“TERIMA kasih Cik Jihan kerana memberi kerjasama kepada pihak polis. Kebelakangan ini memang pelbagai kes pemerdagangan orang berlaku, terutamanya yang berkaitan dengan buruh paksa dan sindiket pelacuran yang melibatkan wanita warga asing. Ada juga yang jadikan Malaysia ni sebagai negara transit. Sebenarnya team saya dah ke gudang seperti yang diceritakan oleh Cik Jihan selepas pihak kami dapat panggilan daripada seorang perempuan malam tu tapi gudang tu kosong.”
Berkerut-kerut dahi Jihan memandang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Inspektor Aliff Imtiyaz sejak 15 minit yang lepas.
“Tuan tak jumpa sekumpulan perempuan yang dikurung dalam gudang?” soal Jihan, terkejut.
“Tak ada. Clean and clear sewaktu kami sampai di situ,” jawab Inspektor Aliff sambil menoleh kepada Fahim di sisi. Anak buahnya itu mengangguk perlahan.
“Macam mana dengan wartawan perempuan yang call tuan tu?” soal Jihan lagi. Melihatkan riak wajah Inspektor Aliff dan Fahim, Jihan terus berasa tidak sedap hati.
“Hilang tanpa dikesan. Identiti dia tak dapat dikenal pasti buat masa ini sebab dia tak perkenalkan diri waktu call kami. Kami cuba kesan panggilan dia dan kali terakhir telefon dia aktif memang di kawasan gudang tu. Kami masih menunggu laporan orang hilang,” terang Inspektor Aliff panjang lebar. Dipandang lama Jihan yang nampak terkejut kerana gadis itu sudah duduk memeluk lutut. Kelihatan Jannah Safiyya, adik Jihan yang sejak tadi setia di sisi Jihan menggosok perlahan bahu kakaknya.
“Cik Jihan okey?” soal Fahim yang sejak tadi hanya menjadi pemerhati.
“Saya okey, tapi macam mana dengan penjahat yang dah langgar kereta saya?”
Fahim menggeleng kepala perlahan.
“Tak ada maklumat lagi sehingga sekarang. Kawasan tempat cik kemalangan tu pun tak ada CCTV.”
“Tak mungkinlah penjahat tu tiba-tiba insaf dan hantar saya ke hospital sebelum dia larikan diri, kan?” soal Jihan dengan ketawa yang dibuat-buat kerana tiba-tiba dia terasa bulu romanya meremang.
“Cik Jihan tak cam muka lelaki tu?” soal Inspektor Aliff dan Jihan menggeleng perlahan. Dia cuma ingat yang lelaki itu berpakaian serba hitam dengan wajah yang dilindungi topeng hitam. Ingatannya tentang penyerang itu masih kabur sebenarnya.
“Tak apa, Cik Jihan berehat dulu. Kalau ada apa-apa yang Cik Jihan nak kongsikan, boleh terus call nombor saya atau Fahim,” pesan Inspektor Aliff sebelum dia dan Fahim meminta diri. Ibu bapa Jihan dan Hana melangkah masuk semula ke dalam bilik wad.
“Akak fikir apa dengan dahi berkerut-kerut tu? Kan doktor dah pesan yang akak kena banyak berehat dan jangan paksa otak tu untuk ingat semula apa yang dah jadi malam akak accident tu,” tegur Jannah.
“Akak masih rasa peliklah, dik,” jawab Jihan sebelum melepaskan keluhan perlahan.
“Apa yang pelik?”
“Akak memang yakin wartawan yang akak jumpa dekat gudang tu sebut apa yang berlaku malam tu ada kaitan dengan kes pemerdagangan orang. Akak nampak sendiri macam mana sekumpulan wanita dipukul dengan teruk. Akak nampak ada sekumpulan lelaki dekat situ.”
Jeda. Jihan memandang Puan Jamilah yang sedang berbual dengan Hana di tepi tingkap.
“Dah banyak kali akak check online news dekat internet tapi memang tak ada sebut apa-apa yang berkaitan dengan kes pemerdagangan orang di gudang terbiar tu. Jannah pun dengar yang tadi pegawai polis tu cerita bila pihak polis ke gudang terbiar tu, memang gudang tu kosong je.”
Kali ini Jannah turut sama mengerutkan dahi memandang Jihan.
“Dahlah, kak. Kalau lagi banyak akak fikir, lagi sakit kepala akak tu. Yang penting akak selamat dan akak dah buat apa yang akak boleh buat,” pujuk Jannah lembut. Risau dia melihat muka Jihan yang masih pucat.
