DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 25 October 2017

Jadi Milik Dia - Bab 4

DIAN berjalan di sekitar kawasan rumahnya
sambil menghirup udara petang. Penat duduk di buaian, dia
menuju ke satu kawasan seperti kebun bunga yang berada
di belakang Vila Paduka. Bukan mahu menceroboh, tapi saja
mahu melihat-lihat.
Matanya terpaku pada beberapa jenis pokok bunga
yang subur. Kebanyakan pokok bunga ros, bunga raya dan
orked. Laju saja tangannya memetik daun yang sudah
kekuningan. Terasa seperti dia sedang memetik pokok bunga
milik arwah nenek.
“Buat apa ni?”
Dian tersentak lalu berpusing pada suara yang
menegur. Di depannya ada seorang lelaki sedang memegang
cangkul. Di leher lelaki tu pula ada tuala putih. Mesti lelaki
itu tukang kebun di Vila Paduka.
“Saya cuma nak kutip daun yang kering aje pak cik.”
Terang Dian sambil tersenyum. Apa-apa hal kena senyum
kerana senyuman boleh mencairkan hati orang yang tengah
marah.
“Kamu ni siapa? Kenapa boleh ada dekat kawasan
Vila Paduka?”
“Saya Diana. Pak cik panggil aje Dian. Saya tinggal
kat sana...” Rumah 2 tingkat milik ibunya ditunjuk pada
lelaki lebih kurang sebaya arwah atuk.
“Kamu anak Nisa ke?” soal pak cik itu agak terkejut.
“Haah.” Dian mengangguk. Riak wajah terkejut pak
cik itu dipandang. “Kenapa pak cik?” soalnya pelik apabila
pak cik itu memandangnya tanpa berkelip. Apa dia sudah
buat salah? Adakah taman ini kawasan larangan? “Pak cik,
betul saya tak ada niat lain. Saya bukan nak menceroboh. Pak
cik jangan laporkan pada tuan rumah ini. Saya janji tak akan
datang lagi ke sini.”
Pak cik itu hanya ketawa. “Ke situ pula kamu ni. Pak
cik cuma terkejut kamu ni anak Nisa.”
Dian tersengih apabila teringatkan kekalutan dirinya
sebentar tadi. “Saya takut juga kalau-kalau pak cik beritahu
tuan rumah pasal ni. Kalau pak cik tak keberatan, saya boleh
tolong pak cik uruskan pokok bunga ni semua.”
“Tak menyusahkan kamu ke?”
“Lagi saya suka adalah...” jawab Dian. Ada juga
kerja yang boleh dilakukannya petang-petang begini. “Pak
cik dah lama kerja sini?” Ringan mulutnya menyoal sambil
mencangkul tanah. Bila berborak tak adalah dia rasa bosan.
Lagipun boleh juga dia kenal dengan pak cik ni.
“Dah lama sangat.”
“Pak cik...” Dian meletakkan cangkul. Ditatap wajah
tua pak cik itu. Dapat dia lihat wajah arwah atuknya di wajah
itu.
“Kenapa muka kamu tiba-tiba sedih?” soal pak cik
itu apabila melihat air mata mula berkumpul di tubir mata
Dian.
“Dian rindukan arwah atuk dan nenek. Bila
borak-borak dengan pak cik, Dian teringatkan arwah atuk.
Arwah atuk macam pak ciklah. Suka melayan kerenah Dian.”
Ujar Dian menahan sedih. Sudah membahaskan namanya
sendiri. “Pak cik kalau Dian panggil pak cik, atuk boleh?”
“Boleh, cu. Panggil aje. Atuk tak kisah pun.” Lelaki
itu sudah membahasakan dirinya atuk.
Setitis air mata yang jatuh disekanya. Terharu
dengan kebaikan pak cik ini. Allah telah ambil atuk, kemudian
Allah telah menghantar pak cik ini untuk mengubat rindunya
pada arwah atuk. Nampaknya masih ada insan yang boleh
dipanggil atuk olehnya.

