DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 14 December 2022

My Kind Of Different - Bab 3


KASAR beg yang dicampak ke atas lantai. Bergerak sofa tunggal ke belakang dek impak kuat daripada hempasan tubuh Karina.

“Kau kenapa, ni Kay?” tanya Aira melihat wajah temannya yang kemerahan.

“Lewat benar kau balik hari ni.”

Eeeiii!! Aku geram betul dengan bos baru aku tu. Kerja asyik nak marah, nak jerkah orang je!” dengus Karina. “Sakit betul hati aku ni!”

Aira hanya memandang temannya dengan riak simpati. Karina berusia 3 tahun lebih tua daripadanya, namun Karina lebih senang dipanggil Kay saja.

“Dah seminggu dia masuk kerja. Seminggu ni jugaklah hidup aku huru-hara!” gerutu Karina lagi. Tegang wajahnya. Bibir diketap kuat.

“Bukan kau kata hari tu yang dia kerja kat bahagian operasi ke? Kau sekretari bos kat bahagian HR, kan?” soal Aira.

“Aku dah kena tukar. Sekarang aku kena jadi sekretari dia! Sehari je sekretari asal dia bertahan, terus kena tukar ke jabatan lain. Entah apa yang tak kena dengan Wati tu pun aku tak tahu. Padahal, Wati tu senior 2 tahun daripada aku kat dalam pejabat tu,” gumam Karina masih tak puas hati.

Chewah! Kira kau baguslah daripada Wati kan, sebab kau berjaya bertahan sampai seminggu,” puji Aira cuba memujuk hati Karina. “Terrer sungguh kawan aku ni!”

“Huh!”

“Kau dah makan?” Lembut Aira bertanya. “Ada lagi nasi goreng yang kak long masak tadi.”

“Belum. Bos tu kejam. Dahlah kena kerja overtime, makan pun tak sempat,” tuduh Karina. “Kejap lagi aku makan. Aku nak mandi dulu. Syukurlah esok Sabtu. Tak payah nak menghadap muka bos aku tu. Aku nak rehat sepuas-puasnya.”

Aira tersenyum.

“Dah, pergi mandi. Masam!” Hidung sengaja dikerutkan dengan jari sengaja menutup kedua belah lubang hidungnya.

Karina menjeling ke arah temannya.

“Cis!” Beg yang dicampak tadi diangkat sebelum kaki dihentak masuk ke dalam biliknya.

Aira tersenyum melihat gelagat Karina. Alat kawalan jauh dicapai. Televisyen dipasang.

“Ai...”

Aira menoleh.

“Kenapa kak long?”

Maya mengambil tempat di sebelah adiknya.

“Tadi Amir telefon akak. Dia nak pakai duit sikit untuk beli buku latihan.”

“Oh, okey. Nanti Ai bagi. Kenapa Amir tak telefon Ai sendiri?”

“Dia tahu Ai kerja, kan? Selalunya Ai akan silentkan phone kalau tengah kerja. Sebab tu dia telefon akak.”

Aira mengangguk. Minda tiba-tiba terkenangkan si adik di asrama yang akan menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi.

Errr... Ai... Ai tak nak balik kampung jenguk ayah?” Teragak-agak Maya bertanya. Perlahan nada suaranya. Wajah adiknya dipandang lama. “Dah lama benar kita tak balik. Kita balik nak?”

Aira diam. Mata masih lurus ke depan menghadap  skrin televisyen. Lama? Memang lama dia tak bertemu dengan ayahnya! Sangat lama! Dah lebih 6 tahun.

“Akak tahu Ai kecik hati dengan ayah. Tapi sampai bila? Ai tak rindu ke kat ayah?” sambung Maya tatkala melihat adiknya kekal membisu.

“Ai tak kecik hatilah kak. Ai okey je, tapi Ai rasa biarlah dulu. Nanti-nantilah kita balik jenguk ayah ya?” Laju Aira menangkis kata-kata kakaknya.

Maya memutuskan untuk tidak berkata apa-apa lagi. Keluhan disimpan saja dalam hati. Walaupun wajah Aira kekal tenang, namun dia tahu segala yang tersimpan dalam hati adiknya itu.

