DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 14 December 2022

My Kind Of Different - Prolog

“KAU biarkan dia pergi macam tu je?”

Aira tidak mengalihkan pandangan daripada figura yang semakin lama semakin menjauh sebelum hilang ditelan perut lif. Wajah Karina yang tiba-tiba berdiri di sebelahnya tidak dipandang.

“Kau nak aku buat apa?” keluhnya penuh kesal. Riak wajahnya hampa.

“Kau langsung tak cuba nak tahan dia. Kau terima apa je keputusan dia. Kenapa?” desak Karina lagi. Jelas pada pemerhatian Aira bahawa Karina telah memasang telinga sejak tadi. Namun dia tak kisah. Biarlah. Dia sudah malas nak fikir apa-apa.

“Dia dah ada orang lain, Kay. Dia dah tak perlukan aku lagi. Aku nak kata apa?” Akhirnya, Aira memalingkan wajah. Muka tak puas hati Karina akhirnya ditatap.

Kasar dengusan yang dilepaskan Karina.

“Kau bercinta dengan dia bukannya setahun dua, Ai. Dah dekat 5 tahun. Kau setia tunggu dia. Tahu-tahu dia boleh bercinta dengan orang lain. Dan kau sikit pun tak nak cakap apa-apa tadi,” tuduh Karina masih bengang dengan tindakan temannya yang seakan mudah membiarkan cintanya berlalu.

Aira masuk ke dalam rumah, diikuti rapat oleh Karina. Tidak senang dengan tingkah Aira yang dirasakan terlalu tenang kini.

“Ai!” jerit Karina. “Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?”

Lelah dihempaskan ke sofa usang di ruang tamu kecil rumah pangsa yang dikongsi bersama Karina ini.

“Aku dengar...” lemah balasan Aira. Kepala disandarkan ke dinding sofa. Mata dipejamkan seketika.

“Takkan senang sangat kau biarkan dia pergi?” ulang Karina lagi.

Aira menegakkan tubuh. Melawan pandang mata tajam Karina yang berdiri tegak di hadapannya.

“Kau nak aku buat apa? Dia orang yang berpelajaran. Belajar pun kat universiti. Aku setakat SPM je, Kay. Mestilah dia nak cari yang lebih baik daripada aku dan dia dah jumpa pun. Sama-sama belajar kat universiti yang sama. Kalau kau tanya aku, aku memang tak terkejut pun dia dah jumpa orang lain. Aku sedar diri aku siapa.”

Sekali lagi Karina mendengus sebelum punggung dihenyakkan kasar ke sebelah temannya. Sorotan matanya penuh simpati.

“Kau belajar setakat SPM je bukan sebab kau tak pandai, Ai. Kau lebih pandai daripada dia, tapi kau yang terpaksa ketepikan cita-cita kau untuk sambung belajar. Kau terpaksa berkorban. Takkan dia tak ingat semua tu? Tu bukan alasan untuk kau biarkan dia pergi macam tu je!”

Aira menjongket bahu.

“Kenapa kau kata kau tak terkejut dia akan jumpa orang lain?” soal Karina.

Lama Aira diam sebelum berkata-kata. Matanya memandang kosong ke dinding bertentangan.

“Dia... dia dah lain... dah lama aku perasan tapi aku diamkan je. Mula-mula aku cuba sangka baik. Aku kata kat diri aku sendiri, mungkin dia sibuk sebab stres dengan kelas, dengan assignment semua tu, sebab tu dia semakin lama semakin jauh daripada aku, semakin tak mesra. Call pun tak sekerap dulu. Berjumpa apatah lagi. Lebih-lebih lepas dia dah mula bekerja. Asyik sibuk memanjang. Tapi... ada gak terlintas kat hati aku ni yang dia ada orang lain. Depan aku pun, dia asyik layan mesej kat telefon. Cuma aku malas nak layan rasa syak yang dah mula berputik.”

“Aku masih tak puas hati kau diam je tadi. Dahlah dia minta putus dengan kau kat depan rumah kita ni. Kalau ya pun, ajaklah kau pergi tempat lain yang ada privasi sikit. Ni tak. Macam tak menyempat. Nanti satu bangunan flat ni akan soksek-soksek hal kau,” ngomel Karina. Berkerut dahinya.

Aira diam tidak membalas. Tak salah pun pendapat Karina tu. Sememangnya, Luqman seharusnya lebih sensitif dengan perasaannya. Apalah salah mereka bertemu dan berbincang dalam persekitaran yang lebih elok? Bukannya dalam keadaan berdiri di hadapan rumahnya seperti tadi. Mereka berkenalan bukan sehari dua. Malah mereka bercinta sejak di bangku sekolah lagi ketika Aira berada di tingkatan 4 dan Luqman di tingkatan 5. Takkan tiada sekelumit pun rasa kasih yang tinggal dalam hati lelaki itu buatnya? Lagaknya tadi jelas tergesa-gesa, seolah-olah tidak sabar untuk mengakhiri episod cinta mereka berdua.