“IBU NAK pergi mana?” tanya Dian apabila melihat ibunya
menuruni anak tangga. Sungguh dia terasa bosan di pagi hari.
Dari tadi dia asyik menonton TV. Entah apa-apa rancangan
pun dia tidak tahu. Baru 2 hari dia tinggal di sini, kebosanan
mula melanda. Kalau di kampung, bila bosan begini laju saja
kakinya ke sawah atau sungai.
“Ibu nak pergi kerjalah.” Puan Nisa duduk di sebelah
Dian.
“Habis, Dian kat rumah ni sorang-sorang? Dahlah
kakak semua tak ada. Dian nak buat apa kat sini?” Rungut
Dian sambil memeluk bantal kecil. Wajah ibunya dipandang.
“Ibu kerja kat mana?”
“Dian ni memang pelupa orangnya. Gembira sangat
duduk kat kampung sampai apa pun kat sini langsung tak
ingat.” Puan Nisa menggeleng kepalanya. “Kan ibu kerja kat
Vila Paduka. Vila yang kat depan rumah kita ni.”
“Ibu kerja kat situ? Ibu kerja apa? Pembantu rumah?”
soal Dian terkejut. Dia belum sempat berborak panjang
dengan ibu. Tapi sejak bila ibunya menjadi pembantu rumah?
Puan Nisa ketawa kecil. Dia tidak salahkan Dian
kerana tidak tahu pekerjaannya. Lagipun Dian tidak pernah
bertanya apa kerjanya.
“Tapi arwah nenek cakap ibu seorang cef.” Beritahu
Dian apabila teringat akan cerita neneknya. Apa-apa yang dia
mahu tahu tentang keluarga, dia akan bertanya pada nenek
saja.
“Ibu kan cef kat Vila Paduka. Dah 20 tahun ibu kerja
sana. Lepas aje ibu berhenti jadi cef kat hotel, Tan Sri Ahmad
pelawa ibu kerja di vilanya. Masa ibu mula kerja Dian tak lahir
lagi. Ibu tengah mengandungkan Kak Ziana masa tu.” Cerita
Puan Nisa.
“Oh... Dian ingat ibu pembantu rumah.” Dian
mengangguk tanda faham. Mengikut cerita nenek, dulu masa
kecil ada juga nenek membawanya ke KL untuk melawat ibu.
Dia cuba ingat kenangan masa kecil sewaktu tinggal dengan
ibunya. Tapi satu pun dia tidak ingat. “Kalau Dian nak ikut
ibu boleh? Dian boleh tolong ibu masak.” Pujuknya sambil
memegang tangan kanan ibunya. Minta belas kasihan.
“Serius?”
“Haah. Dian pandai masak. Nenak yang ajar. Cakap
aje nak makan apa, tutup mata pun Dian boleh buat.” Dian
mula masuk bakul angkat sendiri.
Puan Nisa mencuit hidung anak gadisnya.
“Perasannya kamu ni. Kamu ikut perangai ibu dan arwah
nenek tau kalau bab-bab memasak ni. Mana tumpahnya kuat
kalau tak ke nasi, ya tak?”
“Majikan ibu tak marah kalau Dian pergi sana?”
“Tan Sri Ahmad dia baik. Nanti boleh ibu kenalkan
Dian pada dia. Dian tak mandi lagi, kan?” soal Puan Nisa
apabila melihat baju tidur masih tersarung di tubuh Dian. Dia
hanya menggelengkan kepala apabila anaknya tersengih. “Ibu
dah lambat ni, kalau nak tunggu Dian bersiap. Ibu pergi dulu.
Nanti kamu siap, kamu pergi aje Vila Paduka tu.”
“Okeylah. Dian naik atas mandi dulu.” Ujar Dian
dengan gembira.

