Permainan takdir itu sukar dijangka. Kusangka panas ke petang rupanya hujan di tengah hari.
SELESAI solat subuh, Qayyum bersiap untuk memulakan rutin baharunya di tanah air. Joging sambil menghirup udara pagi Malaysia. Sementara masih belum bekerja, bolehlah dia menikmati waktu lengang dengan sebaiknya.
Pagi ini dia mulakan dengan berjoging di sekitar kawasan berdekatan dengan taman perumahannya saja. Usai membuat regangan ringan, dia memulakan langkah. Dengan berlari anak dia mula memecut laju. Namun, langkah kakinya perlahan saat melintasi sebuah rumah semi-D.
Dipicingkan anak matanya memerhatikan susuk yang sedang duduk berhadapan dengan kumpulan bunga. Bebola matanya mencerun lagi, yakin dia melihat gadis itu bercakap dengan bunga tersebut sambil tangannya membelai.
Bentuk tubuh gadis itu seakan dia kenal. Mustahil! Mana boleh dia membuat pengecaman melalui bentuk tubuh sahaja. Berapa ramai anak gadis yang punya bentuk tubuh sebegitu di luar sana!
Qayyum tersenyum sambil menggeleng. Dah biul agaknya dia ini. Asal jumpa perempuan saja, pasti dia lihat seperti Syifaa. Tanpa berlengah, dilajukan kembali lariannya. Nanti tak pasal-pasal dia dituduh menghendap anak dara orang pula.
Namun, baru beberapa langkah, dia kembali menoleh ke rumah tadi. Gadis itu masih juga begitu. Tercuit bibirnya dengan senyum kecil. Pelik-pelik perangai orang zaman sekarang. Sudah tiada kawankah sampai bercakap dengan bunga?
Creepy! Lantas dilajukan lariannya semula. Entah-entah itu bukan manusia. Meremang bulu romanya.
Syifaa menoleh ke arah jalan. Terasa dirinya diperhatikan. Tapi tiada sesiapa pun di situ. Hanya dia dan bunga kesayangannya sahaja. Sengaja dia memilih waktu begini untuk bermanja dengan bunga calla lily kesayangannya ini.
Kalau pilih waktu siang hari, nanti orang nampak. Tak mustahil dia dikatakan gila sebab bercakap dengan bunga. Ini pun Khaty dan Ain dah kata dia biul. Biarlah, tiada siapa yang tahu hatinya. Lebih baik dia meluahkan segala resah hati pada bunga ini daripada manusia lidah bercabang.
Calla lily. Dulu dia tidak berapa gemarkan bunga ini. Baginya sangat keperempuanan. Namun mengharungi arus hidup sebagai anak kepada Encik Arash dan Puan Zuyyin bukanlah mudah. Tekanan yang dihadapi sangat berat.
Khaty pernah mencadangkan dia mendekatkan diri dengan bunga. ‘Bercinta’ dengan bunga. Bunga calla lily melambangkan kebangkitan dan kelahiran semula. Syifaa mahu hidupnya bermula semula, namun ia tidak mudah.
Dia tunduk mencium haruman bunga itu. Nafas ditarik dalam. Semoga hari ini akan lebih baik daripada semalam. Bibir tersenyum lebar dan resah semalam melorot jatuh. Orang kata, komunikasi memerlukan dua hala, tapi bagi Syifaa cukuplah ada bunga ini untuk meluahkan perasaan.
Kaki menapak masuk ke dalam rumah. Khaty memanggilnya sejak tadi lagi. Minah itu memang kepoh kalau dia mengambil masa bersembang dengan bunga kegemarannya.
“Hah, dah habis ‘bercinta’ dengan calla lily kau tu? Orang bercinta dengan manusia, kau dengan bunga. Aduhai, pelik betul kau ni!” tempelak Khaty yang baru turun dari tingkat atas. Tadi dia mencari kelibat Syifaa tapi tiada. Manalah lagi kalau bukan ke taman kecil di luar rumah.
“Itulah, suruh cari pengganti jantan tak guna tu tak nak pula. Jangan nanti jiran-jiran cakap kau tak betul sudahlah,” tambah Ain yang keluar dari dapur bersama semangkuk mi goreng basah.
