“BETUL ka rumah ni ikut alamat yang Mak
Nab bagi?” soal Shafiqa inginkan kepastian melihatkan
keadaan kawasan halaman yang ditumbuhi lalang dan tidak
terurus.
“Betullah rumah ni.” Dibaca sekali lagi alamat yang
diberikan oleh Mak Nab tempoh hari. “Macam tak ada orang
ja.”
“Tapi tingkap terbuka. Cuba bagi salam,” cadang
Shafiqa. “Assalamualaikum...”
Sepi.
“Tak ada orang jawab pun, Yuni. Jomlah kita balik.
Seram pulak aku.”
“Isy! Hang ni... nak seram pasal apa siang-siang ni?
Assalamualaikum...” Kali ini Ayuni pula memberi salam.
“Mana ada orang, Yuni.”
“Tunggu kejap lagi. Aku rasa ada orang dalam rumah
tu.” Entah kenapa nalurinya kuat menyatakan ada seseorang
yang sedang memerhatikan mereka dari dalam rumah.
“Assalamualaikum.” Sekali lagi Ayuni memberi
salam.
“Waalaikumussalam.”
Tiba-tiba pintu gelangsar cermin ditolak perlahan.
Susuk tubuh seseorang yang menghampiri mereka diperhati
tanpa berkedip.
Terkejut dengan kedatangan Ayuni dan Shafiqa
membuatkan Adibah tidak tahu hendak bereaksi bagaimana.
Apatah lagi dengan keadaannya yang pastinya tampak teruk
di mata sahabatnya ini.
“Eh, Yuni. Fiqa.” Cuba melemparkan senyuman
walaupun perit rasa tubir bibirnya kesan tamparan Ikram
semalam.
Ayuni hanya diam memerhati. Mengamati sahabat
yang sudah lama tidak berjumpa. Adibah sudah banyak
berubah. Susuk tubuhnya tampak susut dan raut wajah
yang sedikit cengkung menggamit rasa tidak sedap dalam
hatinya. Apatah lagi melihat kesan lebam di tubir bibir Adibah
seakan-akan memberitahunya sesuatu.
“Hang apa khabar, Dibah?” soal Ayuni. Jelas raut
wajah Adibah tidak senang dengan pertemuan yang tidak
diduga ini. Adibah seperti ingin menyembunyikan sesuatu
dari pandangannya.
“Aku sihat,” jawab Adibah cuba beriak ceria walaupun
hakikatnya dalam hati merintih duka.
“Dah lama hang tak balik kampung.”
“Suami aku sibuk. Sebab tu kami tak boleh balik.
Tengoklah bila Ikram dah tak sibuk sangat, kami balik nanti.”
“Mak Nab rindu kat anak dan cucu dia.”
Hati dipagut pilu. Adibah juga rindukan ibunya.
Sudah beberapa kali dia meminta izin Ikram untuk balik
ke kampung, tetapi jawapan yang dia dapat hanya herdikan
Ikram. Dia tahu Ikram kecil hati dengan ibunya kerana
keengganan ibunya untuk menjual tanah pusaka peninggalan
arwah ayah. Walaupun sekarang ibunya menanggung hutang
dengan Tuan Darus, tetapi tanah pusaka itu tidak sekali-kali
akan digadaikan. Ibunya sanggup bersusah payah mengambil
upah menoreh untuk membayar hutang. Hanya itu sahaja
harta peninggalan ayah untuk mereka.
“Adam mana?” tanya Ayuni.
“Adam tidur.”
Adibah mula gelisah. Pandangan Ayuni seakan-akan
boleh membaca sesuatu dari raut wajahnya.
“Hang dah lama tak call kami,” kata Shafiqa.
“Aku sibuk kebelakangan ni, Fiqa.” Sibuk dengan
masalah rumah tangganya yang tidak tahu penghujungnya.
Semalam dia bergaduh besar dengan Ikram hanya kerana dia
meminta duit untuk membeli susu Adam. Barang-barang
dapur juga sudah habis. Bukan duit yang dia dapat, tetapi
penampar Ikram. Jika melawan, sepak terajang pula yang
dia dapat. Entah berapa lama lagi dia sanggup bertahan. Dia
sendiri tidak tahu.
