DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 18 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Bab 4

ZAHIM menguak rambutnya ke belakang sambil
mengeluh perlahan. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini
fikirannya jadi tidak tenang. Rasa resah dan gelisah sahaja.
Macam ada sesuatu yang akan terjadi. Sesekali dia tengok
mamanya asyik termenung sahaja. Entah apa yang difikirkan
mama. Bila ditanya, mama hanya diam.
Zahim memegang kemas besi di balkoni itu sambil
mengeluh perlahan. Kemudian dia berkalih dan mengatur
langkah masuk ke dalam biliknya. Segera tangannya mencapai
telefon yang ada di atas katil dan mencari nama yang berada
dalam fikirannya saat ini. Selepas menekap telefon seketika di
telinganya, bibirnya mula mengorak senyum.
“Helo, assalamualaikum, bro!” Terus panggilan
Zahim bersambut di hujung talian membuatkan bibir Zahim
mencoret sedikit senyuman.
“Waalaikumussalam. Kau kat mana ni?”
“Kat apartmen akulah, bro.” Suara ceria Razif
menusuk ke telinganya.
“Ya ke? Macam tak percaya aje kau boleh melepak
sorang-sorang kat apartmen kau tu. Atau kau bawa balik awek
kat situ?” Dalam diam Zahim risau sekiranya sepupu dia buat
hal yang melanggar hukum.
“Weh, aku tak jahil macam tu la. Memanglah aku
ni bukan kategori alim tapi aku masih lagi tahu batas-batas
agama tau.” Razif tidak senang mendengar usikan dari Zahim.
Zahim tergelak kecil.
“Aik, cepat sangat kau tersentak ni, apa hal? Kau
datang period ke?” Zahim tiba-tiba melepas tawa.
“Yalah tu. Aku rasa kau yang tengah datang period.
Apasal kau tak datang kerja? Sejak kau kena balun dengan
samseng tu, otak kau pun dah tak centre ke? Apasal kau
tak pergi scan otak kau tu kat mana-mana hospital?” Razif
sengaja membalas balik kata-kata Zahim.
“Haha... lawak... lawak...” Zahim pura-pura gelak.
“Im, serius ni. Apa kena dengan kau ni? Kau ada
masalah ke? Sampai hari ini kau tak masuk kerja, dah dekat
seminggu lebih tau kau tak masuk ofis.” Kali ini nada suara
Razif sudah bertukar. Mula serius.
“Entahlah. Tiba-tiba aku rasa tak ada mood.” Zahim
mengeluh berat.
“Woi, senang saja kau bagi alasan tak ada mood.
Mentang-mentanglah Zamrud Holdings tu papa kau punya,
bukan main berlagak lagi kau, ya! Kau tahu tak, kerja kat ofis
tu berlambak, siapa yang nak settlekan?” Bukan main marah
lagi Razif mendengar kata-kata selamba Zahim tadi.
Selama ini Zahim begitu komited dengan kerja.
Takkanlah tiba-tiba saja tiada mood hendak bekerja. Sudah
kena sampuk ke apa si Zahim ini.
“Atau kau masih pening memikirkan siapakah yang
selamatkan kau tu?” ujar Razif selepas terdiam seketika.
“Mungkin juga, kut. Aku rasa dia dah panah hati aku
sampaikan aku terus berfikir pasal dia. Dah tak boleh nak
concentrate benda lain dah.” Zahim tergelak kecil seolah-olah
mengakui hakikat itu.
Razif turut gelak sama.
“Teruk betul penangan perempuan tu kan. Habis tu,
kau tak buat apa-apa tindakan? Takkanlah nak tunggu dan
lihat aje.” Zahim mula menggaru kepala yang tidak gatal
sambil tersenyum sendiri.
“Habis, aku nak buat macam mana lagi, takkanlah
nak masuk dalam paper dengan siap tayang muka handsome
aku ni lagi. Jatuhlah saham aku.”
“Aku rasa lepas ni ramailah anak dara yang datang
kejar kau. Siap nak mengaku diaoranglah yang tolong kau
atau mana tahu ada producer yang nak lamar kau jadi pelakon.
Wah... glamor gilalah kau nanti!” Razif mula menyakat.
“Memang kerja gilalah kalau aku buat macam tu.
Nak kena belasah dengan mama dan papa aku? Kalau tahu
dekat atuk dan nenek, siap diparangnya aku. Kau bukannya
nak tolong aku kan!” Provoke Zahim.
“Memang pun.” Razif gelak beria.
