LUTH mendengus. Kesan retakan di cermin
hadapan keretanya dibelek. Teringat gadis tadi, hatinya
kembali hangat. Disebabkan gadis itu, terpaksalah dia
menghantar keretanya ini untuk dibaiki nanti.
Gadis itu memang sengaja menyusahkannya. Hatinya
ini semakin berapi-api kala teringatkan bagaimana dengan
mudah dia mempercayai kata-kata gadis itu. Kalau tahu gadis
itu berbohong, dia takkan sesekali mempercayainya. Akan
diheret gadis itu agar membayar ganti rugi yang dialami.
Mulutnya mendecit. Terasa dirinya begitu bodoh
kerana dengan mudah diperlekehkan. Tentu gadis itu sedang
mentertawakannya ketika ini.
“Tuan!”
Suara itu mematikan lamunan Luth. Dia berpaling
ke arah seseorang yang datang menerpa.
“Tuan tak apa-apa ke?” Lelaki bermata sepet dengan
tubuh berketul-ketul itu bertanya. Takut andai ada kecederaan
serius menimpa bosnya ini.
“Hesy... saya okeylah!” Luth menepis tangan Potato
yang membelek-belek tubuhnya. Rimas!
Potato tayang sengih.
“Ngeee... manalah tahu kot-kot tuan cedera parah.
Boleh claim insurans,” selamba Potato menjawab.
“Dahlah, saya dah lambat ni. Nak jumpa client.
Awak hantar saya, lepas tu awak settlekan masalah kereta ni.”
Menonong Luth berjalan tanpa menunggu jawapan Potato.
Terkocoh-kocoh lelaki itu mengejarnya. Pintu kereta
di bahagian belakang dibuka. Setelah Luth masuk ke dalam
perut kereta, pintu ditutup cermat dan Potato membolos diri
masuk di bahagian hadapan.
“Macam mana cermin hadapan tu boleh retak, tuan?”
Potato bertanya sewaktu kereta yang dipandu mula bergerak.
Luth mendengus. Teringat gadis itu, membuatkan
darahnya menggelegak. Jika suatu hari nanti ditakdirkan dia
bertemu lagi dengan gadis itu, dia takkan lepaskan peluang
untuk membalas dendam. Berani gadis itu kelentongnya
hidup-hidup.
“Cis!” dengusnya.
Potato memandang majikannya melalui cermin
pandang belakang. Kulit putih bersih lelaki itu bertukar
kemerah-merahan. Bagaikan udang yang sedang dibakar.
Itu mesti tengah marah. Entah apa yang dimarahkan sampai
kulitnya bertukar warna. Nasib baik merah, kalau hijau... tak
tahulah nak cakap apa. Hendak bertanya lebih lanjut, takut
dia pula yang disembur. Bukannya dia tidak faham perangai
majikannya ini. 3 tahun bekerja dengan lelaki bernama Luth
Zulkarnain, Potato sudah cukup masak dengan perangai
lelaki itu.
Hendak melihat Luth tersenyum ibarat menanti
bulan jatuh ke riba. Asyik masam 24 jam. Disebabkan itu,
sampai ke hari ini majikannya belum mendirikan rumah
tangga. Umur dah masuk 30 tahun, tapi sampai sekarang
majikannya belum berteman. Mana taknya, dengan muka
ketat begitu, sudah pasti tiada perempuan yang berani
mendekat walaupun hakikatnya Luth menjadi buruan ramai
gadis-gadis yang mendambakan cinta lelaki terlajak laris ini.
Opsss... kecuali seorang. Cik Katrina Datuk
Kamal Ariffin. Perempuan gedik menggeletis yang cukup
buat semua orang naik menyampah dengan perangainya.
Cuma perempuan seorang itu saja yang selalu menghimpit
majikannya yang kacak bergaya ini. Walaupun Luth tak layan
dan buat tak endah, Katrina tetap buat muka tak tahu malu
datang menempel. Selamba saja dia terkedek-kedek dengan
kasut tumit tingginya itu menggoda Luth Zulkarnain. Dasar
spesies kulit muka tebal!
Jangankan Potato, pembantu di Vila Zulkarnain
juga cukup tidak berkenan dengan perangai Katrina. Suka
hati perempuan berambut kerinting kemerah-merahan
macam singa itu saja mengeluarkan arahan kepada mereka.
