MEREKA saling berpandangan apabila
Umar angkat punggung berlalu masuk ke bilik. Kening
masing-masing terjongket tinggi. Dalam hati tersimpan niat
yang serupa. Mahu memanjangkan kejadian semalam kepada
Umar. Mungkin abang mereka boleh membantu.
Langkah Aisyah terhenti ketika mengekori Sofiah.
Lengan kakaknya ditarik perlahan. Sofiah angkat bahu.
Menanti tujuan adiknya melakukan begitu.
“Cah takutlah nak beritahu abang. Kalau abang
mengadu kat walid, Cah risau Kak Humairah kena marah.
Tak mustahil dengan kita-kita sekali pun kena.” Aisyah
menyatakan kebimbangan.
Sofiah berdecit. Tidak suka dengan sikap teragak-agak
adiknya.
“Kalau walid marah kita, Kak Sofi tak kisah. Biar
sama-sama kena marah. Baru adil. Lagipun, kita yang bagi
cadangan pada Kak Humairah. Bila dah jadi macam ni, Cah
sanggup ke nak lepas tangan? Kak Sofi tak sanggup. Duit Kak
Humairah yang hangus. Bukan duit kita. Kesian dia, tahu
tak?”
Aisyah garu kepala. Apa yang Sofiah beritahu,
semuanya betul. Mereka tidak boleh membiarkan Humairah
menanggung seorang diri.
“Okeylah. Tapi, Cah cuma boleh temankan Kak Sofi
aje, tau. Cah tak berani nak beritahu abang. Tahu ajelah dia
tu. Garang macam singa.”
Sofiah tergeleng-geleng. Takut sangat Aisyah pada
Umar. Dia pun takut juga. Tetapi tidaklah seperti adiknya.
Mereka meneguk air liur apabila berdiri di hadapan
pintu bilik Umar. Dua tiga kali pintu bilik si abang diketuk,
barulah Umar menjengah keluar.
“Ada apa ni?” Umar menyoal sambil menyoroti wajah
muram kedua-dua adiknya.
“Kita orang nak minta tolong abang ni. Tapi, hal ni
berat sikit.” Sofiah memulakan kepala cerita.
Wajah Umar berkerut. Berasa pelik dengan bicara
adiknya kali ini. Nadanya lain benar. Macam takut-takut.
Macam ada buat salah.
“Kau orang nak minta tolong apa? Jangan minta
tolong perkara yang bukan-bukan, dahlah.”
Aisyah beriak hampa. Baru saja kakaknya membuka
mulut, Umar sudah memberi peringatan. Manalah dia tidak
kecewa dengan penerimaan abangnya itu?
“Dengarlah dulu Sofi nak cerita ni...” Dia separuh
merengek sejurus Umar menzahirkan pendirian.
“Ceritalah. Abang tunggu.” Umar mengeluh dan
berpeluk tubuh. Badan disandarkan ke pintu.
“Tapi janji, jangan beritahu walid.” Sofiah naikkan
jari telunjuk.
Mendengar saja nama bapa mereka disebut, reaksi
Umar terus berubah. Jika tadi riaknya tenang, tetapi sekarang
berdirinya serba tidak kena. Kedua-dua tangan dijatuhkan.
Tidak lagi berpeluk tubuh.
“Apa yang kau orang buat hari ni sampaikan dengan
walid pun kau orang nak berahsia? Cakap!” Suaranya sedikit
tinggi.
Masing-masing tersentak. Terkejut dengan sergahan
Umar.
“Cakap sekarang!”
“Syhh... abang, please. Janganlah kuat sangat suara
tu. Nanti umi dan walid terdengar pulak. Tolonglah...” Sofiah
sedikit ketakutan.
Aisyah di sebelah hanya diam memerhati. Sesekali
dia menoleh kiri dan kanan bagi mengawal keadaan.
Umar pejam mata. Memohon dalam hati agar
adik-adiknya tidak melakukan kesilapan yang membawa
kemarahannya. Apatah lagi kemarahan bapa mereka.
Tidak menunggu lama, Sofiah segera membisikkan
sesuatu di telinga Umar. Abangnya itu mendengar penuh
teliti.
Sesekali mata Umar membesar. Sesekali pula
mengecil. Kadang-kadang bebola matanya naik ke atas.
Kadang-kadang turun ke bawah.