“Haa... kan betul aku cakap.” Zahim mengetap bibir.
“Takkanlah aku nak biarkan kau kena parang dengan
nenek kau. Aku akan tolong kau punyalah.”
“Aku tahu kau tak sanggup tinggalkan aku. Kau
mesti nak tolong aku, kan?” Zahim mengukir senyum.
“Haah... aku tolong tengok ajelah! Haha...” Razif
ketawa.
“Tak guna punya sepupu.” Zahim sambil mengetap
bibir.
“Sorrylah, Im. Aku gurau aje. Itu pun kau nak ambil
hati. Kau kenal siapa aku kan? Chilllah, bro.” Razif kembali
memujuk.
“Aku tahu,” Zahim tersenyum lega.
Mereka berdua berjeda seketika.
“Weh, aku nak beritahu kau ni, dua hari lepas ada
staf baru masuk tau, perempuan. Dia gantikan tempat Encik
Suhaimi.” Razif mengalih tajuk perbualan mereka.
“Ya? Ada canlah kau. Aku tahu dan aku kenal
siapa sepupu aku ni, mana nak lepaskan perempuan depan
matakan. Dia cantik tak?”
Zahim mula ukir senyum.
“Zaman kasanova aku tu dah lama berlalu tau. Aku
dah jadi lelaki baik. Sekarang ni stok aku jenis kategori yang
muslimah sikit. Stok untuk dijadikan isteri. Mak dan ayah
aku pun dah bising minta aku cari menantu untuk mereka.
Kalau aku tak nak cari, mereka dah ada cadangan. Untuk
mengelak daripada terpaksa, aku kenalah cari inisiatif sendiri.
Alah, klise perangai orang tua. Perangai orang tua kita sama.”
“Hmm... betul.” Zahim menyokong.
“Weh, apa citer pasal si Dania? Perempuan tu kan dah
lama jadi pilihan orang tua kau untuk dijadikan menantu.”
“Memang aku tak nafikan tapi setakat ni tak adalah
mereka nak memaksa. Tapi kan bro, aku pun macam kau
jugak. Aku nak perempuan yang jadi suri hati aku tu adalah
pilihan aku sendiri. Tapi nampaknya sampai sekarang
‘perempuan’ tu tak muncul-muncul depan mata aku.” Zahim
mengeluh perlahan.
“Insya-Allah. Tak lama lagi dia akan muncul.
Percayalah cakap aku.” Razif memujuk sekali gus melegakan
perasaan Zahim.
“Hmm... pasal perempuan yang gantikan tempat
Suhaimi tu, dia okey ke?” Tiba-tiba tajuk tadi menjadi pilihan
Zahim.
“Tengok pada rupa, memang boleh tahan. Cuma gaya
dia macam brutal sikitlah tapi masih mampu membuatkan
orang tertarik dengan dia termasuk aku. Aku pun hairan
macam mana dia boleh tackle Kak Azah. Siap bergelak sakan
dengan PA kau tu. Selama ini, kita kenal Kak Azah tu macam
manakan tapi dengan staf baru tu, aku tengok mereka berdua
tu macam dah kenal lama. Hairan aku!” Tiba-tiba Zahim
melepas gelak mendengar cerita itu. Terbayang pula wajah
Kak Azah yang sedang gelak sakan tanpa mempedulikan
orang lain.
“Tak lama lagi aku bolehlah makan nasi minyak
kau. Tak sabar pula aku nak kenal staf baru tu. Sekali jumpa
dah jatuh hati, ya?” Zahim mengusik Razif sambil mengukir
senyum.
“Bak kata omputih... love at the first sight!” Sambung
Zahim lagi sambil tergelak kecil.
“Kalaulah masin mulut kau. Tapi kan, aku belum buat
apa-apa tindakan lagi. Lepas ni aku kena aturkan strategilah
nak dapatkan perhatian dia.” Razif mula memikirkan cara
yang terbaik untuk memikat Sufi.
“Teruja pula aku nak jumpa staf baru tu. Siapa nama
dia?”
“Nama secantik orangnya tau... Nur Aisyah Sufiya
binti Kamarul. Nanti aku kenalkan dia dengan kau.”
“Hmm... yalah.”
Zahim menarik nafas seketika sambil mengusap
lehernya.
“Zif, sebenarnya aku nak ajak kau balik kampung
untuk jumpa atuk dan nenek.” Tiba-tiba Zahim menyuarakan
tujuan utamanya dia menghubungi Razif.
