DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 8 October 2017

Awak Dah Curi Hati Saya - Bab 9

MATA Husna masih galak menyorot ke segenap
ruang di dalam klinik haiwan itu. Sesekali jemarinya naik
mengirai rambut hadapan yang terjuntai di dahi. Susah
rasanya dia hendak percaya yang mamat kekwat tempoh hari
sebenarnya seorang doktor veterinar. Entah-entah dia tipu
kut. Klinik haiwan yang boleh tahan juga besar ini, betul ke
dia yang punya?
Kalau dilihat dari segi perangainya yang kekwat itu,
layak ke dia jadi doktor haiwan? Setahu Husna, sifat dan sikap
seorang doktor haiwan ni lebih penyayang dan lemah-lembut
berbanding dengan doktor biasa. Tapi lelaki ini, cakap pun
main lepas saja. Tak ada tapis-tapis dah! Layak ke?
“Sorry, lama tunggu? Aku cari peti kecemasan
tadi tak jumpa. Pembantu aku sorokkan dalam laci kabinet
pantri rupanya.” Wazif menapak kemas ke arah Husna yang
sedang duduk di atas sofa ruangan menunggu. Di tangannya
sudah tergenggam sebuah kotak pertolongan cemas. Segaris
senyuman dilayangkan untuk Husna.
Okey. Termasuk kali ini, sudah dua kali mamat
kekwat ni bercakap dengan nada lembut dan mesra. Bila dia
cakap baik-baik macam ni, hati Husna mula buat hal. Rasa
macam dah tersuka sikit dengan mamat ini! Tak banyak,
sikittt... aje.
Wazif melabuhkan duduknya di sebelah Husna.
Tangannya lincah saja membuka peti kecemasan yang
diletakkan di atas ribanya. Sebotol antiseptik diambil dan
sedikit kapas dikeluarkan dari pembalutnya.
Husna masih diam tidak berkutik. Matanya saja yang
tidak lekang daripada menyorot setiap pergerakan Wazif. Rasa
canggung benar dengan layanan Wazif saat ini. Tadi bukan
main kekwat lagi!
Baru saja Wazif mahu menyapu antiseptik ke
lututnya, Husna cepat-cepat menahan.
“Eh awak, tak apa... biar saya buat sendiri.”
Senyuman kelat dia lakarkan. Sumpah! Dia memang tidak
selesa dengan keadaan mereka sekarang. Ikutkan hati dia,
memang dia hendak pergi cepat-cepat dari situ.
Gerak tangan Wazif terhenti. Namun, dia tidak pula
menyerahkan botol antiseptik itu kepada Husna. Sebaliknya,
mata coklat cair miliknya menyuluh tepat ke anak mata
Husna.
“Kau ni degil, kan?”
“Tak! Tapi saya cuma tak nak susahkan awak. Lagipun
saya tak nak termakan budi!”
“Kenapa? Takut tergadai body?” Senyuman senget
sudah menghiasi bibir merah Wazif. Geram juga dia
dengan mulut Husna ni. Apa saja yang dia cakap, mesti ada
jawapannya.
“Saya tak kenal awak. Apa niat awak tolong saya pun,
saya tak tahu. Manalah tahu awak nak balas dendam pada saya
sebab saya dah calarkan kereta awak dulu. Tak pun... sebab
hari tu saya dah tumpahkan kopi pada kemeja awak. Haa...
sebab itulah awak intip saya! Kalau tidak macam mana awak
tiba-tiba aje boleh muncul dan jadi hero selamatkan saya?”
“Prejudisnya kau ni kan?” Wazif sudah
menghamburkan tawa.
Husna pula, sudah bulat mata. ‘Lucu ke? Betullah
yang aku fikir tu! Bukan aku kenal dia pun!’ Hati Husna
berdesis geram.
