Beberapa bulan kemudian, KLIA...
“ALONG, Layla nak pergi ladies kejap. Along tolong pegangkan beg laptop ni, boleh?” pinta Layla sambil menghulurkan beg galas Tumi berwarna hitam kepada Nafis yang berdiri di sebelah.
“Yalah, tapi Layla jangan silap masuk tandas lelaki pula kejap lagi,” pesan Nafis lalu menyandang beg milik Layla di bahu kanan.
“Along, Layla bukannya tak reti nak baca sign tandas sampai nak masuk tandas lelaki,” balas Layla sambil tergelak-gelak.
“Along tak cakap yang Layla tu tak reti membaca, tapi awak tu suka sangat berjalan menonong sambil menaip kat skrin telefon.”
“Kenapa ni, Layla?” tegur Puan Laili yang sedang mendukung Medina iaitu puteri sulung Nafis yang baru berusia setahun sambil berjalan merapati Layla dan Nafis.
“Layla nak pergi toilet kejap. Nanti dah masuk dalam tu, susah pula sebab kena bawa sekali beg laptop masuk toilet,” jawab Layla.
“Kami tunggu Layla dekat kerusi sanalah ya,” Puan Laili menghalakan pandangan mata ke barisan kerusi yang tidak jauh dari tempat mereka berdiri.
“Okey, mommy.” Terus langkah kaki diatur menuju ke arah tandas sambil sebelah tangan menatal pada skrin iPhone di tangan kiri. Tersengih-sengih Layla membaca senarai pesanan makanan daripada Dhiya yang sedang menanti ketibaannya di bumi Perancis.
Sewaktu Layla membasuh tangan di singki, dia perasan hanya ada dia sahaja di dalam kawasan tandas yang sangat bersih itu. Sebaik sahaja dia mengangkat wajah yang sejak tadi ralit membilas tangan di singki, terus dia menjerit apabila tiba-tiba ada lelaki yang berdiri di singki bersebelahan dengannya!
“Pervert! Macam mana awak boleh masuk tandas perempuan?” soal Layla dengan nada suara yang separuh menjerit. Anak matanya sudah melingas ke kiri dan ke kanan, cuba mencari orang lain di dalam tandas itu tetapi hampa. Hanya ada dia dan lelaki berkemeja denim biru tua itu sahaja. Sekali pandang, lelaki ini nampak normal sahaja daripada raut wajah dan cara pemakaiannya yang kemas.
“Siapa yang pervert? Awak tu yang pervert, tahu tak?” balas lelaki itu dengan dahi yang berkerut lebat. Tajam pandangan matanya merenung Layla yang kelihatan pucat.
“Eh, eh... dia tiru ayat kita pulak!” Layla sudah mengundurkan langkah kaki ke belakang apabila lelaki itu semakin menghampirinya. Jantungnya sudah mula berdegup laju dan dia mencongak dalam kepala sendiri sama ada sempat atau tidak untuk dia berlari ke arah pintu keluar tandas tetapi lelaki itu sudah berdiri betul-betul di hadapannya menyebabkan nafas Layla terasa sesak.
“Jangan dekat. Kalau awak datang dekat, saya jerit kuat-kuat!” Layla menarik keluar beg tangan yang sejak tadi disilangkan di bahu kanan. Dia sudah bersedia untuk membaling beg tangan ke arah lelaki itu.
“Saya nak ambil tisu kat belakang awak tu,” jawab lelaki itu tanpa nada dan dia terus menarik tisu yang sememangnya terletak di belakang Layla sebelum sepasang mata milik lelaki itu hinggap lama pada wajah Layla.
“Sayangnya, awak ni nampak macam perempuan normal tapi...” Lelaki itu berjeda sebelum dia menggelengkan kepala perlahan dan menyambung ayatnya sebentar tadi.
“Pervert rupa-rupanya. Baik awak keluar sebelum ada orang lain masuk.”
“Hah? Ikut sedap mulut awak mengata saya ni pervert pulak! Awak tu yang...” Terus Layla terdiam apabila anak matanya singgah pada tempat membuang air kecil yang selalunya hanya ada di tandas lelaki sahaja. Mulut Nafis memang masin ke? Dia tersalah masuk tandas lelaki lagi?
“Ni tandas lelaki ke?” soal Layla lambat-lambat.
“Awak rasa? Takkanlah ini tandas perempuan pula?” balas lelaki itu sarkastik sambil berpeluk tubuh memandang Layla.
“Sorry, saya yang tersilap masuk tandas. Okey, bye!” Terus Layla berlari keluar dari kawasan tandas sebelum ada lelaki lain yang masuk.
Layla Tihani, kenapalah tak baca papan tanda tandas betul-betul? Kan dah memalukan diri sendiri! Apa yang lagi penting, kenapa dia macam pernah lihat lelaki tadi? Tapi persoalannya, siapakah lelaki tadi?
DI TENGAH-TENGAH kesibukan pekarangan perlepasan antarabangsa KLIA itu, kedengaran dengan jelas suara esak tangis Puan Laili. Sudah merah padma wajahnya dengan pipi yang basah dengan air mata.
“Setiap kali anak nak fly balik aje mommy menangis. Mommy menangis aje, anaknya nak fly balik.” Encik Nazri yang berdiri di sebelah Puan Laili mula mengusik membuatkan Layla ketawa kecil sebelum bahu Puan Laili dipeluk erat.
“Satu bulan aje lagi, mommy. Pejam celik, pejam celik nanti Layla akan back for good dah.” Layla tersenyum dan lengan Puan Laili digosok perlahan.
“Jangan nanti daripada satu bulan jadi berbulan-bulan pulak. Sebelum raya puasa hari tu pun Layla kata nak balik for good, tapi lepas raya balik sana juga. Mommy bukan tak tahu Layla ada hati nak kerja kat Paris tu,” ucap Puan Laili serius.