“Balik kampung? Bila?” Razif terkejut.
“Pagi esok. Kau ikut, ya. Temankan aku.” Zahim
memujuk.
“Hesy... kau ni, aku baru aje nak berangan dan
buat perancangan macam mana nak masuk jarum. Kau dah
potong line, lecehlah, bro!” Razif mengeluh kesal dengan
perancangan Zahim.
“Jomlah, Zif. Semua benda aku support termasuk
tambang flight,” pujuk Zahim lagi.
“Wow... kau dah siap buat planning semua? Kau
biar betul? Kau nak aku subahat dengan kau, ponteng kerja
ke? Kerja banyak kat ofis tu, bro!” Razif benar-benar terkejut
dengan apa yang dirancang oleh sepupunya merangkap
sahabat baik.
“Eleh, kau tak payah nak kelentong akulah Zif, kan
baru sekejap tadi kau planning nak usyar staf baru tu. Itu
yang susah nak ikut plan aku kan.” Bukan Zahim tidak tahu
dengan perangai sepupunya. Pantang diajak merayap, laju
saja hendak mengikut.
Tiba-tiba terdengar tawa dari mulut Razif.
“Aku kenal sangat siapa kau ni,” ujar Zahim lagi.
Razif menyambung tawa.
“Ingat, flight esok pagi jam 8.00. Aku jemput kau.
Alah, sehari dua aje kita kat sana. Aku nak tenangkan fikiran
ni. Lepas ni, kau teruskanlah dengan planning kau tu. Aku tak
kacau punya...” Zahim tetap berharap Razif akan bersetuju
dengan rancangannya untuk balik kampung.
“Sure kau tak akan kacau planning aku?” Razif
sekadar nak mengusik Zahim.
“Ya, tapi tak tahulah, kalau tiba-tiba aku pun terpikat
dengan dia, kan.” Kini, giliran Zahim pula mengusik.
“Kita akan tengok nanti siapa yang berjaya mencuri
perhatian dia,” ujar Razif sebelum mengakhiri perbualan
mereka.
Selepas talian diputuskan, bibir Zahim tiba-tiba
mengorak senyum. Entah kenapa tiba-tiba wajah gadis yang
pernah menyelamatkannya muncul dalam ingatan.
“Ah, aku dah gila agaknya. Kenapa wajah dia sering
muncul dalam ingatan aku? Takkanlah dia bomohkan aku
supaya teringatkan dia. Kalau dia sukakan aku, dah tentu dia
sambut salam perkenalan yang aku hulurkan. Ini, selamba
badak saja dia pergi. Awak, siapa awak yang sebenarnya?
Bagaimana saya nak jumpa awak untuk ucapkan terima
kasih.”
Zahim mengetuk kepalanya perlahan. Memang
dia pernah ucapkan terima kasih kepada gadis yang telah
menolongnya tapi entah kenapa dia teringin sangat nak
kenal siapa gadis itu. ‘Ah, macamlah aku tidak pernah kenal
perempuan... tapi kenapa dia yang jadi pilihan?’

BULAT MATA Nek Jah sebaik sahaja melihat dua orang jejaka
keluar dari sebuah teksi airport. Ketika itu dia baru saja balik
dari kedai kopi untuk membeli nasi bungkus.
“Assalamualaikum, nek!”
“Waalaikumussalam. Ya Allah, budak bertuah ni.
Kenapa tak beritahu nak balik?” Nek Jah menyambut huluran
tangan Zahim dan Razif.
“Saja, nek. Rindu kat nenek dan atuk.” Zahim
menayang sengih.
“Ya, betul tu nek. Sejak tadi si Im ni menangis-nangis
sampai bengkak mata sebab rindukan nenek dan atuk.” Razif
menyambung membuatkan Zahim mengetap bibir.
Tiba-tiba Razif menggosok perutnya yang kesakitan
akibat disiku oleh Zahim.
“Dah, mari naik. Tapi nenek beli dua bungkus nasi
aje. Kamu dah makan?” Nek Jah memandang dua orang
cucunya.
“Dah. Kami dah makan dekat airport tadi. Atuk
sihat?” Zahim mula menjenguk ke dalam rumah.
“Atuk kamu kurang sihat sikit. Biasalah, orang tua.
Dah dua hari demam. Hari ni mengidam nak makan nasi
bungkus. Itulah yang nenek beli ni.” Nek Jah mendahului
mereka memanjat tangga simen diikuti oleh Zahim dan Razif.