“Hmm... look, cik adik! Aku bukan mengintip kau,
okey! Tadi tu, memang kebetulan aku lalu dekat situ. Kau
tahukan klinik aku ni dekat belakang lorong tu aje. Masa
aku sampai depan klinik ni tadi, tiba-tiba aje aku terdengar
suara kau yang macam cicak tercekik lalat tu, menjerit minta
tolong. Sebab itulah aku tiba-tiba aje muncul jadi hero kau
pagi ni. Faham?” Kening Wazif sudah terjongket sebelah.
Senyuman senget terhias kacak di wajahnya.
Aduh! Biarpun suara Wazif kedengaran begitu
lembut di telinga Husna tetapi perasaannya rasa terpukul
keras. Dalam lembut bicara, sempat lagi Wazif kutuk suara
dia. Memang kekwat sungguh mamat ni!
“Errr... tak kiralah! Saya tetap tak kenal siapa awak.”
Tidak mahu kalah, Husna terus juga berbahas.
Wazif mengeluh berat. Tidak jadi menyapu ubat di
lutut Husna. Duduknya ditegakkan, menghadap lurus ke
Husna.
“Kalau macam tu, hari ni kita berkenalan. Okey,
nama aku Wazif. Ataupun kau nak tahu sekali dengan nama
ayah aku? Hmm... umur aku, 30 tahun. Aku doktor veterinar
dan yang paling penting aku masih single and available. Jadi
kau tak payah risaulah, memang tak akan ada perempuan
yang datang serang kau bila aku tolong sapukan ubat ni. Puas
hati?”
Eleh! Kenalkan diri pun nak berlagak lagi. Husna
mencebik dalam hati. Namun, bibir mungilnya tetap
tersenyum manis kepada Wazif.
“Klinik ni awak punya ke?”
“Bukan. Aku kuli aje dekat sini,” sinis Wazif
menjawab. Rasanya tadi sudah terang lagi bersuluh dia cakap
yang dia doktor dan ini kliniknya. Lagi mau tanya ka?
“Okey, sorry! Saya tahu, saya over! Hmm... saya
minta maaf jugak sebab saya dah calarkan kereta awak. Masa
tu saya memang geram sangat!” Husna tunduk bermain jari
sendiri. Kalau dia terus renung mata Wazif, bimbang pula
jantung dia akan jatuh tergolek nanti. Sejak pertama kali
berjumpa, mata lelaki itu memang sudah berjaya memukau
pandangan dia.
“It’s okay! Aku pun salah. Tapi masa tu memang aku
tak nampak langsung kau nak masuk parking. Aku nak cepat
masa tu. Lagipun kira dah seri kan? Cik Kiah kau pun cedera
jugak aku kerjakan. Aku pun nak minta maaf, okey?” tenang
Wazif menjawab. Dia memang tak nak cari gaduh lagi dah.
Sudah penat rasanya nak bergaduh dengan perempuan comel
di hadapan dia ini.
Husna angguk perlahan. “Hmm... Tapi masa saya
tumpahkan air kopi dekat baju awak tu... sumpah, saya tak
sengaja!” Kali ini mata mereka bersabung. Lama!
Lambat-lambat Wazif ukir senyuman.
“Masa tu aku memang marah! Baju tu aku baru beli
tau! Entah kenapalah malang sangat nasib aku. Asal jumpa
dengan kau aje, adalah benda buruk yang berlaku dekat aku.”
Wazif tergelak halus.
“Maaf...” perlahan suara Husna terluah. Seraut
wajah comelnya sudah kelihatan keruh. Rasa bersalah sangat
apabila Wazif cakap macam tu.
“Dahlah! Aku dah cuci pun baju tu. Hmm... siapa
lelaki dengan kau hari tu? Boyfriend?”
“Haah. Nama dia Mikail,” jawab Husna tanpa
berselindung. Buat apa nak tipu. Dia bukannya ada apa-apa
hubungan dengan Wazif. Kenal pun tidak!
“Owh!” Itu saja yang terkeluar dari mulut Wazif.
Entah kenapa hati dia terasa lain macam pula. ‘Kecewa ke?
Isy! Takkanlah kut!’
“Hmm, cik...”
“Husna! Husna Aqila. Awak boleh panggil saya Husna
aje. Kawan-kawan rapat panggil saya Una.”