Tanpa mempedulikan kedua-dua sahabatnya itu, Syifaa melabuhkan duduk di meja makan. Aroma mi goreng menusuk hidungnya. Perut mula berdendang. Sejak semalam perutnya tidak diisi. Bukan tidak lapar, tapi seleranya terus mati dengan apa yang terjadi di rumah orang tuanya. Seharian dia berkurung di dalam bilik. Lepas isyak terus lena sampailah ke subuh tadi.
“Tengok, orang cakap dia buat pekak aje!” dengus Khaty. Geram dengan lagak selamba Syifaa.
“Aku baru ‘menjanda’. Bagilah aku masa berkabung. Idah tak lepas lagi ni,” ujar Syifaa dengan mulut penuh. Riak wajahnya tenang, malah boleh lagi dia senyum.
“Dah, makan. Bukan kenyang pun bercerita pasal jantan tak guna tu!” celah Ain. Dia turut melabuhkan duduk di sisi kedua-dua sahabatnya.
“Heh, tak payah nak berkabung sangatlah. Disebabkan jantan tak guna tu kau nak merana buat apa!” tempelak Khaty tidak puas hati. Teguran Ain dipandang sepi.
Mencerun tajam bola mata Ain memandang Khaty.
“Khadijah!” tegur Ain keras. Sengaja dia memanggil nama betul temannya itu. Suka sangat provokasi Syifaa.
“Isy!” decit Khaty geram.
“Apa? Makan!” arah Ain.
Syifaa mengangkat ibu jari kepada Ain tanda terima kasih. Kadang-kadang sikap prihatin Khaty merimaskannya. Nasihat Khaty memang berguna, tapi temannya itu jenis tak makan saman. Apabila dia cakap dia okey, Khaty bukannya nak percaya. Tidak tahu cara bagaimana harus ditunjukkan yang dia memang tak hadap pun dengan Adam itu.
“Ain, kau tak outstation ke hari ni?” soal Syifaa. Diteguk air suam dalam gelas. Dia seorang yang tidak gemarkan air manis. Dia lebih suka minum air suam atau air kosong saja.
“Aku baru touch down semalam, Syifaa. Penat pun tak hilang lagi. Ikutkan kepala gila bos aku tu, dia nak aje aku attend group pelancongan ke Turki minggu ni, tapi aku malas. Ingat aku ni robot ke kerja 24 jam! Aku pun nak juga masa untuk diri sendiri,” tukas Ain seraya menyenduk mi goreng ke dalam pinggan. Bekerja sebagai pemandu pelancong memang menyeronokkan. Selain daripada bonus dan gaji yang mantap, dia juga peroleh banyak ilmu.
“Kau cutilah ni?” soal Khaty pula.
“Ya. Aku ingat nak tolong kau orang kat kedai.”
“Kata tadi penat,” celah Syifaa.
“Memang aku penat Syifaa, tapi nak terperap dalam rumah aje aku rasa lemas. Ada baiknya aku tolong kau orang kat kedai. Dapat jugalah aku terapikan mental dan fizikal aku dengan bau-bauan bunga kau orang tu,” jelas Ain.
“Wah, bagus... bagus! Lagi aku suka. Sekarang ni kita orang tengah sibuk. Baru dapat tempahan untuk majlis perkahwinan anak Datin Syakirah. Lepas tu ada tempahan gubahan bunga untuk majlis pelantikan CEO syarikat Datuk Ahmad. Itu belum lagi untuk majlis hantaran. Pokoknya, minggu ni minggu yang sibuklah,” ujar Khaty bersungguh-sungguh. Dia memang suka sangat kalau ada yang sudi menghulurkan bantuan. Bagai pucuk dicita ulam mendatang.
“Pergh, terbaik kau Khaty. Aku baru cuti beberapa hari, kau dah dapatkan job yang... wow!” puji Syifaa.
“Tak payah kau nak puji aku sangat. Huh!” cebik Khaty. Bukan dia tidak tahu makna di sebalik pujian Syifaa.
Meledak tawa Syifaa dan Ain. Baru saja dia mahu membodek Khaty, jelas gadis itu sudah tahu taktiknya.