Dan segala yang baru terjadi sebentar saja tadi terlayar di ruang mata.

“Ai... saya rasa elok kalau hubungan kita sampai di sini saja.” Luqman memulakan bicara. Wajahnya serius. Namun matanya memancarkan rasa bersalahnya terhadap Aira.

“Kenapa?” Satu perkataan saja yang meniti di bibir Aira. Dada tiba-tiba terasa sempit.

“Sebab... sebab... saya dah jumpa orang lain, Ai, maafkan saya.”

“Sejak bila?” lemah Aira bertanya.

Luqman melarikan mata. Tidak sanggup lagi melihat mata Aira yang penuh luka.

“Dah 6 bulan.”

Liur ditelan pahit. 6 bulan? 6 bulan? Selama inikah dia diperbodohkan oleh Luqman?

“Kenapa baru sekarang awak nak putus dengan saya? Kenapa tak lebih awal daripada ni? Kenapa tak 6 bulan dulu?” soal Aira lagi.

Luqman tidak mampu menjawab.

“Sebab masa tu awak tak pasti dia lebih baik daripada saya, kan? Sekarang awak dah pasti,” tebak Aira. Perubahan riak di wajah Luqman membuktikan telahannya betul sama sekali.

“Saya minta maaf. Bukan saya tak sayangkan awak, Ai... tapi dia lebih banyak persamaan dengan saya daripada awak. Kita orang berdua sama-sama lepasan universiti. Lagipun dia....”

“Dahlah, awak,” cantas Aira. Tidak sanggup mendengar Luqman melebih-lebihkan perempuan lain di hadapannya. Tiada seorang perempuan pun yang sanggup mendengar teman lelaki sendiri memuji kebaikan perempuan lain di hadapannya. Kalau dah tak nak tu, semua alasan akan dipetik dari angkasa untuk memenangkan hujahnya. Namun, tiada satu pun yang mampu memujuk hati Aira ketika ini.

Luqman mengetap bibir.

“Saya minta maaf... saya pergi dulu...”

Dan dengan itu, mudah saja lelaki itu berlalu. Lelaki yang telah mengambil tempat di hatinya sejak sekian lama, kini melangkah pergi tanpa berpaling sejenak pun ke arahnya... waima ucapan ‘selamat tinggal’.

“Ai! Ai!”

Suara nyaring Karina menariknya kembali ke alam realiti.

“Apa?”

“Kau masih tak jawab soalan aku. Kenapa kau tak tahan dia? Aku tahu kau sayang gila kat dia. Kalau tak, kau takkan setia tunggu dia selama ni!”

“Aku dah berikan segalanya kepada dia, Kay. Kasih sayang aku, kesetiaan aku, semuanya aku untukkan untuk dia seorang. Yang tinggal sekarang ni, hanya harga diri aku. Takkan tu pun aku nak beri pada dia? Kau lagi senang kalau aku merayu, aku melutut supaya dia tak tinggalkan aku?”

Kali ini Karina tidak membalas. Bibir diketap kuat. Tangan Aira dicapai lalu digenggam. Hairan mengapa tiada setitis air mata pun yang tumpah daripada kolam mata temannya itu.

“Aku kat sini, Ai. Aku sentiasa ada untuk kau.”

Sayu senyuman yang terukir di tepi bibir Aira.

“Lepaskanlah, Ai. Kau akan rasa lebih puas kalau kau hamburkan semuanya,” ujar Karina. “Jangan pendamkan. Kalau kau nak nangis, kau nak maki-maki dia, kau buat je. Aku sanggup dengar.”

Aira menggeleng.

“Aku tak rasa nak menangis sekarang, Kay. Mungkin esok atau lusa air mata tu akan mengalir. Tapi bukan sekarang... bukan sekarang...”

Karina melepaskan keluhan penuh kekesalan.

 

DARIPADA BALIK pintu bilik tidak jauh daripada ruang tamu, sepasang telinga tekun mendengar perbualan antara Aira dengan Karina. Tanpa sedar, menitis air jernih ke pipi. Mata dipejamkan erat. Tidak tertanggung rasa bersalah yang menekan ke atas bahunya. Kesiannya Aira... kesiannya dia...

Dan dia tahu, Aira tak akan menangis sama ada esok, mahupun lusa... Tak akan!

 

No comments:

Post a Comment