“Kenapa nek tak beritahu kami yang atuk tak sihat?
Kalau tak, boleh aje kami balik lagi awal.” Razif mempamerkan
wajah risau.
“Tak payah nak risaulah. Nenek tahu kamu semua
sibuk dengan kerja kat Kolumpo tu. Lagipun mak ngah kamu
kan ada. Dia dah selalu jenguk kami berdua ni ha.” Nek Jah
meletakkan plastik yang berisi nasi bungkus dan kuih di atas
meja.
“Habis tu, nek pergi jalan kaki untuk beli nasi ni kat
warung?” Bulat mata Razif memandang wajah Nek Jah.
“Yalah, saja. Kata orang kira buat senaman. Betulkan
urat sendi, macam orang muda buat sekarang, apa? Exercise
atau berjoging.” Nek Jah meletakkan tudung kepala di atas
sofa.
“Amboi, nek. Cakap orang putih nampak.” Zahim
mengusik Nek Jah sambil tersenyum lebar.
“Eh, korang berdua ni tak tahu ke? Dulu nenek
sekolah orang putih. Nenek ni sebenarnya lagi hebat dari
kamu kalau cakap orang putih. Saja, nenek tak nak tunjuk
skill kat kamu, takut kamu malu nanti” Zahim dan Razif
saling berpandangan. Tidak pernah pula mereka tahu yang
nenek mereka ini dahulunya pernah menuntut di sekolah
orang putih. Wah, tidak sangka nenek mereka advance
rupanya.
“Hmm... Mana atuk?” Mata Zahim melilau ke arah
bilik Tok Daud.
“Ada kat bilik tu ha. Agaknya masih lagi tidur.
Masuklah.”
“Assalamualaikum.” Tidak lama kemudian terdengar
suara orang memberi salam.
“Atuk.”
Zahim terlebih dahulu bersuara sebaik sahaja wajah
Tok Daud muncul di hadapan mereka. Tok Daud yang berjalan
menggunakan tongkat itu segera dihampiri Razif dan Zahim.
Mereka berdua segera bersalaman dan memimpin tangan
atuk mereka dan berlabuh di sofa.
Rumah Tok Daud yang dulunya kayu, kini sudah
bertukar wajah menjadi rumah batu sepenuhnya hasil
daripada kerjasama anak-anak. Mama Zahim pernah nak
sediakan pembantu rumah untuk Nek Jah tapi ditolak kerana
dia lebih selesa melakukan kerja rumah dengan kudratnya
sendiri. Tambahan pula anak menantunya ada yang duduk
berdekatan. Kalau ada masalah, senang nak minta tolong.
“Dah lama kamu sampai? Kenapa tak beritahu
nak datang?” Tok Daud terbatuk-batuk kecil. Segera Zahim
mengusap belakang Tok Daud agar reda.
“Kami baru saja sampai, tok. Saja kami tak nak
susahkan tok.” Zahim membantu membuka bungkusan nasi
berlauk yang dibeli oleh Nek Jah tadi.
Tok Daud mengangguk perlahan.
“Kamu berdua dah makan?” Tok Daud memandang
dua orang cucunya.
“Dah. Tok makanlah. Kejap lagi nek keluar bawa air.”
Razif mencelah.
“Atuk ni dah susahkan nenek kamu. Kesian dia,”
ujar Tok Daud perlahan sebaik saja wajah Nek Jah muncul di
hadapan mereka dengan membawa dulang minuman.
“Apa pulak susahnya bang aji oi... kita ni suami
isteri. Takkanlah saya nak berkira. Hari ni bang aji tak sihat,
esok-esok kalau saya tak sihat bang aji pula yang jaga saya.
Kita ni sama-sama tua, bukan macam diaorang berdua ni.
Masa muda ni bolehlah hidup sendiri, bila dah tua nanti
mestilah nak ada orang yang temankan.” Razif dan Zahim
terpaksa menutup mulut mendengar kata-kata Nek Jah.
Memang mereka rasa ada benarnya kata-kata itu tapi kalau
jodoh belum sampai, mereka tidak boleh hendak berbuat apa.
“Hmm... lepas ni, kamu berdua pergilah berehat kat
bilik. Tentu penat. Kamu pilihlah nak duduk kat bilik mana
yang kamu nak, semua kosong. Tinggal kami berdua saja.”
Nek Jah menuang kopi ke dalam cawan sambil diperhatikan
oleh cucu-cucunya.