DIAN MEMBERI salam sebaik tiba di pintu dapur. Sengaja
dia masuk melalui pintu dapur. Dia bukannya tetamu yang
diundang, mahu masuk melalui pintu utama.
“Tak ada orang ke?” soal Dian apabila salamnya
tidak dijawab. Kalau tiada orang kenapa pintu di dapur boleh
terbuka? Lambat-lambat dia melangkah masuk. Kawasan
dapur yang luas dipandangnya. Mana semua orang? Kenapa
sunyi saja? Ibunya mana?
“Kau siapa?”
Dian berpusing apabila ada suara yang menegur.
Hampir terkeluar biji matanya melihat lelaki itu. Matanya
dikerdipkan beberapa kali. Tak mungkin lelaki itu. Sah,
matanya salah melihat. “Kau buat apa kat sini?” Soalan itu
terluncur keluar daripada mulutnya. Sungguh dia sangat
terkejut sekarang. Kenapa dia masih boleh berjumpa lelaki
ini?
“Kau nak mencuri ke?” tuduh lelaki itu lagi.
Laju Dian menggeleng. Dia jadi takut apabila
dituduh begini. Terasa satu kesilapan besar dia masuk ke sini.
Patutnya dia tunggu saja di luar. Tak mustahillah lelaki itu
menuduhnya mahu mencuri.
“Bukanlah. Aku dah beri salam. Tapi tak ada yang
jawab.”
“Sah kau nak mencuri.”
“Aku tak nak mencurilah. Mana ada orang mencuri
bagi salam.” Marah Dian apabila dituduh mencuri. Tangan
sudah diangkat mahu menumbuk lelaki itu. Orang cakap
baik-baik, tak dengar. Dituduh pula kita mencuri. Apalah
nasib mereka ditakdirkan bertemu lagi.
“Ha... tumbuklah kalau kau berani. Sekali tangan
kau sentuh kulit aku, aku heret kau pergi balai.” Ugut lelaki
itu sambil tersenyum sinis. Wajah cuak gadis itu dipandang.
Ingat berani sangat. “Dahlah main masuk aje. Pencuri...”
“Karang aku tumbuk juga muka kau kan. Aku dah
cakap aku tak mencuri.” Tinggi suara Dian. Dia ni memang
dilahirkan dengan kurang kesabaran. Wajah lelaki itu
dipandang geram. Rupa macam baru bangun tidur. Teruk
punya perangai. Dia yang perempuan boleh bangun awal.
“Jom ikut aku pergi balai.” Lelaki itu mula menarik
lengan Dian.
“Tak naklah.” Dian mengeraskan tubuhnya. Dia
memandang tangan lelaki itu yang berada di lengannya.
Tanpa berfikir panjang laju saja dia menggigit tangan itu.
Kuat.
“Sa... kittt...” jerit lelaki itu kuat sambil menutup
rapat matanya. Automatik tangan gadis itu dilepaskan.
“Padam muka. Siapa suruh pegang lengan aku?”
ejek Dian apabila lelaki itu terdiam sambil menggosok kuat
tangan yang baru digigitnya.
“Ya Allah, apa dah jadi ni?” tegur satu suara yang
baru muncul.
Laju saja Dian berlari ke arah pintu dapur. “Dia
tuduh Dian mencuri, atuk. Dian masuk sini nak jumpa ibu
aje. Lepas itu ikut suka hati dia pegang lengan Dian. Tu yang
Dian gigit tangan dia tu.” Adu Dian pada pak cik yang dia
jumpa di kebun bunga semalam.
“Woi, apa hal kau panggil atuk aku, atuk? Dia atuk
aku, bukan atuk kau.” Marah lelaki itu yang masih menahan
kesakitan. Nak kena tarik rambut juga perempuan ni.
“Adrian...” tegur pak cik itu sambil memandang
tajam ke arah lelaki bernama Adrian.
Dian mengerutkan dahinya. Atuk? Siapa pak cik
yang dipanggil ‘atuk’ itu? Adrian? Siapa pula lelaki muda itu?
Apa hubungan mereka? Dian menggaru kepala.
“Dian...” panggil Puan Nisa yang baru muncul. Laju
saja Dian menuju ke arah ibunya. Dipeluk lengan ibunya erat.
“Ibu, dia cakap Dian nak mencuri. Dian datang sini
nak jumpa ibu aje.” Adu Dian pada ibunya pula.
Puan Nisa mengucap perlahan. Dipandang wajah
dua orang lelaki di depannya. “Adrian... ni anak Auntie Nisa.
Dia bukan nak mencuri. Auntie yang suruh dia datang sini.
Rian dah salah faham ni.”
“Perempuan ni main masuk aje. Siapa yang tak
syak yang bukan-bukan.” Wajah gadis itu dipandang tajam.
Sampai berbekas tangannya akibat digigit.
“Auntie minta maaf kalau Dian dah ganggu Rian.
Dian tak sengaja. Tan sri, saya minta maaf bagi pihak Dian.”
Dian mengerutkan dahi apabila ibunya memanggil
‘atuk’ dengan panggilan tan sri. “Siapa ni ibu?” soalnya tanpa
dapat ditahan.
“Dian, ni ibu nak kenalkan. Ini Tan Sri Ahmad,
pemilik Vila Paduka. Lelaki itu pula cucu tan sri. Namanya
Adrian.”
Terkejut Dian apabila mendengar kata-kata
ibunya. Nasib baik tidak jatuh bebola matanya. Pak cik
yang disangkakan tukang kebun rupanya pemilik vila ini.
Berpangkat tan sri lagi. Bukan calang-calang orang. Ya Allah
kenapa dia langsung tak perasaan? Bertambah terkejut apabila
mengetahui lelaki yang menuduhnya pencuri merupakan
cucu kepada lelaki yang dipanggilnya atuk. Apa semua ni?
“Tan sri, nilah Dian anak bongsu saya.” Puan Nisa
memperkenalkan Dian pada Tan Sri Ahmad.
Terasa mahu saja Dian menangis ketika ini. Susahnya
dia mahu menerima pertemuan yang tidak dijangka ini.
“Atuk, kenapa perempuan ni panggil atuk juga?”
soal Adrian pada Tan Sri Ahmad. Riak tidak puas hati jelas
terpancar di wajahnya.
“Dia pun cucu atuk.” Jawab Tan Sri Ahmad tenang.
“Perempuan tu tak berhak panggil atuk, atuk.”
Marah Adrian.
“Adrian, jangan biadab!” tegur Tan Sri Ahmad.
“Perempuan yang kamu panggil itu namanya Dian.”
Adrian mendengus kasar lalu beredar dari kawasan
dapur. Geram apabila ditegur.
Puan Nisa yang melihat hanya berdiam diri. Dia
tidak tahu apa yang terjadi.