“Mak hang ada bagi nombor telefon yang baru tapi
aku call tak dapat,” beritahu Ayuni.
“Tel... telefon aku rosak.” Tergagap-gagap Adibah
menjawab. Hakikat yang sebenarnya, telefon bimbitnya telah
berkecai dicampak ke dinding oleh suaminya. Telefon bimbit
itu langsung tidak dapat diselamatkan. Entah hantu apa yang
merasuk Ikram sehingga boleh bertindak begitu sekali.
Ikram sanggup bertindak kasar terhadapnya hanya
kerana dia bertanyakan tentang perempuan yang sering
menghubungi Ikram. Dia tidak boleh ambil tahu aktiviti luar
suaminya itu. Kalau dia sibuk bertanya, tubuhnya yang akan
menjadi mangsa.
“Bibir hang kenapa?” tanya Ayuni kala melihat Adibah
seakan termenung jauh. Adibah seperti menyembunyikan
sesuatu. Raut wajah itu seakan menanggung kesedihan.
Adibah tersedar dengan teguran Ayuni. Perlahan jari
menyentuh bibir. Tampak ketara sangatkah kesan di bibirnya?
Sudah ditempek-tempek bedak sebelum keluar tadi.
“Oh, ini sebab aku jatuh,” bohongnya.
Berkerut dahi Ayuni.
“Jatuh?” Jelas nada suara Ayuni tidak percaya.
Adibah mula gelisah.
“Yuni, Fiqa... aku minta maaf sangat-sangat. Aku nak
keluar kejap lagi. Ada hal sikit. Mungkin lain kali kita boleh
jumpa.” Adibah mula mencipta alasan. Tidak mahu Ayuni dan
Shafiqa menghidu masalah rumah tangganya.
Walaupun wajah Ayuni dan Shafiqa seakan-akan
mensyaki sesuatu, tetapi dia tidak tahu alasan apa lagi yang
hendak diberi. Masalah rumah tangganya biarlah dia saja
yang tanggung. Andai suatu hari nanti rumah tangganya
tidak dapat diselamatkan lagi, dia reda. Apa yang penting
sekarang, Adam. Buat masa ini Ikram belum lagi berani
mengapa-apakan Adam.
“Ni nombor aku dengan Fiqa. Kalau ada apa-apa,
hang jangan lupa call kami.” Ayuni menghulurkan sekeping
nota kecil yang tercatat nombor telefonnya dan Shafiqa.
“Aku minta maaf tak dapat sembang lama dengan
hangpa.” Adibah menyambut perlahan kertas nota kecil itu.
“Tak apa Dibah. Mungkin lain kali bila kita jumpa,
boleh sembang panjang.” Tangan Adibah digenggam kemas.
“Dibah...” Dalam renungan mata Ayuni kepada sahabatnya
itu.
“Kalau ada apa-apa, call aku. Aku dan Fiqa sentiasa
ada untuk hang.” Sempat dititipkan pesan buat Adibah yang
tampak sayu di matanya.
Tiada ungkapan yang terbit dari bibir Adibah, hanya
anggukan kecil mengiringi pesanan Ayuni itu.
“Aku rasa Adibah ada masalah,” luah Ayuni tidak
lama kemudian sebaik kereta meluncur di atas jalan raya.
“Aku pun rasa macam tu.” Shafiqa turut bersetuju
dengan kata-kata Ayuni.
“Aku rasa kesan lebam kat bibir Dibah bukan sebab
jatuh. Tapi kena pukul.” Nalurinya kuat menyatakan Adibah
ada masalah dengan suaminya. Renungan sayu sepasang
mata sahabatnya itu sentiasa bermain di ruang mata. Tiada
lagi sinar bahagia terbias dari sepasang mata hitam Adibah.
Apa yang dia nampak ialah kelukaan yang tidak terluah.
No comments:
Post a Comment