“Akak masuk bilik dulu ya. Nak tidur. Ai jangan tidur lewat sangat. Esok pagi kerja.” Pesanan yang hampir sama disampaikan pada setiap malam oleh Maya kepada adiknya.

“Okey,” patuh Aira.

Cahaya dari kaca televisyen tidak mampu menenggelamkan kesuraman di wajah Aira. Hilang sudah ketenangan yang dipamerkan buat tatapan kakaknya. Seharian dia tersenyum melayan pelanggan, kini dia hanya mahu melayan perasaan sebenar di jiwanya. Mata dipejamkan seketika. Bayangan wajah ayah terlayar di ruang mata. Rindu? Masakan dia tak rindu? Mestilah dia rindu. Selama ini, mereka tiga beradik sangat rapat dengan ayah. Namun, apakah perasaan rindu itu berbalas? Atau sebenarnya ayah sudah lupa pada mereka bertiga? Lagipun, ayah sudah lama membuang mereka. Kuat betul penangan janda beranak dua yang sudah mengambil tempat mereka tiga beradik di hati ayah. Anak kandung sendiri tidak diendahkan, anak tiri juga yang diagung-agungkan.

“Ai, esok mungkin aku singgah kat kafe kau tau.” Suara Karina membuat mata Aira kembali celik.

“Abang aku nak jumpa. Ada benda apa entah dia nak bincang dengan aku.” Karina kini sudah berbaju kelawar. Rambutnya basah. Tangan memegang mangkuk berisi nasi goreng. Dia duduk di sebelah Aira.

“Okey.”

“Kau jangan takde pulak esok. Kecewa abang aku nanti.” Terletus tawa Karina yang jelas mahu mengusik temannya.

Aira menjeling. Tidak suka dengan gurauan Karina.

“Hailah, Ai... susah betul nak jadikan kau kakak ipar aku, kan?”

“Diamlah! Aku tak suka kau cakap macam tu.” Aira melaungkan amaran.

“Apa kurangnya abang aku tu, ek? Abang aku tu dah lama suka kat kau tau. Kau pun tahu dia tu engineer, kan? Kalau kau jadi isteri dia, senang hidup kau, Ai. Tak payah susah-susah nak kerja kat kafe tu lagi. Entah-entah kau boleh sambung belajar macam yang kau nak sangat tu.” Nasi goreng disuap ke mulut penuh berselera. Pandai sungguh Maya dalam bab masak-memasak ni.

Aira beku.

“Ai, kau bagilah peluang kat abang aku. Apa salahnya?” Karina masih cuba memujuk. Aira bukan sehari dua dikenalinya. Sudah lama dia mengenali Aira maka dia percaya Aira merupakan insan yang sangat cocok buat abangnya.

“Tak payahlah, Kay. Aku tak hinginlah nak dapat adik ipar macam kau ni. Seksa jiwa raga aku sepanjang hayat,” ujar Aira selamba. Riak tanpa perasaan dikekalkan di wajah.

“Ai!” jerit Karina kuat. Lengan Aira ditampar. “Jahat tau kau ni!” Muncung ditarik 12 inci.

Aira sudah ketawa. Besar tawanya. Lama-lama, Karina turut ketawa.

“Kau masih takut ya Ai?” duga Karina sebaik saja tawanya reda.

“Taklah... aku cuma masih belum bersedia nak bersuami. Abang kau tu tengah cari calon isteri. Dia dah bersedia nak berkeluarga. Aku belum lagi. Amir pun tak lepas belajar lagi, macam mana aku nak kahwin? Dia tu tanggungjawab aku.”

“Kau jangan nak kelentong akulah, Ai. Kau sebenarnya tak percaya yang abang aku ikhlas nak berkawan dengan kau, kan?”

Aira mengeluh panjang.

“Abang aku bukan macam Luqman, Ai.” Lembut Karina bersuara. Mangkuk di tangan diletakkan ke atas meja kopi di hadapan mereka.