“Ooo... okey. Sekarang kita dah kenal, boleh ke aku
sapu ubat sekarang?” Wazif jongket kening sambil tersenyum
lembut.
Husna telan liur. ‘Ya Allah! Kenapa dengan hati aku
ni? Oksigen mana oksigen? Aku rasa nak semput dah ni.’
Hati Husna sudah menjerit kuat. Sumpah! Senyuman Wazif
yang terlebih gula tu mampu melumpuhkan seluruh jiwanya.
Kacak sangattt!
“Ehemm... boleh. Tapi, perlahan-lahan tau!” Husna
betulkan duduknya. Kain skirt yang terasa sedikit tersingkap
ke atas itu dia betulkan. Itulah! Tak dengar lagi cakap mama!
Dah banyak kali mama tegur cara dia berpakaian, tapi tetap
degil. Abangnya, Hazim juga. Sudah naik berbuih mulut
menegur.
“Antiseptik ni pedih sikit. Kau tahan, ya?” Dengan
berhati-hati Wazif menyapu ubat ke lutut Husna. Sesekali
terdengar Husna mengadu kecil. Matanya juga sudah sedikit
berair. Pedih.
“Cik Husna... lain kali jangan pakai baju tak cukup
kain macam ni lagi. Tengok ni! Sekali jatuh aje dah luka
macam ni. Sebab itulah Allah suruh orang perempuan ni
berpakaian yang elok-elok. Supaya dapat menjaga pandangan
mata lelaki terhadap dia. Supaya tidak menjadi fitnah dunia.
Faham tak, Cik Husna?” Lembut suara Wazif menegur.
Tangannya ralit mencuci luka di lutut Husna. Mata pula,
hanya terfokus di situ semenjak tadi.
Senyap.
Husna tidak membalas apa-apa. Hanya matanya yang
sejak tadi tidak lepas daripada menyorot diri Wazif. Alahai...
bila mamat ni dah mula bercakap lembut macam ni, hati dia
mulalah rasa lain macam. Rasa macam dah tersuka tanpa
sengaja saja! ‘Husna, wake up! Kau jangan nak bukan-bukan
ek! Ingat sikit hati kau tu milik siapa. Milik Mikail, okey!’
Perasaan Husna mula berperang sendiri.
“Dengar tak ni? Hmm?” Wazif panggung kepala.
Saat itu juga mata coklat cairnya sudah bertemu tepat
dengan anak mata Husna yang sedari tadi merenung dia tidak
berkelip. Jantung Wazif tiba-tiba berdetak kencang. Liur di
kerongkong tertelan sendiri. ‘Sudah! Kenapa dengan jantung
aku ni?’
Husna cepat-cepat palingkan mukanya ke arah
lain. Jantung dia juga sudah mula berdegup tanpa irama.
Lintang-pukang temponya. ‘Ya Allah... Husna! Klise sangat
okey!’
2 minit berlalu, sepi masih menemani mereka.
Husna mula rasa tidak selesa. Wazif nampak ralit semula
dengan kerjanya mencuci luka di lutut Husna. Tidak ada
tanda-tanda dia mahu bersuara atau berbual mesra.
“Eh, kening awak berdarahlah!” Husna bersuara
sebaik saja ternampak ada luka kecil di hujung kening Wazif.
Tangannya spontan menarik sapu tangan Hello Kitty dari
dalam beg sandang dan laju saja tangan mengelap hujung
kening Wazif. Semuanya berlaku terlalu pantas.
Wazif nampak tersentak dengan tingkah Husna.
“Err... Hmm... tak apa. Nanti aku sapu ubat.”
Sepantas kilat tangan kekarnya menangkap tangan Husna.
Menahan Husna dari terus mengelap luka di keningnya.
Mata mereka bertemu lagi. Masing-masing nampak
terkedu.
“Tapi, kening awak luka...” perlahan suara Husna.
Seakan berbisik saja.
