DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 18 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Bab 7

ZAHIM termenung di tingkap pejabatnya. Matanya
merenung jauh panorama di hadapan tetapi fikirannya
tetap memikirkan satu perkara sahaja. Siapakah Nur Aisyah
Sufiya atau lebih senang dipanggil dengan nama Sufi yang
sebenarnya. Dia perlu selidik. Tidak dapat tidak, dia kena cari
tahu. Kenapa gadis itu sedikit pun tidak ada perasaan terkejut
atau tergamam saat bertemu dengannya tengah hari semalam
sedangkan hatinya ketika itu menyimpulkan pelbagai rasa
dan yang ketara adalah perasaan teruja dan gembira.
Memang tidak dapat nak digambarkan dengan
kata-kata. Masa makan tengah hari pun muka gadis itu
selamba sahaja macam mereka tidak pernah berjumpa
sebelum ini. Cara gadis itu berkomunikasi dengan Razif
ketika itu membuatkan dia diamuk rasa cemburu. Mereka
macam sudah kenal lama, nampak serasi. Dan Razif pula,
bukan main lagi lagaknya melayan gadis itu bercakap macam
mereka pasangan kekasih hinggakan dia rasa dirinya tidak
wujud di situ. Kerana kejadian itu, tidurnya malam tadi jadi
tidak lena.
Zahim berpusing, kali ini kakinya melangkah ke
arah kerusi empuk yang menempatkan dirinya sebagai CEO
Zamrud Holdings. Bukan dia nak berbangga dengan jawatan
dan status itu tapi itu adalah permintaan papa.
“Im, papa nak Im pegang jawatan sebagai CEO di
Zamrud Holdings. Hanya Im satu-satu waris papa yang layak.
Nak harapkan Zarul, dia memang tak berminat langsung
untuk bekerja di Zamrud Holdings,” ujar Tan Sri Mokhtar
sebelum Zahim dilantik sebagai CEO dua tahun yang lepas.
Zahim melirik ke arah jam dinding. Jarum pendek
menunjukkan jam 10 pagi. Hairan juga kenapa sampai saat
ini, wajah Razif tidak muncul-muncul. Kebiasaannya jam 9
pagi, mesti muka Razif sudah terpacak di depan matanya.
Entah-entah dia keluar sarapan bersama gadis itu. Hatinya
mula diamuk resah dan gelisah. Selama ini, dia tidak pernah
kisah pun kalau Razif nak rapat dengan mana-mana gadis tapi
bukan dengan gadis yang bernama Nur Aisyah Sufiya, hatinya
rasa tidak tenang. Adakah hatinya memang sudah tertawan
dengan gadis itu?
“Masuk.” Lamunan Zahim terhenti bila mendengar
ketukan di pintu.
Tidak lama kemudian, wajah Razif muncul seperti
biasa di muka pintu bersama sebuah senyuman manis di bibir.
“Amboi... manis dan ceria bukan main muka kau.
Kau terlebih makan gula ke?” Zahim merenung tajam wajah
Razif yang melangkah masuk ke biliknya.
“Bila hati rasa gembira, muka pun jadi manis dan
ceria. Tak payahlah nak telan gula sampai berkilo-kilo, nanti
tak pasal-pasal dapat penyakit kencing manis. Kan naya tu,
pendek umur.” Razif tetap dengan senyumannya.
“Lambat betul kau lapor diri kat aku.” Sekali lagi
Zahim merenung wajah Razif.
“Yalah kan. Apasal aku lambat lapor diri dekat kau,
ya?” Razif menggaru-garu kepalanya sambil tersengih-sengih.
Selalunya dia akan melepak di bilik Zahim sebelum mereka
sarapan bersama di kafe depan ofis.
“Jangan nak kelentonglah. Betul kau usyar awek tu?
Maksud aku, staf baru kita tu.”
Tajam mata Zahim merenung wajah Razif yang asyik
tersenyum-senyum. Entah kenapa hati Zahim menjadi sakit
melihat senyuman Razif itu.
“Kalau ya aku usyar dia, kenapa? Kau jealous?”
Razif menaikkan keningnya beberapa kali. Bukan dia
tidak perasan pun muka Zahim yang cemberut macam orang
terkena sembelit.
‘Takkan dia cemburu kut aku nak usyar si Sufi tu.