“Kejap lagilah. Kami berdua ni bukannya penat mana
pun. Lainlah kalau kami drive balik sini. Ini naik flight, kejap
aje. Tak puas lagi kami nak tatap wajah nek dan tok.” Zahim
mengukir senyum ke arah datuk dan nenek kesayangannya.
“Nasib baiklah kamu berdua ni masih ingatkan kami,
bukan macam sesetengah anak muda yang berhijrah kat
bandar tu. Baru saja duduk beberapa tahun, terus lupa asal
keturunan dan kampung halaman.” Nek Jah memberi komen
sebelum menyuapkan nasi ke dalam mulut.
“Hesy, kami ni masih sedar asal usul. Kami kan selalu
datang ziarah nenek dan atuk.” Memang itulah hakikatnya.
Zahim dan Razif masih tahu asal usul mereka walaupun
membesar di bandar.
Nek Jah merenung semula kedua cucunya.
“Nenek tengok kamu berdua ni macam kembar Siam,
selalu berdua ke sana ke mari. Nasib baik lelaki. Kalau sorang
lelaki sorang perempuan, dah lama nenek kahwinkan kamu
berdua ni. Nenek tengok kamu berdua ni dah macam rupa
laki bini.” Zahim dan Razif melepas tawa. Lucu mendengar
kata-kata Nek Jah. Tapi memang betul apa, mereka berdua
macam bayang-bayang.
“Ya ke, nek?” Razif menaikkan kening beberapa kali
sambil tersengih nakal.
“Ya. Nenek rasa mana-mana anak dara takut nak
dekat dengan kamu berdua ni,” ujar Nek Jah lagi.
“Nek, pinjam tudung kejap,” pinta Razif tiba-tiba.
“Nak buat apa dengan tudung nenek? Kamu nak pakai
ke?” Nek Jah hairan bila tangan Razif menadah ke arahnya.
Nak tak nak terpaksa dia menyerah tudung kepalanya.
Razif segera meletakkan tudung Nek Jah di
kepalanya. Disilang ke kiri dan ke kanan.
“Hmm... okey tak, nek?” Razif mengukir senyum.
“Okeylah sangat. Macam bapuk dah nenek tengok
rupa kamu.”
Nek Jah dan Zahim beradu tawa. Lucu melihat
Razif yang cuba menukar karakter. Tok Daud turut ketawa
melihat gelagat cucunya. Dah besar panjang tapi perangai
macam budak-budak. Jauh di dasar hati, dia terhibur dengan
kehadiran cucu-cucunya itu.
Razif menarik muka masam.
“Alah, Im. Kau berlakonlah kejap.” Razif menyendeng
di sebelah Zahim.
“Berlakon? Berlakon apa ni?” Zahim terpinga-pinga.
“Berlakon jadi suami.” Razif menayang sengih
membuatkan Zahim terkebil-kebil.
Razif segera melentokkan kepalanya di bahu Zahim
sambil membuat aksi manja.
“Kita orang ni ada rupa macam pasangan suami
isteri tak nek, tok?” Mulut Zahim ternganga tiba-tiba.
Nek Jah terus ketawa. Tok Daud juga turut ketawa
sampaikan terbatuk-batuk tetapi segera ditenangkan oleh
Nek Jah.
“Kamu ni Zif, dah buang tabiat ke?” tegur Nek Jah
sambil menggeleng kepala. Lucu melihat gelagat kedua-dua
cucunya itu.
“Betullah nek. Dah buang tabiat budak ni.” Zahim
merengus geram mengenangkan perangai Razif yang macam
tidak cukup umur.
“Alah abang ni, benci tau!” Razif mula buat gaya
gedik. Siap tampar manja lagi di lengan Zahim.
“Hesy... tak tahan aku. Geli-geleman aku. Loya, rasa
nak muntah... semua ada.” Zahim segera menolak tubuh
Razif yang menempel di sebelahnya. Nasib baik Razif tidak
jatuh terjelepok ke lantai.
“Alah kau ni, Im. Gurau sikit pun dah sentap. Tak
coollah.” Razif mendengus sambil membetulkan duduknya.
Tudung yang dipinjam tadi segera ditanggalkan dan
diserahkan semula pada Nek Jah.
“Kalau ya pun kau nak menggedik dengan aku,
cukurlah dulu bulu ketiak dengan bulu kaki. Geli aku nak
menengoknya.” Zahim memberi komen menyampah.
Tok Daud sudah tersenyum, begitu juga Nek Jah.