Daripada suka-suka, kini mereka memiliki kedai bunga yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan. Niat untuk mencari hobi baharu untuk menghilangkan tekanan membuahkan hasil yang lumayan buat mereka. Semua ini tidak akan terjadi tanpa sokongan Ain dan Khaty.
Khaty sanggup melupakan impiannya untuk menjadi model hanya kerana mahu membantunya memajukan kedai bunga itu. Pelbagai susah senang telah mereka lalui demi menempatkan nama SKA Flowers sebaris dengan kedai-kedai bunga terkemuka di Malaysia. Jatuh bangun dalam perniagaan hanya mereka yang tahu.
“Syifaa, kau tak cerita lagi apa yang jadi kat rumah keluarga kau semalam. Kenapa mereka suruh kau balik tiba-tiba?” ujar Khaty memecah kesunyian kala itu.
Ain memandang Syifaa. Ada yang dia tertinggal ke? Setahunya, kedua orang tua Syifaa tidak pernah menyuruh temannya itu pulang ke rumah melainkan Syifaa dengan rela hati balik menjengah kedua orang tuanya.
Syifaa mengeluh. Pinggan yang masih berisi mi goreng ditolak ke tengah meja. Mati terus seleranya dengan soalan Khaty. Riak wajah ceria tadi berganti mendung.
Melihat perubahan riak wajah itu, Khaty rasa bersalah yang amat sangat.
“Sorry, Syifaa.” Dia bangun mendapatkan Syifaa lalu bahu si teman dipeluk erat.
“Takde apalah Khaty. Benda dah selalu sangat, aku dah jadi tepu, lali dengan semua drama ni.” Syifaa ketawa kecil. Sumbang kedengaran tawanya itu.
“Kalau kau perlukan teman, kau tahu kan kami ada?” ujar Ain pula.
Syifaa angguk. Dia tidak sangsi tentang kewujudan Ain dan Khaty. Kedua-dua sahabatnya ini memang manusia yang terbaik pernah Allah hadirkan dalam hidupnya selepas atuk dan nenek.
“Kau rasa kenapa diaorang suruh aku balik? Selain aku ni tempat mereka melepaskan hinaan dan caci maki, akulah manusia yang paling layak untuk mereka letakkan beban kesalahan,” luah Syifaa dengan rasa yang berbuku dalam hati.
“Syifaa.” Ain menyentuh tangan Syifaa. Menyalurkan kekuatan.
“Kali ni apa pula?” tukas Khaty.
“Adam... dia tak jadi nak kahwin dengan Dila. Dan kau orang tahu tak, famili aku salahkan aku atas apa yang terjadi. Diaorang kata aku hasut Adam supaya tinggalkan Dila,” luah Syifaa mendatar. Apabila diingatkan balik, dia mahu ledakan ketawa sekuat hatinya.
“Apa???” Terjerit kedua-duanya.
“Weh, apa kes ni? Kejap... Adam yang tinggalkan Dila, apasal pula nak salahkan kau? Bangang ke apa famili kau tu!” marah Khaty. Turun naik nafasnya menahan perasaan geram. Apa ke buta sangat mata ahli keluarga Syifaa ni? Tidak pandai hendak menilai mana kaca dan mana permata ke?
Ain menjeling Khaty. Tidak suka apa yang keluar daripada mulut gadis itu. Terlalu kasar perkataan ‘bangang’ itu.
“Apa? Aku tengah marah ni, Ain. Kau tak marah ke? Kenapa pula mereka nak kaitkan Syifaa dengan hal Dila dan Adam? Ingat Syifaa ni hadap sangat ke jantan tak guna tu? Dahlah tak setia, main loncat sana sini, buat perempuan tu macam murah sangat!” hambur Khaty. Sejak dulu lagi dia tidak berkenan dengan Adam. Meluat dengan sikap perasan bagus lelaki itu.
“Tahulah kau tengah marah, tapi kawallah sikit mulut tu,” tegur Ain. Tergeleng kepalanya. Kawan dia yang seorang ni kalau marah, mulut tu main sebut saja.
Khaty mencebik. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi dengan tangan menyilang dada. Cuba bertenang sebenarnya.
“Lepas tu apa jadi? Dila tak cakap apa-apa ke?” soal Ain pula.