Macamlah dia tu puan besar di dalam Vila Zulkarnain. Jika
bukan memikirkan Katrina itu sepupu tuan mereka, sudah
lama rasanya mereka tak layan kehendak Katrina yang
mengada-ada itu. Banyak songeh!
Tet... tet! Tet... tet!
Bunyi itu mengganggu kedamaian. Berulang kali ia
berbunyi sehingga membuatkan Luth terpaksa mengalah dan
menjawab panggilan telefon.
“Yup.”
“Darling... sampai hati you...” rengekan Katrina di
hujung talian kedengaran.
Luth mendengus. Katrina... gadis itu suka sangat
mengganggu ketenangan yang baru diciptanya. Merengek
tak ubah macam budak kecil, sedangkan umur dah 25 pun.
Sudah matang.
“Ya, Kat... apa yang sampai hati?” Luth bertanya
malas.
Mendengar nama Katrina disebut, Potato mencebik.
Baru teringatkan gadis gedik itu sebentar tadi. Kini Katrina
sudah berada di talian bersembang dengan majikannya.
Panjang betul umur gadis itu. Hatinya sebal.
“Sampai hati you tak beritahu I yang you pergi
Sabah.”
“I datang sini atas urusan kerja. Bukannya pergi
holiday.”
“I tahulah. Tapi sekurang-kurangnya you kenalah
beritahu I. Takdelah I macam orang tak betul cari you
dekat ofis dan rumah. You ni kejam tau. Dengan I pun nak
berahsia,” omel Katrina. Geram. Jika tahu, awal-awal lagi
dia sudah berkemas ikut sama. Boleh bercuti menghabiskan
masa berdua di samping buah hatinya itu.
“I bukan nak berahsia Kat, tapi I datang atas urusan
kerja. Bukan nak bersuka-ria!” Kali ini suara Luth bertukar
tegas. Rimas sungguh dia dengan sikap Katrina. Dia dengan
Katrina bukannya ada ikatan istimewa pun. Cuma dua pupu
sahaja. Tapi cara Katrina melayannya seperti dia buah hati
gadis itu. Dia tidak suka dikongkong. Dan Katrina tiada hak
mengongkongnya.
Mendengar intonasi suara lelaki itu yang
berubah, Katrina menukar tajuk perbualan. Tak guna dia
menghangatkan hati Luth. Nanti lain pula jadinya. Mamanya
juga sering berpesan; jika dia mahu menambat hati lelaki
ini, dia perlu banyak bersabar. Tak kisahlah jika dia terpaksa
mengalah dengan tingkah Luth yang melayannya acuh tak
acuh sahaja. Kerana di pengakhirannya nanti, kemenangan
akan berpihak kepadanya apabila Luth Zulkarnain berjaya
menjadi miliknya yang mutlak.
Nafasnya dihela perlahan. Hati dipujuk sendiri
dengan tingkah Luth yang kadangkala buat dia menjeruk
rasa.
“Bila you balik?” soalnya dengan suara yang
sengaja dilunakkan. Ingin membeli jiwa Luth yang keras
mengalahkan air batu.
“I don’t know.”
“Errr... kalau balik nanti... boleh tak you belikan I
something.”
“What?”
“Pearl.”
“Okey!” Tanpa menunggu kata-kata seterusnya,
Luth terus memutuskan talian. Telefon dimasukkan ke dalam
poket. Sebelum itu sempat dia mematikan telefon pintarnya
agar Katrina tidak dapat lagi menghubunginya.
Luth menyandarkan badannya ke kerusi. Jika bukan
disebabkan Katrina merupakan anak Datuk Kamal Ariffin,
takkan sesekali dia melayan Katrina. Bosan melayan kerenah
Katrina yang kadangkala buat dia naik rimas. Entah apalah
keistimewaan Katrina di mata tok abah. Sampaikan tok abah
pernah bercadang mahu menjodohkannya dengan gadis itu.
Keluhan dilepaskan. Dia masih belum bersedia
menamatkan zaman bujangnya. Biarlah dia begini. Bebas
tanpa ada yang mengongkong pergerakannya. Jika sudah
berkahwin, tentu kehidupannya tidak sebebas hari ini. Ke
mana saja pergerakannya akan dikawal. Disebabkan itulah
dia tidak bersedia untuk berumah tangga. Padanya, ikatan
perkahwinan itu sesuatu yang menyusahkan.
No comments:
Post a Comment