“DIAN, JANGAN ambil hati dengan Rian tu. Dia memang
macam tu. Sombong sikit.” Beritahu Puan Nisa lalu duduk di
sebelah Dian yang asyik memotong kacang itu.
“Bukan sombong sikit. Sombong banyak. Ada patut
Dian yang baik, dituduhnya mencuri. Nak kena cili mulut
betul.” Ujar Dian geram. “Kalau ibu nak tahu dialah lelaki
yang Dian cakap kat ibu semalam. Dia yang langgar Dian. Tak
sangka boleh jumpa dia lagi.”
“Betul ke apa Dian cakap? Dian tak salah orang?”
soal Puan Nisa terkejut.
“Sampai mati pun Dian tak akan lupa lelaki sombong
macam tu.” Kacang panjang dipatah-patahkan lalu dicampak
masuk ke dalam bekas.
Puan Nisa ketawa melihat telatah Dian. Marahkan
Adrian, kacang yang menjadi mangsa. “Jangan terlalu
marahkan seseorang, nanti seseorang itulah yang paling kita
sayang.”
Dian buat gaya nak muntah.
“Dian, Dian jangan cari pasal dengan Rian tu.”
“Kenapa? Dian tak takut siapa-siapalah ibu.”
Puan Nisa mengeluh berat. “Panjang ceritanya.
Adrian tu dia anti dengan orang perempuan sebenarnya.”
“Kalau anti kenapa boleh kahwin? Isteri dia tu lelaki
ke? Semalam elok aje Dian tengok dia dengan perempuan.
Celah mana yang anti pun tak tahu.” Perli Dian yang belum
tahu apa-apa cerita.
“Itu bukan isteri dia. Dia belum kahwin. Perempuan
yang Dian nampak tu tunang Rian...”
“Harap-harap cepat putuslah.” Doa Dian selamba.
Cakap anti perempuan, tapi elok saja bertunang.
“Hesy, budak ni. Apa doakan Rian macam tu. Tak
baik.” Puan Nisa menepuk tangan anaknya. “Ibu kesian
dengan Rian sebenarnya.”
“Dia dah besar, ibu tak perlu kesian dengan dia.
Sudahlah cakap pasal mamat tu. Berdesing telinga Dian
dengar nama dia.” Dian terdiam sesaat dua, tiba-tiba pelbagai
idea muncul dalam benaknya. Sakit hatinya masih bersisa
kerana dituduh mencuri.

No comments:

Post a Comment