“Dila? Entahlah. Senyap serupa orang bisu aku tengok. Adalah satu dua dia menjawab, tapi yang bersungguhnya mak long akulah,” ujar Syifaa. Anak perempuan seorang, haruslah Mak Long Siti membela kebahagiaan Dila. Untung Dila ada ibu yang sayangkan dia. Sedangkan dia... bilalah agaknya Puan Zuyyin akan lakukan perkara yang sama kepadanya. Melindungi dia daripada terluka.
Kepalanya menunduk ke bawah sambil menggeleng kecil.
‘Terlalu tinggi impian kau tu, Syifaa. Jika dia sudi ampunkan kau pun, itu sudah mencukupi. Sudi memandang kau...’ Kelopak matanya terpejam rapat bersama helaan nafas yang berat.
“Pelik pula aku. Sedangkan sebelum ni beria-ia Dila pujuk kau mengalah. Sekarang, dia boleh diam pula. Atau dia sengaja berlagak dialah mangsa yang patut dikasihani? Aduhai, hilang jantan aje pun. Gigihnya seperti hilang harta berjuta,” komen Khaty lebih tenang. Anak matanya tidak lepas daripada memandang Syifaa. Semakin melimpah simpatinya buat si teman. Bilakah akan datang bahagia untuk gadis itu?
Sejujurnya Syifaa juga sependapat dengan Khaty. Dila hanya bersuara setelah diprovokasi secara halus. Selebihnya, mak long yang bersungguh-sungguh mempersalahkannya. Apakah yang sebenarnya telah terjadi?
“Apa kena dengan Adam tu? Hari tu dia putuskan pertunangan kau orang sebab gilakan Dila. Dan sekarang putuskan hubungan dia dengan Dila pula. Bodoh betullah! Kalau aku jumpa dengan Adam tu, mahu aku botakkan kepala dia,” bebel Khaty lagi.
“Patutlah sampai sekarang tak kahwin-kahwin lagi kau ni, Khaty. Mulut tu... cuba bertapis sikit. Malu kalau mentua kau dengar.” Geram saja Ain tengok Khaty ini.
“Apa pula? Hilman tu yang lambat sangat. Nasib Hilman tu tak macam Adam. Kalau macam Adam... rasanya lebih baik aku jadi andartu.”
Ain geleng kepala. Diam-diam diketuknya kepala Khaty.
“Auch, sakitlah!” rengus Khaty.
“Tahu pun sakit. Mulut kau ni kan, aku cabaikan juga. Ada ke patut cakap sanggup jadi andartu daripada berkahwin. Orang semua takut digelar andartu, dia selamba saja berdoa begitu. Hah... jangan nanti Allah makbulkan doa kau, menangis kat tepi dinding,” bebel Ain.
“Alah, aku gurau ajelah.”
“Gurau, gurau... Khaty, ada benda kau boleh bergurau. Ada benda kau kena serius. Soal masa depan kau, jangan buat main. Ulama dah kata, apa yang keluar daripada mulut kita ni ibarat doa. Jadi, berhati-hati apabila bercakap. Jangan main lepas aje,” nasihat Ain lagi.
“Bila Ustazah Ain berbicara...” giat Syifaa bersama tawa. Geli hati dia melihat tingkah kedua-dua sahabatnya.
“Amin...” Ain layankan saja. “Dah habis sarapan, kan? Pergi naik mandi. Kau dah mandi Syifaa?”
“Dah.”
“Okey, kita orang naik bersiap dulu. Khaty, cepat! Kau tu mandi sejam dalam bilik air. Sejam pilih baju. Sejam mekap.”
“Ya, ya...” Khaty bangun mengikut belakang Ain. Matanya dijulingkan ke atas. Mulut sibuk mengajuk bicara Ain.
Tinggal Syifaa di meja makan. Tangan menongkat dagu. Qayyum! Bibirnya merekah senyum. Kenapalah kerap sangat nama itu terbit di bibir hatinya sekarang ini? Silap hari bulan, boleh tersedak lelaki itu.
Syifaa, wake up! Jangan terlalu lama di alam mimpi. Mimpi itu indah, tapi... Qayyum bukan mimpi. Lelaki itu realiti yang dia mahu lari. Tangan naik menyentuh dada.
No comments:
Post a Comment