DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 18 May 2023

Bonjour, Mon Amour - Bab 1

 

“You can’t help who you fall in

love with.”

~E.L. Montes, Cautious~

 

BEBERAPA paket dark chocolate jenama Beryls disusun kemas di atas kaunter diikuti dengan mentega dan beberapa papan telur yang sudah dibasuh bersih. Anak mata Layla mencari jam di dinding. Ada lebih kurang setengah jam sebelum kelas membuat kek yang dianjurkan oleh Pahlawan Café akan bermula. Daripada kaunter utama, kelihatan Tuah Iskandar dan Lekiu Akmal; dua orang staf penting kafe sedang sibuk menyusun kerusi dan meja untuk menyambut kedatangan para peserta sebentar lagi.

“Kenapa tiba-tiba Pahlawan Café nak buat baking class pula?” soal Layla sebaik sahaja pasangan kembar Tuah dan Lekiu kembali ke kaunter.

Aik, akak tak tanya dengan sepupu akak ke?” soal Tuah; merujuk kepada Luth Hannan yang merupakan sepupu Layla merangkap tuan punya kafe. Disebabkan Luth terlalu sibuk menguruskan Archsigno Holdings, maka urusan kafe diamanahkan kepada Tuah dan Lekiu. Sejak awal-awal penubuhan Pahlawan Café memang Tuah dan Lekiu yang banyak membantu untuk membangunkan kafe.

“Akak dah tanya, tapi masalahnya bos korang tu jawab ‘saja, nak buang tabiat.’ Tak menjawab soalan betul,” jawab Layla geram.

 Sudahlah tiba-tiba Luth meminta tolong supaya dia datang membantu Tuah dan Lekiu hari ini, tetapi apabila dia bertanya lebih lanjut tentang baking class hari ini, Luth hanya menjawab sambil lewa.

“Betullah tu. Memang L buang tabiat pun. Tak pernah kita tutup kafe untuk buat baking class selama ni. Baking class pun tak pernah buat,” sokong Lekiu dengan kepala yang diangguk perlahan. Dia sendiri pelik dengan idea tiba-tiba Luth atau lebih mesra dipanggil sebagai L oleh dia dan Tuah.

“L sejak anak dah masuk dua orang ni lagi pelik-pelik perangai dia. Perangai dia tu dah memang pelik dari sebelum ni, tapi ni bertambah-tambah pelik,” tambah Tuah.

Puk!

“Seronok eh mengata aku tak pandang kiri kanan?” tegur satu suara dari belakang dan kedengaran bunyi Tuah mengaduh sambil menggosok bahu yang pedih kerana ditumbuk oleh Luth yang tiba-tiba muncul.

“Eh, Abang Luth, Kak Uya!” tegur Layla dan Luth yang ditemani isterinya; Ulya Hana sudah tersengih-sengih.

“Ingatkan tak datang kafe hari ni,” sambung Layla sebaik sahaja bersalaman dengan Uya.

“Mestilah datang sempena aktiviti pertama kafe untuk tahun ni. Belum ada yang sampai lagi ke?” balas Luth sambil anak mata melirik ke jam dinding; ada 15 minit lagi sebelum kelas bermula.

“Belum. Eh, tu macam ada yang dah sampai,” jawab Lekiu dan menerusi pintu kaca kafe kelihatan ada dua orang wanita menolak pintu kafe dari luar. Lekiu menghampiri mereka berdua dan membawa ke meja yang sudah disediakan.

“Layla cuti lama ke kali ni? Bila kena balik Paris balik?” balas Uya.

“Tak pasti lagi, Kak Uya. Kali ni cuti lama sikit sebab mommy bising yang Layla dah lama tak balik,” jawab Layla. Dia mula bekerja dengan Madame Ines secara sambilan sewaktu tahun akhir di ESIEE Paris. Disebabkan dia masih belum mendapat kerja yang sesuai dengan kelayakannya, maka dia terus bekerja sepenuh masa dengan Madame Ines sehingga tanpa sedar sudah setahun lebih berlalu.

Siapa sangka daripada hobi suka-suka memasak, membuatkan dia ‘jatuh cinta’ dengan Sedapnya Café milik Madame Ines.

“Mak su pun dah bising minta Layla back for good, kan? Sampai bila nak kerja kat negara orang katanya.”

Layla sudah menggaru pipi yang tidak gatal sambil wajah Uya yang manis tersenyum itu dipandang.

“Itulah, Kak Uya. Kali ni mommy drama sikit minta Layla balik. Dia risau katanya tapi itulah balik sini pun tak pasti nak kerja kat mana. Keadaan ekonomi kita tak okey sangat dan peluang kerja dalam bidang network engineering pun terhad kat Malaysia buat masa sekarang.”

“Layla memang nak kerja dalam bidang yang sama macam degree Layla ke? Atau tak kisah?” soal Luth pula.

“Tak kisah sebenarnya.”

Kali ini Luth dan Uya saling berpandangan sebelum sama-sama tersenyum memandang Layla. Berkerut-kerut Layla memandang pasangan suami isteri di hadapannya ini. Dah kenapa pula ni?

“Apa kata Layla ambil alih tugas abang uruskan Pahlawan Café? Tuah dengan Lekiu dah cukup sibuk dekat dapur sebab staff kitchen part-time pun dah berhenti. Jadi, memang budak berdua tu tengah tak menang tangan,” ucap Luth serius.

“Luth jenis tak percayakan orang lain terutamanya yang dia tak kenal sangat untuk uruskan kafe, jadi Layla ialah orang yang terbaik,” sokong Uya pula.