Terhibur sungguh mereka melihat perangai cucu-cucunya
itu. Memang mereka akui, Razif dan Zahim memang rapat
sejak kecil.
“Woi, kedua-dua jenis jenama bulu yang kau sebut tu
adalah aset aku tau. Tak macholah kalau lelaki tak ada bulu
kaki, macam perempuan.” Razif membela diri.
“Apa kelas aset kau setakat bulu kaki aje. Perempuan
tak pandang semua tu. Diaorang pandang ketebalan poket
kau, kereta dan rumah yang mewah. Kalau setakat bulu
kaki, bukannya boleh kenyangkan perut.” Zahim mencemuh
membuatkan Nek Jah terus melambak tawa.
“Sudahlah, tak payah nak gaduh-gaduh. Nenek nak
ke dapur. Nak basuh cawan-cawan ni semua.” Nek Jah terus
berlalu ke dapur.
Beberapa minit kemudian, Nek Jah muncul semula.
“Hmm... kamu berdua ni, bila nak kahwin? Umur
sebaya kamu ni memang sesuai sangatlah untuk berumah
tangga. Tengok mak ngah kamu, berderet-deret cucu dia.
Kamu berdua ni bila lagi nak bagi mak bapak kamu cucu?”
tegur Nek Jah.
“Aduh, nek ni... soalan maut tu. Kami memang nak
kahwin tapi masalahnya calon tak ada.” Razif menggaru-garu
kepala yang tidak gatal.
“Kamu yang memilih sangat kut,” sela Nek Jah
sambil memandang wajah dua cucunya.
“Mana ada memilih. Dah tak sampai seru, nak buat
macam mana. Kami ni nak kahwin sekali saja seumur hidup
aje. Jadi dalam memilih pasangan, biarlah yang betul-betul
sehati dan sejiwa. Bukan main sambar saja. Tersilap sambar
karang terkena yang jenis ‘auw’. Tak ke naya.” Tubuh
Zahim sudah terhinggut-hinggut menahan tawa mendengar
kata-kata Razif. Memang sempoi jawapan sepupunya itu
sampaikan Nek Jah pun terkedu. Begitu juga dengan Tok
Daud.
“Alah, nek... kalau nek kepingin sangat nak bercicit,
nek suruh aje cucu kesayangan nek tu kahwin.” Zahim
tiba-tiba memberi saranan.
“Siapa? Si Zarul tu? Dah berbuih mulut nek ni suruh
dia cari calon tapi asyik buat dek aje. Kamu berdua juga cucu
kesayangan nenek dan atuk. Sebenarnya kami berdua tak
pernah nak bezakan kasih sayang. Cuma mungkin perhatian
kami pada dia terlebih sikit sebab dia tu membesar depan
mata nenek tapi kamu lupa, dia tu juga kekurangan kasih
sayang mama dan papa kamu. Kadang-kadang nenek kesian
juga kat dia.” Nek Jah mengeluh perlahan.
“Hmm... cakap pasal Zarul, dia tak balik jenguk nek
dengan tok ke?” Pandangan Zahim beradu dengan wajah
neneknya.
“Minggu lepas, ada dia balik. Tapi setakat dua hari
saja. Kemudian balik semula ke Kolumpo. Katanya kena
gantikan tempat kawan dia. Kamu yang duduk sama tempat
dengan dia di Kolumpo, takkanlah tak jumpa dengan dia.”
Nek Jah memandang pelik wajah cucu-cucunya.
“Entahlah nek, bukannya nek tak kenal perangai dia.
Suka buat hal sendiri. Jarang nak contact kita orang berdua
ni.” Zahim segera membalas.
“Nek harap perangainya akan berubah. Nek pun
bukannya berkenan sangat dengan perangainya tu. Suka
sangat bertukar pasangan. Bawa ke hulu ke hilir anak
dara orang. Risau nenek. Kalau kamu jumpa dia, cubalah
nasihatkan dia sikit.” Nek Jah menarik nafas seketika.
“Untunglah kalau dia nak berubah dan mendengar
nasihat Im dan Zif ni, nek.” Zahim mengeluh perlahan.
“Harap-harap adalah jodoh untuk dia. Nek nak
sangat tengok dia kahwin sebelum nek tutup mata.” tutur
Nek Jah perlahan. Wajahnya bertukar menjadi sayu.
“Insya-Allah, nek. Kita doa sama-sama, ya.” Razif
memegang tangan Nek Jah. Tok Daud hanya sekadar
memerhati.

No comments:

Post a Comment