok kita borak lagi. Bye
naughty boy!” laung mama. Sempat lagi hidung Eril dicuit
sebelum berlalu. Mendengus kasar Eril dibuatnya.
“Arghhhhh!!!” jerit Eril tiba-tiba.
“Kau dah kenapa?” soal Erik perlahan sambil
meluruskan badan di atas katil.
“Stres. Kau tak rasa stres ke? Ke Langkawi dah satu
hal, tu... mamat tu... kenapa tak ada sesiapa beritahu Eril
yang dia balik hari ni, hah?”
Erik menjongket bahu.
“Jangan kata kau pun tak tahu apa-apa?”
Kali ini Erik menggeleng kepala pula.
Eril mengetap bibir, menahan geram. Patutlah
apabila Mak Jemmy suruh kemas baju pagi tadi, dia rasa
berat hati aje. Kalau duduk di rumah dengan Mak Jemmy
pun tak apa. Kurang-kurang boleh suruh Mak Jemmy masak
macam-macam. Kalau mama dengan papa ada, banyak sangat
menu-menu terlarang. Gulai daging salai tak boleh makan.
Ayam Khabsah tak boleh makan. Bosan! Balik-balik makan
benda sama. Semuanya makanan Jepun. Ulanglah banyak
kali. Muntah warna-warni dia dibuatnya. Nak makan ramen,
mama tak bagi. Katanya nanti tak cerdik belajar. Urghhh
hidup bawah pemerintahan mama memang tak seronok!
Sebab itu dia memang suka kalau mama outstation.
“Aku tak suka dia,” luah Eril jujur.
“Suka tak suka, kita satu keluarga.”
“Keluarga? Ini namanya keluarga ke? Dalam majalah,
dalam mana-mana program TV memanglah keluarga. In real
life? We’re strangers. Aku rasa definisi mama untuk keluarga
hanya dia, papa dengan mamat tu aje!”
“Hairyl, jangan cakap macam tu...”
“Mulut aku, suka hati akulah! Kau tengok ya, aku
habis aje sekolah nanti, aku nak ajak Mak Jemmy keluar dari
rumah tu.”
Erik gelak tiba-tiba. Habis sekolah nak keluar dari
rumah? Hailah Eril... Itulah pemikiran budak umur 15 tahun.
Tahu nak lari saja. Tak fikir panjang langsung!
“Kadang-kadang Rik, aku rasa macam Mak Jemmy
tu mama kita sebenarnya...” lirih Eril perlahan. Sekilas wajah
Erik di katil sebelah dikerling sebelum bibir dilorek senyum.
“Sofea Lorena adalah mama kita. Itulah hakikat yang
kita tak boleh nak ubah. Dalam birth cert kau, bukan Mak
Jemmy punya nama yang ada dekat situ”
“Kau cakap macam orang tua doooo...” komen Eril
tiba-tiba dengan gelak mengekek.
“Well, aku memang tua daripada kau pun kan?”
“Tapi mamat tu lagi tua daripada kita, tapi kenapa
mama lebih concern pasal dia ya? Serius, aku tak boleh
hadam. Boleh dapat indigestion kalau duk fikir pasal tu aje,”
rungut Eril lagi. Masih dengan atmosfera tidak puas hatinya.
“Mamat mana ni?” soal satu suara yang baru saja
keluar dari bilik air.
“Omoooo... jangan kata kau pun duduk bilik ni.
Mama!!!” jerit Eril sambil berlalu keluar. Jantungnya rasa nak
luruh apabila disapa secara tiba-tiba. Kantoi agung kut!
Tinggal Erik saja yang tenang berbaring seperti tidak
ada apa walaupun dalam hati debarnya Tuhan saja yang tahu.
Agak-agak dia dengar ke tak apa mereka bincangkan tadi ya?
Ah, haruslah dengar sebab dia sendiri tidak terdengar bunyi
pili air dibuka dari dalam bilik air. Aduh! Kenapalah dia tidak
terfikir yang mereka bertiga akan duduk bilik yang sama?
“Lama tak jumpa, kan? Study macam mana? Okey?”
soal Anas sambil melabuhkan punggung di hujung katil Eril
berbaring tadi.
“Okey,” balas Erik pendek sebelum matanya
dipejamkan. Entah kenapa, tak rasa nak join catching up
session yang cuba dimulakan oleh Anas. Entah bila, tahu-tahu
dia langsung terlelap sampai ke pagi.

No comments:

Post a Comment