Wazif telan liur. Tangan Husna dilepaskan dan dia
tunduk semula memandang lutut Husna. Tidak pula dia
menjawab kata-kata Husna. Sekali lagi sepi menyelubungi
mereka. Husna mula gelisah macam cacing kepanasan. Dia
benci suasana diam macam ini. Semakin sepi, semakin sesak
rasa dadanya.
“Hari minggu macam ni pun awak kerja, ya?”
Soalan diajukan kepada Wazif. Harapnya, teknik dia untuk
memancing Wazif berbual menjadilah.
Wazif panggung kepala. Senyuman berlari seketika
di bibir nipisnya sebelum dia menjawab pertanyaan Husna.
“Tak. Biasanya hari minggu macam ni, pembantu
aku aje yang akan datang ke klinik ni. Aku kadang-kadang
aje ada dekat sini kalau hari minggu. Macam hari ni, dia ada
hal dan akulah yang terpaksa datang. Kalau tidak, kebulurlah
anak-anak aku dekat dalam sana tu.” Mulut Wazif sudah
memuncung ke arah sebuah bilik di hujung sana.
“Kucing ya? Banyak?” Mata Husna nampak bersinar.
Bila bercerita pasal kucing dia memang sentiasa teruja.
“Banyak. Kau suka kucing?” soal Wazif sambil
menampal plaster pada lutut Husna. “Sekarang sakit lagi
tak?” Muka Husna direnung sejenak.
“Err... dah kurang dah. Terima kasih awak.” Husna
membetulkan duduk. Segan pula rasanya dekat Wazif dengan
apa yang sudah berlaku
Kalau dilihat dari cara dia berpakaian, memang
ramai orang fikir dia jenis perempuan yang mudah disentuh
dan diusung ke sana sini. Hakikatnya, dia amat menjaga
pergaulannya dengan lelaki. Pesan mamanya untuk menjaga
maruah diri sentiasa terpahat di hati. Cuma permintaan
mamanya nan satu itulah masih belum berjaya ditunaikan.
Dia memang ada niat hendak bertudung, tapi serunya masih
belum sampai.
“Tak ada hallah! Perkara kecil aje. Tapi nanti jangan
lupa dapatkan rawatan dekat klinik, okey? Aku ni cuma doktor
haiwan aje. Tak pakar sangat dalam merawat orang,” seloroh
Wazif sambil tergelak halus. Barisan giginya yang tersusun
rapi itu jelas nampak setiap kali dia tergelak. Nampak dua kali
ganda lebih kacak!
“Err... baiklah!” Husna angguk kepala. “Hmm... saya
memang suka kucing. Dulu cita-cita saya nak jadi doktor
veterinar macam awak. Tapi mama saya tak bagi. Dia nak
saya study business dan ambil alih perniagaan restoran dia.
Terpaksalah saya ikut.”
“Bagusnya kau ni. Susah nak cari anak yang taat
zaman sekarang ni. Ingatkan kau ni degil sangat.” Dalam
memuji sempat lagi Wazif memerli. Tapi dalam diam dia mula
berasa kagum dengan perempuan bernama Husna Aqila ini.
Nampak saja macam liar. Hakikat sebenarnya, hanya yang
mengenali diri Husna saja yang tahu sikap sebenarnya.
“Mama sorang. Kalau tak ikut cakap dia, nak dengar
cakap siapa lagi, kan?” Kening Husna sudah terjongket
sebelah. Nampak semakin selesa berbual-bual dengan Wazif.
“Betullah tu. Dekat rumah ada kucing?”
“Ada. Dekat rumah saya ada kucing. Namanya Nomi.
Tapi seekor itu ajelah. Mama saya tak bagi saya bela kucing
banyak-banyak. Serabut katanya. Saya datang dekat lorong
belakang tadi pun sebab nak bagi makan kucing. Tapi, tadi
kucing-kucing yang saya selalu bagi makan tu tak ada. Puas
dah saya panggil, tapi tak muncul-muncul jugak.”
Wazif kerut dahi.
“Kucing warna oren dengan hitam?”
“Haah! Awak tahu ke?”
“Jadi, selama ni... kaulah yang selalu bagi diaorang
makan dekat lorong belakang tu?”