Kalau betul, macam mana, ya?’ detik Razif dalam diam.
“Ya, aku jealous.” Zahim sudah membuat pengakuan
maut.
Bulat mata Razif merenung wajah tenang Zahim.
Tidak nampak macam muka orang bergurau. Entah-entah
betul dia cemburu.
“Serius, kau cemburu?” Razif merenung wajah
Zahim.
Zahim tidak menjawab, sebaliknya dia mengangguk
perlahan. Razif mula menelan liur.
“Betul ni, bro?” Razif meminta kepastian. Wajah
Zahim ditenungnya tanpa berkelip.
“Memang betul aku cemburu. Jadi kau nak kata apa?”
Giliran Zahim pula merenung wajah Razif membuatkan Razif
tidak senang duduk. Macam cacing kepanasan.
Tiba-tiba Zahim meledak tawa sambil
menekan-nekan perutnya. Razif tetap menelan liur. Memang
sukar nak percaya.
“Kau ni, betul ke lawak ni?”
Razif tetap tidak puas hati. Wajah Zahim
dipandangnya dengan muka serius.
“Tak adalah, saja aku nak kenakan kau. Tak sangka
kau boleh gelabah semacam aje.” Zahim mengukir senyum.
Kemudian dia menyandar badannya di kerusi sambil
menarik nafas seketika.
“Zif, kau jangan marah ya kalau aku nak cakap
sesuatu.” Zahim bersuara dengan muka yang cukup serius.
“Okey, kau nak cakap pasal apa?” Razif sedikit
terkejut melihat wajah Zahim.
“Aku nak cakap pasal staf baru kita tu.”
“Kau nak cakap pasal Sufi? Err... maksud aku pasal
Nur Aisyah Sufiya?” Mata Razif terpaku ke muka Zahim.
“Yes, that girl. Sebenarnya Nur Aisyah Sufiya adalah
gadis yang aku fikirkan selama beberapa hari ini.” Zahim
mengaku dengan wajah tenang membuatkan mulut Razif
terus melopong.
Razif segera membetulkan kedudukannya. Nasib
baik dia tidak terjatuh dari kerusi sebab terkejut mendengar
pengakuan Zahim.
“Aku tak faham. Apa maksud kau ni, Im? Bila masa
pula kau kenal dan jumpa dengan dia?” Razif mula panasaran.
Razif makin tidak senang duduk. Tubuhnya terasa
membahang tiba-tiba.
“She's my rescuer. Kau ingat tak perempuan yang
aku cakap kat kau tempoh hari, perempuan yang menolong
aku masa aku kena belasah kat shopping complex hari tu?”
Sekali lagi mulut Razif melopong. Entah kenapa
wajahnya yang ceria tadi sudah bertukar sedikit mendung.
“Jadi, kau... kau dah jatuh cinta dengan dia?” Debar
di dada Razif masih belum hilang.
“Hmm... mungkin ya, mungkin juga tidak
tapi rasanya, ya kut. Entahlah...” Jawapan Zahim yang
teragak-agak itu membuatkan Razif mengeluh perlahan.
Sudah rasa hilang ghairah saat mengetahui yang Zahim
terlebih dahulu mengenal Sufi. Malah selama ini Sufi adalah
gadis yang dicari oleh Zahim.
“Serius kau sukakan dia?” Razif kembali merenung
wajah sepupunya. Dia berasa tidak puas hati selagi tidak
tahu sejauh mana Sufi mampu menawan hati sepupunya
itu. Entah kenapa saat ini juga perasaan Razif mula menjadi
layu dan lemau. Sebelum ni perasaannya rasa segar dan ceria
seolah-olah sentiasa disiram dan dibaja.
Zahim hanya diam.
“Tapi kenapa lagak dia macam tak teruja pun bila
jumpa kau? Entah-entah kau salah orang tak.” Razif buat
andaian.
Razif mula keliru bila mengenangkan sikap Sufi
yang nampak biasa sahaja sewaktu bertemu muka dengan
Zahim semalam.
“Tak. Aku yakin bahawa dialah orangnya. Tapi
sebenarnya aku pun rasa confuse juga bila dia macam tak
kenal aje aku semalam.”
Pada awalnya Zahim nampak yakin, kemudian dia
macam keliru. Yang mana satu ni?
“Kau ni buat aku pening kepala ajelah.” Razif
menggeleng kepala.