Selesai bercerita, Sofiah menarik nafas lega. Terasa
ringan beban yang ditanggung sejak semalam.
Umar menghela nafas panjang. Tidak sangka perkara
sebegitu terjadi ke atas adik-beradiknya.
“Abang mesti tolong Kak Humairah. Buatlah sesuatu
untuk bantu dia,” kata Sofiah.
Aisyah pula mengangguk. Sejak tadi, dia langsung
tidak mengeluarkan sebarang bunyi.
Tidak banyak soal, Umar beredar menuju ke bilik
Humairah sambil diekori adik-adiknya. Pintu bilik kakaknya
diketuk perlahan. Selang beberapa saat, kepala Humairah
terjengul keluar.
“Ada hal apa kau orang semua datang bilik akak ni?”
Humairah memandang adik-adiknya.
Bermula dengan Umar, rasa pelik bermukim sesaat.
Kalau ada perkara nak diberitahu sekalipun, hanya Sofiah
dan Aisyah yang sering tunjukkan diri. Tidak pernah sesekali
Umar menyertai. Tetapi malam ini, situasinya berbeza.
“Betul ke apa yang Sofi cerita pasal handphone yang
akak dah bayar? Tapi kenapa akak tak ambil?” Umar terus ke
topik yang membuatkan dia terperanjat besar.
“Betul.” Humairah mengecilkan mata, meneliti
wajah adik-adik perempuannya silih berganti. Tak sangka
mereka menyampaikan kejadian itu kepada Umar.
“Sofi kata, akak dah tak nak ambil telefon tu,
kenapa?” Umar bertanya lagi. Dia benar-benar ingin tahu
sebab apa kakaknya membuat keputusan begitu. Sangat di
luar jangkaan.
“Sofi, kan akak dah beritahu sebabnya. Kenapa Sofi
tak puas hati lagi? Cah pun sama.” Sekali lagi wajah Sofiah
diteliti. Kali ini lebih lama.
“Umar faham maksud akak. Cuma, pendirian akak
tu salah. Memang betul, maruah tetap maruah. Tapi akak
dah bayar dan telefon tu dah jadi milik akak. Banyak perkara
baik akak boleh buat dengan smartphone tu. Rugi kalau akak
lepas peluang untuk buat kebaikan yang cuma kat hujung
jari. Akak selalu ajar dan ingatkan kita orang, lakukan apa aje
amal yang baik walau sebesar zarah. Smartphone tu contoh
paling mudah.”
“Kau orang tak faham. Akak malu nak tunjukkan diri
kat kedai tu lagi.” Humairah menjelaskan keadaan.
Selain memikirkan soal maruah, Humairah turut
berasa bimbang jika pemilik kedai telefon bimbit itu dapat
membuat pengecaman. Apatah lagi dia sudah terlajak
tindakan. Laju saja tangannya memukul kepala lelaki itu. Satu
perbuatan di luar keberanian. Dia sendiri tidak menyangka.
“Tak ada apa yang akak nak malu. Umar tahu akak
dah terpukul lelaki tu. Tapi pukul bersebab. Bukan akak
sengaja nak pukul dia,” tambah Umar bagi meyakinkan
kakaknya supaya berani pergi menuntut hak.
Humairah ketap bibir. Alis matanya turun ke bawah.
Tunduk seketika mencari penyelesaian dengan kata-kata
sokongan adiknya.
Umar menggeleng melihat situasi sulit dihadapi
Humairah. Kasihan pun ada. Dalam soal keduniaan, kakaknya
sering ketinggalan dan tidak boleh berfikir dengan baik. Apa
yang dia boleh buat untuk menolong? Dia picit dahi. Berfikir
sejenak mencari jalan keluar.
“Macam nilah. Balik dari mengajar esok, Umar
temankan akak pergi sana. Kalau apa-apa berlaku, akak
jangan takut. Umar ada.”
Sofiah dan Aisyah tersenyum lebar mendengar
kata-kata itu. Nampaknya, tidak sia-sia mereka mengadu
pada Umar. Cepat saja abang mereka dapat mencari titik
penyelesaian.
HUMAIRAH MASIH ragu-ragu mahu pergi menuntut hak.
Lebih-lebih lagi dia tidak mempunyai resit pembelian.
Kejadian tempoh hari, benar-benar kecoh sehingga dia lupa
semuanya.