“Dia takkan buang kau hanya sebab kau tak berpelajaran tinggi. Dia dah tahu pun semua tentang kau sebelum dia mula minat dengan kau lagi. Tapi kau tu yang tak nak beri peluang pada dia.”

“Dia mungkin tak kisah pasal aku, tapi aku kisah.” Sayu senyuman di bibir. “Terima kasih tau sebab kau rasa aku layak untuk abang kau, tapi aku yang tak selesa. Aku harap kau faham.”

Karina menyimpul rasa hampa di hati. Rasa simpati yang dirasakan buat Aira begitu kuat mencengkam di jiwanya. Kesian Aira. Sehingga kini kesan ekoran tindakan Luqman masih menguasai setiap keputusan Aira. Betapa seorang lelaki bisa membuat Aira berasa rendahdiri sehingga begini sekali. Sedangkan, bukan kehendak Aira mengorbankan cita-citanya untuk mengikut jejak Luqman ke menara gading. Dia terpaksa!

“Ai, Amir tu bukan bawah tanggungjawab kau. Dia tu masih ada bapak tau!” tegur Karina. “Tapi bapak kau tu yang...”

“Dahlah, Kay,” potong Aira. “Biarlah...” Tenang saja suaranya. Tidak sanggup mendengar orang luar berkata yang tidak elok tentang ayahnya, walaupun perkara itu sesuatu yang benar. Baik buruk si ayah, lelaki itu tetap darah dagingnya.

“Aku masuk dulu. Dah ngantuk.” Aira beralasan. “Selamat malam.”

“Selamat malam,” balas Karina.

Aira masuk ke dalam bilik yang dikongsi bersama kakaknya. Rumah pangsa mereka ini kecil saja. Hanya punya dua bilik. Walaupun Karina sudah mampu untuk hidup sendiri, namun dia tidak sanggup berpisah dengan Aira dan Maya. Mereka sudah seperti saudaranya. Dan dia sedar jika dia mencari rumah lain, mungkin agak sukar untuk Aira mencari wang untuk menampung sewa rumah ini bersendirian memandangkan Maya tidak bekerja sepenuh masa.

Televisyen yang masih terpasang ditutup. Minda ligat memikirkan cara untuk memujuk Aira agar menerima abangnya.

 

“TAK JATUH lagi hari ni?”

Statik tangan yang memegang kain pengelap untuk mengemas meja yang baru dikosongkan. Aira meluruskan tulang belakang. Dulang yang dipeluk ke dada hampir saja terlepas ketika ditegur tadi.

Wajah serius lelaki yang baru saja bersuara dipandang. Kaca mata hitam ditanggalkan perlahan lalu disangkut ke belahan kolar baju. Penuh gaya. Walaupun lelaki itu sentiasa serius, Aira tak dapat menafikan hakikat bahawa dia sememangnya segak dan mempunyai aura yang sangat menawan.

Seperti selalu, manis senyuman Aira menyambut mana-mana pelanggan yang masuk ke dalam kafe, walaupun dia sedar yang dirinya sedang disindir oleh lelaki itu.

“Belum lagi, encik. Mungkin kejap lagi.” Selamba balasan Aira.

Zayyan mengambil tempat di meja yang sedang dikemas oleh Aira. Sukar menghalang kesan senyuman gadis itu pada jantungnya. Kesan yang sama dirasakan setiap kali Aira mengukirkan senyuman, tak kira dalam apa jua keadaan. Pelik sungguh dia!

“Kapucino panas satu,” pesan Zayyan. “Roti bakar 1 set.”

“Baik.”

Cekap sungguh Aira bekerja. Pesanan daripada pelanggan tidak perlu ditulis. Semuanya dihafal dan ketika menghidangkan makanan, dia tetap ingat pesanan yang dibuat oleh setiap pelanggan tanpa perlu bertanya. Tak kira meja yang menempatkan empat atau enam orang, Aira tidak perlu membuat catatan. Semua termaktub dalam ingatan. Mahu tak mahu, Zayyan terpaksa mengaku bahawa dia cukup kagum dengan kebolehan gadis itu.

Aira meletakkan minuman yang dipesan oleh Zayyan dengan penuh hati-hati.

