DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 15 April 2021

Cinta Hati Mr. Aydan - Bab 2


SYAQEER mendengus kasar sebaik sahaja keretanya berhenti di depan butik pengantin. Dia tidak berniat untuk keluar dari dalam kereta memandangkan ada sesuatu yang terbuku di hati.

“Anis pergi mana semalam? Anis tahu tak, abang macam orang bodoh tunggu kat dalam restoran tu.”

Syaqeer memalingkan tubuh, menghadap wajah Anis yang membatu di sebelahnya. Sejak tadi dia hanya diam membisu. Berpatah-patah yang Syaqeer cakap, tiada sepatah pun yang keluar dari mulut Anis. Mungkin itu yang membuatkan hati jadi tambah panas.

Sorry. Anis memang tunggu abang kat restoran tu tapi Anis terpaksa balik sebab ada hal.” Anis mencipta alasan.

Takkanlah dia dengan rela hati nak beritahu apa sebenarnya yang berlaku semasa menunggu di dalam restoran itu. Percayakah Syaqeer dengan cerita itu nanti? Tak pasal-pasal dia pula jadi mangsa kemarahan lelaki itu.

Sorry? Senangnya cakap. Anis tahu tak, abang terpaksa ambil cuti semata-mata nak uruskan hal perkahwinan kita. Kalau Anis tak serius nak kahwin, baik cakap awal-awal. Senang kita nak batalkan majlis kahwin kita tu. Abang pun tak sakit kepala nak fikir.” Syaqeer mendengus kasar.

Anis memandang wajah si tunang yang menyinga. Bukan dia tak kenal dengan perangai Syaqeer malah kenal sangat dengan sikapnya yang satu ini. Mudah panas hati. Sepanjang mengenali Syaqeer a.k.a. tunangnya selama 2 bulan ini, Anis sudah banyak bersabar malah kadang-kadang dia makan hati juga dengan sikap lelaki itu.

Bila mengenangkan sikap Syaqeer ini membuatkan dia tiba-tiba teringatkan kejadian semalam. Kejadian yang membuatkan dia terpaksa membatalkan janji temunya dengan Syaqeer sehingga terpaksa ditunda ke hari ini.

Apa yang diungkapkan oleh lelaki itu semalam membuatkan dia berfikir panjang tentang hubungannya dengan Syaqeer. Anis jadi takut pula untuk berkahwin.

Seram sejuk terasa tubuh bila mengingatkan setiap kata yang keluar dari mulut lelaki yang tidak dikenalinya itu. Bimbang perkara itu akan berlaku kepada Syaqeer nanti dan lebih sadis bila dia yang menjadi mangsa.

“Memang betul cakap abang. Kalau abang tak bersedia atau tak nak kahwin dengan Anis, baik kita batalkan aje majlis kita minggu depan. Bukan setakat batalkan majlis perkahwinan, batalkan juga pertunangan kita. Senang cerita.” Anis memberi persetujuan serta kata putus ke mana arah tuju hubungan mereka.

Lantaklah apa nak jadi selepas ini, dia tak mahu fikir. Buat sakit kepala dan otak sahaja bila mengenangkan sikap dan perangai Syaqeer yang selalu nak menang dan ikut kepala dia sahaja. Sikit pun tak minta pandangan dan berbincang dengannya terlebih dahulu.

Sesekali Anis rasa patut bertegas. Dia sendiri penat mengikut segala kata orang. Ini melibatkan masa depan dia. Bukan boleh diambil mudah. Lagipun, bukan dia yang beria-ia nak berkahwin sekarang, tapi Syaqeer. Malah orang tua mereka turut menyokong.

Kalau ikut perancangan, dia memang tak mahu berkahwin dalam masa terdekat ini. Dia mahu bekerja dahulu dan stabilkan kehidupan. Selepas itu, baru nak fikirkan soal kahwin. Selama ini pun, dia mana pernah ada kawan rapat dengan mana-mana lelaki, apatah lagi bercinta.

Mendengar kata-kata tegas itu, Syaqeer segera menoleh kerana terkejut dengan kenyataan Anis.

“Apa Anis cakap ni? Semua persiapan dah dibuat. Kad jemputan dah diedar. Dewan pun dah siap tempah, takkan nak batalkan macam tu aje? Anis tahu tak berapa banyak dah duit abang habiskan untuk semua tu,” rengus Syaqeer dengan perasaan terkejut dan tak puas hati.

Anis tarik nafas panjang. Beberapa saat kemudian, dia pejamkan mata dan cuba tenangkan hati.

Kalau boleh, dia tak nak bergaduh dalam hal remeh-temeh. Bagaimana selepas kahwin nanti kalau sekarang ni pun mereka tidak sehaluan? Selama mana dia harus bersabar melayan kerenah Syaqeer yang sentiasa ada pasang surutnya? Takkanlah selamanya hanya dia yang asyik mengalah sedangkan bukan dia yang bersalah.

“Nanti Anis minta mama dan papa bayarkan duit yang dah abang keluarkan. Anis percaya, orang tua Anis masih mampu nak bayar balik.” Anis melepaskan rasa yang terbuku di hati.