Seraut wajah wartawan wanita yang bertopi itu berlayar semula dalam kepala Jihan. Mendengar cerita Inspektor Aliff tadi, memang dia risaukan wanita itu. Dia berharap yang wanita itu hilang kerana berjaya menyelamatkan diri.
“Jannah, akak nak pergi ambil angin dekat taman luar sana. Lagi lama akak duduk terkurung dalam bilik wad ni, lagi sakit kepala akak.”
“Jom, Jannah temankan akak.”
ANAK MATA Jihan ralit memerhatikan beberapa orang pesakit hospital yang sedang berjalan-jalan mengelilingi taman yang sederhana luas daripada bangku taman yang disediakan oleh pihak hospital. Tiba-tiba dia terasa bulu romanya meremang seperti ada orang yang sedang memerhatikannya. Cepat-cepat dipusingkan kepala mencari, tetapi yang ada hanyalah para pesakit dan juga staf hospital.
“Jannah tak rasa macam seram sejuk ke?” soal Jihan kepada Jannah yang asyik dengan telefon pintar di tangan.
“Kenapa? Angin petang ni buat akak rasa sejuk ke?” soal Jannah dengan pandangan mata masih pada skrin Samsung di tangan.
“Bukan, akak rasa macam ada orang tengah perhatikan kita.” Sekali lagi Jihan memusingkan kepala memerhatikan sekitar taman jika ada orang yang mencurigakan.
Terus Jannah ketawa memandang Jihan.
“Akak banyak sangat fikir sampai jadi macam ni. Mungkin sebab akak masih trauma dengan apa yang dah jadi malam tu,” jawab Jannah dan tangan Jihan digenggam lembut.
Jihan melepaskan keluhan perlahan sebelum anak matanya kembali meliar memandang kawasan sekeliling taman sekali lagi. Bunyi deringan telefon pintar Jannah yang agak kuat membuatkan Jihan terkejut. Sejak dia sedarkan diri dua hari lepas, dia mudah terkejut dengan benda-benda yang kecil. Mungkin kesan trauma dengan apa yang sudah berlaku.
“Jannah nak jawab call kejap ya, kak. Akak okey kan duduk sini sekejap?” soal Jannah dan perlahan-lahan berdiri.
“Akak okey je ni. Jannah janganlah risau sangat. Lagipun akak bukannya budak kecil,” jawab Jihan sambil ketawa kecil.
“Kalau ada apa-apa, akak jerit je tau,” pesan Jannah sebelum membawa langkah ke kolam ikan yang tidak jauh dari tempat duduk mereka.
Jihan sambung ketawa memandang Jannah yang sudah berlalu sambil perlahan-lahan membetulkan sandar tubuhnya pada badan bangku kayu. Sewaktu ini dia perasan ada seorang lelaki yang bertopi dan berpakaian serba hitam terus melintas lalu tidak jauh dari tempat duduknya.
Eh, sekejap!
Jihan terus memusingkan kepala mencari lelaki tadi, tetapi lelaki tersebut sudah menghilang dengan begitu cepat. Raut wajahnya yang tersorok di sebalik topi itu memang tidak jelas langsung pada pandangan mata Jihan. Cepat-cepat dia berdiri dan mahu melangkah masuk ke dalam bangunan hospital semula. Mungkin lelaki itu ada di dalam bangunan hospital.
Tiba-tiba Jihan terasa bahunya disentuh dari arah belakang. Membuatkan tubuhnya automatik mengeras dengan degupan jantung yang sudah laju.
“Kak Jihan...”
Jannah rupa-rupanya!
“Isy, dik. Nak berhenti jantung akak tau tak!”
“Sorry, kak. Lupa yang akak senang terkejut lepas accident ni. Akak nak pergi mana pulak ni? Tiba-tiba dah berdiri macam ni.” Jannah koyak sengih.
“Tak ada nak pergi mana-mana pun,” balas Jihan dengan anak mata yang masih meliar mencari bayang lelaki yang berpakaian serba hitam tadi, tetapi hampa.
Di sebalik tiang foyer hospital yang menjadi tempat persembunyiannya, Nine tarik keluar iPhone hitam dari dalam poket seluar dan nombor yang pernah dikongsi oleh Nadia minggu lepas didail pantas. Cepat sahaja panggilannya berangkat dan salamnya dijawab oleh suara lelaki.
“Aku dapat nombor kau daripada Nadia,” tutur Nine sambil anak mata masih tidak lepas memerhatikan Jihan dan Jannah yang sudah berjalan masuk ke dalam bangunan hospital semula. Kedengaran suara lelaki di hujung talian bertanyakan siapa dia.
“Aku sepupu Nadia. Aku kena jumpa kau sekarang. Penting!”
No comments:
Post a Comment