“Azim ada?”

“Bos keluar kejap. Dia kata ada barang dapur nak beli,” balas Aira.

“Ai!” panggilan daripada seseorang yang baru melangkah masuk meleraikan tautan mata antara Aira dengan Zayyan. Aira menoleh.

Berkerut dahi Zayyan. Tindakan yang tidak ditangkap oleh mata Aira.

“Kau dah sampai, Kay?” tegur Aira mesra. Tambah mekar senyuman di wajah. Beberapa langkah diambil untuk mendekati Karina.

“Abang aku dah sampai ke?” soal Karina.

“Belum.”

“Okey takpe. Aku oder dululah ek? Lapar gila ni,” rengek Karina.

Karina mengambil tempat di meja bulat yang menempatkan tiga buah kerusi. Dia menebarkan pandangan ke sekitar kafe. Dia menarik nafas ketika matanya berlabuh pada lelaki yang duduk tidak begitu jauh daripada mejanya. Berubah riak wajahnya tiba-tiba. Hilang sudah keceriaan di wajahnya tadi.

Errr... bos!” seru Karina. “H... hai...”

Bos? Ni ke bos baharu Karina? Terkelu Aira jadinya. Inikah lelaki yang sering menjadi topik bualan temannya? Inikah lelaki yang telah menghuru-harakan kehidupan teman baiknya akhir-akhir ini? Ya Allah, betapa kecilnya dunia!

“Karina,” tegur Zayyan bersama satu anggukan di kepala.

Aira memandang Karina dan Zayyan silih berganti. Akhirnya mata dibawa ke wajah Karina yang sudah seperti tercekik biji cempedak. Pantas Aira bergerak untuk mengambil menu sebelum dihulurkan kepada Karina.

Laju mata Karina menelaah menu, seolah-olah itulah dokumen yang paling penting dalam hidupnya. Dia menelan keluhan. Hailah... ingatkan hari ni dia dapat lari daripada bosnya. Rupa-rupanya tidak!

“Assalamualaikum...”

Spontan Aira dan Karina menjawab ucap salam yang dihulurkan.

Sorry, Kay, abang lambat. Terlajak tidur lepas subuh tadi.” Shidi mengambil tempat di sebelah adiknya. Bersinar matanya dapat melayang pandang ke wajah Aira, gadis yang didambakan sekian lama. “Ai, sihat? Lama benar abang tak jumpa Ai.”

“Sihat je, bang, alhamdulillah. Abang?”

“Sihat. Bertambah sihat hari ni sebab dapat jumpa Ai,” usik Shidi. Bibir sudah menyengih. Aira hanya mampu tersenyum.

Tak berkalih mata Zayyan daripada meja yang menempatkan Karina. Piring berisi roti bakar yang baru diletakkan di hadapannya pun tidak diendahkan. Laila yang masih cuba mencuri perhatian Zayyan hanya mampu mendongkol geram dalam hati.

Beb, aku nak nasi lemak lauk ayam goreng dengan teh tarik.” Karina membuat pesanan sambil menyerahkan menu kepada Aira. “Abang nak makan apa?”

“Samalah, senang,” balas Shidi. Menu ditutup.

Aira mengangguk sebelum berlalu.

Kalau sebelum ini hanya sepasang mata yang mengekor setiap gerak-geri Aira, kini sudah menjadi dua pasang. Mata milik Zayyan dan juga Shidi. Setia mengikut setiap langkah Aira tanpa pengetahuan gadis itu.

Menyesal pula Karina mencari tempat duduk yang agak dekat dengan Zayyan. Kalau dia tahu Zayyan berada di kafe yang sama, dia akan mencari meja yang lebih jauh sedikit.

“Bang, sudah-sudahlah tenung si Ai tu. Dia tak minat kat abang pun,” tegur Karina. “Abang nak bincang pasal apa dengan Kay ni?”

Akhirnya, Shidi mengalihkan pandangan matanya.

“Abang nak bincang pasal Ailah.” Suara sengaja diperlahankan. Wajah si adik dipandang. Bibir sudah menyengih.

