DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 10 July 2017

Diakah Cinta? - Bab 12

“MACAM mana interviu tadi?” soal Shafiqa
teruja. Terus dia dekati Ayuni yang baru melabuhkan
punggung di sofa.
“Kut ya pun, bagi aku tarik nafas dulu.”
Gelas di tangan Shafiqa dipandang penuh minat.
Fresh orange! Terus disambar gelas itu lantas diteguknya
sehingga tinggal separuh.
“Terima kasih,” ucapnya sambil memberikan
kembali gelas kepada Shafiqa yang nampak tidak puas hati.
“Kurang asam punya kawan. Air aku disonglapnya.”
Ayuni hanya tersengih.
“So macam mana interviu tadi?” tanya Shafiqa lagi.
Ayuni hanya diam. Tidak menjawab pertanyaan
Shafiqa yang tidak sabar ingin tahu tentang temu duga entah
kali ke berapa itu. Melihat raut wajah Ayuni yang berubah
muram, dia sudah dapat menduga.
“Tak apalah, Yuni. Bukan rezeki hang kat situ.”
Perlahan Ayuni berpaling memandang Shafiqa.
“Aku dapat kerja tu!” jerit Ayuni. Wajah muram tadi
sudah berubah ceria.
Bahu Ayuni menjadi sasaran tangan Shafiqa. Geram.
“Adoiii! Sakitlah!” Diusap-usap bahunya yang terasa
pedih dek tamparan sahabatnya yang boleh tahan kuat.
“Padan muka!”
“Usik sikit pun tak boleh.”
“Bila mula?” tanya Shafiqa.
“Isnin, minggu depan.”
“Cepatnya!”
“Sebab diaorang nak cepat. Syukur sangat, Fiqa.
Masa nak interviu macam-macam doa aku baca. Memang
aku berharap sangat dapat kerja tu. Alhamdulillah, semuanya
berjalan lancar. Bila HR beritahu aku boleh start kerja
minggu depan, rasa nak meloncat masa tu. Tapi kenalah
cover sikit, kan...” cerita Ayuni. Senyuman tidak lekang di
bibir. Segalanya ingin dikongsi bersama sahabat baiknya itu.
“Alhamdulillah... aku pun tumpang gembira. Lega
aku. Kalau tak, asyik duk menghadap muka monyok orang tu
ja. Seksa zahir batin aku.”
Bulat mata Ayuni sebaik mendengar kata-kata
Shafiqa itu.
“Oit! Perli aku ka?”
Shafiqa menarik sengih. Dia hanya menjongket
sebelah keningnya dengan jelingan tajam Ayuni. Tak takut
pun! Dia kenal benar dengan sahabatnya yang sorang ini.
Mana pernah hendak marah lebih-lebih. Habis kuat pun
membebel saja. Tapi dia lebih suka kalau Ayuni membebel
daripada menjadi manusia bisu. Haru juga dia hendak
memujuknya. Tapi kebisuan sahabatnya tidak lama. Kena
dengan gaya pujuknya, sekejap saja wajah comel itu kembali
ceria.
“Cepat hang balik kerja hari ni? Selalu nak terbenam
matahari baru balik,” tanya Ayuni.
“Aku ada meeting kat JPS tadi. Habis meeting
dah dekat pukul 5. Aku terus balik,” jawab Shafiqa sambil
mencapai alat kawalan jauh TV yang terletak di atas meja
kopi.
“Yang hang pulak, interviu pagi kan? Kenapa petang
baru sampai rumah?”
“Aku pergi Giant, beli barang dapur sikit,” beritahu
Ayuni. Alat kawalan jauh di atas riba Shafiqa dicapai. Jemari
mula menekan mencari saluran yang menarik petang-petang
begini. Tiba-tiba dia teringat sesuatu yang ingin diberitahu
kepada Shafiqa.
“Fiqa, tadi aku nampak Dibah dengan anak dia.
Ikram pun ada sekali,” beritahu Ayuni.
“Hang nampak Dibah kat mana?”
“Kat McD.”
“Hang tak tegur diaorang?”
“Aku nak tegur, tapi bila aku dengar Ikram duk
marah-marah, terus aku tak jadi nak pi dekat.”
“Diaorang tak perasan hang ka?”
“Macam mana nak perasan? Dibah asyik menunduk
ja. Kesian aku tengok. Yang si Ikram tu, masalah rumah
tangga pun nak bawa sampai ke luar rumah. Tengok tempatlah
sikit. Nasib baik orang tak berapa ramai.”
“Hang rasa Dibah tengah ada masalah dengan
Ikram?” tanya Shafiqa.
“Entahlah. Kita tak tahu hal sebenar. Tak boleh nak
tuduh membuta tuli. Dibah pun hari tu macam mengelak nak
bersembang lama dengan kita.”
“La ni apa perlu kita buat? Takkan nak biarkan kawan
kita macam tu ja?” luah Shafiqa. Mereka berkawan sejak kecil.
Bermain bersama. Pergi sekolah bersama. Bila tamat sekolah,
masing-masing bawa haluan sendiri.
Adibah tidak mendapat tawaran dari mana-mana
pusat pengajian tinggi. Hendak melanjutkan di kolej
swasta, keluarganya tidak mampu. Disebabkan itu, Adibah
mengambil keputusan bekerja di sebuah kilang. Di situlah
dia berkenalan dengan Ikram. Selepas berkahwin, Ikram
berpindah tempat kerja di Kuala Lumpur. Sejak itu, mereka
seperti putus hubungan dengan Adibah. Apatah lagi Adibah
jarang sekali balik kampung.
“Tapi masalah rumah tangga dia kita tak boleh masuk
campur,” kata Ayuni. Wajah keruh Adibah kembali bermain
di ruang mata. Dia dapat rasakan sahabatnya itu sedang
menahan tangis. Perasaan malu usah dikata. Bukannya dia
tidak perasan mereka menjadi tumpuan beberapa pasang
mata yang ada di situ. Melihat anak kecil di atas pangkuan
Adibah semakin merudum perasannya. Anak kecil itu seakan
mengerti perasaan ibunya yang sedang dimarahi.
“Bila-bila kita pergi jumpa Dibah,” saran Shafiqa.
Ayuni mengangguk. Sahabat mereka itu perlu
dibantu.

No comments:

Post a Comment