Geram betul dengan sikap Syaqeer yang selalu naik angin dan tidak mahu mengalah itu. Nasib baiklah keluarga Anis jenis orang berada juga.

Syaqeer tengadah. Tak sangka agaknya yang dia sanggup bertindak sampai ke situ.

Sorry, abang minta maaf sayang. Abang tahu abang terlepas cakap tadi,” ujar Syaqeer.

Syaqeer cuba mencapai jari-jemari Anis, namun cepat-cepat dia menepis. Tak suka tangannya disentuh sesuka hati. Anis masih tahu hukum halal dan haram dalam hubungan walaupun mereka bakal berkahwin tidak lama lagi. Itu pun kalau jadi kahwinlah kan.

“Abang kena ingat, bukan Anis yang beria-ia nak kahwin sekarang tapi keluarga kita. Kalau abang rasa Anis ni akan membebankan abang, eloklah kalau kita...” Kali ini Anis nekad mahu mengakhiri hubungan mereka. Anis langsung tidak peduli akan natijahnya. Bukan Syaqeer seorang lelaki di dunia ini yang boleh dijadikan suami. Hakikatnya, sedikit pun dia tak rasa teruja untuk menjadi isteri Syaqeer.

‘Dia ingat aku teringin dan teruja sangat nak jadi isteri dia. Boleh jalanlah!’ bisik Anis dalam hati.

“Tak, tak... Kita tetap kena teruskan juga majlis perkahwinan ni. Abang tak nak perkahwinan kita ditangguhkan. Anis pun tahu yang abang cuba untuk belajar sayangkan Anis. Kalau boleh, abang nak rumah tangga kita nanti aman dan bahagia. Abang tak nak kecewakan hasrat orang tua kita yang nak sangat kita berkahwin,” kalut Syaqeer memujuk Anis.

Buat pertama kali, dia terpaksa merendah ego demi memujuk Anis. Risau juga dia kalau kena marah dengan orang tuanya jika Anis masih nekad mahu memutuskan pertunangan mereka.

Melihat kesungguhan Syaqeer, tanpa sedar Anis mula mengeluh perlahan.

“Abang, nikah kahwin ni bukan benda remeh, bukan juga satu percubaan dalam hubungan antara lelaki dan perempuan secara halal. Ini melibatkan soal hati, perasaan dan juga masa depan kita. Kalau hati dan perasaan kita tak ikhlas, hubungan dan perkahwinan kita takkan ke mana.”

Anis mengambil peluang ini untuk meluahkan rasa hati yang sudah lama tersimpan. Dia berharap yang Syaqeer akan faham apa yang cuba disampaikan.

“Okey. Kita lupakan hal ni. Kita keluar dulu dan masuk dalam butik tu. Kita teruskan apa yang dah kita bincangkan. Walau apa pun yang berlaku, abang tetap nak Anis jadi isteri abang. Abang dah tak sabar nak hidup bersama Anis. Dah lama abang impikan saat untuk hidup bahagia bersama isteri macam orang lain. Abang janji, abang akan bahagiakan Anis. Anis jangan risau ya,” pujuk Syaqeer.

Bimbang kalau gadis ini betul-betul berubah hati dan nekad tidak mahu meneruskan perkahwinan.

Cepat-cepat Syaqeer keluar dari kereta. Malah siap dibukakan pintu kereta untuk tunangnya. Perlakuan yang jarang dia lakukan tetapi demi mengekalkan hubungan yang direstui oleh orang tua mereka, dia terpaksa lakukan juga. Hipokrit betul!

Anis pula terpaksa akur kerana tak mahu bergaduh lagi. Kali ini dia pasrah dengan apa yang akan berlaku nanti. Harap-harap semuanya akan berjalan dengan baik.

 

KHALIEF KETAWA terbahak-bahak tanpa mempedulikan pandangan pelanggan yang lain di restoran itu sebaik sahaja mendengar cerita yang disampaikan oleh Aydan.

Aydan pula mengetap bibir menahan rasa geram melihat reaksi selamba kawannya itu. Kalau ya pun nak gelak, agak-agaklah. Ini dah macam nak bergegar restoran ni dengan gelaknya. Propa sangat ke ayat dia tapi memang betullah, bukan main kuat lagi Khalief ketawa sampaikan dia naik malu bila ramai yang memandang ke arah mereka.

“Menyesal aku cerita benda ni pada kau. Kau ingat benda ni bahan lawak ke sampai kau ketawa terbahak-bahak mengalahkan puntianak mengilai,” rungut Aydan geram.

Aydan mengepal penumbuk. Kalau tak ingatkan yang sekarang ni mereka berada di tempat awam, mahu dia hempuk kepala Khalief. Lebih sadis lagi kalau dia hantuk saja ke dinding. Lagi bagus kalau terus koma seminggu.

“Dah kau cerita benda yang lawak, aku gelaklah. Kalau aku tak gelak, nanti kau kecil hati pula,” jawab Khalief selamba. Makin hangat dada Aydan dibuatnya. Terus dia menyepak betis Khalief di bawah meja.