“Laaa... nak bincang pasal Ai, tapi nak bincang kat sini, tempat dia kerja. Tak logik betul abang ni,” ngomel Karina.

Shidi ketawa kecil.

“Saja... lama gila abang tak jumpa dia. Rindu!”

Kuat bunyi hentakan cawan kopi ke atas piring di atas meja. Terangkat sedikit bahu Karina tanda terkejut, namun dia tidak menggerakkan mata. Tidak mahu melihat ke wajah bosnya dan dia tak mahu tahu sebab Zayyan menghentakkan cawannya sebegitu.

“Abang ni mengada-adalah. Betul-betullah. Kenapa abang nak jumpa Kay?”

“Betullah ni. Abang nak minta tolong Kay. Tolong abang dapatkan Ai.”

“Kan Kay dah cakap dia tak berminat. Kay dah cuba beberapa kali sebelum ni. Jawapan dia tetap sama.”

Mata Shidi kembali mencari sasaran. Objek yang diperkatakan kini kian menghampiri meja mereka. Dua gelas teh tarik diangkat dari atas dulang lalu diletakkan ke atas meja. Cermat aksi Aira.

“Ai dah makan?” Lembut Shidi bertanya.

“Tak sempat lagi. Terkocoh-kocoh tadi nak hantar kak long. Kejap lagi Ai makan.”

Zayyan mengilas pandang jam di pergelangan tangan. Sudah menghampiri ke pukul 11.00 pagi. Dia masih belum makan?

“Jomlah makan dengan kita orang,” ajak Shidi. Mata sudah bercahaya.

“Tak boleh, abang. Ai tengah kerja ni,” tolak Aira penuh sopan.

Shidi mengeluh melihat Aira kembali ke belakang kaunter.

“Keras betul hati dia, kan? Abang tak tahu lagi nak buat macam mana. Bila ajak dia keluar, ada je alasan dia.”

“Abang betul-betul suka ke dengan Ai?” Tak berkalih mata Karina daripada wajah si abang. Ingin melihat keseriusan abangnya dalam mengejar Aira.

Shidi membalas pandangan adiknya.

“Sebelum ni abang tengok Ai tu biasa-biasa je orangnya. Tapi mungkin masa tu dia masih belum matang lagi. Sekarang abang tengok Ai ni manis sangat orangnya. Manis, tenang dan murah dengan senyuman. Abang tak pernah tengok dia marah-marah. Kay sendiri pernah cakap yang Ai ni tak pernah marah. Abang suka peribadi dia. Dan abang tahu hati dia baik sangat. Kalau tak, takkan dia sanggup nak berkawan dengan adik abang yang gila ni, kan?” Aira bukanlah perempuan yang cantik bagai bidadari tapi kemanisan wajah gadis itu, bisa membuat dirinya sentiasa tenang setiap kali dia memandang Aira.

Dalam pujian sempat lagi Shidi mengenakan adiknya. Karina menjeling, namun di hati, dia bersetuju dengan pendapat abangnya.

“Kay tak dapat nak tolong abang ke? Abang dah tak larat nak hadap mak bebelkan abang setiap kali berjumpa. Asyik tanya bila abang nak kahwin je.”

Bahu dijongket.

“Entahlah bang... Kay tak nak paksa. Ai tu lain sikit orangnya. Kalau hitam kata dia, hitamlah...”

Shidi terdiam. Kecewa dia dengan jawapan Karina.

“Abang usahalah sendiri. Kay tak nak hubungan Kay dengan Ai ada masalah pulak nanti, kalau Kay yang lebih-lebih,” saran Karina kepada abangnya.

“Yalah, nanti abang cuba.” Shidi mengangkat bendera putih. Nampaknya, dia terpaksa berusaha sendiri. Karina sudah puas mencuba namun tetap gagal. Tapi kalau Aira tetap tidak mahu memberikan peluang kepada dirinya, apa lagi yang perlu dilakukannya? Ibunya pun sudah lelah bertanya. Alasan apa lagi yang perlu diberikan kepada ibunya sedangkan dia bukanlah seorang lelaki yang tak laku?

 

No comments:

Post a Comment