“Ni betul-betul ke main-main? Macam mana kalau Layla ambil alih tugas Abang Luth dan tiba-tiba kafe jadi rugi ke, apa ke?”

Luth sudah tergelak-gelak.

“Janganlah risau benda-benda yang di luar kawalan kita macam untung atau rugi tu. Apa yang penting, abang tahu Layla akan sungguh-sungguh uruskan dan jaga kafe ni nanti lebih baik daripada abang yang tak boleh nak fokus sangat dekat Pahlawan Café.”

“Kita orang sokong, Kak Layla...” sampuk Tuah.

“Laju aje kau, kan!” Luth menjeling dan Tuah tersengih.

“Bagi Layla fikir-fikirkan dulu, boleh?” balas Layla dan Luth mengangguk dalam senyuman.

 

 

“KITA NAK buat apa datang sini?” Sepasang mata Qadr mendongak memandang Pahlawan Café yang berada di depan mata. Cuaca petang yang elok panas terik membuatkan sepasang matanya menjadi sepet menahan cahaya matahari.

“Laaa... kan aku dah cakap yang kita nak attend baking class,” jawab Qaid dalam ketawa. Sudah banyak kali diulang sebut kepada Qadr tetapi adiknya itu sangka yang dia bergurau.

“Kita?” Jari telunjuk Qadr bergerak menuding diri sendiri dan Qaid dengan dahi yang sudah berkerut-kerut.

“Haah.” Qaid angguk dalam senyuman.

Attend baking class?”

“Ya. Kau ni lama sangat pergi offshore sampai jadi pekak ke bila balik darat?”

Terus Qadr menjeling tajam Qaid yang seronok ketawa.

“Kenapa kita kena pergi baking class pula?” soal Qadr tidak berpuas hati. Dia baru sahaja balik dari Gulf of Mexico dua hari lepas. Baru sahaja ‘pijak’ darat dengan waktu tidur yang tidak menentu disebabkan dia masih cuba menyesuaikan diri dengan perbezaan zon masa tetapi Qaid sudah mengheretnya ke sini. Waktu petang sebegini sebenarnya waktu tengah malam mengikut zon masa Mexico dan merupakan waktu tidurnya. Memang pening kepala dia jadinya.

“Aku yang nak pergi sebab saja nak surprisekan El. Baking class hari ni menu chocolate fondant atau orang Perancis sebut fondant au chocolat.” Sejak zaman bercinta dan seterusnya berkahwin dengan Eloise Aleena; wanita kelahiran Perancis yang dikenali sejak zaman universiti itu, Qaid sudah boleh hafal semua makanan kegemaran Eloise.

“Kau pergi sorang-sorang aje tak boleh ke? Takkanlah dah jadi bapak orang pun nak kena berteman juga?”

“Bosan kut kalau sorang-sorang. Baik aku ajak kau sekali. The more the merrier.”

Qadr semakin mengerutkan wajah memandang Qaid yang sudah tersengih-sengih memandangnya. Banyaklah Qaid punya the more the merrier!

“Aku ni nampak katil dengan bantal aku aje sekarang, long. Kenapa kau tak ajak Ren temankan?” soal Qadr. Dia teringatkan adik lelakinya yang sedang bercuti disebabkan sekarang bukan musim perlumbaan Formula One.

“Ren keluar dating. Kau sorang aje yang ada, ngah. Itulah, siapa suruh kau tak ada girlfriend?” usik Qaid.

“Dia dah mula dah. Cukup-cukuplah mama aje selalu bebelkan aku pasal tu.”

Qaid ketawa lagi.

“Mama risau yang kau sekejap kat laut, sekejap ada kat darat. Bukannya ramai pun perempuan yang pergi offshore, kan? Lagipun, kau tak bosan ke pergi offshore tengah-tengah laut tu sampai berbulan-bulan?”

“Setakat ni aku tak pernah lagi rasa bosan. Aku lagi bosan kalau kena kerja dengan babah macam kau. Hari-hari kena jumpa orang, kena jumpa klien, kena turun site. Isy, aku tak boleh.”

“Babah tu harapkan kita ni aje, sama-sama dengan dia untuk usahakan dan kembangkan lagi business yang ada ni. Kau pilih untuk kerja makan gaji dan Ren pula mati-mati tak nak tinggalkan dunia lumba kereta dia, jadi tinggal aku ajelah.”

“Tak apalah, long. Aku dengan Ren memang surrender awal-awal sebab kita orang tak sehebat kau. Kau aje dah cukup untuk tolong babah.” Seraut wajah tenang Tengku Marzuki yang berusia lebih separuh abad itu berlayar-layar di hadapan mata.

Qaid lepas tawa semula sambil menepuk-nepuk perlahan bahu Qadr yang memakai hoodie berlengan panjang berwarna hitam.

“Mana tahu kalau suatu hari aku tak ada; kaulah harapan aku untuk tolong babah.”

Jeda dan pandangan mata Qadr tajam memandang Qaid.

“Kenapa pula kau tak ada?” Qadr tidak kisah dengan Qaid yang suka bergurau itu, tetapi dia tidak suka mendengar gurauan yang seperti ini.

“Yalah, kot-kot aku nak pergi cuti-cuti lama sikit. Kaulah kena cover aku. Biar kau rasa pula pening kepala aku macam mana. Kau asyik sebut tak nak aje dari tadi.”

“Dah, dah. Jom kita masuk dalam kafe. Tinggal lima minit aje sebelum kelas nak mula.”

“Hah, kan senang kalau dari tadi kau nak temankan aku.” Qaid tersengih memandang Qadr yang sudah menolak pintu kaca Pahlawan Café.

 

No comments:

Post a Comment