“Sebenarnya susah Madame Ines nak cari cef yang boleh master masakan Melayu dalam masa yang terdekat. Nak harapkan Hugo seorang aje. Lagipun kalau dah rezeki Layla kat sana, nak buat macam mana? Kalau Layla terkahwin dengan orang sana pun kita tak boleh nak tolak jodoh, kan? Mommy juga yang cakap rezeki dan jodoh ni jangan ditolak bila dah ada di depan mata, sebab datang sekali aje,” usik Layla apabila Puan Laili sudah menjegilkan mata ke arahnya. Sengaja dia mengusik sedangkan dia masih memikirkan tawaran Luth tempoh hari, cuma belum diberitahu kepada mommy dan abah lagi.
“Mommy jangan risaulah sebab Jimi confident yang kalau orang Malaysia pun tak ada yang ‘sangkut’ dengan akak, apatah lagi lelaki-lelaki kat Perancis sana tu. Kalau ada pun mungkin Abang Waiz tu ajelah kut. Taste mat salih ni selalunya tinggi,” sampuk Najmi sambil dipaut selamba bahu Layla yang sudah menjegilkan mata ke arahnya.
“Eee... mulut tu kan! Gaya bercakap tu macamlah Jimi dah ada girlfriend. Eh, akak lupa! Nak ada girlfriend macam mana kalau hidup tu pergi kerja, balik kerja, main game dan repeat. Bosan betul! Tak pun, kahwin ajelah dengan game Jimi tu.”
“Tunggu akak ada boyfriend dulu barulah Jimi cari girlfriend. Mana boleh Jimi langkah bendul.” Najmi menjongketkan kening ke arah Layla sebelum sengaja tertawa mengusik.
“Tak sah kalau tak bergaduh dua beradik ni.” Puan Laili di sebelah Najmi sudah mencubit perlahan pinggang anak bongsunya itu.
“Bagi chancelah mommy, sebab lepas ni Jimi tak dapat nak bagi darah akak naik macam selalu.” Najmi koyak sengih memandang Layla.
Pap! Laju sahaja tangan Layla menampar belakang Najmi yang sudah mengekek ketawa. Bertuah punya adik!
“Waiz tak datang pulak hantar Layla kali ni?” soal Nafis pula.
“Ala, tak payahlah sampai nak berhantar pula. Bukannya Layla pergi lama sangat pun, sebab lepas ni nak balik terus dah pun,” jawab Layla sebelum dia mengerutkan dahi memandang Nafis yang sedang tersengih mengusik.
“Along sengih miang macam tu dah kenapa pula?”
“Along rasa-rasalah kan tak mustahil kalau tiba-tiba suatu hari nanti Waiz minta mama dia masuk meminang Layla.”
“Eh... tak ada maknanya!”
“Tak ada istilah lelaki dengan perempuan boleh berkawan rapat ya.”
“Layla tak adalah rapat sangat pun dengan Waiz tu. Jadi kawan sebab masing-masing sebaya dan pernah satu sekolah menengah sama-sama. Abah yang rapat dengan ayah Waiz tu. Along jangan memandai-mandai buat cerita ya!”
Nafis yang sedang mendukung Medina ketawa lepas memandang Layla yang sudah berkerut-kerut dahi memandangnya.
“Layla.”
Suara Encik Nazri yang tiba-tiba memanggil itu membuatkan Layla menoleh memandang abahnya pula.
“Ya, abah?”
“Janji Layla jangan dibuat lupa pulak ya,” pesan Encik Nazri serius.
“Layla ingatlah, abah. Abah janganlah risau.” Layla memaniskan senyuman memandang abah yang sudah berdiri di sebelahnya.
“Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri, Layla.” Lembut Encik Nazri mengingatkan. Siap dengan peribahasa lagi.
“Ya, abah. Kan Layla dah janji dengan Madame Ines untuk uruskan restoran dia tu sampai hujung bulan ni aje. Ini pun Layla balik sana sebab nak turunkan ilmu memasak dekat Abang Hugo tu. Lepas tu, Layla akan balik Malaysia for good.” Layla menayang sengih.
“Lega abah dengar Layla cakap macam tu.” Encik Nazri mengukir senyum.
“Tapi, Layla rasa macam nak sambung kerja kat sana aje kalau masih tak dapat kerja yang sesuai dengan degree Layla. Madame Ines siap offer macam-macam supaya Layla setuju untuk uruskan restoran dia tu,” usik Layla lagi.
Terus membulat mata Encik Nazri memandangnya. Puan Laili di sebelah pula sudah kembali ‘banjir’ dengan air mata.
“Layla gurau ajelah, abah. Abang Luth pun ada offer Layla uruskan Pahlawan Café sementara nak tunggu panggilan kerja yang sesuai dengan degree Layla.”
“Mommy doakan moga ada rezeki untuk Layla nanti, tapi yang penting balik Malaysia. Kalau tak nak terima offer Luth tu pun tak apa. Layla duduk ajelah kat rumah dulu dengan mommy,” pesan Puan Laili serius.
Terus pandangan mata Layla meredup memandang Puan Laili. Alahai, mommy! Mesti dia akan rindu nanti.
“Layla kena gerak masuk dalam dulu. Lama pula sangkut dekat dalam tu nanti.” Layla melirik jam Elle di tangan kiri. Dia menghampiri ahli keluarga yang hadir untuk menghantarnya pulang ke bumi Perancis pada malam itu. Hanya Mardiah iaitu isteri Nafis tidak dapat hadir memandangkan kakak iparnya itu dihantar ke Johor atas urusan kerja selama tiga hari.
No comments:
Post a Comment