DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 18 May 2023

Bonjour, Mon Amour - Bab 4


HUJAN mula turun dengan lebat dan Waiz terpaksa memperlahankan kelajuan Hilux milik Idris yang sedang dipandu. Disebabkan kelajuan kereta mula perlahan, kedua-dua matanya menjadi semakin berat kerana sudah berulang kali dia menguap.

Suasana jalan raya yang kelihatan lengang dengan jalan yang lurus membuatkan dia semakin mengantuk. Jam di dashboard kereta sudah menunjukkan hampir tengah malam, lalu kaki kanan terus menekan kuat pedal minyak semula. Dia sudah tidak kisah dengan kelajuan kereta yang melebihi had laju kerana yang penting dia terlalu mengantuk dan dia mahu cepat sampai ke rumah.

Tanpa sedar, Waiz terpejam selama beberapa saat dan...

Bum!

Terus sepasang matanya celik dan Hilux yang dipandu sudah menghentam kuat kereta Mercedes putih di hadapan sebelum Mercedes itu berpusing beberapa kali dan terbalik di atas jalan raya yang lengang.

“Allah!” Kaki terus menekan brek mengejut dan Waiz memberhentikan kereta di tepi jalan. Tanpa menghiraukan hujan lebat, dia turun mendapatkan kereta yang masih dalam keadaan terbalik itu. Apabila melihat gerangan yang berada di dalam Mercedes putih tersebut, terus kakinya terasa seperti disimen di atas jalan raya. Dia baru sahaja melanggar kereta Qaid bersama isterinya!

Terketar-ketar sepasang tangannya menarik keluar telefon pintar dari dalam poket seluar tanpa mempedulikan diri sendiri yang sudah basah lencun. Nama Layla dicari daripada senarai panggilan.

“Layla?”

“Yalah, aku ni. Ada apa call tengah malam macam ni?”

Pandangan mata Waiz kembali kepada Qaid dan Eloise yang sudah berlumuran dengan darah serta tidak sedarkan diri.

“Waiz? Kau okey tak ni?” Suara Layla di hujung talian kedengaran semula.

“Habislah aku kalau daddy tahu.” Lambat-lambat Waiz menjawab.

“Habis? Habis kenapa?”

Baru sahaja dia mahu membuka mulut untuk bercerita kepada Layla, kedengaran bunyi panggilan telefon daripada Tan Sri Wadi pula masuk. Terus diputuskan panggilan telefon dengan Layla dan dia berlari masuk ke dalam kereta semula.

“Kamu kat mana, Waiz? Kenapa tak sampai rumah lagi?” Kedengaran suara tegas Tan SriWadi di hujung talian membuatkan Waiz semakin kecut perut.

Daddy, saya...” Jeda dan anak mata Waiz kembali ke arah kereta Qaid yang masih terbalik dan sudah berasap.

“Saya baru lepas accident, daddy...” sambung Waiz.

Accident?” Semakin kuat suara Tan Sri Wadi di hujung talian.

Waiz yang sudah dalam ketakutan terpaksa menceritakan apa yang telah berlaku.

“Dengar arahan daddy ni betul-betul, Waiz. Cepat-cepat drive dari situ sekarang. Jangan tunggu kat situ lagi.”

“Tapi, saya baru langgar Qaid. Dia dan isteri dia nampak teruk, daddy. Macam mana kalau diaorang mati disebabkan saya?” Waiz memandang tangan kiri yang sudah menggigil kuat.

“Selamatkan diri kamu dulu sebelum sibuk nak selamatkan orang lain. Drive away, now! Fasal Qaid tu daddy akan uruskan.”

Senyap.

“Waiz!”

“Baik, daddy.” Digenggam kuat tangan yang masih menggigil sebelum kereta terus dipandu laju. Kaki menekan kuat pedal minyak dengan dada yang berdebar kuat. Dia takut dan bingung. Apa yang dia tahu, dia mahu cepat-cepat sampai ke rumah ibu bapanya.

 

 

SAMPAI SAHAJA di rumah Tan Sri Wadi, Waiz terus menarik keluar kad sim kamera papan pemuka yang pastinya merekodkan semua yang telah berlaku. Jika kad sim ini jatuh ke tangan orang lain, memang mati dia akan dikerjakan oleh daddy dia sendiri. Tan Sri Wadi seorang yang sangat mementingkan status pada mata masyarakat.

Apabila dia melangkah masuk ke dalam rumah, dia terus ke bilik kerja Tan Sri Wadi dan daddynya memang sedang menunggu di meja kerjanya.

Daddy, macam mana Qaid dengan wife dia?” soal Waiz tidak sabar.

“Dah buat apa yang daddy suruh?” soal Tan Sri Wadi tanpa menjawab soalan Waiz.

Waiz mengangkat tinggi kad sim di tangan.

“Bagus! Pastikan kamu bakar sim card tu supaya tak ada bukti yang tinggal. Ada kereta lain tak tadi?”

Waiz hanya menggelengkan kepala kerana dalam fikirannya sekarang hanya ada imej Qaid yang berlumuran dengan darah itu.

“Qaid macam mana?”

Daddy dapat call yang beritahu Qaid dan isteri dia meninggal dunia di tempat kejadian,” jawab Tan Sri Wadi tanpa nada.

Terus Waiz terduduk di lantai. Dipandang raut wajah Tan Sri Wadi yang tidak beriak itu. Macam mana daddy dia nampak biasa seolah-olah tiada apa-apa yang baru berlaku?

Daddy, saya nak mengaku dekat pihak polis yang saya sebenarnya yang langgar dan menyebabkan Qaid dan isteri dia meninggal. Saya yang bersalah.”

“Eh, kamu dah gila ke apa? Jangan rosakkan apa yang daddy dah rancang. Ikut aje cakap daddy.” Pandangan mata Tan Sri Wadi garang menikam wajah si anak tunggal yang masih terduduk di lantai.

“Tapi, daddy...” Waiz memandang sepasang tangannya yang mula menggigil semula. Dia terbayang-bayang wajah Qaid yang berlumuran dengan darah sebentar tadi.

“Jangan sebab kamu, WW Holdings hancur dan masyarakat pulaukan keluarga kita. Kamu kena ingat yang sekarang ni kita hidup pada zaman viral. Kuasa viral boleh hancurkan kamu dalam sekelip mata. Daddy tak nak sebab kamu, apa yang daddy dah usahakan selama ni punah macam tu aje.”

Terus Waiz menunduk memandang kosong wajah garang Tan Sri Wadi.

“Qaid dah tak ada, kan? Mungkin ini peluang untuk kamu dapatkan semula apa yang Qaid dah rebut sebelum ni. Orang yang lembut hati macam kamu ni sebenarnya orang yang lemah.” Tan Sri Wadi bangun daripada duduknya dan terus berlalu keluar meninggalkan Waiz yang masih pegun di lantai.

 

No comments:

Post a Comment