“Haah. Entah ke manalah diaorang pergi,” Husna
melepaskan keluhan kecil. Keningnya juga sudah teduh.
Entah-entah kucing-kucing tu sudah dimakan anjing liar.
‘Hmm... kesiannya.’ Sempat lagi hati dia bercakap sendiri.
“Kau jangan risaulah. Oren dengan Hitam ada
dengan aku sekarang ni. Diaorang ada dekat dalam sangkar
dekat bilik hujung tu. Malam tadi aku tangkap diaorang
untuk bagi vaksin.”
“Vaksin?” Mata Husna bercahaya semula. Syukur
sangat bila dapat tahu keadaan kucing-kucing jalanan itu
baik-baik saja.
“Haah... diaorang memang kucing gelandangan
di bawah pemantauan aku. Setiap kali nak bagi vaksin, aku
akan tangkap diaorang. Bila semuanya dah selesai, aku akan
bebaskan diaorang semula dekat lorong belakang tu. Aku
selalu bagi diaorang makan dekat situ. Tapi sejak akhir-akhir
ni, aku perasan ada orang lain juga yang hantarkan makanan
untuk diaorang. Tak sangka pulak orang tu kau.” Cerita Wazif
bersahaja.
“Patutlah diaorang nampak sihat aje. Rupa-rupanya
ada yang pantau.” Husna membalas senyuman Wazif seadanya.
Siapa sangka dia dan Wazif ada persamaan. Masing-masing
sukakan kucing!
“Haah! Tapi aku memang tak boleh nak bela diaorang
letak dalam klinik ni. Sebab tempat terhad. Sangkar-sangkar
ni memang dikhaskan untuk kucing-kucing yang warded
dekat sini. Lagi satu, aku ada juga sediakan perkhidmatan
jagaan kucing bagi sesiapa yang nak balik kampung ataupun
pergi bercuti.” Wazif menggaru pipi sambil tersenyum nipis.
Dia juga sudah mula berasa selesa berbual-bual dengan
Husna.
“Ooo... maksud awak, hotel kucing?”
“Ya. Hotel kucing!”
Husna angguk kepala tanda faham. Kemudian mata
bundarnya meliar semula ke segenap ruang di klinik itu.
“Eh, dah lama sangat saya dekat sini. Nanti
mengganggu kerja awak pulak. Saya minta diri dululah.”
Husna bingkas berdiri. Sesekali naik berkerut juga dahinya
menahan rasa ngilu di lutut.
“Boleh ke ni? Atau kau nak aku hantarkan?” Wazif
bingkas berdiri juga. Risau rasanya dia hendak melepaskan
Husna memandu sendirian. Berdiri pun nampak macam tak
berapa nak betul aje!
“Boleh. Awak jangan risau. Saya memang nampak
macam manja sikit. Tapi semangat saya kuat. Lagipun, dah
banyak sangat budi yang awak tabur. Saya takut nanti tak
terbalas.”
“Aku tak minta balasan, Cik Husna! Aku buat ikhlas
kerana Allah,” tegas sedikit suara Wazif.
“Saya tahu. Tapi saya yang rasa tak selesa. Apa
pun, terima kasih sebab tolong saya. Saya pergi dulu.
Assalamualaikum...”
Dalam kepayahan Husna menapak. Sumpah, sakit!
Tapi dia tahan sedaya yang mungkin. Gila nak susahkan lelaki
ni lagi. Seram dia nak berlebih-lebihan makan budi. Kalau
dah kenal lama lain pula ceritanya.
“Waalaikumussalam...”
Nafas dilepaskan berat. Sesekali naik berkerut juga
dahi Wazif melihat Husna terhincut-hincut menapak.
‘Boleh tahan degil jugak perempuan ni. Tak padan
dengan kecil! Eh, yang kau nak bersusah-payah fikirkan pasal
dia ni kenapa, Wazif? Buang tabiat?’ Hati Wazif berperang
sendiri.
“Arrrghh! Lantaklah.” Sudahnya, kepala yang tidak
gatal digaru.

No comments:

Post a Comment