“Nantilah aku tanya dia. Kalau betul bukan dialah
orangnya, aku serahkan dia pada kau tapi kalau dialah
orangnya, aku akan cuba pikat dia.” Bibir Zahim tiba-tiba
mengorak senyum.
“Hmm... kau ni macam orang tak betul dah aku
tengok. Aku pula yang keliru tapi serius aku cakap, kalau
memang dialah orang yang kau cari tu dan kau betul-betul
sukakannya, aku tak akan kacau kau. Malah aku akan bagi
sokongan untuk kau tawan hati dia.” Kali ini bibir Razif pula
yang mengukir senyum.
“Kau tak marah? Hey, kenapa cepat sangat mengalah
ni?” Zahim agak hairan. Razif nampak begitu tenang.
“Kau kenal siapa aku, kan? Aku sentiasa mahukan
yang terbaik untuk kau. Aku rela mengalah asalkan kau
bahagia.” Razif pamer wajah tenang. Sedikit senyuman
terukir di bibirnya.
“Zif, kau buat aku rasa serba salah pula.” Zahim
sudah rasa tidak selesa.
Wajah Razif itu ditenung seketika. Terpancar wajah
keikhlasan pada sepupunya itu.
“Kalau Sufi tu ditakdirkan oleh Allah adalah jodoh
kau, dia akan jadi milik kau. Aku tak naklah kerana seorang
perempuan, kita berbalah, berdendam dan bermasam muka.
Tak macholah, bro.” Razif bersuara dengan ikhlas hati.
“Macam mana kalau dia dah ada pilihan sendiri?”
Timbul rasa risau di hati Zahim tiba-tiba.
“Kalau dia dah ada pilihan sendiri, itu bermakna nasib
tidak menyebelahi kau tapi kuasa Allah, tak ada siapa yang
mampu melawan aturan-Nya.” Zahim mengangguk perlahan.
Mengiakan kata-kata itu. Sebuah keluhan dilepaskan saat
mengenangkan kata-kata Razif itu.

SUFI SEDANG menyediakan minuman di pantri semasa
Kak Azah masuk bersama senyuman yang tidak lekang dari
bibirnya. Sufi turut menghadiahkan senyuman buat Kak
Azah yang nampak begitu anggun dengan mengenakan
sepasang baju kurung warna ungu. Memang sesuai dengan
warna kulitnya yang agak cerah itu.
“Hmm... nasib baik akak jumpa Sufi kat sini.
Ingatkan dah keluar pergi mana tadi.” Kak Azah memandang
wajah Sufi yang baru saja nak meneguk Milo dalam mug.
“Ada apa Kak Azah?” Dahi Sufi mula berkerut.
“Encik Zahim nak jumpa dengan Sufi.” Kak Azah
menyampaikan hajat.
“Encik Zahim? Dia nak jumpa Sufi? Kenapa ya?”
Sufi sudah tidak keruan. Risau kalau ada perkara
yang tidak disenangi oleh lelaki itu. Air Milo yang masih
berbaki dipandangnya tanpa selera. Hatinya benar-benar
resah dan takut.
“Hai Kak Azah, nak minum juga ke?” Tiba-tiba
Marina muncul di muka pintu. Dia terus masuk sambil
matanya melemparkan jelingan ke arah Sufi.
Sufi melirik ke arah Kak Azah sambil menaikkan
keningnya.
“Tak adalah. Kak Azah bukannya nak minum tapi
Kak Azah cari Sufi.”
“Ada hal penting ke sampaikan Kak Azah cari dia
sampai ke sini?” Marina mencebik bibirnya.
“Pentinglah kut.” Kak Azah memandang wajah Sufi
yang begitu asyik mengelamun.
“Aik, lain macam aje bunyinya tu.” Marina tergelak
kecil.
Marina menghampiri kabinet dan mencapai sebiji
mug dan diletakkan di atas meja. Air putih yang diambil dari
peti sejuk dituang ke dalam mug miliknya.
“Bukan Kak Azah yang nak jumpa dengan Sufi...”
Kak Azah tergelak kecil. Tahu sangat dengan perangai Marina
yang tidak senang hati melihat orang lain senang.
Marina sudah pandang muka Kak Azah dengan
pandangan yang pelik.
“Habis tu, siapa?” Marina makin berminat.