Umar menghidupkan enjin kereta. Sekilas menoleh
melihat kakaknya yang berwajah sugul. Sejurus menghantar
Sofiah dan Aisyah balik ke asrama, dia terus bergegas pulang
untuk temankan kakaknya pula.
“Akak dah sedia nak pergi sana?” tanya Umar. Sekadar
mengalih perhatian si kakak yang sejak tadi termenung jauh.
Humairah tersenyum dan sedikit mengeluh. Ikutkan
hati, dia tidak mahu tunjukkan muka di hadapan kedai itu
lagi. Tetapi atas kata-kata semangat diberikan adiknya,
perasaan malu cuba ditolak ke tepi.
“Kalau berlaku apa-apa, Umar jadi tukang bela akak,
boleh?”
“Mestilah boleh. Kalau tak, apa guna Umar jadi adik
lelaki?” Umar tersengih dan ketawa kemudian.
Senyum manis perlahan-lahan terukir di bibirnya.
Kata-kata Umar buatkan Humairah kembali yakin.
“Insya-Allah, takkan jadi apa-apa. Umar percaya, lelaki
tu orang yang baik,” tambahnya. Sengaja membangkitkan
aura positif untuk mereka berdua. Tidak mahu fikir yang
bukan-bukan dan tidak perlu bersangka buruk pada orang.
“Akak pun rasa macam tu. Sebenarnya, dia
cepat-cepat minta maaf bila tersilap menuduh. Tapi entah
macam mana, dia tarik bahu Cah bila adik kita tu cakap nak
buat repot polis atas tuduhan palsu.” Dia membuat penjelasan
lebih terperinci. Mungkin Sofiah cuma menceritakan separuh
kejadian pada Umar.
Umar terangguk-angguk. Mula mencerna baik
pencerahan diberikan kakaknya.
“Malam tadi, Sofi tak ada pulak cakap lelaki tu dah
minta maaf.”
“Mungkin dia lupa. Lagipun, adik-adik takut dengan
Umar. Nak mengadu hal pun tergagap. Sudahnya, cerita tak
lengkap. Jadi sebaiknya, biar akak ceritakan semula dari awal
sampai habis. Bila Umar dah tahu semuanya, tak adalah Umar
anggap pemilik kedai tu teruk sangat, kan...”
Umar tersenyum dan tergeleng-geleng mendengar
cerita sepenuhnya. Gear dimasukkan dan kereta perlahan
meluncur di jalan raya.
“Umar yakin, lelaki tu tak sengaja nak pegang Cah.
Mungkin dia panik. Lagipun, mengikut apa yang Sofi cerita,
lelaki tu bukan Melayu. Mungkin dia tak tahu hukum-hakam
Islam.”
Humairah tersenyum nipis mendengar pendapat
Umar. Namun, pandangan peribadi adiknya tidak dipersetujui.
Dia menggeleng, sekali gus memberi maksud dia tidak
menyokong.
“Bagi akak, bukan semua orang dari bangsa lain tu
tak ada rasa malu. Ada yang masih jaga batas. Dan tak semua
orang Melayu yang faham tentang Islam, tak pernah langgar
hukum. Malah, ada yang tak tahu langsung pasal hukum.
Kalau tahu pun, sengaja buat-buat tak tahu.”
“Sebab tu banyak berlaku gejala tak baik dalam
kalangan orang Islam tu sendiri. Sebab mereka meremehkan
hukum.” Umar menyambung pandangan peribadi kakaknya.
Dia juga berpendapat demikian.
“Eh, ralit sangat kita sembang. Dah nak sampai
pun. Nanti lepas traffic light simpang empat tu, Umar masuk
sebelah kiri,” beritahu Humairah sambil menunjuk ke arah
jalan dimaksudkan.
Setibanya di kedai, mereka melangkah masuk.
Tidak ramai pelanggan dalam kedai telefon itu hari ini.
Mudahlah mereka mahu bersemuka dan berurusan dengan
pekerja-pekerja di situ.
“Terima kasih, cik. Kalau nak beli telefon lagi,
datanglah sini,” ucap Fazli sambil tersenyum-senyum ke
arah seorang pelanggan yang baru selesai membuat urusan.
Sambil bersiul-siul, dia memerhati keadaan kedai.