“Okey, sorry. Aku dah tak ketawa lagi.” Khalief mengangkat tangan separas bahu tanda mengalah. Sakit juga betisnya kena sepakan padu Aydan. Maklumlah, dulu Aydan ni pernah jadi pemain bola sepak masa kat universiti.

“Silap kau juga Dan. Kalau ya pun kau nak mengaku keburukan kau semata-mata marahkan mama kau yang asyik nak kenenkan kau dengan perempuan, bagilah salam dulu. Pastikan perempuan tu yang kau kena jumpa. Ini tak, terus terjah dan cakap yang bukan-bukan. Terkejutlah perempuan tu. Kalau aku pun, aku terkejut.”

“Yang tak menahan bila kau tanpa segan mengaku yang kau ni kuat seks. Tak ke ternganga mulut perempuan tu dengar. Kalau aku kat tempat perempuan tu, terus aku tampar aje muka kau sampai tempeleng 180 darjah. Padan muka!” sekali lagi Khalief sambung gelak.

Aydan jegilkan mata. Geram betul mendengar ketawa Khalief. Rasa nak sumbat sahaja penumbuk ke dalam mulut temannya itu.

“Hei, Dan... apa reaksi perempuan tu lepas kau cerita semua keburukan kau pada dia?” soal Khalief.

“Perempuan tu terus bangun dan tinggalkan aku. Aku ingatkan aku dah berjaya kenakan dia, sebaliknya perempuan yang sepatutnya aku jumpa tu tiba-tiba tegur aku. Lepas tu, aku baru sedar yang aku sebenarnya tersalah orang.”

Aydan mendecit. Khalief gelak sakan. Dia boleh bayangkan situasi itu.

“Sendiri cari pasal kan, mendapatlah habuannya. Memang lawak betul kau ni, Dan,” komen Khalief.

“Memang aku menyesal sangat dengan sikap aku yang gelojoh semalam. Aku tak sangka benda macam tu boleh berlaku. Tersalah orang! Tak pernah berlaku dalam kamus hidup aku tau.”

Aydan garu kening. Terbayang pula wajah gadis yang ditemuinya semalam. Entah apa pandangan gadis itu kepadanya. Tapi kenapa wajah gadis itu sering terbayang di ruang matanya? Perkara yang tidak pernah berlaku sejak sekian lama. Alahai, takkanlah perempuan tu dah buat dia...

Khalief mengangguk kepala. Mengiakan kata-kata Aydan. Yalah, dia satu-satunya kawan yang menjadi tempat Aydan mengadu. Jadi banyak benda yang dia tahu pasal Aydan terutama sekali pasal rancangan mama Aydan yang tak pernah berputus asa cuba menemukan dia dengan perempuan-perempuan dengan harapan Aydan akan jatuh hati.

“Kau pun tahu, selama ini aku dah banyak buat blind date sebab kena paksa. Kisah semalam tu, aku dah karang siap-siap sebab aku tak nak perempuan tu menaruh harapan lebih-lebih.”

Memang Aydan banyak pengalaman kalau cerita bab blind date ni. Kadang-kadang dia sering diganggu oleh perempuan yang ditemuinya yang ingin hubungan mereka lebih serius. Ada juga yang tak segan-segan datang ke rumah mamanya untuk berjumpa dia. Siap datang ke ofis buat janji temu.

Dahlah ada di antara mereka penampilannya terlalu seksi, gedik, hipokrit, mengada-ada dan macam-macam lagilah perkara yang dia tak suka tapi mamanya tetap aturkan juga pertemuan dia dengan anak kenalannya.

Akhirnya dia memilih jalan untuk menceritakan semua keburukannya dengan harapan perempuan itu akan menyampah dengan dia. Sekali, rupa-rupanya tersalah orang!

“Habis tu apa cerita?” soal Khalief.

“Aku pun terus blah. Malas aku nak layan perempuan yang sepatutnya aku jumpa tu. Harap dia fahamlah yang aku tak nak jumpa dia. Ni pun aku tak cerita dekat mama aku. Aku cuma cerita dekat kau sorang aje. Malu aku kalau orang lain tahu hal ni. Mana aku nak sorok muka aku,” beritahu Aydan.

Khalief angguk kepala. “Katakanlah tiba-tiba kau terjumpa perempuan yang kau tersilap tu, kau nak buat apa?”

Aydan menjuih bibir. Terfikir juga soalan itu di benak fikirannya.

“Aku ajak dia kahwin dengan aku terus.” Itu pula yang keluar dari mulut Aydan.

“Weh, kau gila?” terjojol mata Khalief mendengar jawapan selamba Aydan.

Melihat reaksi Khalief, Aydan melepas gelak.

Hmm... mesti perempuan tu cantik. Sebab tu kau tak teragak-agak nak ajak dia kahwin terus, kan?” usik Khalief.

Aydan mengukir senyum tanpa sedar. Hakikatnya, dia pun tak tahu apa yang akan berlaku kalau dia terjumpa perempuan itu lagi. Apa yang perlu dia buat? Patut dia buat bodoh aje ke?

No comments:

Post a Comment