“Big boss.” Marina yang sedang meneguk air mula
tersedak.
“Kenapa pulak tu? Minumlah elok-elok sikit, macam
budak kecil pulak Rina ni. Kan dah tersedak.” Kak Azah
tergelak melihat gelagat Marina yang nampak kalut bila dia
menyebut perkataan ‘big boss’.
“Big boss? Maksud Kak Azah, Encik Zahim nak
jumpa perempuan ni?” Marina siap tuding jarinya hampir ke
muka Sufi.
“Yalah, big boss akak merangkap CEO Zamrud
Holdings iaitu Encik Zahim yang nak jumpa dengan Sufi.
Erm... Rina ada masalah ke?” Kak Azah memberi penjelasan.
Bukan Kak Azah tidak kenal siapa Marina. Dia sudah
lama tahu bahawa Marina memang ada menaruh hati pada
Encik Zahim. Sentiasa buat perangai gedik dan manja-manja
bila berhadapan dengan Encik Zahim.
Kak Azah tahu, Marina sengaja hendak curi perhatian
Encik Zahim tapi maaflah ya sebab setakat ini, Encik Zahim
tidak pernah bagi sikit pun perhatian pada Marina. Rasanya
itu yang buat Marina nampak bengang dan cemburu bila
Encik Zahim tiba-tiba nak jumpa Sufi.
“Erm, tak ada apa. Agaknya dia ada buat salah
kut. Itu yang kena pergi mengadap CEO Zamrud Holdings.
Setakat muka macam you ni, Encik Zahim tak akan pandang
punyalah.”
Marina mencebik sambil memandang lekeh dengan
penampilan Sufi yang sentiasa mengenakan seluar dan
blaus. Apa lagi bertudung. Pakai tudung pun tidak mengikut
fesyen semasa. Tak up-to-date. Macam perempuan kampung.
Ketinggalan zaman.
“Rina, kita tak boleh cepat buat kesimpulan, tak
baik.” Kak Azah terus menegur dengan nada lembut. Risau
juga kalau Sufi terasa hati mendengar kata-kata Marina yang
tidak ada insurans itu.
“Tak apalah Kak Azah. Cuma satu saja saya nak tanya
awak, Cik Rina.” Sufi memandang wajah Marina.
Bulat mata Marina melihat wajah Sufi yang begitu
tenang.
“Selama awak kerja di Zamrud Holdings dengan
penampilan yang begini seksi, menawan kononnya,
sofistikatedlah kan. Ada tak walaupun sekali, awak berjaya
membuatkan pandangan Encik Zahim terpaku pada awak, tak
adakan?” Sufi merenung wajah Marina yang mula cemberut.
“Tak adakan?” ulang Sufi lagi sambil mengukir
senyum. Tengok muka pun sudah tahu. Tak payah nak
mengaku.
“Itu tandanya awak bukan taste dia. Awak tak
fikir ke dengan penampilan awak yang seksi begini boleh
mengundang bahaya pada diri awak ketika awak berada di
luar sana? Awak juga akan mengumpul dosa dengan sengaja
menampakkan aurat awak pada lelaki yang bukan mahram.
Awak ingat semua lelaki sukakan perempuan yang seksi
macam awak ke? Elok awak cepat-cepat bertaubat sebelum
terlambat. Ingat pesanan dari penaja, ya? Sekian, terima
kasih.” Sufi menuju ke singki.
Mugsegera dibasuh dan diletakkan di atas rak
sebelum berlalu pergi meninggalkan Marina yang sudah
bertukar rupa. Mukanya merah menahan marah yang amat
bila ditegur dengan selamba oleh Sufi tadi.
“Hmm... tak sangka ya, Rina dapat tazkirah percuma
hari ni.” Kak Azah berbisik perlahan di telinga Marina sebelum
berlalu pergi mengekori langkah Sufi dengan senyuman
masih terukir di bibirnya.
Marina mendengus kasar sambil menghentak kaki
menuju ke tempat kerjanya. Nasib baik tidak ada sesiapa
yang dengar. Kalau tidak, mana dia nak letak muka. Malu...
Selama ini dia cukup bangga dengan penampilannya kerana
menyangka semua lelaki akan memandangnya setiap kali dia
muncul di bangunan Zamrud Holdings.

No comments:

Post a Comment