Iman di sebelah, dikerling sekilas. Leka sangat rakan
sekerjanya itu melayan pelanggan yang mahu membeli bateri
telefon. Siulan di bibirnya terhenti apabila terpandang dua
orang pelanggan yang baru melangkah masuk. Sepantasnya
bahu Iman ditarik sehingga tubuh Iman sedikit bergegar.
“Apa ni, bro?” Iman berdecit. Geram apabila Fazli
menarik bahunya begitu.
Fazli muncungkan bibir. “Cuba kau tengok. Tu bukan
ke perempuan yang pukul kepala bos dengan beg semalam?”
“Mana?” Pandangan Iman mengecil apabila Fazli
menunjuk ke satu arah.
“Tu... bukan dia ke?” Fazli menolak sedikit kepala
Iman ke depan.
Mulut Iman membulat. Memang sah, perempuan itu
adalah orang yang sama.
“Eh, betullah. Memang dia orangnya.”
“Kalau macam tu, aku masuk dalam. Jumpa bos.”
Fazli bergegas meninggalkan meja kaunter. Hal itu patut
diberitahu segera pada majikan mereka.
Tidak sempat mengetuk pintu, lekas-lekas dia
mendapatkan Darren yang sedang tekun membuka skru
pada sebuah CPU. Walaupun Darren adalah bos di tempat itu,
tetapi dialah yang melakukan kerja-kerja hardware. Bukan
Fazli atau Iman. Bukan juga pekerja yang lain.
“Bos, bos!” Fazli sedikit tercungap. Dia bukan
keletihan. Tetapi lebih kepada risau kalau perempuan itu
tiba-tiba pula menghilangkan diri.
“Ada apa awak ni?” Darren membuka skru terakhir.
Perhatian masih tidak sepenuhnya pada Fazli.
“Perempuan semalam tu, dia ada datang dan ada kat
luar sekarang. Jomlah, bos. Nanti dia lari pulak.”
Wajah Darren berkerut. Kepala tidak gatal digaru
sebentar.
“Takkan dia nak lari? Tentu dia datang sebab nak
ambil telefon.”
“Betul jugak tu. Mustahil dia nak lari.” Fazli
tersengih-sengih. Mengaku tersilap membuat andaian.
“Awak tunggu apa lagi? Pergilah bagi bungkusan
tu kat dia. Tersengih-sengih kat sini lagi buat apa?” Darren
memberi fokus semula pada kerja-kerjanya. Penutup CPU
dibuka. Jumlah skru yang ada, disusun elok dalam satu bekas
supaya tidak berterabur. Objek kecil begitu, mudah sangat
hilang. Kalau hilang, susah pula nak cari nanti.
“Bos tak nak jumpa dia ke?”
Darren merengus halus. Soalan Fazli buat
tumpuannya hilang serta-merta. Sejenak dia berfikir sambil
membetulkan tubuh.
“Awak ajelah berurusan dengan dia. Saya banyak
kerja ni.”
“Bos patut jumpa dia dan minta maaf. Bos dah tuduh
dia yang bukan-bukan.” Fazli mencebik. Berasa tidak patut
majikannya buat keputusan begitu.
“Saya dah minta maaf semalam. Okeylah tu.”
“Itu sebab bos tuduh dia nak mencuri. Tapi untuk
kes bos pegang dan tarik bahu adik dia, bos tak minta maaf
lagi,” kata Fazli bagi mencukupkan alasan kenapa Darren
perlu tunjukkan muka di hadapan gadis itu sekali lagi.
Tepi telinganya digaru-garu. Kenyataan Fazli ada
betulnya. Dua kesilapan dia lakukan semalam. Menuduh dan
memegang tanpa sengaja.
“Hmm... dia datang sorang ke?”
“Tak. Berdua. Sorang lagi lelaki. Nampak lebih
muda. Adik dia, kut.”
“Berapa orang adik dia ada ni?”
Fazli jongket bahu. “Entah.”
“Okeylah, jom...” Darren melangkah keluar dengan
gaya malas.
“Bos...” Fazli mencuit bahu Darren dari belakang
apabila majikannya itu hanya tercegat dan ralit memerhati
gadis semalam.
“Apa?” soal Darren seraya berpaling memandang
Fazli.
“Dia cantik kan, bos? Hehe...”
Darren mencebik sedikit. “Cantik tapi ganas.”
Fazli tekan perut. Menahan tawa agar tidak melantun
keluar. Geli hati mendengar jawapan balas majikannya.
No comments:
Post a Comment